TAJUK :.Bincangkan langkah-langkah
asas dalam membuat penyelidikan sosiologi.
1.0 Pengenalan
Setiap orang sarjana mentakrifkan istilah ‘penyelidikan’ mengikut pengertiannya
tersendiri. Misalnya, ‘tatacara yang teratur yang digunakan oleh manusia
untuk menambahkan ilmu pengetahuan baru, dan berbeza sekali dengan penemuan
ilmu secara kebetulan atau spontan. Penyelidikan dilakukan mengikut langkah-langkah
tertentu yang diatur khas untuk mengeluarkan maklumat baru’.
(Ahmad Mahzan Ayob, 1983)
‘Penyelidikan bertujuan mendapatkan kebenaran yang mempunyai logik
mengenai sesuatu fenomena, tetapi ia tidak bererti bahawa kebenaran yang
didapati itu merupakan kebenaran yang muktamad mengenai fenomena itu. Fakta-fakta
baru atau fakta-fakta yang tidak didapati semasa penyelidikan dijalankan
mungkin akan timbul dan ini akan mengubah keputusan penyelidikan dan dengan
itu pengetahuan akan sentiasa berubah’.
(Mohd. Sheffie Abu Bakar, 1987)
‘…usaha mencari data yang akan dipergunakan untuk menguji sesuatu hipotesis,
untuk memecahkan sesuatu persoalan tertentu, atau hanya sekadar ingin mengetahui
samada wujudnya ataupun tidak sesuatu persoalan itu’.
(J. Supranto, 1986)
‘In carrying out research the purpose is to try to make some claim to
knowledge; to try to show something that was not known before. However
small, however modest the hoped for claim to knowledge is, provided it
is carried out systematically, critically and self-critically, the search
for knowledge is research’.
(Bassey, 1990)
‘Dari segi sejarah perkembangan penyelidikan, jelas membuktikan
kajiselidik adalah satu langkah sistematik yang mengkaji perhubungan di
antara pembolehubah. Langkah sistematik ini merupakan elemen yang terpenting
didalam konsep asas penyelidikan. Seseorang mungkin melakukan sesuatu kajian
ataupun pemerhatian, tetapi tindakan tersebut tidak akan membawa sebarang
makna yang berkesan sekiranya proses langkah sistematik diabaikan’.
(Dr. Asaruddin Hj Ashaari, 1989)
Penyelidikan ialah satu kaedah yang tersusun, sistematik atau teratur
dan bersifat objektif, bukan subjektif dan bebas dari pertimbangan nilai.
Dengan lain perkataan, penyelidikan yang bersandarkan kepada pertimbangan
fakta dan logik pemikiran manusia. Logik pemikiran manusia tentulah berdasarkan
apa yang ditanggap oleh pancaindera manusia.
‘Pada amnya, kita dapat merumuskan penyelidikan sebagai satu tatacara
teratur yang hasilnya membolehkan penambahan ilmu pengetahuan. Penyelidikan
dilakukan mengikut langkah-langkah tertentu, khas bagi mendapatkan maklumat
serta menjawab persoalan yang dibangkitkan.
(Syed Arabi Idid,1993)
2.0 Langkah-langkah Penyelidikan
2.1 Penyataan Masalah
Setiap kajian dimulakan dengan mengenalpasti masalah. Permasalahan
merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada perkara kajian yang
kita akan lakukan. Kehidupan sosial memang dipenuhi oleh berbagai-bagai
perkara yang boleh dijadikan topik kajian. Dalam bidang pendidikan umpamanya,
guru-guru berhadapan dengan bermacam-macam permasalahan yang melibatkan
murid-murid.
Penyelidik misalannya boleh mengemukakan kajian untuk mengetahui
punca-punca masalah pembelajaran murid, meninjau pandangan murid mengenai
kemudahan-kemudahan di sekolah, membandingkan pencapaian berasaskan latarbelakang
keluarga murid-murid, melihat persepsi hubungan murid-murid dan sebagainya.
