TAJUK: Pendemokrasian
Pendidikan Dan Kesamaan Peluang
1.0 Sinopsis Isu
Sekolah merupakan wacana untuk setiap insan
membina diri mereka dengan pengisian dari pelbagai sumber ilmu agar dapat
memudahkan individu menghadapi arus kehidupan di alam ini. Pembelajaran
ini bermula dengan penyediaan diri pelajar dengan pelbagai perkara bermula
dari segi mental hinggalah kepada fizikal. Dengan persediaan yang seperti
ini mendatangkan keyakinan yang tinggi kepada para ibu bapa menghantar
anak mereka ke sekolah. Di peringkat sekolah pula guru besar memainkan
peranan sebagai pentadbir untuk menyediakan keselesaan kepada para pelajarnya
agar objektif penbelajaran dan pencapaian pelajar dapat dicapai pada tahap
yang memuaskan. Inilah harapan yang menjadi impian setiap ibu bapa dan
pihak sekolah untuk merealisasikan aspirasi yang ditunjangi oleh kerajaan
negara kita.
Bilik darjah merupakan tempat yang paling
sesuai untuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang
mempunyai suasana yang tenteram dan selesa serta ditambah dengan pelbagai
bahan pengajaran atau bahan bantu mengajar akan memberi kesan yang mendalam
kepada penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru. Sejauh mana keselesaan
tersedia dan suasana yang dapat merangsang pembelajaran murid maka sejauh
itulah tumpuan dan penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru. Pembentukkan
bilik darjah juga amat bergantung kepada kreativiti seseorang guru yang
diberi tugas untuk memegang jawatan guru darjah.
Bilik darjah merupakan sebuah tempat yang
menempatkan para pelajar untuk mereka menerima dan menimba ilmu yang disampaikan
oleh tenaga pengajar secara terus. Pada zaman kecanggihan ledakan teknologi
maklumat dan penggunaan multimedia terutama dalam bidang perkomputeran,
penggunaan bilik darjah sebagai wadah penyampaian ilmu mulai ada penggantinya.
Namun tahap yang dapat dicapai melalui pembelajaran sistem ‘online’ ini
hanya lebih praktikal kepada pelajar yang senior sahaja terutama di peringkat
menengah dan ke atas. Atas perkara ini, kita masih lihat kepentingan
bilik darjah dalam penyampaian ilmu masih lagi terus relevan kerana pembelajaran
dalam bilik darjah adalah lebih mudah dan tidak banyak masalah yang remeh
untuk diselesaikan.
Dalam usaha pihak yang bertanggungjawab
untuk menyediakan suatu sistem pembelajaran yang berkualiti, wujud suatu
jurang pembelajaran yang kita lihat sebagai perkara yang boleh memberi
kesan yang sangat ketara terhadap tahap pencapaian pelajar kita berbanding
negara lain melibatkan ehwal situasi bilik darjah di Malaysia. Perbandingan
ini meliputi penempatan bilangan pelajar dalam bilik darjah yang mempunyai
jumlah pelajar yang terlalu padat dan sesak. Menurut guru sosiologi sejarah
dunia sekolah tinggi, Christine Warner, “dengan pelajar berjumlah 40 orang
atau lebih dalam sesebuah kelas, adalah sukar bagi guru di mana-mana pun
untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajarnya”.
Di Australia, kadar bilangan penempatan
pelajar dalam sesebuah kelas adalah sekitar 20 hingga 25 orang untuk mewujudkan
suatu sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Di Los Angeles pula
setiap bilik darjah hanya memperuntukkan minimum 20 dan maksimum hingga
25 orang sahaja. Ini membuktikan negara-negara maju yang melaksanakan dapat
melahirkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hasilnya dapat
kita lihat di mana pelajar-pelajar mereka mempunyai kualiti dari segi pengetahuan
yang tinggi terhadap sesuatu ilmu yang dipelajari.
2.0 Pengenalan
Menurut Gelles dan Levine (1995), teori
adalah suatu ringkasan ilmu pengetahuan yang menyediakan panduan untuk
melaksanakan penyelidikan dan menginterpretasi informasi yang baru. Secara
umumnya teori fungsionalisme ini telah diperkenalkan oleh Auguste Comte,
Herbert Spencer dan Emile Durkheim yang lebih tertumpu dalam bidang biologi.
