TAJUK: Masalah sosial dikalangan
remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja
1. Sinopsis Isu
Peranan golongan remaja tidak dinafikan kerana mereka merupakan waris
yang akan menentukan hala tuju masa depan. Mereka mempunyai pengaruh besar
terhadap keadaan sosial, politik dan ekonomi. Merekalah yang akan memegang
tampuk pentadbiran, penggerak ekonomi dan pembangun generasi.
Namun dalam pada itu kita tidak putus-putus dibebani dengan masalah
sosial remaja yang semakin hari semakin meruncing. Masyarakat dikejutkan
dengan pelbagai paparan secara terbuka baik di media elektronik, media
cetak mahupun di Internet. Masalah sosial, keruntuhan akhlak dan
kemerosotan disiplin amat membimbangkan kerana ia turut mengundang
pelbagai implikasi yang boleh meruntuhkan kestabilan negara dalam usaha
melahirkan masyarakat produktif dan berdaya maju.
Sebelum ini kita dikejutkan dengan masalah bohsia, bohjan, pelacuran
dan seks bebas dan penyalahgunaan dadah. Masalah menjadi lebih gawat
apabila kita dikejutkan dengan tindakan ganas pelajar sehingga menyebabkan
kematian dan kecederaan serius kepada si mangsa. Isu ini menimbulkan pelbagai
persoalan dalam merungkai punca keadaan itu.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai
bentuk pengaruh. Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world"
ini banyak menyuntik unsur-unsur yang positif mahu pun yang negatif.
Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang membunuh sahsiah berbanding
program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd Ali,1977)
Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa.
Ibu bapa harus dapat membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai
insan dalam alam sosial.
Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara
ibu bapa dengan remaja itu sendiri. Sejumlah besar remaja menyalahkan
ibu bapa. Sebagaimana petikan akhbar berjudul "Ayah Sibuk,
Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar, Remaja Jadi
Liar" Harian Metro, 6 September 2001 dan "Jenayah Rogol Juvana
Salah Siapa?" Utusan Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan
kekurangan agihan masa. Kasih sayang yang mereka harapkan diganti
dengan kemewahan dan wang ringgit.
Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama
ada disebabkan faktor ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka
terhadap golongan remaja yang dikatogerikan sebagai golongan yang masih
mentah.
Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat
kepada pembantu rumah atau pihak sekolah. Dengan berbuat demikian
mereka berharap akhlak, personaliti dan kendiri anak mereka dapat dibentuk
sebaik mungkin. Akibatnya , mereka mengundang gejala sosial di kalangan
remaja.
2. Isu
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar ini menegaskan tentang masalah
sosial dikalangan remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan
remaja. Pertentangan pendapat antara remaja dan ibu bapa timbul apabila
kedua pihak ini cuba untuk mempertahankan kebenaran masing-masing.
Remaja yang bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya
ibu bapa tidak memberi perhatian wajar kepada mereka kerana sibuk menumpukan
urusan kerja. Mereka kekurangan masa bersama, kasih sayang yang mereka
harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit. Tanggungjawab
diserahkan kepada pembantu rumah, guru atau pendidik yang telah dibayar
gaji.
Dari perspektif ibu bapa pula, mereka seolah-olah keliru dengan kenyataan
anak-anak mereka. Lebih buruk lagi apabila mereka menuding jari kepada
pihak lain seperti sekolah yang kononnya gagal melahirkan pelajar yang
berdisiplin.
Mencari siapa punca masalah bukanlah jalan yang bijak dalam menyelesaian
sesuatu masalah. Namun yang pasti konflik akan membawa perubahan.
3. Definisi dan Konsep Teori Konflik
Teori Konflik bermula daripada pandangan asal Karl Marx dan diikuti
oleh Weber. Oleh itu teori ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu
aliran Marx dan aliran Weber.
