TAJUK : MENGANALIS
ISU PENDIDIKAN BERDASARKAN TEORI SOSIOLOGI
1.0 Sinopsis Isu
Kebelakangan ini negara kita dikejutkan dengan kejadian rogol yang membabitkan
remaja lelaki. Dalam satu kes kejadian rogol dan pembunuhan, seorang
remaja iaitu Nurul Hanis Kamil yang berumur 16 tahun, berasal dari Melaka
ditemui tertiarap dalam kawasan semak berhampiran rumahnya dipercayai dilakukan
oleh remaja lelaki yang berusia 17 tahun. Dua hari kemudiannya, mayat bogel
Siti Nadirah Budah yang berusia lima tahun ditemui tertanam dalam paya
di Sandakan, Sabah. Suspek yang terlibat juga berusia 17 tahun.
Walau bagaimana pun, mereka bukanlah yang paling muda memandangkan
pada bulan Oktober tahun 2000, seorang budak lelaki yang berusia 12 tahun
di dakwa di mahkamah kerana merogol dan membunuh Nor Shuhada Burak yang
baru berusia enam tahun. Apakah yang mendorong golongan muda ini melakukan
jenayah seperti ini? Nampaknya, remaja masa kini semakin ganas serta berani
melakukan pelbagai perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan
undang-undang negara.
Masalah salah laku remaja semakin meruncing apabila peranan masyarakat
yang suatu ketika dahulu cukup kuat pengaruhnya, kini terpinggir dan terhakis
terus peranan sebagai sebahagian daripada ejen pembentukan masyarakat bermoral.
Mereka tidak lagi berani untuk menegur dan menasihati golongan remaja dan
pelajar sekolah bermasalah kerana bimbangkan kesan negatif yang mungkin
menimpa diri mereka.
1.1 Pengenalan
Sebagai satu lanjutan kepada proses sosialisasi, sistem pendidikan
mempunyai tugas menyediakan generasi muda kepada alam dewasa dan menyalurkan
kebudayaan. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan
matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian
Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh,
dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara. Salah satu unsur yang penting
adalah nilai yang berkaitan dengan keperluan dan perkembangan diri individu
yang bertujuan untuk meninggikan lagi kemampuan atau kebolehan individu
supaya berfungsi sebagai anggota masyarakat. Ia harus dapat membimbing
individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial dan fizikal
ciptaan Yang Maha Berkuasa ini. Dengan alasan inilah, pendidikan berperanan
penting dalam perkembangan setiap individu. Namun, visi dan cita-cita yang
luhur ini tidak akan tercapai seandainya masalah jenayah di kalangan juvana
(pelajar) tidak dapat dibendung. Sesuatu perlu dilakukan segera untuk menangani
masalah jenayah ini bagi membentuk sahsiah pelajar ini supaya menjadi insan
yang bermoral tinggi.
1.2 Analisis Isu berdasarkan perspektif Teori Struktural-Fungsional
Teori ini mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan-kegiatan
yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Masyarakat selalu dianggap
seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian-bahagian dengan fungsi-fungsi
yang tersendiri. Teori fungsionalisme memberi huraian mengenai organisasi
sosial dan menerangkan bagaimana sesuatu organisasi dikekalkan. Masyarakat
telah diibaratkan sama seperti organisma yang mempunyai bahagian-bahagian
dan setiap bahagian masyarakat dikenali sebagai struktur. Seterusnya kajian
dilakukan untuk melihat bagaimana struktur masyarakat berfungsi.
Menurut teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan kelancaran
perjalanan atau keharmonian masyarakat. Brinkerhoff dan White (1989 : 9)
telah merumuskan tiga andaian utama ahli-ahli fungsionalisme iaitu stabiliti,
harmoni dan evolusi. Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk
menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan. Harmoni menunjukkan
bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur dalam masyarakat bekerjasama
untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan
yang berlaku kepada masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial
kepada pembaruan.
Maka, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ibu bapa, pihak sekolah, rakan
sebaya dan media massa saling berperanan dalam mengatasi masalah jenayah
yang wujud di kalangan remaja.
1.2.1 Analisis Isu : Faktor-faktor yang mempengaruhi berlakunya jenayah
di kalangan remaja.
(i) Institusi Keluarga
Seorang ahli antropologi, George Peter Murdock menakrifkan bahawa keluarga
adalah satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung, mempunyai
kerjasama dalam kegiatan ekonomi dan menambah zuriat (Goode, hal. 326).
Faktor kepincangan keluarga dan taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga akan
mencorak kehidupan seorang kanak-kanak. Kegagalan ibu bapa sendiri untuk
membetulkan kepincangan anak-anak mereka akan menyebabkan anak-anak ini
tidak lagi menghormati mereka.
James Becker mengatakan ketidak seimbangan disiplin sesebuah keluarga
akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang
sempurna. Ini akan menjejaskan ketahanan diri pelajar.
