TAJUK: Disiplin
pelajar daripada perspektif Teori Structural –Fungsional
1.0 Sinopsis Isu:
Banyak yang telah kita dengar tentang gejala
sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti
yang terlibat begitu pelbagai sekali, baik yang dilakukan oleh remaja,
mahupun oleh orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja merupakan
bakal pewaris negara ini, maka kegiatan merekalah yang paling hangat diperkatakan.
Pada lazimnya, masalah disiplin di kalangan
pelajar sekolah hanya berkisar di sekitar kenakalan
mereka merosakkan harta benda awam, ponteng sekolah, merokok, melepak
dan seumpamanya. Mereka semakin berani melakukan pelbagai perbuatan
yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang negara.
Namun begitu apabila pelajar sekolah mulai bertindak
lebih jauh daripada itu, sesuatu perlu dilakukan
segera untuk membendung mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara
yang tidak diingini.
Kes terbaru melibatkan pergaduhan antara pelajar
yang menyebabkan pembunuhan di dalam sebuah bas sekolah ketika dalam
perjalanan ke sekolah. Dalam kes seperti ini siapa yang patut dipersalahkan?
Bagaimana ini boleh terjadi?
2.0 Disiplin pelajar daripada perspektif
Teori Structural –Fungsional
Definisi dan konsep :
Teori ini mengkaji fungsi perlakuan sosial atau
institusi dalam kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada penerusan
masyarakat . ahli-ahli fungsionalisme sering mengatakan bahawa setiap
bahagian masyarakat mempunyai tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan
tersendiri.
Teori ini juga menekankan kepentingan persefahaman
anggota-anggota masyarakat untuk mencapai keharmonian dan kestabilan masyarakat.
Mengikut pemikiran ahli fungsional kita harus memerhatikan terlebih dahulu
mengenai fenomena sosial. Kita hendaklah terlebih dahulu mengenalpasti
struktur sosial.Teori ini akan mengkaji bagaimana sistem sosial ini
berfungsi.
Antara faktor-faktor yang mempengaruhi
wujudnya masalah disiplin:
i. Institusi
Keluarga:
James Becker mengatakan bahawa ketidakseimbangan
disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan
pengawalan diri yang sempurna.Ibu bapa hendaklah membimbing, memahami kehendak
jiwa remaja dan berfikiran terbuka.Ibu bapa hendaklah menjadi ‘role
model’ sekaligus sebagai perangsang. Ini akan mendorong kepada kewujudan
suasana harmonis.
ii. Pihak Sekolah:
Tugas guru, disamping mengajar juga adalah sebagai
role model yang utama bagi para pelajar. Amalan demokrasi juga sepatutnya
dilaksanakan dalam melaksanakan meritokrasi. Konflik jiwa , pemberontakan
batin dan rasa tidak puas hati pelajar terhadap undang-undang dan dasar
pendidikanakan menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara diluar jangkaan.
Pra pelajar juga hendaklah dilatih dan diasuh dalam suasana budaya berbilang
kaum supaya mereka tidak keterlaluan dalam kaum sendiri.
iii. Media Massa/ Internet:
Media massa dan internet sangat berpengaruh dan
amat sukar untuk dielakkan pada zaman ini. Paparan adegan-adegan negatif
yang berunsur ganas, lucah dan seram sedikit sebanyak telah mempengaruhi
golongan remaja kita. Golongan remaja suka mencuba tanpa memikirkan kesan
atas tindakan mereka itu. Ibu bapa, guru dan pihak berwajib hendaklah sama-sama
membendung gejala ini.
iv. Rakan sebaya:
Peranan rakan sebaya turut menyumbang kepada
berlakunya gejala sosial ini terutama kepada pelajar-pelajar yang
tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Rakan-rakan
dapat mencorak personality individu tertentu. Justeru itu, ibu bapa patut
tahu siapa rakan-rakan anak mereka, apa aktiviti mereka, di mana mereka
berjumpa dan lain-lain persoalan lagi.
Menurut teori fungsionalisme, ibu bapa,
pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa saling berperanan dalam mengatasi
masalah disiplin.
3.0 Definisi Modenisasi:
Modenisasi merupakan satu proses
transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai
kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi juga
diterima sebagai keadaan di mana masyarakat tradisional
menggantikan atau memodenkan sikap , autoriti , hubungan dan
nilai-nilai lama kepada yang baru.
