TAJUK : Pendemokrasian Pendidikan
di Malaysia
1.Pengenalan
Pendidikan adalah salah satu institusi yang sangat penting untuk kemajuan
masyarakat dan pembangunan insan yang menganggotainya. Melalui pendidikan,
kita boleh mewariskan serta mengembangkan nilai dan ilmu serta memajukan
teknologi dan peradaban dari generasi ke generasi. Begitu juga, melalui
pendidikan kita boleh menambah kemahiran serta kebolehan insan,
memperbaiki kedudukan sosio-ekonominya, dan mempertajam fikiran yang kritikal
serta kritis, dan mempertingkatkan nilai akhlak. Pendidikan adalah
merupakan satu kekuatan nasional yang boleh menjamin masa depan rakyat
dan juga kecemerlangan negara.
Hussein Haji Ahmad (1993) telah menyenaraikan beberapa fungsi
umum pendidikan iaitu seperti sebagai penyalur budaya dan ilmu, penyalur
kemahiran dan ketrampilan, penyalur kepercayaan dan sistem, persediaan
untuk alam pekerjaan, pengawasan belia, remaja dan kanak-kanak, dan
perhubungan rakan sebaya. Beliau juga membuat kesimpulan bahawa peranan
sistem pendidikan sehingga akhir tahun 1980-an bermotif tiga perkara utama.
Pertamanya pendidikan untuk menyediakan tenaga kerja negara. Keduanya
pendidikan sebagai asas perpaduan kaum. Ketiganya pendidikan adalah
untuk pembinaan disiplin di kalangan rakyat berbilang kaum.
Negara sudah merdeka selama 44 tahun. Negara telah mengalami
banyak perubahan dalam sistem pendidikan. Bermula dari Penyata Pelajaran
Razak (1956), ordinan pelajaran 1957, Laporan Abdul Rahman Talib (1960),
akta Pelajaran (1961) dan laporan Kabinet (1979). Hasilnya berlaku
perkembangan dalam sistem pendidikan negara. Perkembangan yang berlaku
dalam sistem pendidikan berjalan secara terancang dan teratur. Banyak kemudahan–kemudahan
pendidikan telah dibangunkan dan pendemokrasian pendidikan telah menjadi
satu dari dasar sistem pendidikan di Malaysia.
2. Definisi Pendemokrasian Pendidikan
Mengikut Kamus Dewan pendemokrasian bermakna peluang, tindakan
atau proses manakala pendidikan bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan.
Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang-peluang yang sama untuk
semua kanak-kanak mendapatkan pendidikan. Pendemokrasian pendidikan itu
ditegakkan atas beberapa prinsip antaranya setiap orang adalah berhak ke
atas pendidikan. Pendidikan haruslah boleh dipelajari secara bebas,
tanpa sebarang sekatan-sekatan yang tertentu atau setidak-tidaknya pada
peringkat asas dan peringkat dasar. Salah satu aspek pendemokrasian pendidikan
di Malaysia ialah memberikan peluang seluasnya kepada pelajar untuk mendapat
pendidikan tanpa mengira kelas sosial, kaum dan juga gender. Pendemokrasian
pendidikan merupakan salah satu strategi untuk mencapai misi pendidikan
negara, telah mendedahkan masyarakat Malaysia kepada peluang yang luas
bagi memperolehi pendidikan pada semua peringkat. Di Malaysia, pendemokrasian
pendidikan tidak berlaku semasa zaman penjajahan. Anggota-anggota
masyarakat tidak mempunyai peluang yang sama apabila sekolah–sekolah dibezakan
mengikut kaum, kelas atau status, kurikulum dan lokaliti. Yuran yang
dikenakan pada ketika itu juga menyulitkan lagi penduduk miskin.
Oleh itu orang-orang miskin atau sebahagian besar penduduk Malaysia pada
ketika itu telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.
3.Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia
Pendidikan Rendah
Selepas kemerdekaan kerajaan secara beransur-ansur telah mendemokrasikan
pendidikan di Malaysia. Kerajaan telah menyediakan peluang-peluang
yang sama untuk semua orang mendapatkan pendidikan. Ordinan Pelajaran 1957
misalnya, telah mencadangkan agar semua kanak-kanak menerima pelajaran
dalam tempoh sekurang-kurangnya enam tahun. Sungguhpun begitu ianya
tidak memberikan implikasi yang besar kerana pelajarnya masih lagi dikenakan
bayaran yuran bagi mereka untuk mendapatkan pendidikan.
Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan Laporan Rahman Talib
semakin merealisasikan pendemokrasian pendidikan. Pendidikan
percuma telah diberikan kepada semua kanak-kanak mulai tahun
1962. Ini diikuti dengan had umur belajar percuma hingga ke 15 tahun
dan penamatan syarat lulus peperiksaan untuk memasuki sekolah menengah.
