TAJUK : Peranana PIBG dalam institusi
pendidikan
1.0 Pendahuluan.
Pada masa ini Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) telah diwujudkan di
tiap-tiap sekolah di Malaysia. PIBG ini dianggotai oleh guru-guru,
ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak di sekolah berkenaan.
Pada kebiasaannya sekolah mengutip yuran daripada pihak penjaga sebagai
sumber menggerakkan persatuan. Mesyuarat Agung PIBG diadakan sekali
setahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasanya. Pengerusi PIBG selalunya
dilantik di kalangan ibu bapa sementara pengetua atau guru besar bertindak
sebagai penasihat dan seorang guru bertindak sebagai setiausaha.
Sambutan terhadap kegiatan PIBG adalah berbeza-beza antara sekolah.
Terdapat PIBG yang aktif dan ada yang kurang aktif. Persoalan yang
selalu dibangkitkan ialah mengapakah terdapat banyak PIBG yang tidak bergerak
cergas dalam menjayakan aktiviti-aktiviti sekolah sedangkan PIBG dapat
memberikan sumbangan-sumbangan yang besar dan menjadi tunjang terhadap
kemajuan sesebuah sekolah. Sebagai contoh PIBG dapat membantu menyelesaikan
masalah salah laku pelajar, dapat membantu dalam kerja-kerja amal dan dapat
membantu mencari sumber kewangan bagi pihak sekolah. Untuk menjawab
persoalan ini, sebagaimana peranan pengetua dalam komuniti, pemimpin sekolah
juga mempunyai tanggungjawab untuk mengaktifkan PIBG. Pengetua yang
berkesan akan melibatkan PIBG dalam usaha-usaha mencapai hasrat sekolah.
Di samping faktor kepimpinan pengetua, adalah penting bagi PIBG
mempunyai pasukan ahli jawatankuasa yang bersedia dan berminat untuk menjayakan
program-program sekolah. Kepimpinan PIBG yang berinovasi dapat merancang
pelbagai strategi untuk menentukan kejayaan sekolah. PIBG misalnya
tidak hanya melibatkan mereka yang mempunyai anak yang bersekolah untuk
aktiviti-aktivitinya. PIBG sepatutnya melibatkan juga ahli-ahli komuniti
yang bukan terdiri daripada ibubapa untuk bergiat dalam membantu program
PIBG. Terdapat ramai ahli-ahli komuniti yang terdiri daripada mereka
yang tiada anak, anak sudah tamat sekolah atau yang masih bujang yang mungkin
berminat dalam aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan. Oleh itu
terpulanglah kepada kepimpinan PIBG menjalankan fungsi dan peranan masing-masing
selaras dengan kedudukan mereka dalam persatuan.
2.0 Definasi.
Dalam banyak hal PIBG boleh menjadi tunjang kemajuan sesebuah
sekolah. Seperti yang kita sedia maklum PIBG merupakan akronim bagi
Persatuan Ibu bapa dan Guru. PIBG secara keseluruhannya telah dinyatakan
seperti di atas. Tunjang pula menurut kamus Dewan ialah akar di atas
tanah yang menopang batang pohon supaya tegak seperti yang terdapat pada
pokok bakau dan lain-lain lagi. Kemajuan berasal dari kata dasar maju yang
bermakna bergerak ke muka, mara, melangkah ke hadapan. Kemajuan bermakna
perihal maju seperti taraf hidup dan lain-lain. Sesebuah bermaksud
penjodoh bilangan untuk bilangan sesuatu benda di mana bentuk atau jenisnya
tidak tentu. Sekolah pula ialah tempat untuk belajar dan mengajar, tempat
menerima dan memberi pelajaran.
Secara keseluruhan PIBG tunjang kemajuan sesebuah sekolah bermaksud
PIBG menyokong dan membantu membina kemajuan di sesebuah sekolah agar matlamat
Falsafah Pendidikan Negara dapat direalisasikan. Usaha ini memerlukan
komitmen semua pihak bermula dari guru besar atau pengetua, ibu bapa, guru-guru,
masyarakat sekitar dan pelajar. Kita telah sedar bahawa PIBG adalah salah
satu pertubuhan di dalam sekolah yang boleh memainkan peranan besar terhadap
meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid mereka. Ahli-ahli
PIBG yang aktif boleh menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan mereka dari
semasa ke semasa demi kemajuan sekolah yang berkenaan.
