TAJUK: Gengsterisme di sekolah menengah harian

Sinopsis Isu
 Hasil kajian ‘Gengsterisme di sekolah menengah harian’ oleh Bahagian dan Penyelidikan Dasar Pendidikan,Kementerian Pendidikan amat membimbangkan. Angka 459 daripada 1560 sekolah menengah harian sebagai berisiko tinggi, iaitu terdedah kepada pelbagai masalah gengsterisme. Di antaranya termasuklah salah laku yang serius seperti peras ugut, salah guna dadah, mencabul kehormatan, pelacuran, mencuri ,berjudi menceroboh dan membawa senjata. 
 Pada keseluruhannya tahap gengsterisme di kalangan pelajar  masih boleh dikawal sekiranya tindakan tegas secara bersepadu dilaksanakan. Masalah gengsterisme bukan masalah pelajar sahaja  tetapi juga masalah  masyarakat dan perlu ditangani  oleh semua pihak termasuk ibu bapa. Berikutan dengan hasil kajian itu, usaha bersepadu perlu dilaksanakan segera untuk menghapuskan sama sekali masalah samseng dari terus menular.Ia mesti dilakukan secara serius dan berkekalan kerana memberi kesan kepada  keharmonian persekolahan kepada semua warga sekolah.
 Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan sebuah pasukan bertindak bagi merangka strategi menangani ini dengan segera. Di samping itu cadangan beberapa pihak lain seperti polis dan pihak berkuasa tempatan  perlu diambil kira.Kita harap dengan berbuat demikian barulah tindakan pada peringkat sekolah lebih berkesan, menyeluruh dan seragam. Salah satu sebab kenapa semakin ramai ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak mereka bersekolah di sekolah aliran perdana  adalah kerana masalah  disiplin, terutamanya berkaitan gengsterisme.Mereka berminat menghantar anak ke sekolah aliran agama yang pada tanggapan lebih selamat.Mereka dikatakan tidak banyak terbabit dalam kancah masalah sosial.
 Para guru terutamanya guru besar juga mempunyai peranan yang amat penting dalam usaha menangani gejala buruk ini.Mereka seharusnya tidak menyembunyikan kegiatan gengsterissme dan samseng di kalangan pelajarnya.Sekolah-sekolah  yang terbabit dengan masalah gengsterisme diminta memberikan kerjasama penuh kepada polis. Kesimpulanya,kita perlu mencipta formula baru bagi membendung  virus disiplin yang semakin membimbangkan. Semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama tanpa saling menuduh antara satu sama lain.

Disiplin pelajar dari  perspektif Teori Struktural – Fungsional
 Gejala gensterisme di kalangan para pelajar boleh dikaitkan dengan  tahap disiplin seseorang individu. Menurut Kamus Dewan ,” Disiplin membawa pengertian latihan pemikiran dan kelakuan supaya  ahli masyarakat atau individu boleh mengawal diri,peraturan-peraturan yang ditetapkan  untuk melatih seseorang berkelakuan baik. Manakala dari sudut agama Islam disiplin dapat disimpulkan satu tatacara larangan atau satu sistem hukuman yang dikenakan ke atas seseorang.Selain itu ia adalah satu proses latihan dan pembelajaran yang bertjuan untuk membetul, menguat dan menyuburkan unsur-unsur kawalan diri serta kepatuhan kepada peraturan  dan norma-norma kebudayaan.
 