Mengikut Marx konflik bukan semata-mata sebagai satu cara analisa sosiologi
tetapi merupakan satu cara reformasi sosial. Bagaimana ketegangan
yang berpunca daripada ketidaksamaan memberi kesan kepada kestabilan dan
perubahan. Teori ini akan mengkaji bagaimana hubungkait antara konflik
dan perubahan. Ketegangan dan konflik akan menyumbang kepada perubahan
sosial. Perubahan boleh berbentuk revolusi atau adaptasi. Sementara
itu mengikut George Simmel, konflik ialah sesuatu yang semulajadi dalam
sesuatu masyarakat. Lewis Coser pula mengatakan bahawa sesuatu konflik
itu boleh mempercepatkan proses kesetiaan dan keharmonian di dalam sesuatu
kelompok sosial.
Brinkerhaff and White(1989) merumuskan 3 andaian penting dalam teori
konflik
a) Konsep dialektik- evolusi bukan proses utama kepada perubahan sosial
tetapi konflik yang menghasilkan perubahan sosial.
b) Determinisme ekonomi - asas kepada perubahan sosial ditentukan oleh
faktor-faktor persaingan ekonomi
c) Aktiviti sosial- tugas utama analisis sosial adalah kritikan sosial.
Max Weber pula merupakan seorang rakyat Jerman. Beliau adalah
sosiologis, ekonomi, sejarawan, ahli undangan, ahli falsafah. Dipengaruhi
oleh Karl Marx tetapi menolak konsep Marx. Contohnya menolak konsep
materialisme sejarah Marx. Menganggap agama penting sebagai agen
perubahan. Tidak setuju dengan revolusi dan mengkritik sosiolisme.
Proses rasionalisasi dunia moden barat berkembang berasaskan rasionalisasi.
Dunia lain terbantut perkembangannya kerana halangan kuasa. Beliau mempersoalkan
andaian Marx yang mengatakan ciri-ciri semua institusi sosial adalah berpunca
oleh faktor ekonomi. Menghujahkan bahawa perubahan sosial bukanlah
kerana konflik kelas tetapi pelbagai faktor lain.
Menurut pandangan teori ini masyarakat berada dalam keadaan berubah-ubah,
berkonflik dan sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing.
Kumpulan yang kuat atau lebih berkuasa boleh memaksa kumpulan yang lemah
untuk menerima nilai-nilainya. Mengikut teori ini terdapat tiga perkara
penting yang berlaku dalam masyarakat iaitu konflik, perubahan dan paksaan.
4. Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi
Konflik mungkin timbul seandainya seseorang itu mempunyai peranan dan
ekspektasi yang berbeza-beza. Sebagai contoh dalam isu ini ibu bapa
mengangap bahawa diri mereka telah menjalankan tanggung jawab yang sebaik
mungkin dalam memenuhi kehendak anak seperti memberi kesenangan.
Ibu bapa mungkin ingin membaiki status kerana status menyebabkan seseorang
itu bertaraf, diberi perhatian dan keutamaan dalam sesebuah masyarakat
terutama bagi komuniti di bandar tetapi perspektif remaja berbeza.
Menurut Teori Konflik perselisihan berlaku kerana tidak wujud persefahaman
yang jelas antara kedua pihak ini. Memang tidak dinafikan masyarakat
madani memperlihatkan satu budaya dimana kedua-dua pasangan suami isteri
bekerja. Sekiranya ibubapa bekerja, sudah semestinya
masa mereka terpaksa diagihkan antara tugas di pejabat dengan urusan di
rumah. Ini bermakna mereka hanya dapat melihat anak masing- masing
ketika sebelum dan selepas kerja. Ditambah dengan kepenatan selepas
tugas, memaksa mereka untuk merehatkan diri. Tanpa jadual harian yang menekankan
program bersama anak-anak, kurangnya kegiatan komunikasi seperti tidak
bertanya peribadi remaja, bagaimana tentang pelajaran, tidak mengetahui
siapa rakan-rakan mereka serta membiarkan mereka terus dibuai budaya negatif
. Sikap mementingkan materialistik atau kerjaya ibu bapa membuatkan
remaja tidak berkesempatan untuk berbincang, mengadu hal dan sentiasa memendam
rasa mengenai sesuatu perkara.