Menurut Kamarudin Hj. Kachar (1989) pendidikan tidak dapat dan
tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat. Pendidikan perlu dirancang
dan dilaksanakan prosesnya dalam konteks masyarakat. Tujuannya supaya
pendidikan ada kaitan rapat dengan masyarakat. Selain daripada tujuan sedemikian,
pelajar-pelajar dapat memahami masyarakat, hidup berasaskan kepada nilai-nilai
dan unsur-unsur kebudayaan masyarakat, dan supaya ibu bapa serta orang
lain memahami dan menghayati keadaan, matlamat dan masalah institusi
pendidikan. Pelajar-pelajar datangnya daripada masyarakat.
Mereka diasuh, dididik dan dilatih oleh institusi pendidikan untuk keperluan
masyarakat. Dengan demikian memang wajar institusi pendidikan mendapat
bantuan bukan sahaja kewangan, tetapi bantuan dan asuhan moral daripada
masyarakat.
3.0 Peranan PIBG.
PIBG semestinya memegang amanah sebagai persatuan yang berjuang dan
memperjuangkan kebajikan ahlinya sekaligus mendasarkannya kepada kepentingan
pelajar dan murid. Ini bermakna PIBG terutama pemimpinnya tentulah
tidak wajar menjadikan persatuan sebagai batu loncatan untuk kepentingan
peribadi sama ada yang berkecenderungan politik, ekonomi atau kepentingan
peribadi.
Secara tidak langsung juga, Persatuan tidak wajar bergerak atau menjadi
gerakan yang bersifat politik berparti atau mempunyai kecenderungan menyokong
sebarang parti politik kerana matlamat utamanya hanyalah memperjuangkan
kebajikan ahli, serentak dengan usaha menyokong sebarang dasar pendidikan
yang menjamin dan mengutamakan kepentingan pelajar, murid, ibu bapa dan
negara seluruhnya.
3.1 Peranan Sebagai Penjaga.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam menyerlahkan
prestasi anak-anak ialah sebagai penjaga. Ibu bapa seharusnya menjadi penjaga
yang bertanggungjawab. Ini bererti segala keperluan asas seharusnya
dipenuhi mengikut kemampuan dan kesesuaian. Sebagai penjaga, ibu bapa juga
seharusnya bertanggungjawab terhadap perkembangan fizikal dan mental anak.
Ibu bapa juga perlu berperanan sebagai pengawas tingkah laku
anak. Ibu bapa perlu mengambil berat setiap tindak tanduk anak-anak
untuk menjamin masa depan mereka. Jika perkara ini tidak diberi perhatian
yang serius sejak dari awal, cita-cita ibu bapa untuk menjadikan
anaknya cemerlang mungkin hanya tinggal angan-angan sahaja. Bak kata
pepatah, ‘kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Selain daripada itu, ibu bapa juga perlu bertindak sebagai perangsang
perkembangan mental anak. Ibu bapa semestinya dapat melihat
secara keseluruhan mengenai potensi anak-anak mereka. Potensi yang
ada dalam diri anak sepatutnya diserlahkan dan dikembangkan mengikut saluran
yang betul dan diredai. Bantu anak-anak mengenali bakat yang ada
dalam diri mereka dan seterusnya memupuk bakat tersebut. Setiap bakat yang
wujud dalam diri anak perlu diasah dan disuburkan pada setiap masa dan
keadaan.
Apabila ibu bapa dapat memainkan peranannya secara positif di
rumah maka tugas guru disekolah dapat diringankan dan tidak ada berlaku
kecelaruan fikiran di kalangan anak-anak.
