TAJUK : MASALAH
SOSIAL DI SEKOLAH DISEBABKAN OLEH PROSES
MODENISASI NEGARA. BINCANGKAN.
1.0 Pendahuluan
Semua pihak mempunyai harapan yang tinggi terhadap
pelajar agar berperanan sebagai nadi penggerak utama dalam mempastikan
kesinambungan tamadun dan pembangunan negara. Walau bagaimanapun gambaran
yang diperolehi tentang pelajar ketika ini amat tidak menggalakkan. Situasi
gawat ini memberi cabaran hebat kepada sebarang usaha untuk membentuk golongan
muda. Usaha untuk membina belia bukanlah perkara yang mudah, memerlukan
iltizam yang tinggi dari semua pihak terutamanya kepada pemimpin dan masyarakat.
Begitu juga pelajar yang diharapkan tidak
akan terbentuk sekiranya pemimpin dan organisasi terbabit tidak berfungsi
dengan sempurna atau tidak menyalurkan sumber-sumber yang ada ke arah menghasilkan
golongan belia pewaris negara yang berkaliber, berwibawa dan berwawasan
dalam ertikata sebenarnya.
Kita juga harus menggerakkan minda dan
paradigma dalam ketelusan untuk menyediakan pelajar yang bakal mewarisi
takhta pemerintahan negara menghadapi cabaran kesinambungan kecemerlangan
wawasan pemimpin ulung. Pelbagai pihak berperanan menggerak minda dan seterusnya
memastikan kelahiran generasi seterusnya berperanan sejajar dengan cabaran
masa.
2.0 Definisi Modenisasi
“Moden” pada umumnya beerti baru atau sekarang.
Sesuatu yang moden adalah sesuatu yang baru dan terkini. Modenisasi pula
merupakan proses permodenan dan perubahan yang dilakukan terhadap pembangunan
fizikal dan kejiwaan, termasuk cara berfikir, perubahan sikap, menerima
pembaharuan dan sebagainya.
Proses modenisasi dalam bentuk perubahan-perubahan
yang seharusnya dilakukan terhadap sesuatu kefahaman agama yang tidak menyentuh
hukum dan prinsip Islam itu sendiri haruslah diterima dan diamalkan sesuai
dengan latarbelakang dan keadaan persekitaran sesuatu masyarakat.
Modenisasi tidak seharusnya dianggap sama
konsep dan falsafahnya dengan gerakan pembaratan dalam cara berfikir, cara
hidup dan penentuan nilai kehidupan yang tidak berlandaskan agama. Penolakan
terhadap falsafah hidup barat tidak seharusnya penolakan proses modenisasi
secara menyeluruh. Penilaian secara positif dan objektif haruslah dilakukan
terhadap barat.
Penciptaan kehidupan moden dan proses memodenisasikan
kehidupan fizikal, kerohanian dan kejiwaan adalah merupakan perubahan-perubahan
yang berlaku secara berterusan kerana kehidupan ini adalah merupakan proses
yang berterusan. Ianya seperti perubahan teknologi, peningkatan ekonomi,
penguasaan sains dan alam sekitar, pembangunan pertanian dengan penggunaan
alat teknologi terkini dan sebagainya.
Berdasarkan hal ini, maka modenisasi yang
bererti perubahan sikap, pembangunan ilmu pengetahuan, pembangunan teknologi,
peningkatan ekonomi dan kehidupan keseluruhan haruslah dilihat sebagai
sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama.
3.0 Masalah-masalah Sosial di Sekolah
Pelajar merupakan golongan yang seringkali terdedah
dengan pelbagai masalah sosial. Pada masa sekarang, golongan ini semakin
kurang mendapat perhatian daripada ibubapa mereka sendiri dan masyarakat
sekeliling. Justeru itu, mereka perlu dibimbing serta diberi perhatian
sewajarnya supaya generasi berwibawa dapat dilahirkan di tengah-tengah
kemajuan dunia.
Kurangnya pengawasan daripada ibubapa ini
menyebabkan pelajar terdedah kepada banyak masalah sosial seperti merokok,
penagihan dadah, bohsia, bohjan, gangsterism, pelacuran, peras ugut, kongsi
gelap dan isu terkini iaitu black metal dan seksual.
3.1 Merokok
Semenjak dua dekad yang lalu, penggunaan tembakau
telah menjadi masalah kesihatan awam yang serius di Malaysia. Tiga jenis
penyebab kematian utama di Malaysia berkaitan penggunaan tembakau ialah
penyakit jantung iskemia, angin ahmar (stroke) dan kanser.