Sebagai seorang yang berminat dalam sosiologi, kita akan melihat sesuatu
masalah berdasarkan pemikiran yang sosiologikal. Contohnya dalam konteks
modenisasi, kita melihat pelbagai bentuk pengaruh pemodenan telah mengubah
murid-murid dari pemikiran dan tingkah laku. Antara perubahan-perubahan
adalah seperti cara berpakaian, cara bertutur, cara berhubung, cara datang
ke sekolah dan sebagainya. Dalam melaksanakan kajian, kita tidak dapat
mengkaji dan menyelesaikan banyak masalah dalam satu penyelidikan.Oleh
itu adalah kebiasaan setiap penyelidikan memfokuskan kajian kepada suatu
penyataan masalah yang khusus.
Sebagai satu contoh penyelidikan mengenai kesan pemodenan ialah mengenai
sekularisme. Penyelidikan mungkin ingin melihat bagaimana sekularisasi
telah mengubah fikiran dan gaya hidup masyarakat Malaysia. Untuk melakukan
penyelidikan di seluruh negara adalah sukar. Jadi kita mengecilkan skop
kajian ke sebuah sekolah.
Di sekolah pula, untuk mengkaji kesan sekularisasi terhadap seluruh
komuniti barangkali akan menghadapi masalah pengumpulan data. Justeru kita
akan mengecilkan lagi skop kajian di kalangan murid-murid. Bilangan murid
yang terlalu ramai pula menghadapi rintangan komunikasi dan kekangan masa.
Jadi sebagai seorang yang baru hendak mula menyelidik kita akan menumpukan
perhatian kepada murid-murid dalam satu bilik darjah sahaja. Dari segi
perincian kajian kita perlu pula menetapkan aspek sekularisasi yang bagaimanakah
perlu diketengahkan. Adakah kita melihat dari segi perubahan fizikal ataupun
pemikiran. Misalnya, jika kita melihat kesan terhadap pandangan agama,
kita mungkin akan mengemukakan masalah sejauh mana sekularisasi telah melemahkan
amalan keagamaan murid-murid. Penyataan masalah boleh jadi masih lagi kabur
kerana pada peringkat ini kita mungkin melihat wujud sekularisme tetapi
belum mengenalpasti apakah sebenarnya sekularisme itu. Ringkasnya permasalahan
yang dipilih perlu ditakrifkan. Oleh itu kita perlu membuat tinjauan melalui
bahan-bahan bacaan yang berkaitan sekularisme.
2.2 Membuat Rujukan Bahan
Pengetahuan asas berkenaan perkara yang dikaji perlu sebelum melaksanakan
kajian. Penyataan masalah tidak sempurna, tidak lengkap dan kabur tanpa
membuat rujukan. Rujukan bahan atau sorotan literatur merupakan aktiviti-aktiviti
mencari maklumat berkaitan perkara yang dikaji berdasarkan bahan-bahan
sedia ada. Rujukan bahan boleh didapati daripada tulisan-tulisan, gambar-gambar,
filem-filem, dan lain-lain bahan yang berkenaan. Sekiranya kajian kita
mengenai sekularisme, kita mesti benar-benar faham sekularisasi. Untuk
itu kita perlu ke perpustakaan mencari bahan-bahan mengenainya. Kemudian
kita akan mencari hasil-hasil kajian atau tulisan-tulisan yang sedia ada
mengenai kesan sekularisasi terhadap masyarakat. Berdasarkan rujukan, pemahaman
kita dalam menyatakan permasalahan kajian akan menjadi lengkap dan dapat
dipertahankan. Seterusnya rujukan awal akan membantu kita untuk merangka
hipotesis.
2.3 Mengemukakan Hipotesis
Hipotesis merupakan andaian-andaian penyelidik terhadap hasil penyelidikannya.
Andaian itulah yang akan dibuktikan oleh penyelidikan yang bakal dijalankan.