Pada peringkat sekolah, guru yang mengisi sebahagian daripada
komposisi PIBG seharusnya berperanan sebagai ibu bapa yang mengambil berat
setiap keperluan dan kebajikan pelajar. Oleh itu guru yang
menjadi seorang pendidik yang benar-benar ‘berwatak pendidik’dengan menyerlahkan
seluruh ciri kebudimanannya dan ‘kecikguannya’. Kita berkeyakinan
manusia suka dan selesa kepada sesiapa sahaja yang menampilkan sifat kasih
sayang dan bersikap penyayang. Justeru, sudah tentu pendidik yang
bersikap dan bersifat penyayang adalah seorang yang lemah lembut tatkala
mendidik dengan menganggap pelajar seperti anaknya.
Oleh itu, guru tentu lebih menghargai anak didiknya kerana tiada
ibu atau bapa yang gembira apabila melihat anaknya dimaki, dicerca dan
dimarah tanpa usul periksa. Seandainya tidak mahu melihat anak didera
oleh sesiapa , setiap individu tentunya bertanggungjawab dan insaf betapa
tiada haknya mereka mendera anak orang lain.
Secara tidak langsung juga ia memperlihatkan usaha merealisasikan
konsep sekolah penyayang yang dapat dihayati oleh pelajar. Apa yang
diharapkan pelajar sendiri bersyukur dan menghargai nilai peribadi dan
personaliti gurunya yang memberi kasih sayang yang amat luas dan sesuai
dalam setiap detik pengajaran dan pembelajarannya.
Secara tidak langsung, guru menyediakan dunia pengajaran yang
diwarnai dengan keseronokkan mengajar manakala pelajar menikmati dunia
penuh cerita dalam pembelajaran meraka atau keseronokkan belajar.
Pendidik seharusnya menginsafi keterbatasan upayanya kerana sifat manusianya
sendiri mesti dan wajar dimaklumi walaupun sebagai pendidik yang begitu
kuat iltizam dan idealisme mempunyai jangkaan matlamat yang berkeinginan
untuk mencapai kecemerlangan. Dengan keterbatasan ini tentu sukar
untuk mengubah perlakuan dan sikap murid dalam waktu yang singkat, malah
mungkin mengambil masa yang panjang.
3.2 Membantu menyelesaikan masalah salah laku pelajar.
Ada yang memeranjatkan, sekaligus membimbangkan,
mengenai hasil satu kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan &
Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan. Laporan kajian tersebut
menjelaskan tentang penularan gangsterisme yang semakin berleluasa di sekolah-sekolah
menengah seluruh negara sekarang. Fakta kajian menunjukkan satu pertiga
dari 1560 buah sekolah menengah kita adalah berisiko tinggi dan terdedah
kepada berbagai-bagai kegiatan kongsi gelap.
Antara kegiatan berunsur ganas yang kerap berlaku di sekolah ialah
mencuri, bergaduh, peras ugut, malah percubaan merogol. Sejak sedekad
kebelakangan ini kenakalan melampau ini sudah menjadi satu trend di kebanyakkan
sekolah. Hal ini telah sering kali dibangkitkan oleh guru-guru, juga
selalu menjadi agenda utama dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG).
Menurut Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu
Bapa Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Mohamad Ali Hassan berkata (B.H,
27 Julai 2001), dengan cabaran dunia tiada sempadan pelbagai elemen yang
baik atau buruk bebas memasuki minda golongan muda sekiranya tidak disaring
dengan teliti.
Sehubungan dengan itu, katanya,
dengan benteng kukuh yang dibina sejak kecil serta kawalan daripada
semua pihak yang berfungsi membentuk insan bistari dan gemilang, tidak
mudah bagi anak muda dipengaruhi anasir tidak sihat. Beliau berkata,
tanggungjawab itu bukan sahaja dipikul oleh ibu bapa malah anggota masyarakat
dan kerajaan untu menilai dan mengkaji kelemahan supaya dapat diperbaiki
segera.
Merujuk kepada isu Black Metal yang heboh
diperkatakan sekarang, Mohamad Ali meminta semua PIBG dan ahlinya
memberi perhatian serta mengambil tindakan sewajarnya membantu membenteras
gejala itu daripada terus merebak. Beliau mencadangkan
supaya PIBG setiap sekolah menubuhkan Majlis Pemuafakatan PIBG peringkat
daerah supaya dapat memperluaskan kegiatan mereka.