Terdapat beberapa sebab mengapa pelajar
merokok iaitu ingin menonjolkan imej yang hebat dan anggun. Bagi mereka
jika seseorang merokok ia akan kelihatan hebat sekali. Ada juga pelajar
merokok disebabkan ingin menonjolkan kedewasaan dan ingin mencuba. Mulanya
mereka akan cuba dan lama-kelamaan akan menjadi tabiat. Sebilangan pelajar
merokok disebabkan ingin mengikut tingkahlaku ibubapa mereka dan juga pengaruh
rakan sebaya. Media massa juga memberi sumbangan kepada penyebab
pelajar merokok iaitu melalui pengaruh iklan. Walaupun kerajaan menguatkuasakan
peraturan membeli rokok, namun peraturan itu tidak setegas yang diharapkan.
Pelajar dengan mudah sekali memperolehi rokok di pasaran.
3.2 Penyalahgunaan Dadah
Masalah dadah bermula pada kurun ke-19 lagi dengan
kedatangan buruh dan kumpulan imigran yang mencari peluang pekerjaan. Kini
masalah dadah telah merebak ke seluruh pelusuk negara. Peningkatan insiden
ini sejak tahun 70-an disebabkan kerana ia mudah diperoleh. Jumlah penagihan
dadah yang berulang telah direkodkan oleh sistem NADI sejak tahun 1988
purata sebanyak 40% dari jumlah penagih yang dikesan.
3.3 Salahlaku Pelajar di Sekolah
Kes salahlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah
semakin meningkat kebelakangan ini. Hasil daripada kajian yang telah dijalankan
oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membuktikan
bahawa pelajar di kawasan felda banyak terlibat dengan masalah salahlaku
berbanding dengan pelajar di kawasan kampung.
Kebanyakan mereka yang terlibat adalah
berumur antara 16-18 tahun (paling ramai) diikuti 13-15 tahun dan 10-12
tahun. Antara salahlaku yang kerap dilakukan daripada pelajar antaranya
ialah mengedar dan menagih dadah, merogol, memeras ugut, pelacuran, memalsukan
dokumen dan menyertai kongsi gelap.
4.0 Masalah Sosial Di Sekolah Dengan Proses
Modenisasi Negara
4.1 Sebab-sebab
Masalah sosial di sekolah kini semakin meruncing
dengan pelbagai budaya yang tidak diingini. Antara faktor penyebab permasalahan
ini kerana sikap pelajar itu sendiri. Pelajar peringkat sekolah menengah
terutama usia 14 hingga 15 tahun dikenalpasti terlibat dengan gejala ponteng
sekolah. Peringkat ini adalah cabaran dan tempoh penyesuaian pelajar dengan
alam kehidupan sebenar. Dari sudut psikologi, mereka sedang mengalami perubahan
alam kanak-kanak kepada alam dewasa.
Sikap ibu bapa juga merupakan salah satu penyebab
timbulnya masalah sosial di kalangan pelajar. Ibu bapa era kini amat sensitif
dan terlalu memanjakan anak mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab dan
sanggup menggadai kepentingan anak mereka secara tidak disedari. Menurut
professor Awang Had Saleh, ibu bapa kini terlalu berbeza dengan ibu bapa
zaman dahulu. Pada zaman dahulu sekiranya guru merotan murid di sekolah
kerana kesalahan dan apabila pulang ke rumah mereka mengadu kepada ibu
bapa, ibu bapa mereka akan merotan lagi. Fenomena ini amat bertentangan
dengan situasi sekarang kerana ibu bapa akan mengambil tidakan terhadap
guru melalui saluran yang dianggap keterlaluan seperti laporan akhbar,
membawa kes ke mahkamah dan kadangkala menyerang guru di sekolah.
Masyarakat kini juga kurang memainkan peranan
mereka. Mereka lebih mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang
lain. Keadaan ini mungkin disebabkan kurangnya hubungan dan teloleransi
antara jiran tetangga dan masyarakat setempat. Hubungan masyarakat di bandar
juga semakin renggang dan goyah di mana masyarakat lebih mementingkan nilai
materialistik berbanding nilai murni. Bagi mereka wang adalah segalanya
dan jaminan kehidupan mereka.
Dasar kerajaan juga adalah punca gagalnya sistem
masyarakat di negara kita. Struktur organisasi di sesebuah kawasan perumahan
perlulah dikemaskini dan perlu pemantauan daripada pihak kementerian terutamanya
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan. Ada sesetengah kawasan perumahan
tidak mempunyai aktiviti kemasyarakatan langsung. Ini akan menyebabkan
hubungan penduduk setempat tidak akrab dan saling tidak mengenali sesama
mereka. Rukun Tetangga juga perlulah lebih proaktif dan sentiasa memperbaiki
kelemahan dari masa ke masa.
