TAJUK :
PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION. BINCANGKAN.
1. Pengenalan
Sesungguhnya para pendidik hari ini telah memainkan
peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan
perpaduan kaum.Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah
mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan
negara.
Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan
pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab,
kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kaca mata Islam
merupakan murabbi,muallim, muaddib, alim atau ulamak. Mereka berfungsi
bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat
serta tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah.Perpaduan
kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti
saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.
Sejarah tidak pernah menipu manusia dan sejarah
telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting
dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.Masyarakat
ketika itu menjadikan guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal.
Kalau dulu guru terpaksa berhadapan dengan pihak penjajah secara terang-terangan,
kini, jajahannya diterjemahkan dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih
mencabar lagi kerana ia melibatkan jajahan pemikiran, budaya dan jati diri
yang perlu dihadapi secara professional dan kreatif.
Kedudukan perguruan sebagai satu profesion di
dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan turut juga dipenuhi dengan cabaran-cabaran.
Para pendidik telah memperkatakan mengenai profesion perguruan dari masa
ke semasa. Sebelum merdeka lagi sudah ada perbincangan mengenai perkara
ini iaitu sebelum Universiti Malaya hendak ditubuhkan di Singapura (1949)
terdapat satu symposium mengenai ‘Pendidikan Universiti dan Laporan Carr-Saunders’.
Di dalam symposium tersebut perbincangan mengenai peranan universiti dan
kedudukan profesion perguruan turut diadakan ( Lim Tay Boh 1948). Di antara
perkara pokok yang dibangkitkan ialah keperluan guru-guru sekolah menengah
untuk mendapat pendidikan tinggi supaya murid-murid yang bakal dididik
nanti akan mempunyai mutu pendidikan yang baik. Pendidikan guru yang tinggi
dan usaha melahirkan generasi muda yang baik merupakan cabaran yang kuat
di dalam profesion perguruan bukan pada zaman dahulu sahaja tetapi juga
masa kini.
2. Konsep Profesion dan nilaitaranya
Sesuatu profesion yang sebenar adalah sesuatu
bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan kemahiran intelek,
latihan iktisas yang mencukupi, khidmat yang diperlui masyarakat, menikmati
otonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai
tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri
untuk menguruskan soal-soal yang berkaitan dengan pendidikan
(Lieberman 1956).
Menurut Kamus Dewan ‘profesion’ ialah suatu bidang
pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran
yang tinggi dan latihan yang khas.( contohnya : perundangan, perubatan,
perguruan dan lain-lain.)
Berdasarkan ciri-ciri profesion, Mok Soon Sang
( 1996 ) merumuskan secara ringkas konsep profesionalisme sebagai :
Suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh
orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup bermutu,
bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai
outonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya.
Di negara kita perguruan ini lebih mirip kepada
pekerjaan (vocation) daripada profesion ( Awang Had Salleh 1980 ).
Nilaitara-nilaitara sesuatu profesion merupakan
peraturan yang ditetapkan oleh organisasi supaya setiap ahli profesional
akan mematuhinya, demi mengawal kualiti dan nilaitara perkhidmatan tersebut
.Nilaitara ini menjadi garis panduan dalam usaha memastikan tingkahlaku
dipatuhi oleh setiap ahlinya.
3. Aspek Keguruan Dianggap Sebagai Satu
Profesion
3.1 Pengetahuan atau kemahiran yang diperolehi
melaluai pembelajaran teori dan latihan amali dalam sesuatu tempoh masa
yang panjang.
Sebelum seseorang itu menjadi guru, dia perlu
menerima latihan dalam perguruan untuk menjadi seorang guru yang bertauliah.
Umpananya, seorang guru mesti mempunyai Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan
yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebelum dia boleh mengajar di sekolah
kerajaan. Walaubagaimanapun, samada seseorang guru itu menerima latihan
perguruan atau tidak, dia mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang
mata pelajaran yang hendak diajarnya.Guru juga mesti mengetahuai keadah
atau cara penyampaian dalam pengajarannya supaya murid-murid dapat memahami
apa yang disampaikan olehnya.
Di samping itu, guru haruslah mempunyai sahsiah
yang baik dan dapat dihormati serta dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah
tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, bermurah hati dan sentiasa
bersifat tenang. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah
hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang guru menguruskan pengajarannya
dengan berkesan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian
dan sifat psiklogi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran.