Untuk menghasilkan suatu hipotesis yang baik ia perlulah mempunyai sifat-sifat
seperti berfokus, jelas, logik, difahami dan dapat diuji. Dalam contoh
sekularisasi, selepas mengadakan rujukan, penyelidik mungkin memahami sekularisasi
sebagai proses di mana agama kehilangan pengaruh terhadap pelbagai situasi
kehidupan sosial. Sekularisasi akan menyebabkan keruntuhan pengaruh-pengaruh
organisasi dan nilai-nilai agama kepada idea-idea sains dan ilmu-ilmu pengetahuan
duniawi yang dianggap moden. Oleh itu, berdasarkan pemodenan di negara
kita, hipotesis penyelidikan mungkin mengandaikan bahawa sekularisasi telah
berlaku di kalangan murid-murid sekolah. Perkara itulah yang akan dibuktikan
oleh penyelidik melaui kajian yang dilaksanakannya.
2.4 Menentukan Kaedah
Kaedah merupakan cara atau jalan menyelesaikan permasalahan penyelidikan.
‘Kaedah penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai
segala objektif penyelidikan’(Ahmad Mahdzan Ayob 1995:44). Selepas menetapkan
masalah yang hendak dikaji, barulah difikirkan kaedah penyelidikan yang
sesuai digunakan. Adalah salah sekiranya kita menentukan kadah sebelum
ada persoalan.
Secara umum kaedah utama penyelidikan untuk mendapatkan data terbahagi
kepada dua, iaitu dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan pendekatan
kualitatif. Kita boleh memilih salah satu pendekatan ataupun menggabungkan
kedua-duanya. Dihubungkan dengan teori-teori sosiologi, teori yang berbentuk
makro selalu akan menggunakan pendekatan kuantitatif sementara yang berbentuk
mikro kebiasaannya menggunakan pendekatan kualitatif.
Terdapat perbezaan antara penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan
kualitatif . Pendekatan kuantitatif mengutamakan ‘kuantiti’. Penyelidikan
kuantitatif melibatkan angka-angka, data-data numerikal atau statistik.
Statistik melibatkan pengiraan-pengiraan seperti min, median, mod, peratusan,
sisihan piawai, skor-Z, skor-T, varian, dan sebagainya. Pendekatan kuantitatif
dikatakan lebih berstruktur , mempunyai darjah kekaburan yang minima, makna
yang jelas, bercorak linear, mempunyai penjadualan yang jelas, dan menumpukan
kepada hasil. Dari segi skop kajian ia boleh melibatkan responden yang
besar. Pendekatan kualitatif pula berasaskan ‘kualiti’. Ianya bersifat
deskriptif yang lebih kepada penghuraian ‘makna’ perkara-perkara yang dikaji.
Ia tidak mengutamakan data-data berbentuk numerikal. Ia kurang berstruktur,
terbuka dan lebih menumpukan kepada proses. Skop kajiannya pula meliputi
bilangan responden yang kecil .
Sungguhpun terdapat perbezaan-perbezaan kualitatif dan kuantitatif,
kedua-duanya merupakan kaedah penyelidikan yang empirikal. Semua penyelidikan
empirikal mempunyai persamaan-persamaan asas seperti mempunyai matlamat,
sistematik dalam prosedur, membuat perbandingan, membuat deskripsi, menguji
hipotesis, membuat penjelasan sebab dan akibat dan membuat analisa kritikal.
Kita boleh memilih salah satu daripada pendekatan terutamanya berdasarkan
masalah dan keluasan skop kajian yang akan kita laksanakan.
Sekiranya kajian kita melibatkan jumlah responden yang besar misalannya
melebihi empat puluh orang, pendekatan kuantitatif lebih sesuai. Sekiranya
kita cuma memilih bilangan responden yang kecil, misalnya lima orang, maka
pendekatan kualitatif dipilih.
Dalam kajian ‘sekularisasi’, sekiranya kita ingin menyelidik seluruh
komuniti sekolah, kita mungkin akan menggunakan kuantitatif kerana sampel
yang besar diperlukan. Sekiranya kajian hanya melibatkan sebilangan kecil
murid dalam sebuah bilik darjah yang mempunyai tiga puluh orang murid,
kita mungkin lebih sesuai memilih pendekatan kualitatif. Kita juga boleh
menggunakan kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam satu
kajian yang sama. Kita harus ingat bahawa isu utama yang menjadi asas kepada
kaedah penyelidikan adalah permasalahan, bukan kaedah menentukan penyelidikan.
