TAJUK :
Huraikan Masalah Sosial Yang Di Kesan Di Kalangan Pelajar
1.0 Pengenalan
Banyak yang telah kita dengar tentang
gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita
dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik
yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan
remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan
merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada
segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai
berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai
masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan
perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar
membimbangkan kita.
Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang
individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi
fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah
kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan
rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak
semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran
sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula
mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup
daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim,
1950).
Mereka bukan sekadar nakal
dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak
senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari
rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita..
Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti
menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh,
samun tanpa senjata api mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran,
judi, vandalisme penyalahgunaan dadah , minum minuman keras, terbabit
video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku
disekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah disekolah luar
bandar. Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah
digelar pelajar devian.
2.0 Teori Punca Salah Laku Dan Masalah
Sosial Pelajar
Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca
devian. Teori fungsionalisme menganggap devian sebagai disfungsi
pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian merupakan
tindakan golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas.
Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat
devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat
besar. Deprivasi selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi
dan kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang
kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan
dan tekanan status lalu bertindak melakukan devian.
Teori interaksionisme melihat devian
sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan suatu proses sosial.
Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan mereka yang
sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu . Kajian
Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian sebagai
teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat
empat jenis devian iaitu inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan
cara yang salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang
yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif
lain sebagai tindakan ) dan menentang (menolak matlamat persekolahan
dan menggantikannya dengan matlamat lain).
3.0 Masalah-Masalah Sosial Pelajar
3.0.1 Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar
kini semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya pelajar
di kawasan bandar dan kota . Apa yang menyedihkan kita ialah
penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun
ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru
disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui
kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah
di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan
mengejut dilakukan di sekolah tersebut Peningkatan pembabitan remaja
perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan
akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.
Seorang lagi guru di sebuah sekolah di
Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan
di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh
terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan
meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau
juga mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya
terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng
sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu
adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur,
Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di kalangan pelajar terutamanya
di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan
, merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan
sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah
seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang,
hamil luar nikah dan pelacuran dikalangan pelajar di
institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai
141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan daripada kancah pelacuran
dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula
seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya diselamatkan
dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan
berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang murid tahun
dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru,
didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa yang
yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah , bersama-sama
ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat
ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah
meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah.
Namun apa yang sangat menyedihkan ialah
sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup mendedahkan anaknya
kearah gejala sosial dengan menonton video lucah bersama-samanya.
Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah
faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini ? Adakah anak
yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang
perlu dipersalahkan ? Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh
teladan yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman
ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah
dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak
dan para pelajar.
Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris
kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi
dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah
para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu
daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja.
Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman
lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan
gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu, satu
bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan
minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan
potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.
3.0.2 Samseng Dan Gengsterisme
Gejala samseng atau gengsterime di sekolah
menengah di seluruh negara juga semakin membimbangkan .Mereka
ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut
melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya..
Berita Harian , 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh
10 tahun antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah membabitkan
remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35 peratus dan
25 peratus bagi remaja perempuan. Kemeterian Pendidikan dengan kerjasama
polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah
di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan
sedikit dan menunjukkan gejala ini ini berada pada tahap membimbangkan
.
Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita
akan diperlihatkan kepada pembabitan pelajar dalam
kes jenayah berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut
dan kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan dadah,
mabuk, memiliki senjata api menceroboh , judi dan membuli.
Peristiwa terbaru ialah kejadian membakar
sekolah dan rumah guru yang dilakukan oleh pelajar sekolah.
Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak dengan jenayah
ekstrem seperti membunuh , merogol dan menyamun. Mereka
yang sudah menjinakkan diri dengan kes seperti mencuri motosikal,
pecah rumah dan memukul orang , tidak mustahil akan terbabit
dengan jenayah berat seperti membunuh, sindiket senjata api
, pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api. Mengikut laporan
Menteri Pendidikan semasa persidangan di Parlimen, statistik
kesalahan membunuh, merompak, merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar
sekolah menengah di seluruh mengikut negeri-negeri
dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001 ialah 12 kes
bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
berlakunya gejala-gejala tersebut seperti faktor rumah
tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri
. Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media yang memberikan
ganjaran keseronokan dan mula tersesat dengan meniru
apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan
remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran
mereka. Selain itu rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran
yang tidak sihat juga menyumbang kearah kelakuan tidak baik di kalangan
remaja .Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan mengambil
jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai
jalan keluar kepada permasalahan mereka.
3.0.3 Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah
sosial yang baru di kalangan pelajar sekolah di negara kita.
Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan
pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu 32092
orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80937 pada 1997. Pelajar
sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun
dikenal pasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan
gejala ponteng. Daripada keseluruhan pelajar yang
dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus
adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah
pelajar perempuan.
Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian
Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir , masalah ponteng lebih ketara
berlaku di kalangan pelajar peringkat menengah iaitu tingkatan dua
dan tiga terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar
dan sekolah di pinggir bandar.
Di antara faktor-faktor yang menyumbang
kearah berlakunya gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah
ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa
pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti melepak di
pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber
dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya.
Sesungguhnya gejala ponteng sekolah adalah
masalah serius yang perlu diberi perhatian.dengan mengambil pendekatan
bersepadu dengan mengesan punca pelajar terbabit dengan gejala
itu dan kaedah yang berkesan untuk menanganinya..
3.0.4 Black Metal
Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan
gejala sosial kian meningkat. Yang lebih menyayatkan adalah gejala ini
seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti remaja melayu babak
demi babak, peringkat demi peringkat dan yang
terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini
Pink Metal.
Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana
kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat
yang
telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu
kekosongan atau vacum yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah
suatu kegiatan yang mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan
malah ada pengikut mereka yang sudah meminum darah kambing
sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.. Hasil daripada siasatan,
polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Parit
Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada
diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran
dan mengikuti upacara yang diketuai `tok guru` yang berselubung
hitam.
Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam
mula terpengaruh dengan agenda Yahudi dengan menafikan tauhid
Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan
mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara
ini yang terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat ini. Ilmu
dan pengajaran daripada simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya,
tidak langsung mendapat tempat sebagai pegangan hidup kita.
Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab
sosial semua pihak dari seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan
kerjasama yang padu di
kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan
semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya, tanpa kita
membebankan mana-mana pihak.
3.0.5 Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah
Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam
kes merokok, dadah, lari dari rumah dan judi bukanlah perkara
yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang dilakukan oleh pelajar
sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328 kes manakala bagi
tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes. Diantara jenis-jenis dadah yang
dikesan dikalangan pelajar ialah ganja, heroin, pil ectasy,
menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan
dadah. Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 25.08.2000 melaporkan bahawa
10 orang pelajar ditahan dalam serbuan polis yang disyaki ponteng
dan menghidu gam.
Masalah merokok di kalangan pelajar pula
semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Akhbar Berita Harian
bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah
merokok diseluruh negeri. Terdapat beberapa sebab pelajar merokok
seperti ingin menonjolkan emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba,
dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya dan iklan
serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan yang selalu
melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk
tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan remaja yang lari atau menghilangkan
dari rumah semakin membimbangkan Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya
masalah yang lebih besar apabila mereka menghadapi kesulitan hidup
setelah dari dari rumah seperti terlibat dalam pelacuran, pelayan
di kelab malam atau disco dan sebagainya.
4.0 Penutup
Melihat kepada permasalahan dan gejala
sosial yang melanda para pelajar dan remaja kita pada hari
ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai
ke tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan
negara dan generasi Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan
oleh pelbagai pihak mengenai sikap dan tingkahlaku pelajar
dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan akademik dan
tertumpu kepada punca masalah dan biasanya bersifat umum sahaja.
Di sebabkan terlalu banyak punca yang diramalkan , tindakan
untuk membendung masalah tidak lagi berfokus.
Meskipun ada cadangan mengenai cara mana
mengatasi masalah, namun ia hanya berakhir di meja perbincangan,
forum atau seminar. Memang ada program yang dirangka untuk remaja
dan pelajar tetapi ianya hanya memberi manfaat kepada segelintir
mereka sahaja dan lebih bersifat komersial.. Ibu bapa, guru-guru,
dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam
memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai
masyarakat mikro, sekolah sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang ada
dalam masyarakat makro. Oleh itu adalah wajar supaya pelajar
didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat malalui
interaksi mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu
kempen yang menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya
menghindarkan diri dalam apa jua bentuk gejala buruk
yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga mereka. Golongan
ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang
agar mereka gementar dengan hukuman.
Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat
yang bakal mencorakkan masa depan negara.. Mereka adalah aset kekayaan
semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan
kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan
remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia
yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala masalah
sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya
ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai
ini.
Rujukan
Amir Hasan Dawi, 2001 . Penteorian Sosiologi
Dan Pendidikan. Tanjong Malim :
Quantum
Books.
Alex Inkeles, 1982 . What is Sociology? : An Introduction
to the Discipline and
Profession. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahadi Osman, 1996 . Masyarakat melayu dan gejala
sosial. Kuala Lumpur:
Institut Perkembangan
Minda.
Utusan Malaysia, 20 Sept.2000 . Seks Bebas.
Berita Harian, 1 Julai 2000 . Punca Masalah Disiplin
Pelajar.
Utusan Malaysia, 17 Oktober 2000 . Jenayah Pelajar.
Berita Harian, 31 Mei 2000 . Tangani Masalah Remaja
Lebih Serius.
AgamaPendidikanHiburanAkhbar
& Majalah
KomputerPoskadWallpaper Malaysia
Laman Utama
|