TAJUK : Bagaimanakah Sekularisasi
Menular Ke Dalam Masyarakat.
Pendahuluan
Apabila disebut mengenai sekularisasi, daripada segi bahasa ianya merupakan
salah satu daripada istilah sosial kemasyarakatan. Perkataan Sekularisasi
itu sendiri berasal daripada perkataan sekular iaitu sesuatu yang berhubung
dengan hal duniawi. Dalam pengertian yang paling luas, konsep sekularisasi
berhubung dengan proses keruntuhan peranan agama dalam masyarakat yang
seterusnya akan mengakibatkan kelompok masyarakat itu bercorak lebih rasional,
materialistik, individualistik dan utilitarian. Manakala masyarakat yang
sekular pula ialah masyarakat yang mempunyai aspek kehidupan sosial yang
bebas daripada penguasaan simbol atau pegangan dan institusi agama, yang
mana boleh disebutkan juga sebagai kuasa dan pengaruh agama semakin berkurangan.
Selain daripada menekankan hal-hal yang bercorak materialistik dan
duniawi semata-mata, sekularisasi juga melibatkan perkara yang lebih cenderong
untuk mengejar keseronokan dan kebahagiaan. Konsep kebebasan semakin dilaung-laungkan
tanpa mengambil kira norma batasan tentu terutama dalam hal sains, ilmu
pengetahuan dan nilai. Masyarakat sekular lebih menekankan ke atas ukuran
empirik serta ukuran yang berkaitan dengan kecekapan duniawi. Namun begitu,
tahap kesedaran sekular tetap wujud mengenai kebolehan dan kuasa manusia
terhadap alam sekitar dan kemasyarakatan. Semakin besar pengaruh dan kekuasaan
sekularisasi ini maka akan berkuranganlah kuasa dan pengaruh badan agama
terhadap kehidupan manusia. Seterusnya pemisahan agama daripada politik,
kerajaan dan nafas kehidupan harian akan nyata akibat daripada cengkaman
sekularisasi yang semakin menular liar ini.
Proses sekularisasi ini mempunyai hubungan yang erat dengan unsur rasional
seperti yang dikemukakan oleh Max Weber. Unsur yang ditekankan dalam proses
rasionalisasi ialah taakulan, bukti empirik, ilmu pengetahuan, perkiraan
dan hal-hal lain mengenai duniawi. Proses sekularisasi ini juga ada kaitan
langsung dengan idea Marx mengenai dealienasi manusia yang merupakan satu
proses iaitu manusia bebas daripada proses alienasi dan bebas daripada
kongkongan hasil ciptaannya seperti agama.
Masyarakat sekular berlainan daripada masyarakat kudus. Nilai utama
masyarakat sekular ialah ialah utilitarianisme dan rasionaliti manakala
masyarakat kudus lebih menekankan hal kudus, supernatural, agama, mitos
serta nilai yang berkaitan dengan tradisi dan konservatisme.
Hal kudus dan sekular merupakan satu tema yang utama dalam pemikiran
ahli sosiologi sejak abad ke 19 lagi. Banyak hasil tulisan yang bercorak
keagamaan muncul di Eropah sebagai suatu reaksi terhadap fahaman duniawi
atau sekularisme yang ditekankan oleh Enlightenment dan Revolusi Perancis.
Sebilangan besar tokoh sosiologi seperti Comte, Durkheim, Weber, Tocqueville,
Marx dan Simmel memberikan sumbangan tertentu kearah perbincangan mengenai
aspek agama dan kaitannya dengan masyarakat seluruhnya. Daripada hasil
tulisan penulis abad ke 19, dapat dirumuskan empat perspektif asas mengenai
agama iaitu agama dianggap sebagai satu alat yang perlu untuk menyatupadukan
manusia dan nilai kudus merupakan asas konsensus moral. Kedua, agama merupakan
satu unsur utama dalam bidang pertimbangan yang utama untuk memahami sejarah
dan perubahan sosial. Ini disebabkan agama merupakan satu bidang utama
tersemainya asal usul perubahan sosial yang asas.