Teori fungsionalisme ini merupakan teori yang mengkaji fungsi perlakuan
sosial atau institusi dalam kegiatan atau aktiviti yang menyumbang ke arah
penerusan masyarakat itu sendiri. Mengikut Spencer, masyarakat sebagai
satu kelompok yang memerlukan pelbagai kemudahan untuk mereka menjalankan
aktiviti bersosial seperti tempat beribadat, sekolah, balai raya, padang
permainan dan sebagainya. Oleh itu perhubungan antara masyarakat yang wujud
di dalamnya amatlah mementingkan kerjasama sosial agar sumbangan yang positif
dapat diadakan untuk setiap bahagian masyarakat dan perubahan setiap bahagian
ini akan mempengaruhi bahagian-bahagian yang lain.
Ahli-ahli fungsionalisme telah mengkategorikan
teori ini kepada dua bahagian yang penting iaitu adakah masyarakat itu
dapat berfungsi (fungsi) atau tidak berfungsi (disfungsi). Menurut ahli-ahli
fungsionalisme, setiap bahagian yang ada dalam kelompok sesebuah masyarakat
mempunyai matlamat dan kehendak mereka sendiri. Menurut Robert K.Merton
(1959), untuk melihat sejauh mana keberkesanan struktur sosial ini, dia
telah membuat dua perbezaan yang dikenali sebagai fungsi ketara dan fungsi
tersembunyi. Fungsi ketara ialah fungsi yang menyumbang ke arah kebaikan
seperti tugas sebagai seorang guru untuk mengajar dan fungsi tersembunyi
pula ialah sesuatu yang tidak disedari berlaku atau tidak menjangka untuk
berlaku.
3.0 Menganalisis Isu
3.1 Analisis Isu Berdasarkan Satu Teori Sosiologi
Isu yang dinyatakan dalam keratan akhbar
seperti yang dipapar menunjukkan kepadatan bilik darjah di Malaysia yang
terlalu sesak mengakibatkan kadar tahap pembelajaran menurun di kalangan
pelajar. Ini adalah kerana bebarapa faktor yang mempengaruhinya seperti
berikut :-
3.1.1 Guru Kurang Berfungsi
Guru merupakan suatu anggota atau kakitangan
yang paling penting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Peranan dan
sumbangannya amat diperlukan pada mana-mana peringkat rendah mahupun menengah.
Tanggungjawab yang dipikulnya bukanlah sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan
sahaja bahkan membentuk akhlak dan nilai yang sewajarnya untuk menghiasi
latar belakang pelajar apabila mereka dewasa kelak. Tumpuan yang sepenuhnya
oleh guru terhadap setiap anak didiknya dalam sesebuah kelas akan mendatangkan
kesan dari segi perubahan tingkah laku mahupun persepsi dan minat pelajar
terhadap pelajaran yang sedang dipelajarinya ketika itu. Dengan bilangan
pelajar yang melebihi tahap maksima, kawalan kelas akan terabai kerana
guru tidak mungkin dapat mengawal dan memberi perhatian terhadap bilangan
pelajar yang ramai. Akibatnya, berlakulah pengabaian yang tidak formal
terhadap pelajar yang sedia ada dalam kelas tersebut.
3.1.2 Wujud Kumpulan Tertentu
Bilangan pelajar yang ramai dalam sesebuah bilik
darjah mengakibatkan wujudnya kelompok bilangan pelajar tertentu seperti
kumpulan-kumpulan elite yang mempunyai prestasi pelajaran yang baik berbanding
sebahagian yang lain. Kumpulan pelajar yang kurang pencapaiannya dalam
pelajaran pula akan mengasingkan diri mereka ekoran tahap pembelajaran
yang tidak sama dan merasa rendah diri terhadap rakan yang lebih baik dari
mereka. Golongan ini akan membentuk dua situasi kumpulan yang berbeza dari
segi ideologi pembelajaran dan sikap yang tidak sehaluan. Akhirnya suasana
bilik darjah akan menjadi tempat untuk mereka mengasingkan diri dari orang
yang tidak sealiran dengan pendirian mereka dalam pelajaran.
3.1.3 Pengajaran Dan Pembelajaran Kurang Berkesan
Mengajar adalah satu tanggungjaqwab yang besar.
Ia memerlukan
persediaan lengkap untuk mengajar di samping
memahami kerenah yang sedia ada pada pelajar yang ada dalam kelas terbabit.
Apabila bilangan pelajar yang melebihi tahap maksima, guru tidak dapat
menyediakan bahan yang terlalu banyak dan memdatangkan kesan kepada pengajarannya.
Guru terpaksa mengawal kelas dalam jangka masa yang lama sebelum memulakan
sesi pengajaran. Akibatnya masa yang diperuntukkan atas mana-mana mata
pelajaran akan makin berkurangan dan ini akan mendatangkan kesan seperti
sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan mengikut jangka masa ditetapkan,
guru akan melangkau kepada topik-topik yang dirasakan perlu baginya untuk
mengajar sahaja.
