TAJUK: KEKELIRUAN KONSEP SEKOLAH WAWASAN

1.0  SINOPSIS ISU
 Isu Sekolah Wasasan telah menjadi isu besar yang diperdebatkan oleh rakyat negara ini. Ramai yang mempertikaikan akan keperluan diwujudkan Sekolah Wawasan perdebatan terhadap Sekolah Wawasan ini memerlukan penjelasan yang terperinci supaya ianya akan menimbulkan kekeliruan.
 Konsep Sekolah Wawasan adalah bagi untuk menempatkan dua atau tiga buah sekolah rendah yang berlainan aliran dalam satu kawasan yang sama di mana mereka akan berkongsi beberapa kemudahan fizikal di sekolah tersebut. Sekolah Wawasan bertujuan untuk memupuk integrasi di kalangan pelajar yang berlainan bangsa dan agama bagi melahirkan perpaduan di peringkat akar umbi.
 Masyarakat Cina dan India sukar untuk menerima perlaksanaan Sekolah Wawasan yang dicadangkan oleh pihak kerajaan. Mereka bimbang akan kedudukan bahasa ibunda masing-masing akan terjejas. Masyarakat Cina paling lantang menentang penubuhan Sekolah Wawasan berdasarkan trajedi 1962 di mana kerajaan berjanji satu pertiga daripada mata pelajaran sekolah menengah Cina swasta yang ditukar menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan akan tetap diajar dalam bahasa penghantar Cina. Namun janji ini tidak dipenuhi oleh pihak kerajaan.
 Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ( PMUKM ) menyokong penubuhan Sekolah Wawasan dan sedia membantu kerajaan bagi memberi penerangan kepada masyarakat tentang kebaikan penubuhan Sekolah Wawasan. PMUKM berharap kerajaan jujur serta ikhlas di dalam mengimplementasikan Sekolah Wawasan, tanpa ada sebarang tujuan tersembunyi oleh pihak-pihak tertentu.
 Sehingga kini konsep bagi melaksanakan Sekolah Wawasan masih mendapat tentangan hebat daripada masyarakat terutama daripada kaum Cina. Pelaksanaan Sekolah Wawasan perlulah dikaji dengan teliti agar tidak menjadi isu yang akan dieksploitasi oleh pihak tertentu yang akan meretakkan hubungan rakyat di negara ini.

2.0  ANALISIS ISU BERDASARKAN SATU TEORI SOSIOLOGI. 
 Isu Sekolah Wawasan boleh dihuraikan berdasarkan teori fungsionalisme. Menurut teori ini, ianya mengkaji perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Ahli-ahli fungsionalisme menyatakan bahawa setiap bahagian masyarakat haruslah berperanan dan memainkan tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan tertentu.
 Menurut teori fungsionalisme, struktur-struktur sosial akan menentukan kelancaran perlajanan atau keharmonian masyarakat. Tiga fokus utama ahli-ahli fungsionalisme ialah stabiliti, harmoni dan evolusi ( Boinkerhoff dan White - 1989 : 9 ).
 Stabiliti adalah kriteria utama untuk menentukan sejauh mana masyarakat dapat dikekalkan. Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur dalam masyarakat berkerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula mengambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial kepada pembaharuan. Teori ini menekankan kepentingan persefahaman anggota masyarakat atau konsesus untuk mencapai keharmonian dan kestabilan masyarakat. 
 Melihat kepada konsep penubuhan Sekolah Wawasan,  fokus utama adalah bagi meningkatkan integrasi serta perpaduan bagi rakyat berbilang kaum di negara ini di peringkat akar umbi. Idea kepada konsep Sekolah Wawasan ini jika dilihat dari sumbangan kepada perpaduan nasional, Sekolah Wawasan akan memberi sumbangan yang positif ke arah tersebut.
 Masyarakat berbilang kaum di negara ini adalah unik. Masyarakat di negara ini perlu kepada perpaduan bagi mengujudkan suasana yang harmoni dan stabil kepada negara. Keamanan dan perpaduanlah yang menjadi agenda utama kepada kerajaan agar ianya dapat dikekalkan bagi menjamin kestabilan politik. Berdasarkan teori ini setiap struktur masyarakat di negara ini perlulah berperanan untuk menyumbang kepada intgerasi serta perpaduan kaum terus utuh dan mampan dapat dikekalkan.
 Banyak pihak boleh berfungsi bagi menjayakan hasrat bagi menubuhkan Sekolah Wawasan. Pihak yang paling penting harus berfungsi adalah kerajaan sendiri. Pihak pemerintah perlulah benar-benar jujur serta ikhlas bagi melahirkan perpaduan di kalangan rakyat. Pemimpin-pemimpin politik yang mewakili kaum masing-masing perlulah berperanan bagi mereliasasikan Sekolah Wawasan tanpa ada agenda untuk menjadi juara kepada kaum masing-masing   di dalam membicarakan isu Sekolah Wawasan. 
 Ahli masyarakat sendiri perlu berfungsi bagi menjayakan Sekolah Wawasan. Penentangan penubuhan Sekolah Wawasan lebih jelas kepada masyarakat Cina dan India. Pemimpin-pemimpin mereka perlulah turun ke padang bagi menjlaskan kepada rakyat akan keperluan dilaksanankan Sekolah Wawasan tetapi bukannya turun ke padang bagi mengadakan perhimpunan bagi menentang isu Sekolah Wawasan mahu pun memprotes kaum tertentu kerana keengganan menerima konsep Sekolah Wawasan. 
 Selain daripada itu guru, ibu bapa serta pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum-kaum yang terlibat di dalam perlaksanaan Sekolah Wawasan dapat duduk berbincang serta membuat satu evolusi untuk membentuk perpaduan yang kukuh di peringkat akar umbi lagi. Pihak media massa juga boleh berfungsi secara lebih adil semasa membicarakan isu Sekolah Wawasan agar rakyat dapat menerima konsep penubuhan Sekolah Wawasan dengan lebih terbuka tanpa ada prasangka terhadap kaum-kaum tertentu. 
 Jika semua struktur masyarakat di negara ini dari peringkat tertinggi hinggalah kepada individu-individu di dalam masyarakat berfungsi bagi merealisasikan penubuhan Sekolah Wawasan, kebimbangan serta syak wasangka terutama di kalangan kaum Cina dapat dikurangkan untuk menerima konsep Sekolah Wawasan dengan dada yang terbuka. Disfungsional yang cuba ditunjukkan oleh beberapa pertubuhan seperti Suqiu dan GPMS semasa mendebatkan isu ini kepada masyarakat masing-masing menyebabkan hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan perpaduan yang jitu demi untuk menjamin kestabilan politik yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negara akan terjejas dan tidak mungkin impian untuk melihat penubuhan Sekolah Wawasan hanya akan menjadi impian sahaja. 

3.0  DEFINISI KONSEP
 Konsep pendidikan dan perhubungan etnik adalah salah satu konsep yang digunakan di dalam menganalisis isu Sekolah Wawasan. Etnik ethnos berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kumpulan manusia atau bangsa. Ia merujuk kepada pengenalan diri seseorang  ke dalam kumpulan yang mempunyai latar belakang, keturunan, nenek moyang yang sama. Di negara ini tiga etnik terbesar yang mewakili komposisi kaum masing-masing di dalam sisitem pendidikan negara ini ialah etnik Melayu, Cina dan India serta beberapa etnik minoriti yang lain.
 Polarisasi kaum yang berbeza-beza mengikut kawasan geografi yang berbeza telah memperluaskan taburan etnik di negara ini mengikut pecahan etnik masing-masing. Etnik Cina lebih tertumpu di bandar-bandar manakala etnik Melayu majoritinya tertumpu di luar bandar. 