Proses modenisasi negara kita yang terlalu pantas
tidak dapat mengawal permasalahan sosial yang melanda masyarakat kita.
Sebabnya kerana masyarakat terlalu mementingkan kepentingan individu berbanding
kepentingan sejagat. Keadaan ini menjadikan ketidakseimbangan antara moden
dan nilai. Beberapa kesan di atas menyebabkan guru mengambil sikap lebih
berhati-hati dan hanya berdiam diri tanpa mahu mengambil risiko.
4.2 Kesan-kesan
Proses modenisasi negara secara tidak langsung
telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesan terhadap pelajar di sekolah.
Pelajar di bandar lebih terdedah dengan gejala negatif yang melanda negara
dan sukar untuk dikawal. Kebanyakan pelajar yang meningkat dewasa yang
umurnya antara 13 hingga 15 tahun amat mudah terjebak dengan pengaruh negatif.
Remaja peringkat ini dari segi psikologi mereka sedang melalui tempoh penyesuaian
daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Sekiranya tidak dibimbing
dengan sempurna mereka mudah mengikut kehendak hati dan juga pengaruh rakan
sebaya.
Kepincangan sistem kekeluargaan di negara
kita juga turut menyumbang kepada goyahnya institusi keluarga yang tradisinya
amat terkenal dengan nilai adab kesopanan dan ketatasusilaan yang harmonis.
Dalam mengejar arus modenisasi negara kebanyakan di antara kita telah leka
tentang tanggungjawab terhadap diri dan keluarga amnya. Ibu bapa yang bekerja
era kini lebih mementingkan personaliti atau kerjaya daripada tanggungjawab
terhadap keluarga sendiri. Akibatnya berlakulah porak-peranda dalam keluarga
sehingga menyebabkan perceraian dan anak-anak pula terbiar. Ramai antara
warga kita lebih mementingkan nilai kebendaan semata-mata hingga lupa bahawa
nilai murni dan adab kesopanan dan kesusilaan adalah model untuk membentuk
keluarga dan seterusnya masyarakat madani. Oleh itu kita tidak seharusnya
terlalu mementingkan kebendaan sahaja, pendidikan dan penjagaan anak-anak
yang sempurna harus juga diutamakan supaya mereka ini dapat mewarisi pembangunan
material dan fizikal yang telah kita capaikan pada ketika ini dan juga
masa depan.
Guru era kini pula lebih berhati-hati untuk
menegur pelajar didikannya kerana jika tersilap langkah maka ibu bapa akan
mengambil jalan mudah tanpa merujuk pihak sekolah dan terus mengambil tindakan
mahkamah tanpa menghiraukan situasi sebenar. Kesannya kredibiliti guru
dan pengurusan pihak sekolah sedikit sebanyak tercabar oleh segelintir
ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak tanpa menilai kesalahan anak mereka.
Fenomena seperti ini harus dibetulkan kini kerana sekolah adalah
pusat untuk menjana minda pelajar untuk cemerlang sebagai pewaris kepemimpinan
negara sejajar dengan laungan negara maju menjelang tahun 2020.
Keruntuhan moral pelajar banyak menyumbang
kesan kepada pelbagai gejala. Salah satu contoh ialah gejala samseng. Gejala
samseng telah menular di sekolah-sekolah yang ramai pelajar terutamanya
di bandar. Ramai pelajar terbabit dengan gejala ini didalangi pihak luar.
Mereka lebih berani kerana mempunyai kumpulan-kumpulan tertentu untuk melindungi
mereka. Akibat gejala samseng ini timbul kes-kes seperti kes bunuh, membuli,
merogol, samun, peras ugut, mabuk, memiliki senjata api dan juga berjudi.
Antara kes terbaru ialah pelajar yang dendam terhadap guru tertentu dan
juga pada pihak sekolah sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup membakar
rumah guru dan juga sekolah. Kes seperti ini terlalu serius dan puncanya
perlulah diselidiki dari akar umbi lagi. Cadangan pihak kementerian untuk
memberi kuasa polis kepada guru harus dipersetujui oleh semua pihak kerana
dengan ini ia akan merubah gejala sosial di kalangan pelajar yang semakin
parah yang menjadi barah dalam sistem pendidikan kita.