3.1.4 Wujudnya Halangan Komunikasi
Pelajar pada kebiasaannya akan mengadu hal tentang
tidak
fahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dipelajarinya.
Untuk itu, bilangan kelas yang ramai akan mendatangkan kesan pada
mereka kerana wujud rasa malu untuk bertanya pada guru sedangkan pada masa
yang sama rakan-rakan lain memahami akan pengajaran guru. Golongan ini
juga akan berasa malu untuk bertanya rakan sebaya seperti kumpulan elite
tidak mahu berdiskusi dengan pelajar yang lemah dan ini akan mendatangkan
kewujudan halangan berkomunikasi antara guru dan pelajar atau pelajar dengan
pelajar sendiri.
3.1.5 Kawalan Kelas Yang Longgar
Dengan jumlah bilangan pelajar yang terlalu sesak
ini, guru
terpaksa untuk mengawal tingkah laku pelajar
yang pelbagai latar belakang dari segi keluarga dan keadaan kesediaan untuk
belajar. Ada pelajar yang datang dari latar belakang keluarga yang susah
dari segi ekonomi, kurang berminat terhadap pelajaran, pelajar hiperaktif
dan sebagainya. Ini mengakibatkan guru tidak dapat untuk menumpukan sepenuhnya
terhadap kawalan kelas.
4.0 Definisi Satu Daripada Konsep Sosiologi
Yang Digunakan Untuk Menganalisis Isu
4.1 Pendemokrasian Pendidikan Dan Kesamaan
Peluang
Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang-
peluang yang sama kepada semua lapisan masyarakat.
Ini bermakna tiada perbezaan peluang antara kaum untuk mendapatkan sumber
ilmu sebagai perantaraan untuk memajukan kehidupan mereka. Kesamaan peluang
pula bermaksud setiap individu yang berada di mana-mana pun mempunyai hak
untuk mendapatkan pendidikan secara formal tanpa ada pengasingan etnik
mahupun peluang.
5.0 Analisis Isu Berdasarkan Tiga Konsep Sosiologi
Yang Sesuai
5.1 Pendemokrasian Pendidikan dan Kesamaan
Peluang
Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang
yang sama untuk semua kanak-kanak mendapatkan pelajaran. Zaman kolonial
dahulu, pendidikan tidak dapat dinikmati secara global oleh setiap individu.
Pada hari ini semua lapisan masyarakat tanpa mengira etnik dan gender,
telah diberi peluang untuk medapat pendidikan yang serupa. Kesamaan peluang
disini memberi maksud pendidikan yang formal yang dipelajari dengan kurikulum
yang sama.
Peruntukan yang seimbang diperlukan untuk mengimbangi
ledakan pendidikan di Malaysia kerana setiap bangsa di negara kita mulai
sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan kepada generasi mereka. Oleh itu
langkah yang terbaik untuk menangani masalah kesesakan bilik darjah di
negara kita ialah kerajaaan perlu untuk menambah lagi bilangan bilik darjah
dan seimbangkan jumlah untuk setiap kelas di bandar-bandar ataupun di desa.
Dengan ini pendidikan yang sebaik yang kita ingin lahirkan pada generasi
ini akan tercapai objektifnya.
5.2 Pendidikan Dan Mobiliti Sosial
Pendidikan mempunyai peranan penting sebagai
alat mobiliti
sosial. Perbezaan stratifikasi sosial di kalangan
pelajar memberi kesan terhadap pembelajaran yang diterima kerana setiap
individu mempunyai latar belakang yang berbeza antara satu sama lain. Mobiliti
sosial ini boleh berlaku terhadap setiap aliran generasi yang mengisi kehidupan
di dunia ini. Mobiliti sosial berlaku dalam keadaan menegak dalam hirarki
ataupun mendatar iaitu dalam kelas sosial yang sama. Kesan yang paling
ketara dalam mobiliti sosial ini ialah kepelbagaian tingkah laku dan latar
belakang pelajar memberi impak kepada penerimaan pelajar dalam pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Dengan sesaknya bilangan pelajar
di dalam sesebuah bilik darjah lebih banyak masalah sosial yang di dapati
dari segi norma dan tingkah laku.
5.3 Pendidikan Dan Kawalan Sosial
Kawalan sosial bermaksud setiap anggota dalam
sesebuah
masyarakat dikehendaki untuk menuruti norma-norma
yang telah dipersetujui sebagai suatu tatacara yang perlu diikuti. Jika
tidak isbat (tindakan yang akan dikenakan) secara positif seperti pujian
dan galakan atau secara negatif seperti hukuman dan dendaan. Sekolah merupakan
ejen kawalan sosial dan bilik darjah pula merupakan tempat pelaksanaan
isbat bagi memastikan setiap pelajar dapat menentukan arah pembelajaran
yang akan mereka terima sebaiknya. Kepadatan bilik darjah akan mendatangkan
kesan di mana pelajar yang pelbagai tingkah laku sukar untuk di kawal secara
logistik dan guru terpaksa menggunakan kaedah autokrasi untuk mengawal
bilik darjah secara berkesan.