Definisi  dan  konsep  Teori  Fungsionalisme

  Teori  ini diperkenalkan oleh Auguste Comte, Herbert Spencer dan Emile Durkheim. Mengikut teori  ini  bahawa masyarakat berkembang dan stabil berdasarkan peraturan sosial dan perubahan semasa. Masyarakat sebagai satu organisma dan setiap organ mempunyai peranan yang tersendiri. Teori  ini mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan atau aktiviti yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Para ahli fungsionalisme selalu menyatakan bahawa setiap bahagian masyarakat mempunyai tujuan-tujuan  dan keperluan-keperluan tersendiri.
 Teori ini menekankan kepentingan persefahaman setiap ahli masyarakat untuk mencapai keharmonian dan kestabilan masyarakat.Mengikut pemikiran ahli fungsional, kita harus memerhati terlebih dahulu fenomena sosial iaitu mengenalpasti struktur sosial.Teori ini akan mengkaji bagaimana sistem sosial itu berfungsi.Kemudian mereka akan menilai sejauh manakah perjalanan sistem  tersebut membawa kepada keharmonian sebagai syarat untuk mengekalkan ikatan masyarakat.Idea fungsionalisme ialah masyarakat adalah berasaskan konsesus. Maksud konsesus ialah manusia bersetuju kepada nilai-nilai asas masyarakat di mana mereka hidup dan mengiktiraf kebaikan-kebaikkanya. Adalah menjadi kemahuan setiap anggota bahawa konsesus berterusan wujud supaya masyarakat dapat berjalan lancar.
Fungsi nyata ialah seperti tugas guru atau sekolah yang dirancangkan iaitu memberi pengajaran.Manakala fungsi tidak nyata ialah bermaksud tidak dirancang. Di mana pada waktu rehat murid tidak berkeliaran tetapi mereka dapat mengsisi masa itu dengan berfaedah.
 Kelemahan teori fungsional secara keseluruhan ialah mereka menolak perubahan sosial yang menjejaskan kestabilan sistem sosial. Alasanya mahu ke arah peraturan sosial.Misalnya dalam masyarakat yang sedang membangun masih lagi terdapat golongan yang miskin, tercicir dan tidak mendapat kerjasama dengan kumpulan masyarakat yang kaya. Oleh itu masih wujud lagi jurang susun lapis dalam sesebuah masyarakat.

Faktor yang mempengaruhi  wujudnya masalah disiplin
 .1)Institusi Keluarga
    Ibu bapa  adalah  orang yang terpenting  dalam sesebuah keluarga. Mereka memainkan peranan  utama dalam mencorak masa depan keluarga. Anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang menjadi pengarahnya. Dalam konteks ini, penekanan aspek disiplin amat mustahak sekali.Terdapat di kalangan ibu bapa yang tidak menunjukan teladan yang baik kepada anak- anak. Ini menyebabkan anak-anak teriku-ikut dengan sikap dan perbuatan  ibu bapa mereka . Ada ibu bapa yang tidak sehaluan atau sefahaman di rumah,anak-anak berasa tidak aman dan cuba mencari jalan keluar dari masalah ini.Dengan ini timbul golongan anak-anak yang tidak mendengar nasihat keluarga dan banyak menghabiskan masa bersama-sama raakan sebaya untuk berkongsi masalah dan menghilangkan rasa bosan.Punca pendapatan ibu bapa juga mempengaruhi masalah disiplin. Ibu bapa yang berpendapatan rendah menyebabkan  anak-anak tidak mampu membayar yuran persekolahan. Pelajar berasa malu untuk ke sekolah.Oleh itu mereka melencong atau melepak di kompleks-kompleks  membeli belah.
James Becker mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebakan anak-anak tidak dapat menwujudkan pengawalan diri yang baik.

.2)Rakan Sebaya
 Rakan atau kawan adalah ibu bapa kedua bagi seseorang pelajar.Pengaruh rakan sebaya mampu mencorakkan sikap dan nilai tingkahlaku pelajar,lebih-lebih lagi mereka yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Pelajar menganggap peraturan dan undang-undang sekola sebagai sesuatu yan  remeh dan tidak perlu dipatuhi. Mereka akan membentuk kumpulan sendiri yang akan mengadakan peraturan  tertentu. Ahli kumpulan tersebut hendaklah mematuhinya.Dari sini mula timbulnya masalah disiplin seperti peras ugut dan pergaduhan.

