TAJUK : Disiplin Sekolah
Semakin Merosot.Bincangkan.
PENGENALAN
“ 400 pelajar dikenal pasti langgar disiplin ”, “ Ibu
bapa patut bantu sekolah atasi gejala sosial ”, “ Buli gugat semangat
belajar ” dan “ Kerjasama penting bagi banteras gangsterisme”. Begitulah
antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di dada akhbar-akhbar tempatan
pada masa kini. Berita-berita seperti ini membayangkan kemerosotan
disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini
memang amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan .Walaupun
pelajar sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi nampaknya
ini semua hanya retorika semata-mata.
Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam negara dan bakal
menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan
program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020.Pembangunan negara
yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan teknologi
maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja
sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup
yang tidak sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat
dan negara.
Masalah disiplin di sekolah kini telah menjadi lebih kompleks
dengan kewujudan kes pelajar yang terlibat dalam aktiviti pemujaan serta
ajaran sesat yang dikenali ‘Black Metal’. Hakikatnya jelas dapat dilihat
dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-kes disiplin
seperti ini serta penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh
pelajar-pelajar.
KONSEP DAN DEFINISI DISIPLIN
Disiplin merupakan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk
membentuk para pelajar selari kehendak agama ,norma-norma masyarakat dan
undang-undang sesebuah negara. Namun begitu sesuatu yang mulia tidak mudah
diterima oleh golongan pelajar, apatah lagi banyak unsur lain mempengaruhi
perkembangan mental mereka. Gejala seperti ponteng sekolah, melawan guru,
bersikap antisosial(peraturan), bergaduh,membuli, merokok dan sebagainya
adalah masalah yang sering diperkatakan. Mengikut kamus Oxford Advanced
Learner’s, disiplin didefinisikan sebagai:
“ … is the practice of training people to obey rules and orders and
punishing them if they do not”
Mengikut Kamus Bahasa Melayu terbitan Utusan Publication and Distributors
Sdn. Bhd. (1995) mendefinisikan disiplin sebagai “ kepatuhan, kesetiaan
dan ketaatan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan”. Manakala
mengikut Kamus Dewan Edisi Baru Terbitan DBP, KL (1989) mendefinisikan
disiplin sebagai “Latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh
mengawal diri sendiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan sekiranya
ini berlaku sebaliknya hukuman atau denda dikenakan”.
Mengikut Barbara An Kipter, Ph.D dalam Roger’s 21st Century Thesaurus,
beliau mengatakan disiplin itu adalah “latihan dan dendaan (Training and
punishment)”.
Terdapat 3 kategori masalah disiplin atau kesalahan iaitu berat, sederhana
dan ringan. Kesalahan disiplin yang berat dan sederhana akan dimaklumkan
kepada ibubapa untuk perhatian dan tindakan. Kesalahan-kesalahan yang ringan
dan yang lebih berat sepatutnya direkodkan.
PONTENG SEKOLAH
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah
Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada
pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng
sekolah terutamanya mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan
kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar
sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai “ cendawan tumbuh selepas
hujan ” walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani
masalah ini.
Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula
oleh masalah keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan
antara ibu dan bapa menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk
anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan
kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada
keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan
keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan
pelajar . Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap
materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan
anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata.
Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan.
Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim dan
Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna
(disfungsi). Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng
sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih
rapat dengan mereka.
KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH
Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700,
Kongsi gelap didefinisikan sebagai “Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan
untuk maksud atau kegiatan jenayah”.
Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal
Pengguna Negeri Johor, En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah
pada tahap kritikal. Mengulas perkara tersebut beliau berkata;
" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan
memerlukan pendekatan bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat
untuk memeranginya sehingga ke akar umbi."
(Utusan Malaysia 20 Feb 97)
Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang
ramai yang membantu dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan
Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka
yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Laporan akhbar Utusan Malaysia
pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea, melaporkan
bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh
negeri Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut
menggambarkan betapa seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam
kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor.
Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama
yang merangsang pembentukan kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah:
Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya
struktur sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan
membawa kepada perasaan kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan
sokongan di luar institusi tradisional.
Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging"
dan menjadi sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya,
keahlian tersebut menjadikan remaja merasakan diri mereka berkuasa dan
menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat mereka melepaskan
kemarahan atau pun ketegangan.
Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan
sering digunakan untuk mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan
ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan
kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli secara sukarela atau
paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber dan
keahlian kumpulan.
Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi
gelap yang lebih berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan
dan mengembangkan pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih
luas.
Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca
pelajar atau pun remaja menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut
pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993) iaitu:
a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman
mereka.
b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging”, dikagumi dan kekuasaan.
c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti.
d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai.
e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.
BAHAN LUCAH
Kebelakangan ini, laporan akhbar atau televisyen yang menyatakan pelajar
dirogol atau menjadi perogol yang mana rata-rata mereka ini berumur dalam
lingkungan umur 10 hingga 18 tahun yang masih dibangku sekolah. Tidak hairanlah
jika mereka ini berani membawa bahan lucah ke sekolah untuk dikongsi bersama
rakan lain malah mereka berani melakukan perbuatan yang tak senonoh dan
terkutuk itu di dalam tandas atau mana-mana tempat di kawasan sekolah.