Media massa juga turut menyumbang kepada
masalah sosial di kalangan pelajar dalam proses modenisasi negara. Kemunculan
internet sedikit masa lalu telah menampakkan hasil yang negatif pada pelajar
kini. Mereka mudah melayari laman-laman yang tidak sepatutnya dan mudah
terikut-ikut dengan budaya yang bertentangan dengan masyarakat kita.
Sering kita dengar berita-berita di media
massa mengenai masalah remaja di luar negara. Sebagai contoh mengikut laporan
akhbar (Utusan Malaysia, 24-3-2001) pelajar di Amerika Syarikat menembak
rambang ke arah orang ramai. Di negara kita masalah yang dihadapi
belum mencapai ke tahap ini tetapi sekiranya masalah yang sedia ada sekarang
tidak ditangani dan dibendung, senario yang sama mungkin akan berlaku di
negara kita.
5.0 Cara-cara Atasi Masalah
Sekolah mestilah berperanan dalam mengatasi
masalah yang melanda. Pihak sekolah perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran
dan motivasi untuk pelajar-pelajarnya dan perlu mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang lebih kondusif.. Guru juga adalah ejen perubahan sosial
yang penting disamping mendidik pelajar supaya berjaya dari segi rohani
mahupun jasmani. Cadangan untuk memberi kuasa polis tambahan kepada guru
juga harus segera dilaksanakan. Program pemulihan untuk pelajar yang hadapi
masalah disiplin juga perlu dijalankan dari semasa ke semasa.
Ibu bapa juga tidak seharus segera menyalahkan
guru atau sekolah sekiranya anak-anak mereka didapati bersalah melakukan
kesalahan displin. Sebaliknya mereka perlu bekerjasama dengan sekolah dan
guru-guru untuk mencari punca berlakunya kesalahan tersebut dan langkah-langkah
sewajarnya untuk membendung kes-kes disiplin. Mereka juga perlu mendalami
masalah anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka agar anak-anak tidak
merasa tersisih, kesunyian dan dahagakan kasih sayang.
Pemimpin negara juga mestilah berperanan
mewujudkan negara yang bebas masalah sosial terutama golongan pelajar yang
bakal mewarisi dan sebagai pemangkin ke arah modenisasi negara yang lebih
berkesan dan berjaya. Kesedaran demi kesedaran harus diberikan kepada masyarakat
khususnya golongan pelajar. Kita juga harus membentuk generasi akan datang
yang berwawasan, berdisiplin dan bertanggungjawab. Pemupukan sikap sayangkan
diri sendiri dan orang lain serta membantu ibu bapa mendidik anak
mereka dengan baik.
6.0 Penutup
Sudah banyak kajian dijalankan oleh pelbagai
pihak mengenai sikap dan perilaku pelajar. Kajian lebih condong kepada
tujuan akademik dan tertumpu kepada masalah yang biasa umum sifatnya. Antara
punca yang biasa didengar ialah akibat pergaulan dan pengaruh rakan sebaya,
kesan media elektronik, pengaruh budaya asing, kegagalan didikan ibu bapa,
kurangnya didikan agama, persekitaran yang tidak sesuai untuk kehidupan
pelajar dan sebagainya. Disebabkan terlalu banyak punca yang boleh diramalkan,
tindakan membendung masalah tidak lagi berfokus.
Meskipun ada cadangan atasi masalah, namun
ia berakhir di meja perbincangan, forum dan seminar sahaja. Setakat ini
belum ada cara atau kaedah yang benar-benar berkesan untuk membendung masalah
itu. Cara mudah untuk melepaskan tanggungjawab mendidik kepada ibu bapa
dan guru. Ini adalah jalan segera untuk menyelesaikan masalah. Pendekatan
ini tidak lagi praktikal memandangkan tanggungjawab ibu bapa bertambah
besar terutama memenuhi tanggungjawab keluarga yang begitu mencabar. Begitu
juga adalah tidak adil melepaskan tanggungjawab kepada pihak berkuasa semata-mata
kerana tugas lain yang diamanahkan juga adalah luas.
Rujukan
1. Amir Hasan Dawi. 1999. Penteorian Sosiologi
Dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books.
2. Azimi Hamzah, Turiman Suandi & Azmi Awang.
1993. Youth As Partner in Development: The Experience of Kampung Endah
Organisation. Serdang, Universiti Putra Malaysia.
3. http://www.tutor.com/my/
4. Mohd. Salleh Lebar. 1992. Perubahan Pendidikan
Di Malaysia. Kuala Lumpur :
Nurin Enterprise.
5. Utusan Malaysia, 25.03.2001, Kongsi Gelap.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
  
|