Berbagai persoalan timbul dalam fikiran mereka seperti mengapa mereka
dilahirkan tetapi dibiarkan? Untuk kepentingan siapakah mereka sibuk
hingga tidak sempat melayan anak? Apabila mereka rasa tidak
dikehendaki, tidak disayangi dan tidak diperlukan oleh ibu bapa, maka mereka
membawa perasaan dan harapan di luar keluarga.
Hubungan interpersonal yang tidak intim menimbulkan keadaan yang tidak
menyenangkan. Segala cetusan rasa diluahkan kepada rakan-rakan
di luar. Apabila berjumpa dengan kawan-kawan yang mengambil berat, kawan
yang boleh bekerjasama, ditambah pula dengan rakan yang menghargai
dan memerlukannya, maka remaja ini mengalihkan perhatian kepada kumpulan
rakannya. Lama-kelamaan perhubungan dengan ibu bapa akan terhakis
sebaliknya menebalkan hubungan remaja dengan rakan-rakan di luar.
Pakar psikologi kaunseling melalui teori mereka mendapati empat ciri
bagi menjelaskan tabiat seseorang itu seperti Teori Psikoanalisis yang
diasaskan oleh Freud.
Pertama: Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat
kerana dipengaruhi unsur rangsangan seksual agresif dan tidak rasional
wujud dalam diri
manusia bagi tujuan menjaga perkembangan hidupnya. Kedua:
Analisis Transisi, teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil
daripada skrip hidup yang ditentukan ibu bapa ketika kecil, anak berkenaan
merakamkan secara langsung percakapan dan perbuatan ibu bapa mereka.
Konflik terjadi apabila anak cuba menilai semula skrip hidup lama atau
menerbitkan skrip hidup yang baru hasil perkembangan emosi dan pengaruh
persekitaran. Ketiga: Behaviorisma, iaitu tingkah laku yang
terbentuk hasil proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat
manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran
yang salah. Keempat: Teori Pemusatan Klien. Teori ini
mengandaikan bahawa tabiat manusia secara azalinya adalah rasional, bertanggungjawab
dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Manusia juga cenderung menjadi
kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang
seperti mendapat kasih sayang dan keselamatan.
James Backer mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga
akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang
sempurna. Ibu bapa hendaklah membimbing, memahami, menyelami kehendak
jiwa remaja dan berfikiran terbuka. Jadilah model terbaik, sekaligus
sebagai perangsang. Ini akan mendorong kepada kewujudan suasana harmonis.
5. Menganalisis isu berdasarkan tiga konsep sosiologi
5.1 Modenisasi
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam
masyarakat sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi
boleh juga diterima sebagai keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan
atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang
dikatakan baru. Gaya hidup tradisi telah berubah sebagai gaya hidup
moden. Masyarakat mengalami modenisasi secara beransur-ansur dengan
adanya pertemuan dengan gejala barat.
Proses modenisasi menyebabkan perubahan samada dalam institusi kekeluargaan
atau masyarakat. Terdapat perubahan dalam nilai-nilai dan norma-norma ibu
bapa disebabkan oleh proses-proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi.
Ibu bapa lebih memanjakan anak memenuhi segala kehendak mereka dan sering
bertolak ansur dengan anak-anak mereka.
Hujah ini menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dari segi kawalan
di rumah. Kanak-kanak yang diasuh dengan manja akan didapati sukar
untuk menyesuaikan diri atau memahami hasrat ibu bapa.
Apabila terdapat situasi yang bertentangan antara kehendak individu
dengan ibu bapa mereka mungkin akan menggunakan tingkah laku yang liar
untuk menyelesaikan situasi yang berlawanan ini boleh mengakibatkan kesan
yang menyakitkan ke atas setengah-setengah kanak-kanak yang mana merupakan
suatu penggalak kepada masalah sosial.