Ketiga, agama lebih daripada satu kepercayaan, keinginan dan doktrin.
Agama juga merupakan upacara, komuniti yang mempunyai kewibawaan, hierarki
dan organisasi.
Dan yang keempatnya, dalam usaha mereka untuk membentuk semula keagungan
agama dalam pemikiran, ahli konsevatif menjadikan agama sebagai asal usul
semua pemikiran asas dalam pemikiran dan kepercayaan manusia.
Penularan Sekularisasi dalam masyarakat
Jika disorot kembali zaman lampau semasa penjajah barat menjejakkan
kaki mereka ke bumi bertuah ini, dapatlah dilihat betapa mereka berusaha
sedaya upaya untuk menyebarkan bibit-bibit fahaman sekularisme melalui
pelbagai cara. Berbekalkan keupayan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta
pengalaman, akhirnya mereka berjaya melaksanakannya. Kesannya dapatlah
dilihat sekarang ini semuanya amatlah negatif. Antaranya gejala bohsia,
black matel, salah guna dadah, kecurangan tanggungjawab, kecelaruan identiti
dan banyak lagi. Secara dasarnya penyebaran fahaman sekularisme ini diterapkan
ke dalam masyarakat melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang,
selain daripada sikap masyarakat kita sendiri yang memandang ‘trend mat
saleh’ itu sebagai idola mereka. Ini hanyalah semata-mata untuk menjauhkan
umat Islam daripada agamanya.
Melalui Pendidikan.
Sekatan pengajian agama Islam secara material dan moral dilakukan
dengan membuka jalan kepada pengajian yang jauh daripada penekanan agama.
Pengajian sebegini diberikan bantuan dan kemudahan material untuk
berkembang manakala pengajian agama terus disempitkan tanpa apa-apa bantuan
kewangan. Sekatan moral juga dilakukan dengan memperlekehkan golongan penuntut
dan guru agama. Membezakan guru-guru agama dengan guru subjek lain dalam
setiap keadaan memang disengajakan. Begitu juga membezakan antara lapisan
bidang agama dengan bidang lain. Dari segi jawatan, guru-guru agama tidak
banyak mendapat peluang dan ganjaran disamping dipandang rendah dengan
pendapatan dan status yang rendah. Mereka ini tenggelam dalam ‘ketidaksedaran’
dan menyebabkan masyarakat lari daripada agama dan minda mereka terpahat
“jika kita memilih bidang agama, ianya tidak akan kemana dan tidak akan
menjamin hidup”. Maka masyarakat akan lebih cenderung kepada pengajian
bukan bidang agama.
Di sini bukanlah bermaksud masyarakat tidak boleh mempelajari
ilmu selain daripada ilmu agama. Malah tidak ada istilah ilmu ‘bukan Islam’,
seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu
Islam. Yang menjadi persoalannya ialah masyarakat telah diabaikan daripada
segi penekanan ilmu keagamaan yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka.
Strategi lain ialah dengan menghantar pelajar Islam ke negara
bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya
yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar akan bertambah jahil dengan
agama , nilai serta adat budaya dan memandang kagum dengan duniawi. Tabiat
atau kelakuan pelajar ini lah menjadi ikutan kepada generasi yang memandang
kepada keduniaan dan terus menular dengan jayanya dalam masyarakat. Nilai
dan norma mulia masyarakat kudus akan terus terhakis melalui pengaruh ini
sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain
tabiat buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.