Maka jelaslah bahawa Institusi keluarga memainkan peranan yang penting
sebagai pembentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa haruslah membimbing, memahami
dan menyelami kehendak jiwa remaja serta berfikiran terbuka. Ini akan mendorong
kepada kewujudan suasana harmonis.
(ii) Pihak Sekolah
Sekolah merupakan sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada
masyarakat yang lebih luas. Sebagai sebuah institusi sosial, sekolah mempunyai
ciri-ciri tersendiri yang sesuai dengan ciri-ciri organisasi moden seperti
yang dinyatakan oleh Weber.
Sebagai organisasi formal sekolah mempunyai struktur kepimpinannya
sendiri. Pengetua / Guru Besar bertanggungjawab memimpin guru-guru, kakitangan
am dan para pelajar. Guru-guru juga berperanan sebagai pemimpin dalam konteks
masing-masing. Peringkat paling asas ialah kepimpinan guru dalam bilik
darjah. Selain itu guru juga berperanan sebagai pemimpin aktiviti-aktiviti
akademik serta kokurikulum seperti persatuan, sukan, kelab dan sebagainya.
Tidak dapat dinafikan bahawa peranan guru semakin hari semakin mencabar.
Kini, guru tersepit dalam menghadapi kerenah pelajar bermasalah yang datang
daripada pelbagai latar belakang dan corak pendidikan ibu bapa.
Sering kedengaran rintihan ibu bapa yang tidak boleh lagi membentuk
dan mendidik anak-anak mereka, lalu merayu dan meminta guru untuk membetulkannya.
Pelajar inilah yang sukar untuk ditangani kerana mereka juga turut tidak
menghiraukan nasihat dan teguran guru.
Dalam pada itu, kes-kes guru diserang oleh ibu bapa atau ahli keluarga
pelajar sudah cukup mengajar guru untuk tidak bertindak menyelesaikan kes
pelajar bermasalah. Namun kemuliaan jiwa guru jelas terbayang apabila mereka
tetap meneruskan usaha melalui pelbagai cara dan pendekatan berdasarkan
pengalaman dan pengetahuan mereka untuk membentuk sahsiah pelajar supaya
menjadi insan yang bermoral tinggi walaupun menyedari kesan negatif yang
mungkin menimpa diri.
(iii) Media Massa / Internet
Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam
mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi
yang semakin canggih ini, golongan remaja mudah terdedah kepada banyak
maklumat termasuk bahan yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan bahaya
jika digunakan tanpa panduan daripada golongan dewasa.
Golongan pelajar lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat
di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat yang
banyak memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin
cuba sendiri mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan
sesetengah program televisyen.
Selain daripada video cakera padat, bahan-bahan pornografi juga
mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak yang
berwajib. Oleh itu, ibu bapa seharusnya membimbing dan memberi tunjuk ajar
supaya remaja ini mendapat panduan yang betul.
(iv) Rakan Sebaya
Dalam kawasan sekolah, murid-murid juga dipengaruhi oleh rakan sebaya
mereka. Sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kajian, pengaruh rakan sebaya
merupakan sumber yang paling kuat dalam mengubah nilai dan sikap seseorang
apabila pengaruh keluarga berkurangan pada peringkat lewat kanak-kanak.
Kanak-kanak atau remaja yang berasal dari keluarga yang bermasalah
mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan
membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir
jahat. Mereka akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan untuk menarik
perhatian orang lain.
Kemunculan golongan rendah moral dan tidak bertanggungjawab yang
menaja budaya hedonisme di kalangan remaja seperti Kumpulan Black Metal
dan Trash Metal sudah cukup memberi cabaran serta saingan kepada usaha
dan tugas guru untuk membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah pengalaman
budaya sihat.
Akhir kata, pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap dan nilai
tingkah laku pelajar terutamanya pelajar yang berasal daripada keluarga
yang bermasalah dan keciciran dalam pelajaran.
1.3 Menganalisis Isu Berdasarkan Tiga Konsep Sosiologi
1.3.1 Definisi Modenisasi
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam
masyarakat sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi
boleh juga diterima sebagai keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan
atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang
dikatakan baru. Gaya hidup tradisi telah berubah sebagai gaya hidup moden.
1.3.2 Modenisasi
Salah satu alasan utama yang menjurus kepada masalah jenayah di kalangan
remaja adalah disebabkan oleh proses modenisasi. Dalam dunia yang serba
moden ini, masyarakat yang inginkan kemewahan menjadi semakin individualistik
dan materialistik.
Masyarakat moden tidak lagi menerima suratan takdir. Mereka mempercayai
bahawa usaha mereka boleh membawa kebaikan. Jika dibanding dengan masyarakat
tradisional, masyarakat industri moden mempunyai cita-cita tinggi. Mereka
mahukan prestij, gaji tinggi dan barang-barang materialistik.
Masyarakat moden tidak lagi menganggap saudara-mara mereka, jiran atau
orang sekampung sebagai kelompok rujukan. Mereka mempunyai hubungan yang
luas – diluar batasan sosial dan fizikal. Terdapat beberapa adat resam
tradisional yang sudah tidak diamalkan lagi dalam masyarakat moden. Masyarakat
moden lebih senang menerima pembaharuan dan memandang kepada masa depan.