Gaya hidup yang tradisi telah
berubah kepada cara hidup moden seiring dengan pertumbuhan kilang-kilang,
pusat-pusat membeli-belah, pusat-pusat hiburan dan taman –taman tema.
Sistem pendidikan juga telah mengalami modenisasi secara beransur-beransur
dengan adanya pertemuan gejala barat.
4.0 Menganalisis isu berdasarkan tiga
konsep sosiologi:
4.1 Pendidikan dan Modenisasi:
Antara faktor penting yang menyumbang kepada
masalah disiplin adalah disebabkan proses modenisasi iaitu
masyarakat telah mengalami perubahan-perubahan yang tidak disertakan
dengan perubahan dalam sistem persekolahan.
Terdapat perubahan dalam nilai dalam
norma-norma dalam kehidupan kita disebabkan oleh proses-proses
modenisasi, perbandaran dan birokrasi. Taraf pendidikan ibubapa juga
telah meningkat. Kebanyakan ibu bapa keluar bekerja sama ada
sebagai pekerja profesional, sokongan atau buruh biasa. Keluarga
yang kedua ibubapa mereka keluar bekerja mempunyai kurang waktu untuk keluarga
seperti laporan Harian Metro pada 30 November 1998 , melaporkan bahawa
menurut Datuk Paduka Zaleha Ismail, kanak-kanak dari keluarga nuklear kurang
berkesempatan berinteraksi dengan keluarga menyebabkan gejala sosial mudah
mempengaruhi mereka. Sekali lagi, Harian Metro bertarikh 1 Februari 1999
melaporkan Zaleha Ismail berkata bahawa gejala sosial yang semakin menular
berpunca dari keruntuhan institusi keluarga dan kurangnya kasih-sayang
dari keluarga.
Remaja yang terbiar dan ketandusan kasih sayang
akan mencari rakan sebaya untuk memenuhi kekurangan ini. Mereka berkumpul
dan mencari hiburan di pusat-pusat membeli –belah, pusat hiburan
dan paling malang apabila mereka membentuk kumpulan untuk melakukan jenayah.
Infrastruktur, perkhidmatan awam dan sistem komunikasi
yang berkesan dan maju telah disalahgunakan oleh
remaja kita.
4.2 Pendidikan dan Reproduksi Kelas sosial:
Seperti yang disebutkan oleh Datuk Paduka Zaleha
Ismail tadi iaitu "… kurangnya masa berinteraksi …" dan "… kurangnya kasih
sayang …". Ataupun apa-apa kekurangan lain yang seumpama dengannya. Pope,
C.E. dalam artikelnya yang bertajuk "The Family, Delinquency and Crime"
menyebut, "… perceraian, keluarga induk, cara mendisiplin yang tidak sesuai,
kurang pengawasan, kurangnya ikatan positif dengan ibubapa, saiz keluarga
yang besar dan seumpamanya telah dikenalpasti berpotensi untuk mempunyai
perkaitan dengan tingkahlaku yang tidak sesuai."
Terdapat banyak kajian tentang hubungan
antara latar belakang keluarga yang tidak stabil dengan kerosakan
akhlak di kalangan kanak-kanak sekolah dan remaja. Pelajar
yang datang dari keluarga bermasalah dengan taraf ekonomi yang rendah
antara faktor utama pelajar terjebak dalam masalah disiplin. Untuk
mengatasi masalah kewangan yang kian meruncing , bilangan ibu bapa yang
keluar bekerja meningkat yang mana faktor ini telah menyumbang kepada kurangnya
masa untuk beriteraksi dan kurangnya perhatian dan kasih sayang kepada
anak-anak.
4.3 Pendidikan dan Kawalan Sosial:
Peranan sekolah sebagai agen perubahan sosial
samada secara formal ataupun informal sangat nyata. Kurikulum sekolah
Malaysia yang disesuaikan dengan masyarakat makro
telah mengambil kira peranan sekolah sebagai agen kawalan sosial. Para
pelajar telah didedahkan dengan perlakuan-perlakuan patut dan tidak patut
melalui penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran.