Hal ini berlaku tidak lain disebabkan oleh faktor pengaruh bahan lucah
yang murah dan mudah diperolehi .
Baru-baru ini kita dikejutkan oleh laporan akhbar, ‘ Ibu bapa dan anak
kongsi bahan lucah’(Berita Harian: 22 Oktober 2001). Laporan di atas bedasarkan
kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) ke atas
381 murid Tahun 6 dari mukim Ulu Tiram, Kulai dan Kota Tinggi mendapati
perbuatan tidak bermoral ibu bapa antara faktor yang mendedahkan kanak-kanak
terbabit kepada bahan dan unsur lucah.Walaupun penguatkuasaan telah dijalankan
oleh pihak kerajaan VCD lucah masih lagi yang boleh dibeli di pasaran
terbuka seperti pasar malam dengan hanya RM3 sahaja setiap satu. Mereka
sering menonton ‘aksi’ yang boleh menaikkan nafsu seterusnya ia akan mendorong
mereka ini untuk melakukan perbuatan merogol dan membunuh.
Oleh sebab kebanyakan mereka dalam lingkungan umur persekolahan, pihak
sekolah, ibu bapa, polis, dan masyarakat tidak boleh memandang masalah
ini dengan ringan, malah sesuatu yang berkesan perlu dilakukan segera untuk
membendung gejala yang amat membimbangkan ini. Pihak penguatkuasa undang-undang
juga bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan yang kurang berkesan. Pengusaha
tempat hiburan yang hanya mementingkan keuntungan dan tidak mempedulikan
soal moral dan etika juga bertanggungjawab terhadap gejala yang membimbangkan
tersebut. . Oleh yang demikian, penguatkuasaan perlu ditingkatkan dan diketatkan,
dan pengusaha pula kembali memikirkan tindakan mereka demi masa depan generasi
muda.
“Remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 18 tahun terlibat dalam persembahan
Hip Hop di pusat hiburan di ibu kota. Sekumpulan remaja perempuan berpakaian
seksi , seperti baju sendat bertali halus, berpeluk-pelukan di khalayak
ramai.Mereka ini bercampur bebas dan berkucupan tanpa segan silu. Lirik
lagu Hip Hop menggalakkan seks bebas, kelucahan melampau dan keganasan.
“
Laporan Berita Harian 17 Julai 1999 ( Sabtu ) ,
Seorang komposer dan penggubah lagu terkenal tanahair iaitu, M.Nasir
(Berita Minggu 26 September 1999) berpendapat pembaratan Muzik Malaysia
sudah berlaku sejak zaman penjajahan Barat terhadap Asia Tenggara lagi.
Kini terbuktilah budaya kebaratan ini semakin menular dan remaja menjadi
mangsa mereka. Langkah sewajarnya perlu diambil agar hal sebegini tidak
semakin menular. Kesan yang besar kepada negara di masa hadapan kerana
golongan inilah yang akan menyambung warisan kemajuan serta kemakmuran
yang dikecapi selama ini.
PERBINCANGAN:
FAKTOR-FAKTOR UTAMA
Banyak faktor yang menyebabkan masalah kemerosotan disiplin pelajar
pada masa kini berlaku. Punca utama ialah pengaruh media massa. Filem,
suratkhabar, majalah, dan televisyen yang menonjolkan budaya kuning amat
mudah diikuti oleh para pelajar. Babak ganas dan seks akan menjadikan fikiran
remaja keras dan rakus. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana usia mereka
yang rata-rata berusia antara 12 hingga 20 tahun masih dianggap mentah.
Selain itu, kemerosotan disiplin para pelajar juga terjadi kerana masalah
keluarga. Ayah dan ibu sering berkelahi di hadapan anak-anak dan pada waktu
yang sama mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Sesetengah
ibu bapa pula menyerahkan soal disiplin sepenuhnya kepada pihak sekolah,
sedangkan pada hakikatnya pembentukan moraliti seseorang itu bermula di
rumah.
Sesetengah pelajar pula menjadikan sekolah sebagai tempat untuk melupakan
segala masalah. Namun, keadaan di sekolah bukanlah seperti yang diimpikan
oleh ibu bapa. Guru memang ingin membantu masalah yang dihadapi oleh pelajarnya,
tetapi jumlah pelajar yang ramai di dalam sebuah kelas menyebabkan kesempatan
guru terbatas.
Hukuman atau denda yang dikenakan kepada sesesorang pelajar juga merupakan
faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu menjadi semakin liar. Pihak
sekolah perlu menggunakan pendekatan psikologi apabila berhadapan dengan
pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin. Namun begitu, ini juga tidak menyelesaikan
masalah kerana para pelajar tidak akan takut jika sesuatu kesalahan dihukum
dengan nasihat sahaja.
Pengaruh rakan sebaya juga turut mempengaruhi disiplin para pelajar
merosot. Ada pelajar yang masih berkawan dengan rakan yang tidak bersekolah.