Keadaan ini telah menyebabkan remaja kini terbiar dan tidak mendapat
perhatian daripada ibu bapa yang sibuk dengan kerja masing-masing. Dengan
ini, remaja akan membantah dengan cara tersendiri untuk mendapatkan perhatian.
Ini akan menjadi satu penggalak kepada masalah jenayah.
1.3.3 Kelas Sosial
Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga
yang tidak stabil dengan kerosakan akhlak di kalangan anak-anak muda. Pelajar-pelajar
yang datang dari keluarga bermasalah dengan taraf sosio ekonomi yang rendah
adalah antara faktor utama pelajar terjebak dalam kancah masalah disiplin
atau lebih teruk lagi iaitu jenayah.
Di rumah, kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud bagi
sebilangan pelajar. Selain itu, bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja
di luar rumah, semakin meningkat menyebabkan pelajar berasa terbiar dan
tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Dapatan yang dinyatakan ini bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan
kajian Athur & Ericson (1992); Kosterman (1996) ; yang jelas
menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan utama menyebabkan masalah
disiplin. Keadaan ini akan menjadi semakin teruk jika masalah ini tidak
ditangani.
1.3.4 Budaya Sekolah
Budaya sekolah merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat. Sekolah
itu sendiri lahir daripada keperluan masyarakat. Pendidikan nilai amat
diutamakan. Seorang murid warganegara Malaysia adalah dikehendaki menerapkan
nilai-nilai material dan bukan material ala Malaysia. Sekiranya beliau
mengengkari nialai-nilai berkenaan, maka berlakulah penyelewengan budaya.
Sekarang kurikulum pendidikan Malaysia mengutamakan penerapan
nilai-nilai murni dalam mata pelajaran yang tentunya bertujuan membina
budaya masyarakat. Walau bagaimana pun, terdapat juga amalan-amalan budaya
yang berbeza di kalangan kumpulan-kumpulan di sekolah yang biasanya berlaku
secara tidak formal. Ini disebut subbudaya.
Subbudaya yang biasa menonjol merupakan penyelewengan-penyelewengan
kumpulan yang terkeluar daripada budaya komuniti sekolah dan masyarakat.
Kumpulan-kumpulan ini mungkin tidak melihat sekolah sebagai sesuatu yang
penting ataupun mereka bosan bersekolah. Antara contoh-contoh subbudaya
di kalangan kumpulan-kumpulan murid adalah seperti subbudaya ponteng, subbudaya
lepak, subbudaya botak dan subbudaya black metal.
Kelahiran subbudaya ada kaitan dengan faktor hubungan murid dengan
rakan-rakan dan komuniti di luar sekolah seperti kehidupan kampung atau
rumah pangsa. Masalah-masalah ini perlu ditangani sebelum remaja-remaja
ini melakukan sesuatu yang tidak diingini iaitu jenayah.
1.4 Cadangan dan Kesimpulan
Sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja
masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud
di dalam persekitaran. Terdapat banyak faktor yang perlu ditimbang sebelum
kita boleh menuding jari siapa penyumbang utama isu ini.
Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”.
Maka, adalah wajar bagi masyarakat dan pihak berkuasa untuk mencari punca
bagi masalah jenayah ini.
Sebagai penjaga kepada anak-anak, ibu bapa perlu lebih peka dan sentiasa
mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anaknya. Masyarakat
pula patut mengambil langkah untuk mengubah budaya yang menganggap seks
sebagai suatu topik larangan. Ibu bapa patut bersikap terbuka dan membincangkan
isu ini dengan anak-anak mereka. Mata pelajaran seks juga perlu dimasukkan
dalam sistem pendidikan kita dan guru perlu diajar bagaimana untuk mengajar
tajuk ini daripada membiarkan mereka mengajar tanpa latihan sebenar.
Akhir sekali, marilah kita dengan penuh sedar dan keinsafan bergabung
fikiran, tenaga, kepakaran dan pengalaman, bertindak mencari jalan penyelesaian
walaupun usaha yang dilaksanakan nanti belum pasti dapat menghapuskan permasalahan
ini tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk membendung daripada terus
merebak memusnahkan anak bangsa, rakyat dan negara yang tercinta.
Rujukan
Amir Hassan, 2001. (Penteorian Sosiologi dan Pendidikan), Tanjong Malim
:
Quantum Books.
Inkeles, Alex, 1982. (Apa Itu Sosiologi ?), Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala
Lumpur.
Noran Fauziah Yaakub, 1987. (Pengantar Sosiologi), Penerbit Fajar Bakti
Sdn.
Bhd. Petaling Jaya.
Sharifah Alwiah Alsagoff, 1985. (Sosiologi Pendidikan), Kuala Lumpur
:
Heinemann.
Ting Chew Peh, 1979. (Konsep Asas Sosiologi), Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.
 Agama Pendidikan Hiburan Akhbar
& Majalah
Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama
 
|