Baru-baru ini satu peraturan baru terkandung dalam Akta Pendidikan
(Pindaan) 2002 yang memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan
rendah sebagai pendidikan wajib. Setiap ibu bapa warganegara Malaysia
yang tinggal di negara ini wajib memastikan anak mereka yang mencapai umur
enam tahun pada hari pertama bulan Januari didaftarkan sebagai murid sekolah
rendah. Mereka yang melanggar peruntukan tersebut boleh didenda RM5000.
Semuanya ini adalah sebagai langkah memastikan setiap warganegara berhak
mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya.
4.Pendidikan Menengah
Seterusnya, peluang untuk semua kanak-kanak untuk mendapatkan
pendidikan telah diberikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa
mengira kelas sosial, etnik,dan gender sekurang-kurang sekurang-kurangnya
hingga ke tingkatan tiga. Mulai 1999, peluang bagi semua pelajar
untuk memasuki tingkatan empat telah diperluaskan. Mereka yang hanya
lulus satu mata pelajaran sahaja layak untuk naik ke tingkatan empat. Ini
bagi memastikan setiap rakyat berpeluang mendapat pendidikan sehingga ke
tingkatan lima. Walaupun kerajaan mempunyai beberapa sebab berbuat demikian
yang antaranya remaja yang gagal akan menganggur dan menimbulkan masalah
yang lain kepada negara tetapi dari sudut lain kerajaan merasakan adalah
tidak memadai ilmu yang diterima oleh pelajar berkenaan bagi menghadapi
cabaran dunia yang akan datang. Bagi pelajar yang tidak berminat lagi dalam
akademik mereka boleh meneruskan persekolahan mereka di dalam bidang vokasional
di tingkatan 4.
5.Sekolah Berasrama
. Selain dari itu bentuk bantuan-bantuan pendidikan lain diberikan
oleh kerajaan bagi membuka peluang kepada mereka untuk mendapat hak pendidikan.
Salah satu bentuk bantuan ialah dengan penubuhan sekolah-sekolah
berasrama yang memudahkan pelajar mendapatkan pendidikan tanpa perlu berulang-alik
dari rumah ke sekolah setiap hari yang sudah tentu memerlukan kos yang
banyak. Selain dari itu, pembinaan sekolah-sekolah berasrama
penuh juga telah banyak dibina bagi tujuan membuka peluang pendidikan .
Pada masa ini terdapat puluhan buah sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan
langsung Kementerian Pendidikan Malaysia. Kesemua sekolah-sekolah yang
berasrama penuh ini bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar untuk mendapatkan
peluang pendidikan.
6.Sekolah Bestari
Sekolah Bestari adalah salah satu ‘flagship’ dalam Koridor Raya Multimedia.
Projek ini telah mendapat perhatian seluruh masyarakat kerana ia merupakan
satu usaha menjadikan bidang pendidikan lebih maju dan berdaya saing.
Sekolah Bestari akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya.
Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi merupakan cara
bestari bagi menjamin setiap pelajar lemah atau kuat , kaya atau miskin
mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar
dan gaya pembelajaran yang berlainan. Sekolah Bestari akan mendorong murid
mengamalkan akses kendiri dan terarah kendiri, serta mengikut kadar pembelajaran
sendiri.
7.Pendidikan Khas
Di samping pembangunan sekolah-sekolah berasrama, sekolah-sekolah harian
rendah dan menengah banyak dibina di bandar-bandar ataupun di desa-desa.
Kerajaan juga tidak menafikan peluang bagi golongan istimewa ataupun kanak-kanak
cacat untuk mendapat hak atau peluang untuk mendapatkan pendidikan. Untuk
tujuan tersebut kerajaan telah membangunkan sekolah-sekolah khas bagi memenuhi
keperluan golongan tersebut mendapatkan pendidikan.
8.Bantuan dan Peruntukan
Pelajar-pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan yang
kebanyakkannya datang dari luar bandar yang latar belakang ekonomi keluarganya
rendah telah diberikan biasiswa kecil atau bantuan kewangan bagi
menampung urusan persekolahan mereka. Selain dari itu, skim bantuan
buku teks juga diberikan kepada pelajar yang pendapatan ibubapanya rendah.
Pada masa ini syarat bagi mendapatkan hak untuk mendapat skim bantuan
teks adalah bagi ibubapa atau penjaga yang berpendapatan kurang dari Rm2000.00
sebulan dan syarat ini dikaji dan diubah mengikut kesesuaian atau keadaan
ekonomi semasa.Kerajaan juga mengambil usaha memperbaiki keadaan murid-murid
terutamanya diluar bandar dengan menyediakan progran-program kesihatan,
pemakanan ( Rancangan Makanan Tambahan ) dan lain-lain skim yang bertujuan
supaya kanak-kanak berpeluang belajar dalam keadaan yang selesa.