Selain itu para pelajar secara mikronya
tertakluk kepada peraturan-peraturan atau disiplin yang telah ditentukan
oleh pihak sekolah. Guru-guru akan memastikan pelajar-pelajarnya mematuhi
peraturan. Pujian akan diberikan kepada yang mematuhi peraturan dan sebaliknya,
teguran dan hukuman seperti di rotan, digantung atau dibuang sekolah
akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang melanggar peraturan.
Tidak semua pelajar dapat menerima hukuman secara
positif, sebaliknya mencetuskan konflik yang kompleks dalam jiwa
mereka. Justeru itu pihak sekolah khasnya guru-guru perlu lebig perihatin
terhadap golongan pelajar seperti ini. Keintiman guru dengan pelajar
dan kesediaan guru mendengar masalah pelajar sedikit sebanyak dapat membendung
masalah disiplin dan salah laku dikalangan pelajar sekolah. Jika
pihak sekolah kurang peka terhadap ini semua berlakulah pelbagai
masalah sosial termasuk berani membunuh.
Keterikatan dengan sekolah dan kawan-kawan yang
konvensional juga penting untuk menjauhkan aktiviti delinkuensi. Begitu
juga dengan kebolehan akademik, pencapaian akademik serta sensitiviti terhadap
kehendak guru.
5.0 Rumusan:
Secara keseluruhannya,secara sedar atau tidak,
kebanyakan masalah yang melanda pelajar pada masa kini
adalah disebabkan konflik atau tekanan yang wujud
di dalam alam persekitaran . Proses modenisasi atau pembangunan yang
pesat telah mengubah cara hidup masyarakat kita khasnya golongan
remaja. Begitu juga dengan institusi kekeluargaan yang sudah tidak
dianggap penting lagi justeru meningkatnya kadar perceraian .
Sebagai contoh, Berita Harian bertarikh
20 Oktober 1998 melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu
mendapati keruntuhan institusi keluarga adalah punca utama kepada peningkatan
masalah moral di kalangan remaja bawah umur di negeri tersebut.
Rata-rata masyarakat kita mula bersikap individualistik dan materialistik.
Dalam agama pula, ibubapa bertanggungjawab
untuk mendidik anak-anak untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna kepada
keluarga, agama dan bangsa. Sama ada ibubapa itu senang atau susah, sama
ada keluarga itu ada ibu dan bapa atau hanya ada ibu atau bapa sahaja,
penjaga tidak terkecuali dari tugas ini. Cuma mungkin dalam keadaan kemiskinan
dan keluarga induk, masa untuk mendekati dan mendidik anak dengan nilai-nilai
yang murni dan mulia agak terbatas. Namun jika kajian menunjukkan mendidik
anak-anak dengan nilai-nilai mulia ini amat penting untuk menjauhkan anak
dari jenayah dan delikuensi, maka pastinya usaha untuk mencari masa dan
mendidik anak-anak dengan apa yang mereka perlu tahu, bukanlah sesuatu
yang sia-sia.
Setiap ahli komuniti atau masyarakat mempunyai
peranan masing-masing. Setiap individu perlu melaksanakan peranan dan tanggungjawab
masing-masing dengan sempurna kerana setiap satu ada perkaitan. Kita
perlulah merealisasikan konsep Masyarakat Madani .
Setiap pelajar perlu didekati supaya
mereka rasa diterima oleh masyarakat
khasnya dalam institusi keluarga dan sekolah.
Hubungan dan kerjasama erat perlu
ditingkatkan antara ibu bapa, pihak pentadbir,
guru-guru, guru disiplin dan kaunselor
amat penting untuk membendung masalah jenayah
di kalangan pelajar remaja kita.
RUJUKAN:
Amir Hasan Dawi .2002. Penteorian Sosiologi dan
Pendidikan Edisi Kedua.
Tanjung Malim: Quantum.
Fatimah Daud. 1992. Pengenalan Teori-teori Sosiologi.
Kuala Lumpur:Fajar Bakti.
Mohd. Salleh Lebar.1992.Perubahan Pendidikan di
Malaysia. Kuala Lumpur:
Nurin Enterprise.
Sharifah Alwiah Alsagoff.1985.Sosiologi Pendidikan
. Petaling Jaya: Longman.
Berita Harian. 23 Oktober 2001. Pelajar Terdedah
Unsur seram, ganas.
Utusan Malaysia. 20Oktober 2001. Dua pelajar disyaki
membunuh ditahan reman.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
 
|