.3)Pihak Sekolah
   Sekolah  adalah  rumah  kedua para pelajar, begitu juga dengan para pendidik yang menjadi ibu bapa semasa di sekolah.Tugas guru semakin mencabar dalam  era globalisasi. Di samping menjadi pendidik, mereka juga menjadi ‘role model’  kepada pelajar.Kegagalan guru mendidik akan menjurus ke arah masalah pelajar. Amalan demokrasi dalam pendidikan kurang diterapkan terutamanya dalam pemilihan mata pelajaran elektif. Pelajar tidak sepatutnya dipaksa memilih aliran belajar dan mata pelajaran pilihan. ia boleh menjejaskan prestasi pelajar tersebut. Ini menyebabkan berlakunya konflik jiwa, pemberontakan batin dan rasa tidak    puas hati di jiwa pelajar.Konflik juga timbul kerana pelajar tidak puas hati kepada guru yang mengajar. Contohnya pengajaran guru tidak berkesan atau kurang cekap dalam mata  pelajaran berat seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Selain itu sekolah di negara ini kebanyakkannya berorentasikan kepada peperiksaan.Pelajar menghadapi tekanan mental dan sosial.

.4) Pengaruh Media massa dan Siber
Media massa dapat di kategori kepada  dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Kedua-dua media ini banyak mempengaruhi para pelajar ketika ini. Golongan remaja khususnya para pelajar mudah meniru dan mengikut pelbagai
adegan dan perlakuan negatif yang ditayang  dalam pelbagai media.Mereka ingin tahu dan mencuba sendiri apa yang dilihat. Dalam era globalisasi ini juga menyebabkan para pelajar dapat mencapai    pelbagai maklumat  dengan melayari internet.Dengan wujudnya cyber cafe telah   memudahkan para pelajar mendapat bahan dan maklumat mengikut citarasa.
 

.1)  Definisi  Modenisasi
     Semenjak kemerdekaan hinggalah ke alaf baru ini, pendidikan di negara kita telah mengalami banyak  perubahan  dan modenisasi. Modenisasi adalah   satu proses  transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai kesan 
daripada  bermulanya  revolusi perindustrian. Modenisasi juga diterima sebagai keadaan di mana  masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada gaya hidup moden.
Modenisasi  pendidikan yang diteruskan pada awal kemerdekaan  adalah warisan sistem penjajahan.Selepas kemerdekaan bentuk organisasi birokrasi Inggeris telah dikekalkan  sebagaimana yang terdapat dalam pasukan tentera, polis, pegawai tadbir, pendidikan dan lain-lain. Pihak Inggeris telah memainkan peranan dalam menasihati perkembangan sistem pendidikan negara  pada awal kemerdekaan.

Menganalisis  isu  berdasarkan  tiga konsep  sosiologi
.1) Modenisasi Pendidikan juga turut mengalami modenisasi secara beransur-ansur akibat pertembungan sains dan teknologi.Pertemuan pelbagai modenisasi ini telah menjadi alasan utama yang menjerumus kepada masalah disiplin di kalangan pelajar. Corak dan gaya hidup masyarakat telah berubah selari dengan era globalisasi  masa kini.Terdapat perubahan nilai  dan norma-norma ibu bapa disebabkan oleh proses-proses modenisasi, perbandaran dan    birokrasi. Ibu bapa lebih memanjakan anak-anak dan sering memenangkan anak sekiranya ada masalah dengan guru. Ibu bapa kini sering bertolak ansur dengan anak-anak mereka dan kurang mengambil tahu hal anaknya di sekolah. Mereka lebih sibuk mencari nafkah.Oleh itu anak-anak yang kurang perhatian   ibu bapa akan mudah terpengaruh dengan gejala ini.
       Media Elektronik  dan media cetak turut memainkan peranan penting terhadap perubahan sikap dan nilai hidup. Kedua-dua media ini sering mencabar peranan tradisi guru sebagai satu-satunya penyalur atau penyampai ilmu.Anak-anak mudah  terikut-ikut dan terpengaruh dengan pelbagai iklan yang disiarkan.Untuk mencapai apa yang dihajati itu bagi sesetengah pelajar yang tidak mampu, mereka  akan melanggar peraturan disiplin.
 Menurut Ron Cocking ( 1973 ), kanak-kanak hari ini dididik dengan penuh kesabaran sehingga menolak pihak-pihak yang teratas. Hujah ini menerangkan perubahan-perubahan yang telah berlaku dari segi kawalan dirumah dan implikasi-implikasi disiplin sekolah. Kanak-kanak yang diasuh dengan manja akan medapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan permintaan pihak sekolah. Apabila terdapat situasi  yang  berlawanan dengan struktur pihak sekolah dengan
 rumah, pelajar-pelajar akan menggunakan tingkahlaku yang negatif untuk menyelesaikan masalah itu.