Kemudahan–kemudahan yang disediakan ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat
desa tetapi layanan yang sama diberikan kepada pelajar-pelajar miskin di
bandar. Selain dari itu pihak kerajaan juga menekan kepada mutu pendidikan
bagi menjamin kelancaran pendemokrasian pendidikan di Malaysia. Setiap
tahun peruntukan yang besar dikeluarkan bagi membaiki, membaikpulih, menaik
taraf sekolah atau bilik-bilik darjah serta menyediakan kelengkapan dan
kemudahan pembelajaran .
Di bawah Rancangan Malaysia kelapan (RMK-8) Kementerian Pendidikan
meluluskan 1,497 projek sekolah rendah dan menengah diseluruh negara dengan
peruntukan RM6.2 billion. Daripada jumlah tersebut sebanyak 977 projek
sekolah rendah termasuk pembinaan 198 sekolah baru, manakala 420 lagi projek
sekolah menengah membabitkan pembinaan 160 sekolah baru.
9.Tenaga Pengajar terlatih
Kekurangan guru-guru terlatih diluar Bandar telah diatasi dengan
memperkembangkan sistem latihan perguruan. Latihan perguruan telah
dinaik tarafkan kepada peringkat diploma dan tempoh kursusnya selama tiga
tahun. Pengeluaran guru yang mencukupi telah menjamin proses pendemokrasian
pendidikan berjalan dengan lancar. Setiap sekolah akan mendapat guru
yang terdiri dari pelbagai opsyen yang akan memenuhi pemintaan atau keperluan
pelajar dalam mata pelajaran yang tertentu walaupun sekolah tersebut terletak
diluar bandar atau kawasan pendalaman. Maktab-maktab ini bukan sahaja mengeluarkan
guru-guru biasa, malahan menyediakan guru-guru pendidikan khas bagi mengisi
keperluan sekolah-sekolah pendidikan khas. Sehingga kini terdapat
lebih tiga puluh buah maktab yang bertanggung jawab melatih guru-guru pelatih
bagi menenuhi kehendak pendidikan di Malaysia.
Bagi guru berijazah, mereka dilatih di universiti-universiti awam
bagi mengajar di sekolah-sekolah menengah. Di samping itu terdapat
pula program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah bagi melatih graduan-graduan
yang bukan dari bidang perguruan untuk menjadi guru bagi menjamin bekalan
guru yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk memastikan
kelangsungan pendidikan di Malaysia. Seterusnya sebuah Universiti
pendidikan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dinaikan statusnya
dari status asalnya Institut Pendidikan sultan Idris khusus
untuk perkembangan bidang latihan keguruan. Dengan perlaksanaan akta Pendidikan
1996, berkemungkinan besar pada masa akan datang guru-guru berijazah akan
menerima latihan terus di maktab-maktab perguruan bagi menjamin guru-guru
yang mencukupi disekolah-sekolah.
10.Pendidikan Tinggi
Dibidang–bidang pengajian tinggi, peluang-peluang pendidikan telah
dibuka dengan luas selepas kemerdekaan dengan penubuhan unniversiti-universiti
. Institusi-institusi pengajian tinggi yang awal ialah Universiti
Malaya di Kuala Lumpur (1961), disusuli oleh Institut Teknologi Mara (1967),
Universiti Sains Malaysia (1969), Universiti Kebangsaan Malaysia (1970),
Universiti Pertanian Malaysia(1971) dan Universiti Teknologi Malaysia
(1975). Pada masa ini terdapat lebih banyak universiti awam yang telah
dibina termasuklah Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak,
Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris
. Universiti –universiti awam tempatan telah menampung lulusan-lulusan
sekolah terutamanya daripada aliran Melayu. Malahan mulai tahun 1983
semua institusi yang terdapat dalam negara telah menggunakan sepenuhnya
Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar . Pelajar-pelajar
yang berkelayakan mendapat tempat telah diberikan bantuan berbentuk pinjaman
kewangan dan berbentuk biasiswa.
Penwujudan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengembangan
skop penawaran pinjamannya meliputi pelajar-pelajar di institut tinggi
awam dan institut tinggi swasta merupakan usaha yang sesuai bagi menggalakkan
lagi pendemokrasian pendidikan hingga ke peringkat tinggi. Selain
itu, ribuan pelajar yang mendapat kelulusan yang cemerlang dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia dihantar terus belajar di luar negara seperti
United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia ,New Zealand ,Jepun
dan Timur tengah atas tajaan kerajaan melalui Mara, JPA atau ditaja oleh
kerajaan negeri pelajar terbabit.
