TAJUK : Black Metal Dari Perspektif
Teori Fungsional
1.Menganalisis Isu
1.1 Sinopsis Isu
Tajuk keratan akhbar: 56 pelajar di Perak dikesan terbabit Black Metal
Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak diberitahu bahawa seramai 56
pelajar sekolah menengah dan dua belia lepasan sekolah telah dikesan terbabit
dengan kegiatan Black Metal yang memuja syaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenaga Manusia,Belia dan Sukan Negeri,
Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata pelajar dari daerah Ipoh adalah paling
ramai terlibat dalam gejala ini. Tambahnya hasil dari soal siasat didapati
pelajar terpengaruh melalui minat muzik Black Metal,mengumpul aksesori,menerbitkan
majalah dan membuat rakaman kaset lagu-lagu Black Metal serta ajakan rakan-rakan
sebaya.
Beliau juga memberitahu bahawa berbagai tindakan telah diambil oleh
pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut. Diantaranya ialah menyoal
siasat pelajar dan belia yang terlibat ; diberi kaunseling dan kesedaran
agama; pihak polis juga memaklumkan penglibatan tersebut kepada Jabatan
Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Perak(JAIP) termasuk di peringkat daerah
; penolong kanan dan guru disiplin dari 55 buah sekolah menengah diarahkan
untuk membuat pemeriksaan keatas tubuh badan pelajar,buku dan beg sekolah
bagi mengesan tanda dan lambing Black Metal ; ketua pengarah pendidikan
akan menubuhkan satu jawatankuasa yang membabitkan agensi-agensi kerajaan
untuk menjalankan tindakan bersepadu ; KDN Perak telah melancarkan operasi
di Kompleks Yik Fong dan membuat rampasan beberapa barangan Black Metal.
2.0 Analisis isu
2.1 Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar 20hb Nov2000 telah mengesahkan
tentang masalah pelajar yang terbabit dalam Black Metal. Isu tersebut boleh
dihuraikan mengikut Teori Fungsionalisme yang telah diasaskan oleh Comte,Spencer
dan Durkheim. Antara tokoh-tokoh berkenaan, Durkheimlah yang banyak memberi
huraian tentang pendidikan. Mengikut Spencer masyarakat adalah satu.
Setiap keluarga juga boleh dikategorikan sebagai satu. Masyarakat memerlukan
ketua bagi mengendalikan proses mobilisasi masyarakat seperti pemimpin,
imam, penghulu,guru dan lain-lain. Secara umum teori fungsionalisme menganalisis
pendidikan dengan menghubungkan sekolah kepada keperluan-keperluan masyarakat.Untuk
masyarakat berfungsi , mestilah ada cara yang memastikan semua keperluan
– keperluan dipenuhi, maka disinilah pendidikan memainkan perananya. Pihak
Pendidik harus memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajar tentang malapetaka
yang akan timbul akibat penglibatan diri mereka dalam Black Metal. Untuk
membangkitkan rangsangan kaum remaja menyertai kumpulan ini,muzik Black
Metal dijadikan teras lalu diiringi dengan amalan seks rambang yang memangnya
menjadi buruan mereka yang tidak mempunyai pegangan hidup. Faktor menyebabkan
seseorang itu terlibat dengan kegiatan seperti ini mungkin berbeza, walaupun
demikian ia boleh dibahagikan kepada dua punca utama, iaitu faktor dalaman
dan luaran. Faktor dalaman, ialah kerana tidak adanya pemahaman agama.
Seseorang yang memahami agama,yang tahu bahawa murtad adalah terkeluar
daripada islam dan tempatnya kekal di neraka,biar betapa jahat dan rakus
kehidupannya. Faktor luaran yang menyebabkan mereka terlibat dalam Black
Metal ialah situasi keluarga yang selalu mengalami kacau bilau, bergaduh,
tidak stabil dan selalu menyaksikan pertengkaran antara ibu bapa. Sikap
mementingkan diri masing-masing merupakan satu lagi perkara yang membuatkan
pelajar tidak berkesempatan untuk berbincang, mengadu hal dan sentiasa
memendam rasa mengenai sesuatu perkara.Keadaan ini membawa kesan negatif
apabila berjumpa dengan kawan-kawan yang mengambil berat dirinya,kawan
yang boleh bekerjasama dengannya, ditambah pula mempunyai kawan yang sentiasa
menghargai dan memerlukanya, maka pelajar ini mengalihkan perhatian kepada
kumpulan rakannya.
Ahli-ahli fungsionalisme menyatakan bahawa setiap bahagian masyarakat
mempunyai tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan yang tersendiri. Mengikut
Brinkerhoff dan White(1989) terdapat tiga andaian utama ahli-ahli fungsionalisme
iaitu stabiliti,harmoni dan evolusi. Stabiliti merupakan kriteria penilaian
utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan.Harmoni
menunjukkan bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur dalam masyarakat
bekerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan
yang berlaku kepada masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial
kepada pembaruan.
Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, pihak agensi kerajaan perlu
memainkan peranan yang penting bagi menangani masalah ini. Ceramah serta
taklimat berkaitan gejala Black Metal di peringkat sekolah adalah antara
cadangan dalam satu laporan khas yang dikemukakan kepada Menteri Perpaduan
Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Malah
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Utusan Malaysia 29 Jualai 2001) di Kepala
Batas juga menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, pihak berkuasa tempatan
(PBT), polis serta agensi penguat kuasa lain bekerjasama untuk membanteras
pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing negara ini. Menurut beliau
gejala sosial dan buruk yang semakin meruncing ini tidak boleh ditangani
dan diatasi oleh satu pihak sahaja. Menteri di Jabatan Perdana Mentri Brig
Jen(B) Datuk Zainal Abidin Abdul Hamid Berkata tindakan bersepadu
yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perpaduan Negara
dan Pembangunan Masyarakat, Bahagian Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan
Islam(JAKIM) akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam menangani
gejala Black Metal yang dilihat menjejaskan akidah di kalangan pelajar
dan remaja islam di negara ini.
Kesimpulannya teori fungsionalisme memerlukan perseimbangan dan memerlukan
adaptasi .Durkheim percaya bahawa kewjudan institusi pendidikan adalah
untuk mempromosi dan mengekalkan ikatan sosial dan perpaduan. Fungsionalisme
melihat individu sebagai tidak penting dalam menentukan apa yang sesuai
untuk dirinya. Pendidikan bukanlah untuk membentuk potensi dan kebolehan
individu bagi dirinya tetapi adalah untuk kepentingan masyarakat. Sekolah
mesti memberikan gambaran kepada kanak-kanak tentang masyarakat yang bakal
disertainya. Sekolah mesti mengamalkan cara hidup komuniti untuk menyediakan
kanak-kanak kepada masyarakat yang lebih besar. Murid-murid perlu didedahkan
tentang kehendak-kehendak masyarakat mereka. Harapan sekolah ialah melahirkan
individu-individu yang sanggup dan akan berkongsi nilai-nilai sejagat masyarakat
yang seterusnya menjamin keberlangsungan masyarakat itu.
2.2 Definisi Konsep
Konsep Pendidikan dan Sekularisasi adalah suatu proses
di mana agama
kehilangan pengaruh terhadap berbagai-bagai situasi kehidupan sosial.
Proses sekularisasi menyebabkan keruntuhan pengaruh-pengaruh organisasi
dan nilai-nilai agama kepada idea-idea sains dan ilmu-ilmu pengetahuan
duniawi yang dianggap moden. Pemodenan dikatakan telah memisahkan institusi
agama dengan institusi-institusi sosial yang lain. Ada sebahagian anggota
masyarakat barangkali menentang sekularisasi kerana ia bertembung dan mencabar
autoriti tradisional. Namun begitu, apa yang berlaku dalam masyarakat
hari ini, ternyata terdapat ramai rakyat sama ada dewasa atau remaja yang
telah terpengaruh dengan unsur-unsur budaya barat yang dikatakan bertentangan
dengan amalan budaya tempatan.
Dalam mencari erti dan hakikat invidu yang terjebak dalam Black
Metal menganggap agama hanyalah penghalang kepada kepuasan hidup yang seharusnya
berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Kawalan norma dan undang-undang agama
ditentang dengan berbagai-bagai cara oleh mereka yang menganggap hawa nafsu
adalah tuhan sembahan mereka.
2.3 Analisis Isu Berdasarkan Tiga Konsep Sosiologi
Isu Black Metal ini boleh dianalisis mengikut Konsep Pendidikan
dan Kawalan Sosial . Kawalan sosial bermaksud segala amalan dalam kumpulan-kumpulan
sosial yang menghendaki supaya anggota-anggotanya
menuruti norma-norma kumpulan berkenaan. Terdapat dua pembahagian asas
kawalan sosial. Pertamanya yang bersifat internalisasi norma dan nilai.
Dalam konteks ini seseorang individu akan menerima atau patuh kepada norma-norma
masyarakat tanpa banyak bantahan. Keduanya ialah kawalan sosial yang memerlukan
isbat dikenakan terhadap pelanggar-pelanggar norma. Sesetengah kumpulan
pelajar dan remaja yang tidak dapat menerima atau patuh kepada norma-norma
masyarakat itu akan terlibat dalam kegiatan Black Metal. Mereka melibatkan
diri semata-mata berseronok. Mereka menganggap bahawa jiwa mereka
sesuai dengan aliran muzik ganas dan keras.
Peranan sekolah sebagai agen kawalan sosial sama ada ianya secara formal
ataupun informal sangat nyata. Kurikulum sekolah telah mendedahkan murid-murid
kepada perlakuan-perlakuan yang patut dan yang tidak patut misalnya melalui
penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran. Nilai-nilai yang
diterapkan itu adalah bersesuaian dengan norma-norma masyarakat dan ideologi
negara.
Konsep Pendidikan dan Budaya Sekolah sebagai warisan sosial manusia
, cara pemikiran, perasaan dan aksi – aksi yang dipindahkan daripada generasi
ke generasi merangkumi budaya material dan bukan material . Budaya adalah
hak masyarakat kerana masyarakat ditakrifkan sebagai sekumpulan manusia
yang hidup dalam satu wilayah dan mempunyai budaya yang sama. Komponen
– komponen budaya akan menentukan bentuk tingkahlaku yang dijangkakan bagi
anggota – anggota masyarakat . Sesetengah remaja hidup tidak ubah
seumpama buih di air bah ataupun daun-daun lalang. Begitu mudah terpengaruh
dengan budaya luar. Kerana itu apabila wujud kumpulan-kumpulan tertentu
yang berusaha memesongkan kepercayaan mereka, mereka mudah terperangkap.
Lebih-lebih lagi dengan adanya sogokan seks bebas, habuan wang ringgit
dan kumpulan yang dianggotai yang menjadi kebanggaan. Kegiatan kumpulan
ini terus menerus menular melalui risalah juga cakera padat yang mudah
didapati.
Kerenah birokrasi dalam keluarga juga memainkan peranan dalam mempengaruhi
pelajar tercebur dalam kumpulan Black Metal. Oleh kerana bilangan adik-beradik
yang ramai, ibu bapa atau ketua keluarga selalu melebih-lebihkan anak-anak
yang tertentu dalam segala perkara membuatkan pelajar ini terasa hati dan
akhirnya terpengaruh dengan desakan kawan-kawan ke arah yang negatif.
Peranan ibu bapa sebagai ketua keluarga sepatutnya berlaku adil dalam
mengendalikan keluarga. Apabila keadaan sudah menjadi serius pelajar berkenaan
sukar untuk dilenturkan dan ibu bapa baru sedar betapa anak mereka sudah
terlanjur dan sudah tidak boleh dinasihati lagi. Malah apabila ibu bapa
cuba untuk menegur atau memarahi, pelajar pula yang akan melawan dan memarahi
ibu bapanya. Pada masa inilah tiada gunanya menyalahkan orang lain atau
masyarakat kerana yang salah dan menjadi penyebab fenomena tersebut diatas
berlaku ialah diri sendiri. Oleh itu berwaspadalah dalam mengendalikan
keluarga terutama apabila anak-anak sedang membesar agar mereka menjadi
insan yang baik dan sempurna. Setiap tindak- tanduk anak-anak perlu diawasi
oleh ibu bapa supaya mereka tidak terlibat dalam kegiatan Black Metal .
3.0 Cadangan dan Kesimpulan
Walaupun masalah Black Metal telah dan sedang berlaku dan disahkan
berada di tahap serius namun kita sebagai ahli masyarakat yang peka seharusnya
cuba untuk memperbaiki sekurang-kurangnya untuk mengurangkan akibat dan
kesan masalah itu kepada masyarakat. Pelajar-pelajar yang terlibat dengan
masalah Black Metal ini boleh dibimbing melaui rakan sebaya melaui percampuran
yang positif. Ibu bapa pula janganlah sekali-kali mengabaikan tanggungjawab
terhadap mendidik dan membesarkan anak-anak. Ibu bapa hendaklah sentiasa
memikirkan tentang keselamatan anak-anak mereka, keselamatan mereka di
luar rumah dan sekolah. Ibu bapa pula tidak boleh sekali-kali mengambil
lewa tanggungjawab ini.
Kerajaan pula hendaklah tegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan
undang-undang demi kepentingan keamanan sosial dan pencegahan jenayah.
Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara adil dan tanpa pilih kasih.
Dari segi pendidikan, anjurkan program kesedaran yang berterusan yang mampu
menjangkau ke setiap serata masyarakat dan mendidik golongan muda kita
supaya menjauhi gejala sosial yang mempunyai kesan yang negatif ke atas
mereka. Sekolah juga hendaklah mengetatkan disiplin melalui kerjasama antara
guru, ibu bapa dan pihak berkuasa.
Keputusan Kementerian Pendidikan baru-baru ini untuk melantik seorang
kaunselor sepenuh masa bagi setiap 500 pelajar di kesemua 1,700 buah sekolah
menengah serta 4,000 sekolah rendah adalah langkah yang berpatutan. Ini
akan membantu pelajar yang bermasalah. Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) juga seharusnya menganjurkan lebih banyak program untuk menggalakkan
kesihatan mental yang melibatkan penyertaan keluarga serta masyarakat.
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat mencadangkan
fungsi institusi agama diorientasi semula supaya ahli-ahli agama turut
menjadi aktivis menangani gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat terutama
membabitkan remaja di negara ini.
Dari perbincangan yang telah dihuraikan, kita dapat membuat kesimpulan
mengenai isu pelajar terlibat dalam kegiatan Black Metal yang dilihat dari
perspektif fungsionalisme .Secara umum teori fungsionalisme menganalisis
pendidikan dengan menghubungkan sekolah kepada keperluan -keperluan masyarakat.
Pendidikan di sekolah memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pelajar
yang bertanggungjawab kepada bangsa dan negara. Institusi sosial seperti
keluarga, undang-undang dan system pendidikan adalah merupakan agen-agen
penentu dan pengawal yang memastikan masyarakat berjalan lancar.
Punca kewujudan pelajar yang terlibat dalam kumpulan Black Metal
ialah kerana agama kehilangan pengaruh terhadap berbagai-bagai situasi
kehidupan sosial. Pelajar yang tidak berpegang teguh kepada agama itu mudah
memasuki kumpulan Black Metal dimana mereka adalah antiketuhanan atau agama
ataupun menolak kewujudan tuhan,yang juga mengamalkan seks rambang dan
keganasan. Amalan ini boleh memesungkan iktikad seseorang yang boleh menyebabkan
berlakunya riddah.
Budaya hidup juga mempengaruhi pelajar ke arah yang mendatangkan
kesan negatif atau positif dalam kehidupan. Sekolah memainkan peranan penting
dalam mewujudkan budaya yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Sikap
ibu bapa yang tidak peka dengan masalah anak-anak, sambil lewa, dan tidak
mementingkan perasaan ahli keluargannya juga membantu wujudnya masalah
sosial ini. Amalan birokrasi bukan sahaja tidak digemari oleh anak-anak
malah boleh membawa kepada keruntuhan kepercayaan anak-anak kepada institusi
kekeluargaan itu sendiri. Akibat dari kelalaian sistem keluarga, akan berlaku
kesukaran untuk memperbaiki masalah sosial ini. Ibu bapa berasa menyesal
tetapi apa boleh buat “nasi sudah menjadi bubur”. Pelajar yang bermasalah
ini akan menjadi sampah masyarakat dan sudah tentu mendatangkan masalah
kepada masyarakat.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
  
|