Dengan kata lain setiap penyelidikan bermula dengan masalah, bukan metodologi.
Setelah ada permasalahan barulah data-data dicari melalui metodologi-metodologi
dan strategi pilihan sesuai.
2.5 Menentukan Strategi dan Teknik
Maklumat dapat diperolehi daripada berbagai-bagai sumber. Strategi
dan teknik merupakan cara-cara yang kita gunakan untuk mengumpul data-data
atau maklumat dalam penyelidikan. Menurut Robson (1993) ‘strategi merujuk
kepada gaya atau orientasi umum untuk menyelesaikan masalah penyelidikan’.
Strategi yang dianggap tradisional ialah seperti eksperimen, tinjauan (survey)
dan kajian kes. Tujuan kajian akan membantu menentukan strategi kajian.
Teknik atau taktik pula merujuk kepada kaedah khusus dalam rekabentuk kajian.
Contohnya seperti temubual, soal selidik, partisipasi, dan sebagainya.
Setiap strategi dan teknik masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya.
Penyelidikan boleh memilih strategi dan teknik tertentu ataupun menggabungkannya.
Apa yang penting ialah strategi dan teknik yang dipilih mempunyai ciri-ciri
kredibiliti, keobjektifan, kebolehanpercayaan, keesahan dan kebolehan untuk
generalisasi.
Penyelidikan yang empirikal akan memilih strategi dan teknik yang sesuai
dan betul dalam mengumpul data. Secara amnya terdapat dua kategori data
iaitu data primer dan data sekunder. Data primer merupakan data-data yang
diperolehi secara langsung daripada ‘kejadian’ sosial sebenar. Antara teknik
yang selalu digunakan untuk mendapatkan data primer adalh seperti soal
selidik, temubual, dan partisipasi. Data sekunder pula merupakan maklumat-maklumat
daripada bahan sedia ada dan boleh diperolehi melalui rujukan perpustakaan.
Ia melibatkan kajian-kajian teks, dokumen, kertas kerja, mikro filem, media
massa, dan sebagainya. Dalam contoh mengkaji kesan sekularisasi, data-data
yang diperolehi hasil temubual dengan murid tersebut sebagai data primer.
Data-data yang kita perolehi melalui bacaan di perpustakaan pula dianggap
sebagai data sekunder.
Sungguhpun setiap penyelidikan akan menentukan teknik masing-masing,
secara umumnya boleh dibezakan antara teknik yang dipilih oleh penyelidikan
kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Teknik yang biasa dipilih oleh
penyelidikan kualitatif ialah pemerhatian, temubual, soal selidik, kajian-kajian
bahan seperti dokumen dan teks, visual seperti gambar dan video, laporan
rasmi, bahan-bahan ephemera seperti iklan, poster, risalah, diari, karton,
dan lain-lain. Bagi penyelidikan kuantitatif strategi asas ialah soal selidik,
menganalisa maklumat-maklumat data-data numerikal yang sedia ada dan melakukan
eksperimen statistik.
Dalam contoh kajian kesan sekularisasi, sekiranya kita mempunyai
sampel yang besar, kita boleh memilih strategi menggunakan borang soal
selidik yang diedarkan kepada responden. Sekiranya sampel yang dipilih
cuma lima orang, kita boleh memilih strategi temubual. Kajian rintis atau
praujian perlu dilakukan untuk melihat sejauh manakah strategi dan teknik
yang telah dipilih sesuai dan mampu dilaksanakan. Sebagai contoh, jika
kita menggunakan borang soal selidik, ianya perlu dicuba terlebih dahulu.
Borang-borang diedarkan kepada responden terpilih. Hasilnya akan dikaji
dan dimana perlu pengubahsuaian dilakukan terhadap kandungan borang soal
selidik sebelum ianya diedarkan untuk penyelidikan sebenar.