Dunia berubah bila revolusi perindustrian berlaku,manusia menjadi materialistik
dan individualistik.
5.2 Kelas sosial
Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga
yang tidak stabil dengan masalah sosial di kalangan remaja. Remaja
yang datang dari keluarga yang taraf sosio ekonomi yang rendah antara faktor
utama mereka terjebak dalam kancah masalah disiplin. Di rumah, kekeluargaan
dan penerimaan (acceptance) tidak wujud dalam sebilangan remaja berkenaan.
Selain itu bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah
yang semakin meningkat juga menyebabkan pelajar merasa terbiar dan tidak
mendapat perhatian sewajarnya. Dapatan yang dinyatakan ini adalah
bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan kajian Athur & Ericson (1992);
Kosterman (1996); yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan
utama menyebabkan masalah disiplin.
Tidak terkecuali remaja berada terutama di kalangan remaja ibu kota.
Pengambilan pil Ecstasy dan aktiviti seks bebas. Menurut Ketua Jabatan
Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Hussain Mohammad "Pusat
hiburan eksklusif menjadi tumpuan remaja seperti ini untuk melakukan kegiatan
tidak berfaedah tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Remaja ini pastinya
mempunyai wang yang banyak dan memudahkan mereka membeli pil Estasy.
Hanya remaja berada saja mampu membeli pil ini kerana harganya mahal".
Dipetik dari Harian Metro bertajuk "Ayah Sibuk Remaja Liar", 1 Ogos
2001.
Kelas sosial telah menjadi ciri masyarakat moden berbanding semasa
zaman penjajahan. Layanan yang berbeza mengikut kelas diamalkan.
Kadar lompatan kelas juga adalah berbeza. Bagi kelas atasan mereka
meneruskan mobiliti mendatar pada kelas yang sama. Bagi kelas bawahan
mobiliti keatas adalah memakan masa dan antara generasi yang berbeza.
Mereka yang berada di kelas atas meneruskan kedudukan mereka dengan merebut
peluang-peluang pendidikan dan kerjaya terbaru. Untuk mengekalkan
atau meningkatkan lagi kedudukan mereka, mereka harus bekerja lebih
giat. Begitu juga dengan kelas bawah untuk bersaing mereka
harus melipatgandakan usaha mereka agar tidak jauh ketinggalan. Usaha
keras inilah yang meruntun pengorbanan masa dan wang menjadi gantinya.
5.3 Sosialisasi
Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan
nilai yang
perlu ada dalam institusi sosial. Proses pembelajaran sepanjang
hayat berlaku dalam institusi sosial. Pemindahan norma dan nilai
dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu masyarakat kepada kanak-kanak.
Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk konsep diri pada individu.
Oleh itu kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok yang paling
berpengaruh
Pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan.
Anak-anak mula belajar dari kedua ibu bapa mereka. Oleh itu ibu bapa
yang memberi 'quality time' kepada anak-anak mereka dapat menanamkan minat
dan bertindak balas dengan memberikan didikan dan peluang yang berpatutan.
Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang
ke arah kecemerlangan. Bagi memastikan potensi ini berkembang ke
arah yang positif, ibu bapalah yang terbaik memainkan peranan penting untuk
membantu anak-anak ini mencapai keunggulan peribadi. Anak-anak beruntung
jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih sayang, perhatian dan pengertian
dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan fikiran mereka dengan
penuh kegembiraan dan kejayaan. Namun ada sesetengah ibu bapa tidak
memainkan peranan dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan
yang amat diperlukan oleh anak-anak mereka disebabkan kesibukan tugas atau
tidak mempunyai pengetahuan untuk membantu anak remaja. Mereka tidak
lagi prihatin tentang perkembangan anak-anak di sekolah, tidak mengetahui
siapakah rakan-rakan anak mereka dan tidak menghiraukan bagaimana
masa lapang mereka dihabiskan. Masa yang diluangkan untuk sama-sama
menjalankan aktiviti bersama anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi
berkomunikasi terutama dengan anak remaja berhubung dengan kegiatan harian
(Laurance Steinberg 1996). Kenyataan ini sedikit sebanyak mengambarkan
bahawa ibu bapa pada era ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Maka itu kegagalan ibu bapa memberi pendidikan pada peringkat permulaan
akan membawa kepada suatu petanda yang buruk terhadap disiplin anak-anak(Asmawati,1996).
Ini meneguhkan pendapat Freud,(Mahmod Nazar, 1990) yang mengatakan bahawa
kualiti penjagaan yang diberikan di peringkat awal akan mempengaruhi di
kemudian hari.
Menurut pandangan seorang ahli sosiologi Robert K. Merton, di
sebalik berlakunya pelanggaran undang-undang dan kawalan sosial, jenayah
sebenarnya boleh berlaku disebabkan keadaan sesuatu masyarakat itu disusun.
Merton menegaskan, dalam kehidupan manusia memerlukan banyak perkara seperti
kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau hanya setakat rumah yang selesa
dan sedikit keamanan dan ketenteraman. Walaubagaimanapun kualiti
norma hidup yang rendah mendorong kepada berlakunya jenayah dalam masyarakat.
6. Rumusan/Cadangan
"Mencegah lebih baik dari mengubati" . Justeru itu institusi
keluarga memainkan peranan yang lebih penting sebelum kita mengkaji dari
aspek yang lebih luas seperti institusi pendidikan atau masyarakat.
Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian
rapi kepada anak-anak sejak mereka kecil dan sentiasa sedia berkongsi
masalah dengan mereka. Ibu bapa seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka
sendiri di samping menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan
yang sihat serta cemerlang. Kekeliruan perasaan, tidak dihargai dan
terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca
lain mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah.
Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.
Komunikasi dua hala yang sihat akan membantu anak meluahkan masalah
mereka. Ibu bapa perlu belajar menyelami dan memenangi jiwa
anak supaya anak remaja yang biasanya bersikap egosentrik dapat dilembutkan.
Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak.
Pendidikan merupakan asas mobiliti sosial. Namun, visi dan cita-cita
yang luhur ini tidak akan tercapai seandainya masalah disiplin di kalangan
pelajar tidak dapat dibendung. Setiap remaja perlu didekati supaya mereka
menghayati keunggulan disiplin. Keunggulan ini dapat dipraktikkan
melalui kerjasama semua pihak baik pentadbir sekolah , guru disiplin, kaunselor,
dan ibu bapa pelajar. Secara tidak langsung masalah sosial yang semakin
meningkat peratusnya dapat dikurangkan.
Pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu.
Formula dan strategi pendidikan yang sesuai perlu dicipta bagi menghasilkan
generasi yang berwibawa dan mampu bersaing dalam konteks globalisasi didorong
oleh mekanisme sains dan teknologi.
Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan, persatuan belia. masyarakat
setempat mula merangka program dan aktiviti-aktiviti untuk golongan remaja
mengisi masa lapang mereka, sama ada kegiatan berbentuk setempat atau menerusi
Gaya Hidup Rakan Muda. Kerajaan menerusi kementerian Belia dan Sukan
mengambil langkah segera memperluaskan program berkenaan.
Kesimpulannya, sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang
melanda remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan
yang wujud di dalam alam persekitaran. Misalnya, pembangunan yang
terlalu pesat telah mengubah cara hidup masyarakat kita. Manusia menjadi
semakin individualistik dan materialistik. Lantaran itu, keseimbangan
sosial harus dipulihkan semula. Jika ini dapat dilakukan maka perhubungan
kekeluargaan serta anggota masyarakat dapat diperteguhkan. Apa yang
lebih penting setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sosial tidak
terkecuali remaja terutama dalam kita merealisasikan 'masyarakat madani'
menjadi sebuah realiti dan bukan satu ilusi yang kosong. Ini hanya
dapat dijayakan dengan menyelamatkan golongan remaja daripada terjerumus
ke lembah yang tidak diingini.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
  
|