Langkah penyelesaian atau pencegahan
yang diambil terhadap ahli atau bekas kumpulan Black Metal perlu menekankan
nilai positif bukannya bertindak menghukum. Tindakan tegas seperti membuang
atau menggantung persekolahan hanya akan memberi tekanan kepada pelajar,
sedangkan pada ketika itu mereka lebih memerlukan bimbingan dan kaunseling.
3.3 Membantu pelajar miskin.
Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru Nasional (PIBGN) akan mewujudkan bank data untuk menyenaraikan
palajar daripada keluarga miskin, sekaligus memudahkan proses menyalurkan
bantuan kepada mereka. Bank data itu bertujuan memudahkan proses
khidmat kebajikan dan bantuan dihulurkan kepada belajar terbabit.
Pelajar yang tersenarai akan diberi bantuan sama ada dalam bentuk kewangan
dan perkhidmatan lain menerusi dana sumbangan ahli korporat dan agensi
kerajaan yang disalurkan kepada persatuan berkenaan. Perlaksanaan
program ini memerlukan perbelanjaan yang besar, oleh itu diharapkan lebih
ramai ahli korporat tampil untuk membantu menjayakan kegiatan sukarela
berbentuk kebajikan ini.
Setiap PIBG peringkat sekolah disarankan menyediakan
bank data sendiri dengan menyenaraikan semua pelajar miskin yang berhak
dibantu. PIBG patut menjadikan usaha membantu pelajar miskin ini
sebagai satu daripada agenda utama supaya golongan ini dapat
belajar dengan selesa sepertimana pelajar lain. PIBG juga patut membantu
pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan memastikan
mereka tersenarai menerima buku menerusi Skim Pinjaman Buku Teks
(SPBT).
Pada masa sama PIBG perlu beriktiar menganjurkan
pelbagai majlis ilmu dan seminar motivasi kecemerlangan yang membabitkan
pelajar daripada keluarga berkenaan. Penyertaan dalam program ini
akan memberi rangsangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan
persekolahan hingga berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan
merangkul segulung ijazah. Kejayaan ini sekaligus dapat membebaskan
mereka daripada kemelut kemiskinan kerana kejayaan dalam bidang pendidikan
memudahkan pelajar terbabit mencari pekerjaan.
4.0 Perbincangan
Bagi sekolah berasrama penuh,
masalah besar yang dihadapi dalam konteks PIBG biasanya tidaklah begitu
serius. Ini disebabkan ibu bapa tinggal jauh dari sekolah malahan
di luar dari negeri tempat sekolah itu terletak. Oleh sebab itu mesyuarat-mesyuarat
dan kegiatan PIBG amat sukar dirancang dan sambutannya pun tidaklah begitu
memuaskan. Tetapi walaubagaimana pun, khasnya tiap-tiap ahli Persatuan
Ibu Bapa dan Guru ataupun tiap-tiap penjaga murid-murid di sekolah menengah
seperti ini mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dengan ibu bapa
dan penjaga murid yang berada di sekolah harian.
Kita sebetulnya harus realistik dalam hal ini kerana kita tidak
mengharapkan supaya ibu bapa menjadi pengajar mata pelajaran
akademik kepada anak-anak mereka di rumah. Ini bukanlah zaman dahulu
lagi iaitu pelajaran-pelajaran biasa dapat ditunjuk ajar oleh ibu bapa
di rumah. Oleh kerana kebanyakkan mata pelajaran sekarang adalah
lebih sofistikated iaitu terlalu moden, hatta kepada ibu bapa yang bekerja
sebagai guru sekalipun. Oleh itu terpaksalah kita semua menerima
hakikat kita tidak dapat menjadi “guru kedua” di rumah. Malahan ada
buruknya jika kita cuba mengajar anak-anak kita di rumah kerana umpamanya
kaedah Matematik Moden adalah berbeza dengan kaedah “kira-kira” yang kita
gunakan dahulu. Jika kita cuba mengajar juga, ini akan menimbulkan
kekecohan kepada pemikiran anak-anak. Oleh itu tegasnya, tidak diharap
ibu bapa mesti mengajar anak-anak dirumah. Apa yang diharapkan hanya
supaya ibu bapa akan memberi dorongan, suasana atau iklim yang baik
untuk pembelajaran di rumah.