2.6 Menjadualkan Kerja
Sesuatu penyelidikan perlulah dirancang dengan teliti. Perancangan
atau pelan tindakan akan membantu seseorang penyelidik dalam mendapatkan
maklumat dan memudahkan kerja-kerjanya. Perancangan hendaklah bersesuaian
dengan skop kajian, kaedah yang dipilih, kemudahan-kemudahan fizikal dan
situasi si pengkaji. Dari segi skop, skop yang luas memerlukan masa yang
mungkin lebih panjang.
Kaedah kuantitatif memerlukan masa untuk menyediakan soal selidik,
melakukan kajian rintis, mengedarkan borang dan menganalisa data-data numerikal.
Bagi kaedah kualitatif masa yang panjang mungkin diperlukan mengaturkan
temujanji, mengadakan perjumpaan dan menganalisa data-data selepas temubual.
Kemungkinan pula seorang penyelidik sepenuh masa akan menjadualkan masa
yang lebih singkat berbanding dengan penyelidik sambilan dalam meyempurnakan
kerja-kerja penyelidikan yang serupa. Dari segi kemudahan fizikal penyelidik
patut mengambil kira keperluan-keperluan logistik dan anggaran perbelanjaan.
Oleh itu jadual kerja perlulah diselaraskan dengan peruntukan kewangan.
Sungguhpun sebahagian proses penyelidikan boleh dilakukan di dalam
perpustakaan, menyelidik merupakan aktiviti turun ke padang. Maksudnya
seorang ahli sosiologi sepatutnyalah melihat dan mengkaji kejadian sebenar
dalam kehidupan sosial. Oleh itu penyelidikan sosial yang signifikan adalah
berdasarkan data-data hasil daripada kerja lapangan seperti temubual, pemerhatian,
penyertaan, dan soal selidik. Beberapa masalah mungkin dihadapi dalam melaksanakan
kerja lapangan.Antaranya pelbagai isu etika perlu diselesaikan.
Pertamanya kita perlu mendapatkan kebenaran daripada autiroti
berkenaan. Jika kita hendak membuat kerja lapangan di sekolah misalnya,
kebenaran pengetua terlebih dahulu diperlukan. Keduanya penyelidikan melibatkan
sensitiviti banyak pihak. Terdapat penyelidikan yang mungkin menyinggung
perasaan pihak tertentu. Kajian mengenai persoalan sekularisme atau seks
misalnya, dianggap sensitif oleh banyak pihak. Oleh itu pengkaji perlulah
berhati-hati dalam menanganinya. Ketiganya penyelidik mesti menyedari akan
hak responden. Responden tidak boleh dipaksa untuk diselidik. Segala jawapan
mereka mestilah secara sukarela. Keempatnya, penyelidik sepatutnya tidak
bersikap berat sebelah atau bias dalam kajiannya. Penyelidikan yang bersifat
etnosentrik mungkin akan menjejaskan keobjektivitian kajian. Ringkasnya
penyelidikan melibatkan persoalan etika, isu-isu sensitif dan politik yang
tidak dapat dielakkan oleh penyelidik. Maka terpulanglah kepada si penyelidik
untuk mendapatkan maklumat yang beretika, benar dan tepat.
2.7 Menganalisa dan Menginterpretasi Data
Menginterpretasi data merupakan perkara penting yang menarik minat
penyelidik. Penganalisaan perlu dilakukan dengan teliti. Data-data akan
membuktikan atau menafikan hipotesis penyelidikan. Bagi penyelidikan kuantitatif,
data-data perlu diproses dengan pengiraan yang berhati-hati supaya tidak
berlaku kesalahan statistik. Sekarang penganalisaan data adalah lebih mudah
dengan bantuan program komputer. Dalam menganalisa statistik, kita harus
akur dengan kenyataan ‘statistik tidak selalunya benar-benar membuat kenyataan
yang tepat, ia hanya mencadangkan kenyataan yang betul, iaitu ada kemungkinan
betul dan ada kemungkinan tidak betul’.Maklumat-maklumat hasil penyelidikan
kualitatif pula perlu dicatatkan semasa atau sebaik sahaja kerja lapangan
dijalankan. Ini terutamanya untuk mengelakkan penyelidik misalnya
‘terlupa’ akan maklumat-maklumat yang baru diperolehinya. Penganalisaan
dapat dibantu dengan penggunaan carta, jadual, graf, rajah, transkrip,
dan sebagainya.