.2) Budaya Sekolah
     Menurut Tylor (1871), budaya ialah keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral,undang-undang, adat dan sebarang bentuk keupayaan dan kebiasaan yang diperolehi oleh seseorang sebagai ahli masyarakat.Budaya merupakan apa yang terkandung dalam diri individu hasil dari pengalaman interaksi sosial dengan masyarakat sekeliling.Budaya sebagai proses sosial telah memberi peluang kepada para guru untuk membentuk budaya melalui interaksi dengan pelajarnya.
  Manakala budaya sekolah merupakan sebahagian budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada keperluan masyarakat.Semua pelajar sekolah terus didedahkan kepada norma, nilai, simbol dan bahasa yang akan mencorak masa depan mereka. Budaya sekolah ialah budaya yang dihasilkan oleh sebahagian pelajar dan sebahagian lagi oleh golongan tertentu supaya aktiviti pelajar dapat dikawal. Pendidikan nilai amat diutamakan.Pembudayaan di sekolah dilaksanakan menerusi kurikulum formal dan  kurikulum tidak formal.
 Budaya formal sekolah adalah apa yang telah dirancang seperti aktiviti kurikulum dan kegiatan kokurikulum. Pelajar yang pandai dan aktif akan mendapat sanjungan puhak guru dan sekolah. Manakala pelajar yang lemah dan kurang cerdik akan tesisih. Budaya ini menyebabkan pelajar ini akan melakukan gelaja negatif bagi menarik perhatian pihak tertentu atau pun untuk melepas naluri yang terhimpit. Mereka bebas memilih budaya-budaya yang dianjurkan oleh rakan sebaya, media massa atau keluarga.Sekiranya mereka memilih budaya negatif, maka akan  wujudlah masalah sosial.