Iklim ini tidak semestinya boleh menjelma
di rumah keluarga yang kaya atau orang-orang yang berada sahaja. Pengajaran
dan dorongan dapat juga diberi oleh ibu bapa yang sederhana atau miskin.
Umpamanya kita sedia maklum bahawa anak-anak melayu khasnya sangat senang
putus asa, walau pun angan-angan mereka dan cita-cita mereka selalunya
tinggi kadang-kadang “ala Mat Jenin”. Oleh itu kajian yang dibuat
dalam bidang pelajaran menyatakan dan mentafsirkan cita-cita yang tinggi
itu sebagai “motivasi”yang kuat. Tetapi itu tidak benar. Memang
benar budak-budak Melayu mempunyai cita-cita yang menggunung tinggi tetapi
tidak selalu disokong oleh hasrat bekerja keras dan kegigihan semangat
yang besar untuk memenuhi cita-cita itu.
Ibu bapa seharusnya boleh memainkan pelbagai peranan dalam membentuk
disiplin dan peribadi anak-anak. Kecuaian ibu bapa untuk memahami
peranannya yang sebenar menjadikan anak-anak hilang panduan dan keliru
dalam menjalani hidup yang penuh cabaran ini. Sekiranya peranan yang
sepatutnya dimainkan oleh ibu bapa ini diabaikan maka jangan salahkan anak-anak
apabila mereka memilih orang lain untuk dicontohi.
5.0 Penutup
Persekitaran sosial mencabar guru dan institusi pendidikan dalam melahirkan
insan yang bukan saja seimbang keperibadiannya tetapi juga menjadi teras
dan aset kepada negara. Pelajar dididik supaya berpakaian sopan dan
tidak menjolok mata, tetapi keperibadian pelakon yang dipaparkan dalam
drama bersiri Barat, berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata.
Ini tidak termasuk lagi adegan ganas, tahyul dan seks. Sesetengah
perlakuan pelakon dan penghibur idola sama ada dalam atau luar negara menjadi
ikutan pelajar. Justeru itu sokongan moral dan kerjasama daripada
ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memainkan peranan
untuk membangunkan generasi yang lebih gagah dan berdaya tahan.
Kesimpulannya kita memerlukan PIBG yang mantap
organisasinya, sekaligus mempunyai pelan tindakan dan perancangan jangka
panjang yang memungkinkannya berfungsi secara aktif dan betul serta tepat
kepada sasarannya. PIBG memerlukan kehadiran pemimpin dan pengikut
berwibawa serentak. Dengan adanya pemimpin dan pengikut sedemikian,
pelbagai perancangan dan tindakan yang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan
yang diinginkan. PIBG seperti inilah yang boleh menjadi tunjang kemajuan
sesebuah sekolah.
Rujukan.
Abd. Jalil Ali (2000). Sulitnya menangani gejala gangsterisme di sekolah.
Dewan
Masyarakat. Mei . Kuala Lumpur: Dewan Masyarakat.
ms.66.
Amir Hasan Dawi(2002).Penteorian sosiologi dan pendidikan. Edisi Kedua.
Tanjung Malim:Quantum Books.
Kamarudin Hj Kachar(1989). Kepimpinan profesional dalam pendidikan.
Kuala
Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.
Kamus Dewan (1991). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mok Soon Sang (1995). Asas pendidikan 1 , pendidikan sebagai suatu proses.
Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Omar Mohd. Hashim (1993). Pendidikan: persoalan, penyelesaian dan harapan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zawawi Yahya(2000).PIBG tonggak masa depan pelajar.Berita Harian. 3
Mei.
Zawawi Yahya(2000).PIBG pelengkap usaha kerajaan.Berita Harian. 4 Mei.
AgamaPendidikanHiburanAkhbar
& Majalah
KomputerPoskadWallpaper Malaysia
Laman Utama
|