6.0 Rumusan Dan Cadangan Tentang Isu
Daripada apa yang telah dibincangkan tadi, peranan
bilik darjah sebagai
tempat tercapainya maksud ilmu memainkan peranan
yang paling penting walaupun kini munculnya zaman siber yang begitu mementingkan
penggunaan penggunaan komputer sebagai alat penyampaian ilmu terkini. Untuk
menghasilkan suatu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bilik darjah
harus mempunyai suatu suasana yang tenteram selaras dengan jiwa manusia
dan tatacara untuk menimba ilmu. Justeru, pihak yang bertanggungjawab haruslah
peka dalam menyediakan infrasrtuktur dalam bilik darjah dan pembuat polisi
pula haruslah menentukan kaedah penetapan yang perlu dalam meletakkan para
pelajar agar kesesakan tidak berlaku dan pembelajaran yang lebih efisien
dapat dicanang selaras dengan keinginan Perdana Menteri kita yang menginginkan
sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan secara realistik.
Punca kewujudan permasalahan ini sebenarnya
boleh di atasi dengan pihak atasan membina banyak lagi kelas dan sekolah
agar kesesakan bilik darjah dapat di atasi sebaiknya. Selain itu agihan
pelajar perlu untuk setiap sekolah dalam daerah-daerah atau negeri-negeri
seluruhnya. Dengan ini masalah yang berbangkit akan dapat di atasi dan
ini menyebabkan wujudnya sebuah bilik darjah yang dapat melahirkan pelajar
yang cemerlang seperti yang kita lihat pada negara maju masa kini.
Permasalahan seperti ini sepatutnya di
atasi dengan kadar segera agar para pelajar khususnya dapat menumpukan
aktiviti pembelajaran sepenuhnya dengan tumpuan maksima dan para pendidik
juga dapat menyalurkan sumber ilmu dengan keadaan yang selesa serta mempu
untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar.
Selain daripada itu, pendekatan bilik darjah
perlu diubah tambah bagi memastikan keselesaan dalam bilik darjah di atasi
selari dengan kehendak masyarakat yang berfungsi dalam sebuah kelas. Apa
yang paling penting ialah hasil yang akan di dapati pada akhirnya membawa
input yang besar kepada generasi penentu negara pada masa akan datang.
Pendidikan formal di Malaysia dilaksanakan
dengan berpandu kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Kaedah ini memerlukan
setiap sekolah mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan oleh pihak kementerian.
Dalam sistem tersebut menyatakan perlunya sekolah berfungsi sepenuhnya
secara langsung atau tidak langsung untuk membantu para pelajar menggunakan
fungsi keinteletualan dan fungsi sosial dalam bilik darjah agar dapat menarik
minat pelajar dalam proses pembelajaran. Apa yang penting tujuan dan hasrat
kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu harus dimulakan melalui
sesi pembelajaran di bilik darjah yang lebih efisien dan fungsional.
RUJUKAN
Amir Hassan Dawi, 2001. Penteorian Sosiologi Pendidikan.
Tanjung Malim. Quantom Books.
Dr Ibrahim Saad, 1986. Isu Pendidikan Di Malaysia.
Ampang / Ulu Kelang, Selangor. Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Prof. Madya Dr . Al. Ramaiah, 1992. Kepimpinan
Pendidikan : Cabaran Masa Kini. Petaling Jaya. IBS Buku Sdn. Bhd.
Haji Hamdan B Sheikh Tahir, 1975. Pendidikan :
Hari ini Untuk Hari Esok. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Hargreaves D ,1975. Social Relations In
A Secondary. London. Routledge And Kegan Paul.
Mohd. Salleh Lebar, 1992. Perubahan Dan
Kemajuan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur. Nurin Enterprise.
Ivor Morrish, 1985. The Sociology of Education
: An Introduction. London : Geoge Allen And Unwin.
Olive Banks ( Terjemahan Oleh Robiah Sidin Dan
Zaiton Sidin ), 1987. Sosiologi Pendidikan. Ampang / Ulu Kelang. Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Omar Mohd. Hashim, 1999. Pengisian Misi Pendidikan.
Ampang / Ulu Kelang, Selangor. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Mohd. Salleh Lebar, , 1998. Sosiologi Sekolah
Dan Pendidikan. Kuala Lumpur.
Thinker Library.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
 
|