.3) Pendidikan  dan Meritokrasi
 Tanpa  kita sedari dasar meritokrasi telah lama wujud dalam sistem pendidikan negara kita.Tidak semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi persekolahan Malaysia yang layak masuk ke universiti. Hal demikian telah dilakukan untuk memilih yang yang terbaik layak menyambung pelajaran ke menara gading. Proses penapisan inilah yang membuktikan betapa dasar meritrokasi sudah diamalkan  sebelum ini.
Selaras dengan dasar fungsionalisme, pendidikan di Malaysia memberi ruang persaingan dalam kesamaan peluang yang diberikan. Ini bermakna  sungguhpun semua murid mempunyai peluang masuk yang sama ke sekolah, sistem pendidikan Malaysia modem meneruskan dasar-dasar meriktrokasi dalam pendidikan melalui  pengaliran Kebiasaan sekolah ialah mengasingkan murid-murid mengikut tahap ‘inteligen’ dalam bilik darjah berlainan. Perlaksanaan sistem ini boleh mewujudkan masalah disiplin. Melalui sistem ini pelajar yang kurang pintar akan ditempatkan dalam satu kelas. Biasanya pelajar-pelajar ini datang dari golongan kelas sosial  rendah. Guru pula kurang memberi perhatian dalam kelas ini. Oleh itu murid merasa tidak dipedulikan. Pelajar ini kurang motivasi dan tidak berminat untuk belajar. Mereka sering ponteng sekolah dan melakukan pelbagai  perkara yang melanggar disiplin.
\
Cadangan &  Kesimpulan
 Sudah sekian  lama masalah sosial menular di kawasan sekolah dan melanda kebanyakkan pelajar kita. Sama ada disedari atau tidak kebanyakkan masalah yang melanda masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud  disekeliling kita.dengan publisiti meluas di dalam media massa, masalah sosial di kalangan pelajar sebenarnya sudah berada pada tahap yang mencemaskan.
 Salah siapa gejala ini wujud? Ada setengah pihak yang dengan cepat menunding jari kepada  para guru.Memang benar ada segelintir guru yang tidak bertanggungjawab dan tidak profesional. Tetapi bilangan guru seperti ini adalah kecil. Tentulah tidak adil menunding jari hanya hanya kepada guru sebagai faktor utama merebaknya masalah ini di sekolah.Ini seandainya kita megambil kira masa murid bersama guru hanya kira-kira enam jam sehari.Masa selebihnya termasuk hari sabtu,ahad dan cuti umum, anak-anak tersebut adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa penjaga. Ibu bapa sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang  lebih besar terhadap anak-anak. Mereka perlu mengambil berat dan memerhatikan setiap pergerakkan anak-anak di luar waktu sekolah. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan membiarkan anak-anak untuk melakukan apa saja tanpa kawalan. Malangnya ramai ibu bapa sekarang terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan harian, menyebabkan masa untuk bersama anak terhad. Atas alasan  perlu bekerja lebih untuk mendapat banyak wang, ibu bapa telah meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru.
 Pihak kerajaan perlu menggubal undang-undang yang dapat menghukum ibu bapa yang cuai mendidik anak-anak. Jika  guru yang tidak bertanggungjawab boleh dihukum mengikut peraturan yang sedia ada.Tetapi apa pula tindakan terhadap ibu bapa yang cuai, lepas tangan dan tidak bertanggungjawab sehingga anak-anak mereka terlibat dalam kegiatan tidak sihat. Ibu bapa seperti inilah sebenarnya faktor utama yang meningkatkan masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah.
 Kurikulum Pendidikan perlu dikaji dan dikemaskini selalu megikut peredaran masa.Ini bagi memastikan input yang diberi kepada pelajar bertepatan dengan hasrat masyarakat dari segi agama, akhlak dan budaya negara yang positif.

Pihak kerajaan juga mempunyai peranan yang paling penting dalam hal ini. Akta pencegahan jenayah dan Akta Juvana juga perlu dikaji dan diubahsuai selaras dengan zaman globalisasi. Setiap pelajar tanpa  mengira kaum dan kelas sosial perlu didekati supaya mereka menghayati keunggulan disiplin. Keunggulannya dapat diterapkan melaui kerjasama semua pihak sperti pentadbir sekolah, para guru, ibu bapa dan sebagainya.Secara tidak langsung masalah disiplin yang semakin serius dapat dikurangkan peratusannya. Sesungguhnya kuatkuasa disiplin adalah untuk kebaikan semua pihak.

 

Bibliografi

Alex Inkeles. 1982. What is Sociology? : An Introduction to the Discipline and 
      Profession. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Amir Hasan Dawi. 1999. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Tanjong Malim : 
      Quantum Books.

Ee Ah Meng. 1994. Perkembangan dan pelaksanaan kurikulum. Kuala Lumpur:
       Fajar Bakti.
 

 Husein Mahmood. 1993.Kepemimpinan dan keberkesanan sekolah:Kuala Lumpur.
          Dewan Bahasa  Pustaka.

Kamarudin Hj. Husin dan Kamarul Azhar. 1994. Asas Pendidikan III : Perkembangan 
          Dan Pelaksanaan Kurikulum. Kuala Lumpur : Longman Malaysia.

Mahadi Osman. 1996. Masyarakat melayu dan gejala sosial. Kuala Lumpur:
          Institut Perkembangan Minda. 

Mohd. Salleh Lebar. 1992. Perubahan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur : 
         Nurin   Enterprise.

Mohd. Salleh Lebar. 1998. Sosiologi Sekolah & Pendidikan . Kuala Lumpur : 
        Thinker Library.

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama