TAJUK :
1.0 KERATAN AKHBAR
UTUSAN MALAYSIA
6 NOVEMBER 2001.
2.0 Sinopsis isu - Gagal daftar anak sekolah ibu
bapa mungkin didenda.
Menurut keratan akhbar Utusan Malaysia ( 6 Nov. 2001 ) Kementerian Pendidikan
kini sedang merangka undang-undang untuk mewajibkan kanak-kanak berusia
tujuh tahun bersekolah dan meneruskan pelajaran sekurang-kurangnya untuk
tempoh 6 tahun.
Undang-undang ini dirangka berdasarkan perangkaan kementerian itu bahawa
terdapat sekurang-kurangnya tiga peratus setiap tahun kanak-kanak yang
tidak didaftarkan di sekolah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan
pedalaman. Terdapat juga sebilangan murid yang berhenti atau diberhentikan
oleh penjaga mereka sebelum menamatkan persekolah rendah.
Menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad matlamat utama undang-undang
itu adalah untuk memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di
negara ini dan memastikan mereka berpelajaran. Menurutnya lagi apabila
undang-undang ini dikuatkuasakan, ibu bapa yang gagal mendaftar anak mereka
di sekolah tanpa sebab yang munasabah akan didakwa di mahkamah.
Mengikut Konvensyen Hak Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (1989) yang telah
diratifikasikan oleh 177 negara, Artikel 28 menyatakan bahawa setiap kanak-kanak
berhak mendapat pendidikan berasaskan prinsip ‘ peluang yang sama ‘ ( equal
opportunity). Dalam artikel 29 pula ada menjelaskan matlamat sebenar pendidikan
yang berhak diperolehi oleh kanak-kanak iaitu membangun jati diri, membangun
kemampuan fizikal dan mental ke tahap potensinya yang maksimum, dan menyediakan
kanak-kanak itu untuk mampu hidup aktif dan penuh tanggungjawab semasa
dia dewasa.
Belanda ( Netherlands ) Mempunyai Akta Undang-Undang pendidikan wajib
( Compulsory Education Act ) hampir seratus tahun. Matlamat asal undang-undang
itu ialah memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan rendah ( primary
education ) di antara usia 6 hingga 12 tahun. Mulai tahun 1969, undang-undang
itu disemak semula dan penekanan diberi kepada hak kanak-kanak untuk mendapatkan
pendidikan walaupun ibu bapa mereka mungkin tidak peka atau tidak sedar
betapa perlunya kanak-kanak itu terus bersekolah.
Di China, di bawah undang-undang pendidikan wajib negara itu yang dikuatkuasakan
mulai 1 Julai 1986, setiap kanak-kanak wajib diberi pendidikan selama 9
tahun di antara usia 6 hingga 15 tahun.
Walauapapun hasrat kerajaan untuk memastikan dan menjamin semua kanak-kanak
di negara ini mendapat pendidikan harus diberi pujian. Namun demikian,
corak penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang masih lagi di peringkat
perancangan.
3.0 Pendidikan Wajib – Menurut teori Fungsionalisme
3.1.0 Definisi
teori fungsionalisme
Teori Fungsionalisme juga dikenali sebagai teori konsensus atau keseimbangan.
Ini kerana setiap kumpulan adalah bersatu dan bersetuju dengan objektif
atau matlamat kumpulan secara keseluruhan. Segala polisi dan amalan dalam
masyarakat seperti sistem pendidikan, ekonomi dan politik adalah hasil
persetujuan kumpulan demi untuk kestabilan negera. Menurut Ting Chew Peh
(1993), perkataan dasar fungsionalisme iaitu ‘fungsi’ adalah merujuk kepada
kesan objektif sesuatu fenomena sosial terhadap fenomena yang lain iaitu
sistem keseluruhannya. Manakala menurut Emily Durkheim (1858), teori ini
merupakanperspektif makro yang melihat dunia pendidikan sebagai satu kemestian
untuk kelangsungan masyarakat bagi menghadapi cabaran dalam kehidupan.
Kepentingan pendidikan terutamanya dirumah dalam proses sosialisasi dilihat
sebagai proses mendidik anak-anak supaya dapat mengekalkan nilai-nilai
dan norma-norma serta segala peraturan-peraturan dalam sesuatu masyarakat.
Pendidikan untuk masyarakat menjadi agenda kepada sistem pendidikan masa
kini. Pendidikan secara saintifik menjalankan fungsi-fungsinya mengembangkan
nilai-nilai dan keupayaan intelektual yang diperlukan oleh kanak-kanak
untuk menjalankan peranan dalam masyarakat. Adalah menjadi andaian fungsionalisme
bahawa semua murid mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan.
Sistem pendidikan adalah untuk semua.
Menurut Erving Goffman ( 1959 ) masyarakat ibarat pentas kehidupan. Sosial
ibarat pemain teater, setiap individu memainkan peranan masing-masing bagi
menjayakan cerita.
3.2.0 Peranan Anggota Yang Terbabit Dalam Isu Ini
3.2.1 Peranan kerajaan ( Kementerian Pendidikan Malaysia )
Di dalam isu ini, kerajaan ( Kementerian Pendidikan ) cuba menjalankan
tanggungjawab seperti yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak
Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak
dinegara ini. Untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan hasrat kerajaan
ini, satu undang-undang sedang di rangka. Menurut kenyataan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Utusan Malaysia 8 Nov
2001), biasanya penalti sebanyak RM3000 atau penjara tiga bulan boleh dikenakan
kepada penjaga atau ibu bapa yang gagal menyekolahkan anak mereka.Walaubagaimanapun
bentuk tindakan masih belum diputuskan kerana isu ini masih dalam perbincangan.
Bagi memastikan hasrat kerajaan ini berjaya, semua pihak perlu memainkan
peranan terutamanya pihak penguasa tempatan, Jabatan Pendaftaran, ketua
kampung atau penghulu perlu memantau dan memastikan semua kanak-kanak yang
berumur 7 tahun didaftarkan di sekolah di kawasan masing-masing. Sekiranya
ada kanak-kanak yang tidak didaftarkan, mereka harus melapurkan kepada
pihak berwajib yang dilantik kelak..
Kerajaan juga perlu lebih kerap menjalankan kempen kesedaran tentang pentingnya
pendidikan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya orang asli.
Pelbagai usaha perlu dilakukan supaya mereka sedar akan tanggungjawab memberi
pendidikan kepada anak mereka. Ini termasuklah mengadakan ceramah oleh
anak-anak orang asli yang telah berjaya dalam pendidikan dan memperolehi
peluang pekerjaan yang baik.
3.2.2
Peranan Pentadbir/ Guru Besar/ Pengetua Sekolah dan Guru
Pihak pentadbir atau pengetua dan guru besar pula perlu menghantar senarai
murid yang mendaftar di sekolah masing-masing kepada pihak jabatan pendidikan
untuk tindakan mengesan kanak-kanak yang tidak berdaftar.
Guru Besar atau pengetua hendaklah memantau mengapa kanak-kanak itu enggan
bersekolah adakah ianya disebabkan oleh faktor dalaman sekolah, iklim persekolahan
atau faktor luaran. Sekiranya ianya disebabkan oleh faktor dalaman, maka
Guru Besar atau Pengetua hendaklah mengatasi masalah tersebut.
3.2.3 Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa dan penjaga juga perlulah sedar dan peka akan tanggungjawab mereka
untuk memberi pendidikan kepada anak-anak di bawah jagaan mereka. Mereka
juga perlu sedar bahawa pendidikan merupakan aset penting untuk membangunkan
sesebuah keluarga atau masyarakat dalam sesebuah negara. Ilmu pengetahuan
adalah mobiliti asas untuk menggerakkan ekonomi keluarga.
Ibu bapa juga perlu berani untuk menghadapi kenyataan bahawa anak mereka
boleh lebih maju dalam bidang pendidikan daripada mereka dan tanggapan
bahawa anak petani mesti menjadi petani, atau anak mereka harus mengikut
jejak langkah mereka dan mewarisi setiap kemahiran yang diperolehi secara
turun temurun sebagai sumber ekonomi. Jika hal ini berlaku, maka pendidikan
moden yang disarankan oleh kerajaan akan menjadi sia-sia.
Bagi masyarakat orang asli, mereka perlu didedahkan dengan dunia luar.
Mereka perlu dibawa melihat dunia sekeliling mereka, melihat kemajuan yang
telah dicapai oleh negara dan mereka perlu diberi keberanian untuk hidup
di luar kepompong mereka. Pemikiran yang menyatakan bahawa anak orang asli
tidak boleh berjaya harus dikikis. Mereka harus diberi pelbagai kemudahan
dan keberanian untuk hidup di luar seperti tempat tinggal, pekerjaan dan
pelbagai frasarana yang diperlukan. Di sini ketua mereka atau tok batin
harus memainkan peranan untuk menyedarkan anak buahnya perihal kepentingan
pendidikan.
3.2.4
Peranan Masyarakat
Masyarakat setempat perlulah melibatkan diri dalam semua aktiviti yang
dianjurkan oleh pihak sekolah dalam usaha merapatkan diri dengan sekolah.
Semua ahli masyarakat boleh memberi sumbangan, pandangan, idea bagi memajukan
pendidikan anak-anak mereka menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Semua
aktiviti yang dirancangkan oleh persatuan hendaklah dilaksakan bersama
demi kepentingan anak-anak yang bersekolah.
4.0 Analisis Berdasarkan 3 Konsep Sosiologi Pendidikan.
4.1.1
Pendemokrasian Pendidikan dan Kesamaan Peluang
Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang yang sama untuk semua
kanak-kanak mendapatkan pelajaran. Di Malaysia, pendidikan percuma dari
7 tahun hingga ke 15 tahun telah diperkenalkan untuk semua kanak-kanak
bermula pada tahun (1962) selepas Akta Pelajaran 1961 dibentuk. Mengikut
akta ini, semua kanak-kanak tidak kira bangsa atau keturunan serta darjat
berhak menerima pendidikan awal secara percuma dari darjah 1 hingga tingkatan
3. Ibu bapa atau penjaga seharusnya mengambil peluang ini untuk memberi
pendidikan yang sempurna kapada anak mereka. Ini bertujuan untuk mengurangkan
kadar buta huruf dikalangan rakyat terutamanya mereka yang tinggal dikawasan
pedalaman.
Mulai tahun 1999, peluang untuk memasuki tingkatan 4 telah diperluaskan
kepada semua pelajar. Mereka yang kurang berkemampuan telah diberikan bantuan
seperti penubuhan sekolah-sekolah berasrama, khususnya sekolah-sekolah
berasrama penuh. Kerajaan juga telah membina sekolah-sekolah khas untuk
kanak-kanak cacat. Mereka akan dididik dan dilatih oleh guru-guru yang
dilatih khas oleh Kementerian Pendidikan. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan
anak mereka yang cacat terbiar tanpa memberi peluang kepada mereka untuk
mempelajari sesuatu kemahiran. Mereka harus membuang perasaan malu kerana
mempunyai anak cacat dan menyalahkan takdir sebaliknya berusaha supaya
anak tersebut boleh menjadi seorang insan yang berjaya dan berbakti kepada
masyarakat dengan kemahiran yang diperolehi.
Kerajaan juga ada menyediakan asrama khas untuk anak-anak orang asli bersekolah.
Kesemua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Mereka diberikan tempat
tinggal percuma, makanan percuma, pengangkutan percuma dan persekolahan
percuma. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli perlu memainkan
peranan yang lebih aktif lagi dalam menjayakan agenda pendidkan ini.
Kerajaan juga telah mengambil usaha untuk memperbaiki keadaan murid-murid
di kawasan luar bandar dengan mengadakan program kesihatan, pemakanan,
skim bantuan biasiswa, skim pinjaman buku teks percuma dan lain-lain.Ini
secara tidak lansung akan mengurangkan perbelanjaan mengurus ibu bapa.
Mereka tidak lagi perlu membeli buku teks. Mereka juga boleh memohon bantuan
biasiswa jika benar-benar tidak berkemampuan.
4.1.2 Pendidikan
dan Hubungan Etnik
Etnik atau ethnos dalam bahasa asal Greek membawa makna kumpulan manusia
atau bangsa. Ia merujuk kepada pengenalan seseorang ke dalam kumpulan yang
mempunyai latar belakang keturunan nenek moyang yang sama. Mereka mempunyai
kesamaan dari segi sejarah, negara asal, bahasa, tradisi, budaya, struktur
dan sistem nilai. Perasaan kekitaan ke dalam kumpulan etnik berkembang
menerusi hubungan kekeluargaan, rakan-rakan dan kejiranan yang berkongsi
ciri-ciri kehidupan yang karib. Kumpulan etnik sememangnya membantu mengekalkan
pertalian kumpulan dan mengukuhkan kedudukan kumpulan etnik berkenaan dalam
masyarakat.
Di Malaysia, semua kanak-kanak dari pelbagai kaum cuba disatukan melalui
sistem persekolahan yang sama. Mereka diberi peluang bercampur-gaul di
dalam sekolah yang sama dan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa
pertuturan. Selain itu, mereka juga menggunakan buku teks yang sama, kurikulum,
peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Ini memperlihatkan kepada
kita bahawa sekolah adalah acuan untuk membentuk perpaduan dikalangan rakyat
Malaysia.
Perkara sebegini sukar dilakukan dalam aktiviti seharian masyarakat. Kerjasama
mungkin sukar untuk diterapkan tetapi di sekolah mereka bersama-sama menyapu
membersihkan kelas, menyusun perabot, dan mengikut arahan ketua yang dilantik.
Pengalaman sebeginilah yang hendak diterapkan dalam sanubari anak-anak
supaya mereka dapat mempraktiknya apabila menyertai masyarakat. Fikirkanlah
apa akan berlaku pada masyarakat kita akan datang jika ramai dikalangan
anak-anak kita tidak bersekolah. Adakah mereka akan faham konsep kerjasama,
toleransi, tolong-menolong dan bertolak ansur.
Polisi kerajaan juga membenarkan setiap etnik menubuhkan sekolah dan menguruskan
pendidikan anak mereka. Kaum Cina dengan sekolah jenis kebangsaan Cina
dan India dengan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Walaubagaimanapun mereka
masih mengikuti kurikulum yang sama kecuali mata pelajaran bahasa ibunda.
Ini akan mengurangkan tekanan bagi kanak-kanak yang sebelum ini hanya didedahkan
dengan dunia etnik mereka sahaja terutamanya bagi kanak-kanak yang tinggal
di kawasan pedalaman. Mereka tidak pernah berkomunikasi dengan kanak-kanak
dari bangsa lain. Ada juga di antara mereka tidak fasih berbahasa Malaysia.
Jadi kekhuatiran ibu bapa tentang masalah ini akan selesai dengan memasukan
anak mereka ke sekolah pilihan mereka. Maka dengan ini, ibu bapa bebas
untuk mendaftarkan anak mereka dimana-mana sekolah yang difikirkan sesuai
dan baik buat anak mereka. Pengusaan bahasa Malaysia akan dapat diperkukuhkan
sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah dan bercampur semula.
4.1.3 Pendidikan dan Budaya Sekolah
Budaya secara ringkasnya merujuk kepada ciri-ciri dan hasilan tingkah laku
yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya.
Menurut Tylor (1871) mengatakan budaya sebagai “ keseluruhan yang kompleks
yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang,
adat dan sebarang bentuk keupayaan dan kebiasaan yang diperolehi oleh seseorang
sebagai ahli masyarakat”
Budaya sekolah merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat. Sekolah
itu lahir dari keperluan masyarakat. Di sekolah kanak-kanak dididik untuk
berbudaya sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakatnya. Budaya formal
sekolah adalah melalui aktiviti kurikulum. Contohnya apabila seseorang
pelajar itu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, dia akan disanjung
dan diberi pujian dan akan dihormati oleh rakan-rakan. Dalam kegiatan kokurikulum,
pelajar yang berjaya menaikkan nama sekolah dengan memenangi acara yang
disertainya biasanya akan memperolehi status yang tinggi dengan diberi
jawatan sebagai pemimpin dalam persatuan yang disertainya.
Selain itu pembentukan budaya tidak formal berlaku apabila sekolah
mengadakan aktiviti gotong- royong, hari sukan, hari terbuka sekolah, majlis
penyampaian hadian dan sebagainya.
Bagai kanak-kanak yang tidak bersekolah mereka mungkin akan mengalami dan
menempuh aktiviti yang diadakan oleh masyarakat berkenaan seperti gotong-royong
tetapi mereka tidak memahami kenapa mereka perlu menyertainya, adakah kerana
desakan ibu bapa atau tanggungjawab sosial yang terpaksa dilakukannya.
Mereka tidak memahami konsep gotong-royong dan bekerjasama. Apa yang
mungkin terjadi ialah apabila mereka dewasa nanti, mereka mungkin akan
disisihkan oleh masyarakat kerana tidak berpendidikan kerana masyarakat
akan menyanjung mereka yang berpendidikan apatah lagi berpendidikan tinggi
dan berjawatan tinggi. Mereka ini mungkin akan hidup lebih malang daripada
bapa mereka.
Mereka juga akan rasa disisihkan dan akan mengambil sikap mengasingkan
diri dari masyarakat. Akhirnya mereka ini akan terbiar tanpa ada sesiapa
yang hendak membantu mereka.
Sekolah juga akan membentuk sikap mereka supaya berani, patuh pada undang-undang,
hormat-menghormati dan belajar menguruskan diri. Jika kanak-kanak ini tidak
diberi pendedahan tentang perlunya mematuhi undang-undang, mereka mungkin
akan bertindak mengikut naluri dan keperluan mereka sahaja tanpa memikirkan
kesannya kepada orang lain. Mereka juga mungkin gagal untuk menguruskan
diri sendiri serta berdikari. Mereka akan bergantung hidup kepada bantuan
keluarga dan ibu bapa sepanjang hayat tanpa perlu memikirkan apa yang akan
berlaku pada masa hadaapan. Oleh sebab itu pendidikan amat perlu kepada
setiap kanak-kanak demi untuk mengharungi kehidupan di masa hadapan.
5.0 Rumusan dan Cadangan
Setelah diteliti dan dikaji, maka wajarlah kerajaan melaksanakan hukuman
denda kepada ibu bapa yang gagal mendaftar atau menyekolahkan anak mereka
apabila berumur tujuh tahun. Ini perlu kerana penjaga atau ibu bapa berkenaan
gagal menjalankan tanggungjawab atau boleh dianggap tidak rasional dalam
tindakannya kerana mereka telah mencabuli hak kanak-kanak berkenaan untuk
mendapatkan pendidikan. Mereka seolah-olah dianiaya dan dimusnahkan masa
depan mereka sebelum mereka boleh menentukan hala tuju mereka.
Undang-undang ini bolehlah dianggap sebahagian daripada undang-undang yang
telah termaktub seperti kes penderaan kanak-kanak. Apa yang menjadi
persoalan sekarang ialah bentuk hukuman yang wajar dikenakan kapada
ibu bapa atau penjaga berkenaan. Mereka mungkin mempunyai alasan yang berbeza
seperti kurang keupayaan, pendidikan dianggap tidak wajib dan sebagai keperluan
kedua selepas tanggungjawab kepada keluarga, anak yatim yang tinggal bersama
abang atau kakak yang tidak bersekolah dan sebagainya.Ada juga kanak-kanak
yang tidak mahu bersekolah kerana fobia dengan institusi sekolah kerana
kononnya cikgu garang, takut dirotan atau didenda. Dalam situasi begini
patutkah ibu bapa atau penjaga dipersalahkan?
Dilihat dalam situasi persekolahan sekarang, ibu bapa sering dibebankan
dengan bayaran buku latihan, buku kerja, yuran PIBG, aktiviti kokurikulum
di luar sekolah, yuran asrama dan tambang pengangkutan yang kian naik saban
tahun. Apakah langkah kerajaan dalam menangani masalah ini.Wajarkah ibu
bapa yang berpendapatan di bawah RM 500 dan mempunyai ramai tanggungan
dipersalahkan ?
Dilihat pula pada keperluan lain misalnya, harga kasut sekolah sepasang
sekitar RM 15 keatas, baju sekolah sepasang hampir RM 50, kelengkapan
alatulis, beg melebihi RM 20, Yuran sekolah melebihi RM 15. Jika dihitung,
perbelanjaan keperluan seorang anak melebihi RM 100 pada peringkat awal
persekolahan. Bagaimana jika ibu bapa itu mempunyai lebih daripada 5 orang
anak yang bersekolah. Tidakkah ini menjadi sesuatu yang membebankan walaupun
mempunyai pendapatan melebihi RM 1000.
Apa yang diharapkan kelak apabila kerajaan melaksanakan undang-undang sekolah
wajib atau pendidikan wajib, kerajaan dapat menyediakan persekolahan yang
‘percuma’ dalam erti kata yang sebenarnya. Bukan setakat memberi bantuan
buku teks, rancangan makanan tambahan, susu percuma, sebaliknya menyediakan
frasarana yang lebih baik kepada kanak-kanak miskin seperti asrama percuma,
wang belanja harian, bantuan kelengkapan sekolah dan pengangkutan percuma.
Undang-undang ini hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh bukan setakat
gagal mendaftarkan anak sahaja tetapi kanak-kanak yang menamatkah
persekolahan sebelum tamat pendidikan wajib( 6 tahun ) atau sekolah rendah.
Ini perlu kerana setiap tahun kira-kira 4000 murid berhenti sebelum tamat
darjah tiga ( mengikut perangkaan Kementerian Pendidikan ).
Bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, kerajaan harus menyediakan
lebih banyak lagi sekolah lengkap dengan kemudahan seperti sekolah di bandar.
Ini dapat menarik minat ibu bapa dan murid untuk ke sekolah. Begitu juga
dengan anak-anak orang asli, pendedahan alam persekolahan amat penting
terutamanya prasekolah. Berapa ramai anak orang asli yang mengikuti prasekolah?
Ini juga harus difikirkan bersama.
Sikap ibu bapa atau penjaga yang menganggap tanggungjawab mereka telah
selesai apabila sudah mendaftarkan anak mereka di sekolah. Berapa ramai
ibu bapa yang benar-benar mengambil berat perihal persekolahan anak mereka.
Berapa ramai ibu bapa yang datang meminta penjelasan dari guru apabila
anak mereka gagal dalam sesuatu mata pelajaran atau peperiksaan? Berapa
ramai ibu bapa yang mengajar anak mereka di rumah? Sikap ibu bapa
sebegini akan menyebabkan anak mereka rasa terabai. Mereka hilang semangat
hendak bersekolah dan hilang keyakinan diri apabila sering diejek oleh
kawan-kawan apabila gagal dalam ujian atau peperiksaan yang akhirnya membawa
kepada pemberhentian persekolahan .
Kehadiran seorang pelajar itu ke sekolah merupakan satu petanda bahawa
pelajar itu ingin belajar. Pelajar yang tidak hadir juga ingin dirinya
menjadi pandai, tetapi ketidakhadiran mereka itu mungkin disebabkan oleh
pelbagai faktor seperti tiada kenderaan dan keadaan sekolah. Kehadiran
juga mempunyai pertalian dengan pencapaian akademiknya. Apabila pelajar
sering gagal, mereka akan putus harapan untuk belajar, maka dengan sendirinya
mereka merasakan bahawa susah tiada erti lagi mereka meneruskan persekolahan.
Akibatnya mereka seringkali ditemui ponteng sekolah. Ini akan ditambah
kusut lagi apabila ibu bapa seringkali melemahkan semangat anak dengan
cemuhan dan membanding-banding mereka dengan pelajar yang cemerlang. Apa
yang lebih dahsyat lagi ialah ibu bapa bertindak memberhentikan anak mereka
kerana dianggap membazirkan wang dan masa sahaja. Ibu bapa sebeginilah
yang wajar dikenakan tindakan undang-undang.
Secara amnya niat Kementerian Pendidikan hendak mengadakan undang-undang
persekolahan disambut baik. Sebaliknya Kementerian Pendidikan hendaklah
memikirkan cara yang terbaik untuk melaksanakan undang-undang baru ini,
supaya satu pendekatan baru ditemui agar pendidikan negara mampu mencapai
matlamat yang dicita-citakan di bawah Artikel 29 Konvensyen Hak Kanak-Kanak
Bangsa-Bangsa Bersatu 1989 itu.
BIBLIOGRAFI
Amir Hassan Dawi. 2002. Penteorian Sosiologi Pendidikan.
Tanjong Malim. Quantum Books.
Hussein Mahmood. 1993. Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ibrahim Saad. 1986. Isu Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Salleh Lebar. 1992. Perubahan dan Kemajuan Pendidikan Di Malaysia.
Kuala Lumpur. Nurin Enterprise.
Omar Mohd. Hashim. 1999. Pengisian Misi Pendidikan. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Utusan Malaysia. 6. November 2001.
Utusan Malaysia. 8 November 2001
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
 
|