4.0 ANALISIS ISU BERDASARKAN TIGA KONSEP SOSIOLOGI
4.1  REFORMASI PENDIDIKAN
 Isu Sekolah Wawasan adalah salah satu reformasi pendidikan yang cuba diimplementasikan di dalam sistem pendidikan di negara ini. Candangan bagi melaksanakan Sekolah Wawasan tidak  sewajarnya dilihat dengan penuh wasangka dan ragu-ragu oleh rakyat di negara ini. Sesuatu reformasi di dalam sistem pendidikan di negara ini mempunyai matlamat yang menjurus kepada kebaikan kepada rakyat dan negara. 
 Jika dilihat di dalam sejarah pendidikan di negara ini, reformasi pendidikan sentiasa dilakukan oleh pihak kerajaan. Setiap negara di dunia ini sentiasa melakukan perubahan-perubahan di dalam sistem pendidikan mereka bagi memantapkan lagi sistem tersebut. Dinamika sesuatu sistem pendidikan adalah menjurus kepada pembaharuan-pembaharuan yang positif. Sekolah Wawasan adalah menjurus kepada pengujudan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
 Kerajaan sentiasa komitmen terhadap reformasi pendidikan dengan memperuntukan perbelanjaan yang besar bagi membangunkan sistem pendidikan itu sendiri. Walaupun Sekolah Wawasan hanyalah satu reformasi terhadap fizikal sekolah di- mana tiga sekolah yang berlainan aliran diletakkan di dalam satu kawasan agar warga sekolah tersebut dapat berinteraksi dengan lebih luas untuk mewujudkan perpaduan, ianya haruslah diterima oleh rakyat dinegara ini demi wawasan negara untuk melahirkan suatu masyarakat yang aman damai ke arah menjadikan Malaysia negara maju. 

4.2  PENDIDIKAN DAN HUBUNGAN ETNIK
 Jika dilihat dari sudut pendidikan dan hubungan etnik di negara ini, dasar ini telah pun diimplementasikan bermula daripada Laporan Razak ( 1957 ) yang mengambil langkah kepada mengintegrasikan rakyat untuk  mencapai perpaduan di negara ini.
 Selepas kemerdekaan semua kaum diberi peluang  bercampur gaul dalam sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebgai bahasa penghantarnya. Langkah ini telah membuahkan hasil yang positif ke arah perpaduan nasional. Langkah menubuhkan Sekolah Wawasan adalah satu usaha untuk mengeratkan hubungan etnik di negara ini tanpa menyentuh hak terhadap penggunaan bahasa ibunda masing-masing. Pada hari ini hubungan etnik di sekolah-sekolah sangatlah terbatas. Pelajar Melayu lebih banyak tertumpu di sekolah-sekolah kebangsaan, pelajar Cina lebih tertumpu di sekolah-sekolah Cina manakala pelajar India lebih tertumpu di sekolah-sekolah Tamil. Hanya beberapa peratus sahaja yang berpeluang berinteraksi di sekolah masing-masing  berbanding jika Sekolah Wawasan dilaksanakan. Tiada lagi batasan untuk hubungan etnik dapat ditingkatkan melainkan merealisasikan Sekolah Wawasan.

4.3  PENDIDIKAN DAN BUDAYA SEKOLAH
 Pendidikan dan budaya sekolah adalah merujuk kepada ciri-ciri dan hasilan tingkahlaku yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya. Sekolah Wawasan akan merealisasikan pembentukan satu budaya sekolah yang akan menjadi sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat. Di sekolah kanak-kanak diajar berbudaya sebagai mana yang dikehendaki oleh masyarakatnya.
 Masyarakat di negara ini memerlukan sebuah masyarakat yang aman, harmonis, saling menghormati, bertolak ansur dan menyanjung hak mengamalkan agama, berbudaya serta mengekalkan identiti etnik mereka sendiri. Melalui Sekolah Wawasan setiap pelajar di sekolah itu berpeluang untuk menilai budaya yang diujudkan di sekolah yang terdapat di dalam sekolah mereka.
 Pembudayaan di sekolah terutamanya dari segi cara belajar, cara bekerja dan kepimpinan di dalam persekitaran Sekolah Wawasan akan dapat menjadi cermin kepada setiap individu di sekolah itu. Ini akan dapat mewujudkan satu persaingan yang sihat di kalangan pihak pengurusan di sekolah tersebut bagi memperbaiki pencapaian di sekolah pimpinan masing-masing. Kerjasama yang erat dapat diwujudkan di kalangan warga Sekolah Wawasan terutamanya di dalam menggunakan kemudahan fizikal yang sedia ada di sekolah tersebut.