Selain tugas dalam bilik darjah, guru juga mempunyai
peranan-peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya guru diharapkan
menjadi pengganti ibubapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukkan
sahsiah murid, menjadi kaunselor kepada murid-murid, menjadi pengamal dan
penyebar nilai kebudayaan yang elok dan seterusnya menjadi contoh sahsiah
yang baik kepada masyarakat.
3.2 Mempertingkatkan Profesionalisme
Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab,
guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu
adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajuai negara ini. Oleh itu
kemahiran dan pengetahuan mengenai method-method pendidikan harus diperkemaskan
dari semasa ke semasa . Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan
kurikulum berkenaan, guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik.
Sehubungan dengan kehendak tersebut guru
harus mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian
Pendidikan , Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya
para guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan
Profesionalisme Keguruan.Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting
bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam
profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan
keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion
keguruan diharapakan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang
berasaskan ilmu dan pemikiran( Rohani Abdul Hamid,1998)
3.3 Berupaya Membuat Keputusan dan Menyelesaikan
Masalah Serta Berfikiran Kritis dan Kreatif
Profesion keguruan sememangnya bidang kerjaya
yang bukan sahaja mengajar atau mendidik anak bangsa, malah lebih daripada
itu. Individu yang terlibat dalam profesion keguruan sebenarnya akan terlibat
sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal
dan sebagainya.Sebagai pentadbir ataupun pengurus, guru harus boleh membuat
sesuatu keputusan dalam melaksanakan sesuatu tindakan dan menilai semula
hasil sesuatu perkara yang dijalankan.Perubahan-perubahan dalam kurikulum
pendidikan juga memerlukan guru untuk menguasai kemahiran berfikir secara
kritis dan kreatif. Pendekatan ini bukan sahaja perlu digunakan oleh guru
dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah,tetapi jika perlu
keadah berfikir secara kritis dan kreatif boleh diaplikasikan dalam pentadbiran,mengurus
ataupun dalam perancangan sesuatu program.
3.4 Mahir Menggunakan IT
Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan
mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman
teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi dunia
telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal
betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran
melalui ‘online’. Para guru pada hari ini telah bersikap produktif, proaktif
dan responsive terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak
mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju. Ilmu dan
kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan
sebagai pemankin kearah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti.Sebagai
pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk
menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan
ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui
keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut.
Hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju
pada tahun 2020, menyebabkan pembangunan negara bergerak dengan rancak.
Pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk membangunkan teknologi maklumat
seperti koridor raya multimedia [ multimedia super corridor (MSC)] yang
menjadi pusat telekomunikasi dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Hal
yang sama juga berlaku dalam kurikulum pendidikan di negara ini,
komputer telah dijadikan sebagai satu kurikulum di sekolah. Penubuhan sekolah
bestari yang berteraskan penggunaan komputer merupakan salah satu bentuk
kurikulum yang memerlukan profesion keguruan tahu dan menguasai teknologi
maklumat. Penggunaan komputer dalam pendidikan membawa satu reformasi serta
perkembangan baru dalam pelbagai bidang pendidikan, khasnya dalam teknologi
pendidikan, teori pendidikan, teori-teori pengajaran-pembelajaran, pengurusan
sekolah, sistem pentadbiran pendidikan serta kemahiran dan latihan guru
( Mok Soon Sang, 1996).
Dalam era teknologi maklumat seperti sekarang,
kita berhadapan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian,
malah kemudahan teknologi telah menjadi satu cara hidup seperti penggunaan
pengangkutan berasaskan teknologi (LRT), perkhidmatan bank ( kad
ATM), telekomunikasi (telefon bimbit), hiburan ( Video, VCD) dan lain-lain.
Jadi rakyat negara ini harus dapat menangani kehidupan di era teknologi
maklumat sehingga teknologi itu menjadi sebahagian daripada amalan biasa
tanpa disedari. Oleh itu, profesion keguruan harus memperlengkapkan diri
secara global dalam perkembangan penggunaan teknologi maklumat dalam
kurikulum di sekolah.