Mereka yang tidak bersekolah ini mungkin kerana keciciran dalam pelajaran
ataupun sudah menamatkan alam persekolahan akan berlagak dewasa dengan
menghisap rokok, berpakaian tidak senonoh, dan melakukan sesuatu tindakan
untuk menarik perhatian.
Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi bagi pelajar miskin. Kedua-dua
ibu bapa sibuk mencari nafkah, si anak akan terbiar dan memilih haluan
sendiri. Pelajar ini mempunyai perasaan rendah diri. Bagi menunjukkan diri
mereka hebat dan berkemampuan, peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah
tidak diikuti.
Sebenarnya masalah kemerosotan disiplin saling berhubung kait. Oleh
itu, tidak wajar jika sesetengah pihak sahaja yang dipersalahkan. Para
pelajar, ibu bapa, dan guru mestilah memainkan peranan mereka masing-masing.
Negara kita menghadapi masalah kekurangan guru lelaki di mana fenomena
ini mungkin menjadi salah satu punca kemerosotan disiplin. Nisbah
antara guru lelaki dengan guru perempuan pada kadar 4:6. (Berita Harian
:19 Julai 1999) . Keadaan yang lebih meruncing sangat dirasai di sekolah
rendah dan menurut Kementerian Pendidikan, fenomena kekurangan guru lelaki
akan berterusan dalam beberapa tahun yang akan datang kerana jumlah guru
pelatih perempuan di maktab perguruan melebihi jumlah guru pelatih lelaki.
Begitu juga di peringkat universiti , di mana kaum lelaki amat tidak begitu
berminat untuk menceburi bidang pendidikan.
Sememangnya hal disiplin pelajar biasanya diserahkan kepada guru lelaki
yang bermisai lebat dan berwajah garang. Apabila orang lelaki semakin menghindari
profesion ini, ada pendapat yang menyatakan bahawa tahap disiplin pelajar
hari ini semakin merosot.
KESAN
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat
pada tahun 1993 didapati bahawa sekalipun penyertaan remaja atau pelajar
di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak 10 peratus namun, laporan
jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah kurang daripada
2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993).
Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara
yang pasti ialah kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang
utama dengan merebaknya kegiatan salah laku di sekolah.
Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat
menyatakan bahawa terdapat peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah
sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi
untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain
(Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat
sekiranya wujud kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka.
Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin
di sekolah ialah:
a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan
sebagainya.
b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa
mereka.
c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa
terancam.
d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan.
e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah
terbabit.
Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah
penting bagi kita menangani permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah
mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi menjamin keutuhan sekolah
sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur pencegahan yang
sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan
pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan
yang positif kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu
kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat
adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang berkesan serta
menyeluruh.
CADANGAN
1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi
menangani masalah ini.
2. Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS)
adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan
salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini dibuat agar
sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis
salah laku pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru, bertumbuk
dan sebagainya.
3. Perkhidmatan Bimbingan & Kaunseling – Guru pakar
dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat menjalankan tugas dengan baik
bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar mereka yang terlibat dalam
masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah
yang ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari
sekolah-sekolah seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini
kerana mereka inilah yang akan membangunkan negara pada masa akan datang.
4. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah
wajar dan patut diberi sokongan sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi
kebenaran untuk penubuhan kelab seperti ini yang bertujuan untuk melatih
dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah
dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan
kepada pentingnya sikap yang jujur.
5. Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi
masalah disiplin ini, namun yang paling penting adalah peranan ibubapa.
Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan sentiasa mendorong
mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.
PENUTUP
Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan
pelajar pada zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat
kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah
dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan
dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati
di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.
Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan
nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat,
teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar
tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa
menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata
yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku
sekarang sudah amat jauh bezanya.
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang
lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka
adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah
tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang
sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar
menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa
tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah
disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada
masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk
para pelanggannya iaitu para pelajar.
SENARAI RUJUKAN
Amir Hasan Dawi 1999, Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum Books
,
Tanjong Malim.
Ee Ah Meng1995, Pendidikan Sebagai Satu Proses, Fajar Bakti Sdn. Bhd.Kuala
Lumpur.
Kamarudin Hj.Husin1994, Asas Pendidikan 1, Longman Malaysia Bhd. Kuala
Lumpur.
Noraini Ahmad 1995, Kaunseling Remaja, Budaya Ilmu Sdn.Bhd. Petaling
Jaya.
Ting Chew Peh 1997, Konsep Asas Sosiologi, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.
Wan Azmi Ramli1978, Masyarakat Satu Kajian Ilmiah Dalam Kontek
Kebajikan Am,
Utusan Printcorp
Sdn. Berhad,
W.S Winkel 1987, Psikologi Pengajaran, Penerbit PT Gramedia, Jakarta.
Lain-lain rujukan:
Utusan Malaysia 14 Ogos 1996
Utusan Malaysia 17 Julai 1999
Berita Harian 19 Julai 1999
Berita Harian 7 April 2001
Berita Harian 7 September 2001
Berita Harian 11 September 2001
Berita Harian 12 September 2001
Berita Harian 17 September 2001
Berita Harian 22 Oktober 2001
Sumber Internet
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
 
|