11.Dasar Liberalisasi Pendidikan
Pada tahun-tahun 1990an kerajaan Malaysia telah menjalankan dasar liberalisasi
pendidikan . Ianya telah membawa perubahan besar dalam pendidikan
tinggi di Malaysia. Pada dekad ini beberapa perubahan telah dilakukan .
Usaha telah giat dilakukan untuk memperkembangkan dan memajukan sistem
pendidikan negara.
Melalui akta-akta pendidikan tinggi 1996 telah memungkinkan perkembangan
institusi-instutisi pendidikan tinggi yang mana kebenaran telah diberikan
kepada pihak-pihak yang berkelayakan bagi menubuhkan institusi-institusi
pengajian tinggi. Dalam tahun 1999 sahaja, tiga kolej universiti atau universiti
penuh diwujudkan iaitu Kolej Universiti Islam Malaysia(Kuim), Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM).
Disamping itu kebenaran juga telah diberikan kepada pihak yang berkelayakan
untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi swasta yang antaranya seperti Universiti
Teknologi Petronas, Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional,
Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan yang terbaru Universiti Tunku Abdul
Rahman . Ini satu perkembangan yang baik dalam usaha kita menyemarakan
ilmu pengetahuan dan mendemokrasikan pendidikan tinggi
Kerajaan juga mengalakkan program pengajian berkembar dengan institusi-institusi
luar negara bagi kolej-kolej swasta. Terdapat juga universiti-universiti
tempatan yang menjalankan program pendidikan jarak jauh dan francais .
Sebilangan universiti awam sudah mencapai enrolmen melebihi 20,000 pelajar
sepenuh masa manakala dengan penubuhan intitusi pendidikan tinggi swasta
telah mempunyai enrolmen melebihi 200,000. Sesungguhnya semua ini adalah
merupakan usaha mendemokrasikan dan membuka peluang-peluang pendidikan
untuk rakyat .
12.Cadangan dan Penilaian
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memantau sekolah luar
bandar dan pendalaman dari masa ke semasa bagi menjamin pendemokrasian
Pendidikan di Malaysia berjalan dengan lancar. Kemudahan pendidikan diantara
kawasan maju dan mundur seharusnya tiada jurang yang ketara. Ini
merujuk terutamanya kepada mutu persekitaran sekolah, alat kelengkapan
dan guru di kawasan-kawasan kampung, ladang-ladang, setinggan, pendalaman(
Orang Asli) dan seterusnya.
Pembelaan dan bantuan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pelajar-pelajar
yang terpinggir dari sistem pendidikan akibat dari kemiskinan. Ini
akan menjamin mereka supaya dapat bersaing dalam satu sistem pendididkan
yang adil pada dirinya dan masyarakatnya. Setiap aduan dan rungutan
yang menyentuh mengenai pendidikan dari peringkat rendah hingga pengajian
tinggi haruslah diambil berat dan langkah-langkah tertentu harus diambil
untuk menanginya pada semua peringkat supaya kita pada akhirnya mempunyai
satu sistem pendidikan yang cukup sihat dari semua segi. Usaha
yang berterusan bagi memajukan pendidikan perlu diberi perhatian bagi meningkatkan
mutu pendidikan supaya kita semua dapat berbangga bahawa kita telah dapat
mengamalkan pendemokrasian pendidikan dalam ertikata yang sebenarnya.
13.Penutup
Sehingga kini pendemokrasian pendidikan dalam konteks negara kita Malaysia,
agak berjaya dan sesungguhnya memberikan peluang yang luas kepada rakyat
Malaysia untuk memperolehi pendidikan pada peringkat rendah sehingga peringkat
tinggi. Seiring dengan pendemokrasian pendidikan juga adalah diharapkan
ianya dapat memenuhi agenda kerajaan untuk menstruktur semula masyarakat
dan membasmi kemiskinan dengan menggunakan pendidikan sebagai pengerak
utama dan seterusnya dapat melahirkan warganegara yang dapat menyumbang
ke arah usaha memajukan negara selaras dengan hasrat Wawasan 2020.
Senarai Rujukan
Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum
Books,
Tanjung Malim.
Hussein Hj. Ahmad, 1993, Pendidikan dan Masyarakat, Dewan Bahasa
dan Pustaka,
Kuala Lumpur.
Omar Mohd Hashim, 1999, Pengisian Misi Pendidikan, Dewan Bahasa dan
Pustaka,
Kuala Lumpur.
Omar Mohd Hashim, 1993, Pendidikan- Persoalan, Penyelesaian dan Harapan,
Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Suffean Hussin, 1996, Pendidikan Di Malaysia –Sejarah, Sistem dan Falsafah,
Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan, Edisi ketiga, 1996, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Berita Harian , 30 November 2001.
Utusan Malaysia, 7 Disember 2001.
Rujukan Internet, Laman Web Kementerian Pendidikan Malaysia.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
  
|