3.5 Berpengetahuan dan Berdaya Fikir
Serta Berakhlak
Seseorang guru dalam profesion keguruan
ini perlu serba tahu. Guru diharapakan dapat mambawa isu-isu semasa untuk
perbincangan dan mencari penyelesaiannya bersama-sama pelajar di dalam
kelas. Contohnya, di Malaysia kadar kemalangan jalan raya adalah tinggi,
pendidikan memandu kereta adalah satu perkara yang dipandang serius oleh
kerajaan pada masa ini. Keselamatn di jalan raya dan cara-cara memandu
yang selamat dan bertimbang rasa boleh dibincangkan di dalam kelas untuk
menyedarkan pelajar tentang keperluan memperbaiki situasi yang terdapat
sekarang, dengan harapan mereka tidak akan berkelakuan sedemikian apabila
mereka menjadi pemandu kelak.
Melaluai pembacaan guru dapat menambah
ilmu pengatahuan mengenai isu-isu semasa, sama ada yang berkaitan
dengan kekeluargaan dan komuniti, janayah : seperti peras ugut, pecah rumah,
penculikan dan seumpamanya ; ekonomi : urusan perniagaan, jual-beli saham,
hartanah dan sebagainya ; politik : hubungan negara di peringkat antarabangsa
dan juga pergolakan politik sesebuah negara. Dalam hal seperti ini, guru
diharapkan dapat menggunakan kebijaksanaan dan inisiatif sendiri dalam
menggunakan isu-isu semasa untuk dikaji dan dibincangkan dengan pelajar.
Dalam perubahan-perubahan sistem pendidikan
yang semakin mencabar ini, profesion keguruan juga perlu menyediakan diri
dengan amalan nilai dan akhlak yang terpuji.
Dalam kurikulum pendidikan peringkat rendah
dan menengah telah ditegaskan nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam
pengajaran. Pelaksanaan penerapan nilai penting untuk menyediakan para
pelajar menjadi warga yang berguna kepada negara pada masa hadapan. Hal
yang sama juga perlu dihayati oleh guru. Enam belas nilai murni yang disarankan
dalam kurikulum pendidikan perlu dimiliki oleh guru terlebih dahulu.
4. Penutup
Sistem pendidikan di negara ini akan sentiasa
bergerak maju ke hadapan. Perubahan-perubahan yang dilakukan dalam kurikulum
pendidikan adalah untuk memenuhi kehendak negara merealisasikan sebuah
negara maju pada masa hadapan. Setiap perubahan-perubahan dalam kurikulum
pendidikan yang diperkenalkan menjadi satu bentuk cabaran dalam profesion
keguruan. Oleh itu adalah mustahak bagi individu yang berkecimpung dalam
bidang ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan, kebolehan prestasi
dari semasa ke semasa. Jika hal ini wujud, barulah tuntutan-tuntutan dalam
perubahan kurikulum itu dapat ditangani.
Namun kini sejauh mana kita mengiktiraf
dan memartabatkan perguruan sebagai satu profesion adalah bergantung kepada
anggapan masyarakat, ini kerana masih ada lagi yang menganggap profesion
perguruan sebagai kelas kedua.Adakah peranan guru semakin hilang taringnya
kerana masyarakat telah mengalih pandangan kepada kerjaya yang diiktiraf
sebagai professional oleh pihak kerajaan seperti doktor, peguam dan arkitek?
Dalam konteks ini pihak kerajaan perlu
bersungguh-sungguh dalam menjadikan profesion perguruan sebagai profesion
yang unggul dan disegani ramai. Menurut Dr. Muhamad Hasan Abdul Rahman
iaitu Timbalan Dekan Pelajar dan Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau menegaskan dalam usaha untuk memartabatkan
profesion perguruan selain daripada peranan pihak Kementerian Pendidikan,
Persatuan Perguruan dan masyarakat, para guru sebenarnya mempunyai tanggungjawab
yang besar dalam meningkatkan aspek keprofesionalannya dengan melengkapkan
diri dengan pelbagai jenis ilmu dan kemahiran yang tinggi.
Rujukan
Amir Hasan Dawi, 2002. Penteorian sosiologi dan
pendidikan. Tanjung Malim : Quantum Books.
Ee Ah Meng, 1994. Perkembangan dan pelaksanaan
kurikulum. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.
Awang Had Salleh, 1980. “ Keguruan dan perguruan
di Malaysia: keperihalan kini dan arah yang dituju”. KONPEN V, Johor Bharu
6-8 Disember.
Mok Soon Sang, 1996. Pendidikan di Malaysia. Kuala
Lumpur : Kumpulan Budiman.
Sufean Hussin, 1993. Pendidikan di Malaysia :
sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
 
|