2.8 Melaporkan Hasilan
Melaporkan hasil bermaksud menukarkan penyelidikan yang telah dijalankan
kepada bentuk susunan teks bertulis. Ia merupakan peringkat akhir sesuatu
penyelidikan. Penulisan laporan selalunya dibahagikan kepada beberapa tajuk
kecil iaitu pengenalan dan latar belakang kajian, hipotesis dan kaedah
kajian, analisa data-data, rumusan dan penutup, bibliografi dan lampiran-lampiran
yang berkaitan.
Sebelum bahagian pengenalan, laporan selalunya mengandungi ruang
untuk ‘halaman’ dan ringkasan atau abstrak kajian. Bahagian pengenalan
menerangkan mengenai tajuk dan bidang kajian. Pada kebiasaannya sebahagian
besar isinya adalah berdasarkan rujukan-rujukan sekunder. Bahagian hipotesis
pula menyatakan harapan-harapan pengkaji terhadap hasil kajian. Ia juga
menerangkan rasional di sebalik kaedah yang dipilih. Selepas itu barulah
penulisan membincangkan hasil-hasil berdasarkan data-data yang diperolehi.
Hujahan-hujahan yang kritikal disertakan. Dapatan-dapatan utama merupakan
perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan permasalahan penyelidikan.
Mungkin juga terdapat dapatan-dapatan sampingan yang tidak secara langsung
berkaitan dengan topik kajian. Akhirnya penyelidik akan membuat rumusan
daripada hasil kajian dan membuat cadangan-cadangan yang berkaitan. Adalah
menjadi kebiasaan setiap penyelidikan sosial mencadangkan kajian-kajian
lanjut berdasarkan dapatan-dapatannya.
3.0 Penutup
‘Sungguhpun dari beberapa segi setiap projek penyelidikan adalah unik
tetapi semua projek itu melibatkan kelima-lima peringkat asas yang sama.
Peringkat-peringkat asas ini ialah memilih permasalahan ; merumuskan
rekabentuk penyelidikan ; mengumpul data ; pengkodan dan menganalisis data
dan mentafsirkan hasil kajian. Tiap-tiap peringkat itu saling bergantung
antara satu sama lain dan keseluruhan proses penyelidikan itu seolah-olah
membentuk suatu kelingkaran. Jika hipotesisnya ditolak, penyelidik mesti
mengkaji semula kajian-kajian dan membuat kajian sekali lagi. Malah jika
hipotesisnya betul, penyelidik selalu berhajat untuk membuat replikasi
atau mengulang semula kajiannya untuk memastikan penemuan-penemuan adalah
tepat’.
(Kenneth D. Bailey,1992)
Perbincangan setakat ini telah menggariskan langkah-langkah umum yamg
dapat dijadikan sebagai panduan dalam melaksanakan penyelidikan sosiologi.
Sayugia dijelaskan bahawa perbincangan di sini bukanlah merupakan suatu
pembentangan yang lengkap mengenai penyelidikan. Sememangnya penyelidikan
yang akademik sifatnya memerlukan perincian-perincian yang lebih mendalam.
Namun begitu apa yang diharapkan adalah perbincangan ini dapat memberikan
gambaran awal tentang penyelidikan dan mendorong mereka yang berminat untuk
menyelidik.
Senarai Rujukan
Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan, Quantum
Books,
Tanjung Malim.
Alex Inkeles, 1982, Apa Itu Sosiologi ? Suatu Pengenalan Mengenai Disiplin
dan
Profesion, Universiti Harvard, DBP, Kuala Lumpur.
Kenneth D. Bailey, 1992, Kaedah Penyelidikan Sosial, DBP, Kuala Lumpur.
Mohd. Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan,
Thinker’s Library Sdn.Bhd., Selangor.
Syed Arabi Idid, 1993, Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial,
DBP,
Kuala Lumpur.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
  
|