Pelonggaran sukatan pelajaran pengajian agama atas nama kemajuan
akademik dapat dilihat dalam perlaksanaan pendidikan yang diterajui oleh
penjajah. Dengan ini akan melemahkan terus kefahaman dan aplikasi keagamaan
pelajar. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki
dan perempuan semasa pengajian. Mereka (golongan sekular) melakukannya
dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan
lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan
pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya
masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal ini. Ilmu
sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada dua keadaan
iaitu samada ia akan membekukan nafsu seks antara dua jantina, dengan erti
kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabi’I tetapi
lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah
s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat terutama Amerika
Syarikat dan tidak ketinggalan juga di negara kita.
Ataupun ia akan merangsangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah
dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil
dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama
sehinggalah sampai masa ‘keinginan’, anak kucing itu telah membunuh anak
tikus dan memakannya walaupun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta
makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh
sifat belas kasihan walaupun agak lama ‘berdamping’ dengan anak tikus itu.
Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya
tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti
yang berlaku di negara-negara Islam dan dalam masyarakat kita terutamannya
adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.
Sehingga kini masih ada lagi kesan-kesan penerapan sekularisme oleh
penjajah terhadap sistem pendidikan di negara kita yang seterusnya menularnya
masalah sosial dalam masyarakat. Jalan ini merupakan antara jalan termudah
untuk mensekularisasikan masyarakat.
Melalui Media Massa.
Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan
pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang
menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan.
Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang
baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula
akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan
untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.
Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, media elektronik
dan lain-lain lagi tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai
murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengalaman dengan
akhlak Islam. Jikalau ada pun, ianya hanyalah ‘tangkap muat’ dan pemanis
mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan televisyen yang menayangkan gambar
separuh bogel dan aksi ganas terutama dalam filem Hindi dan filem barat
banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak masyarakat terutamanya golongan
muda mudi. Sepatutnya media massa ini menjadi ‘mimbar dakwah’ yang menyeru
kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan
fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisasi
yang berusaha menjauhkan masyarakat daripada pegangan dan ajaran agama.
Melalui Undang-undang
Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan
Islam daripada “kuasa” pemerintah. Mereka akan memastikan agar undang-undang
Islam tidak dirujuk walau dalam apa hal sekalipun sehinggalah Islam kelihatan
tinggal rangkanya sahaja. Di Turki contohnya, mereka berusaha mensekularkan
undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki
menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khalifah Islam. Begitu juga
di Mesir, pensekularan undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris
dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan
undang-undang Perancis secara khususnya.
Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kahwin
(ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkaitan dengan adat kerana ia tidak menggugat
kedudukan penjajah. Masyarakat boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan
mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan
pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah.
Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang
ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima
tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara
ini
sendiri. Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan
sekular untuk memesongkan masyarakat dari beramal dengan agamanya mengikut
jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap
sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa
ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan
ikatan tali dirinya dengan agama yang dianutinya. Masyarakat perlulah
sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh
ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan di akhirat.
Agama dan sekularisme tidak dapat disatukan dan disebatikan kerana
kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya’rawi sebelum
menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata ; “ Sedarlah bahawa
tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan
hanya berlaku antara hak dan yang batil”. Maka masyarakat khususnya umat
Islam perlulah mengikut hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah
Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang
hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan
oleh ulama-ulama yang pakar lagi khusus. Di sinilah peranan golongan agama
sangat diperlukan untuk menyelamatkan masyarakat daripada keruntuhan sosial
akibat daripada sekularisasi. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan
menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut Al-Qur’an
dan Al-Sunnah Rasulullah s.a.w.
Peranan Ibu Bapa dan Institusi keluarga untuk menangani masalah ini
.
Pembudayaan sekular yang secara licik dan meluas dikalangan masyarakat
tidak banyak mendatangkan kesan baik melainkan keburukan semata-mata. Adat
budaya, nilai kesopanan resam masyarakat akan sedikit demi sedikit pudar
dan lenyap daripada amalan harian jika sekiranya sekularisasi dibiar terus
menular tanpa kawalan dan halangan. Kesannya tidak lain hanyalah kepada
generasi sekarang, generasi akan datang, dan negara ini sendiri. Pelbagai
corak dan gaya kepincangan yang begitu kekok dan kelu diperlihatkan oleh
kesan sekularisasi ini. Dalam hal ini, tiada pihak yang patut menuding
jari kepada pihak lain. Semuanya adalah di atas tanggungjawab kita sendiri
untuk membendung sekularisasi ini terutama daripada dasarnya iaitu ibu
bapa dan institusi keluarga.
Sebagai orang yang matang pastinya kita akan memilih yang terbaik untuk
anak-anak dan mengapa tidak kita meletakkan yang terbaik itu ialah dasar
keagamaan dalam setiap hal. Sejak daripada dalam kandungan , bayi boleh
mula dididik dan disemaikan dengan amalan murni melalui perlakuan dan perbuatan
ibu bapanya. Perkara ini banyak memberi pengaruh terhadap peribadi dan
tingkah laku anak apabila dewasa. Bak kata pepatah “anak-anak itu ibarat
sehelai kain putih, ibu bapanya lah yang mencorakkan anak-anak itu”. Seandainya
peranan ini kukuh, anasir-anasir luar akan begitu susah dan payah untuk
menular dan merosakkan nilai murni individu tersebut. Disamping itu perlulah
didedahkan, dididik dan ditekankan persekitaran budaya ahli keluarga dengan
amalan murni, hormat menghormati, bersyukur, kesopanan dan adat resam yang
disanjung tinggi supaya ianya menjadi teras dan jati diri individu, keluarga,
masyarakat dan negara untuk terus melonjak maju dan berjaya. Sebagai rumusannya,
dalam apa jua aspek kehidupan yang kita lalui perlulah berteraskan kepada
ajaran dan pegangan agama yang kukuh supaya identiti keunggulan jati diri
tidak akan tergugat malah akan terus maju dan berkembang, bermula dari
peranan ibu bapa dan institusi keluarga itu sendiri.
Kesimpulan
Daripada pandangan dan pendapat yang telah dikemukakan di atas
mengenai penularan sekularisasi ke dalam masyarakat, dapatlah disimpulkan
beberapa perkara untuk dijadikan renungan dan pandangan bersama. Bagaimanakah
sekularisme itu dengan mudahnya dibawa masuk oleh penjajah ke dalam negara
menunjukkan asas masyarakat yang tidak begitu kukuh sekukuhnya ‘golongan
sekular’ itu. Maka dengan begitu mudahnya idea berkenaan dipupuk dan diserap
untuk dijadikan pegangan dan ikutan. Kesannya amatlah buruk daripada
segi masalah sosial, dari sekecil-kecil masalah seperti adat makan, minum
hinggalah sebesar-besar masalah sosial seperti rogol, bunuh diri, murtad
dan sebagainya. Peranan kita sebagai masyarakat yang waras dan berpegangan
agama yang kukuh terhadap masalah ini haruslah jelas dan nyata iaitu tidak
mudah terpedaya dengan rasionalistik, materialistik, individualistik dan
utilitarian tetapi menerima dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya
mengikut Al-Qur’an dan Al-Sunnah Rasulullah s.a.w untuk kebahagian hidup
di dunia dan di akhirat.
Rujukan
__________________. 1996. Ensiklopedia Malaysia. Kuala Lumpur: Anzagain
Sdn. Bhd.
Alex Inkeles. 1982. Apa Itu Sosiologi ? Suatu Pengenalan Mengenai Disiplin
dan Profesion.
Kuala Lumpur: DBP.
Amir Hasan Dawi. 1999. Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjung
Malim: Quantum
Books.
Rohana Yusof. 1996. Asas-asas Sains Sosial Dari Perspektif Sosiologi.
Kuala Lumpur: DBP.
Sufean Hussin. 1996. Pendidikan Di Malaysia-Sejarah, Sistem dan Flasafah.
Kuala Lumpur:
DBP.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
  
|