5.0  CADANGAN DAN KESIMPULAN
 Sekolah Wawasan perlulah dilihat dari sudut pandangan yang jauh dan luas. Suatu jalan penyelesaian perlulah diambil bagi merealisasikan penubuhan Sekolah Wawasan ini. Beberapa cadangan boleh difikirkan sebagai jalan penyelesaian bagi menubuhkan Sekolah Wawasan. Pertamanya masyarakat Cina perlulah bertindak seiringan dengan pihak kerajaan. Tentangan yang diperlihatkan oleh beberapa pertubuhan masyarakat Cina seperti Suqiu perlulah diperbetulkan. Pemimpin-pemimpin masyarakat Cina mestilah duduk semeja bersama wakil-wakil kerajaan terutamanya daripada Kementerian Pendidikan bagi merelaikan kekeliruan tentang konsep penubuhan Sekolah Wawasan. Pemimpin-pemimpin politik janganlah menjadikan isu Sekolah Wawasan sebagi gelanggang mereka untuk meraih sokongan rakyat kepada parti mereka dengan membelakangkan kepentingan nasional. Samada Suqiu mahu pun MCA sendiri, mereka perlulah menjadi jurubicara kepada kaum Cina bagi menjelaskan kepada rakyat akan perlunya penubuhan Sekolah Wawasan. 
 Kejujuran adalah kunci kepada merealisasikan penubuhan Sekolah Wawasan. Kerajaan terutamanya tidak perlu mempunyai agenda lain di sebalik idea penubuhan Sekolah Wawasan. Masyarakat Cina sudah cukup berpengalaman akan beberapa langkah pihak kerajaan di dalam melakukan reformasi pendidikan di mana kepentingan masyarakat Cina pernah tergugat semasa beberapa tindakan yang dilihat sebagai berat memihak kepada masyarakat majoriti di negara ini. Walau bagaimana pun pihak kerajaan sudah pun melihat akan perlunya dipelihara hak kaum-kaum minoriti di negara ini. Tindakan-tindakan yang diambil seperti mengekalkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing di sekolah aliran Cina dan Tamil dapat memberi sedikit kepercayaan akan kejujuran pihak kerajaan di dalam menghargai hak kaum minoriti di negara ini. Wakil-wakil masyarakat Cina dan India juga perlulah jujur semasa membicarakan isu Sekolah Wawasan. Apa yang dilihat, kebanyakan wakil daripada setiap kaum yang lantang membicarakan isu Sekolah Wawasan, bertindak seolah-olah ingin menjadi jaguh kepada kaum mereka. Sebagai contohnya Suqiu menonjolkan ketebalan semangat kaum Cina di dalam membela isu-isu yang membabitkan kepentingan masyarakat Cina di negara ini. Manakala Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung menonjolkan semangat kemelayuan yang begitu emosi semasa mempertahankan hak kaum bumiputera di negara ini. Jika pemimpin-pemimpin yang mewakili etnik terbesar di negara ini dapat duduk berbincang secara terbuka di dalam membahaskan sesuatu isu yang membabitkan kepentingan etnik masing-masing, adalah tidak diragui bahawa satu bentuk kerjasama yang erat dan kukuh dapat dilahirkan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.
 Peluang juga haruslah diberi kepada pihak kerajaan untuk menjalankan projek perintis bagi merealisasikan Sekolah Wawasan. Melalui percubaan yang dilakukan oleh projek perintis yang mengaplikasikan konsep Sekolah Wawasan, barulah suatu penilaian dapat dibuat samada projek Sekolah Wawasan ini dapat menghasilkan sesuatu yang benar-benar memberikan kebaikan kepada perpaduan nasional. 
Jika Sekolah Wawasan terus ditentang tanpa diberi peluang kepada pihak kerajaan untuk memperlihatkan keikhlasan kerajaan bahawa penubuhan Sekolah Wawasan adalah semata-mata kearah pembentukan sebuah perpaduan yang benar-benar  mampan di peringkat akar umbi lagi. Lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini senario global sedikit sebanyak menggugat perpaduan yang telah lama cuba dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Persoalannya adakah semua telah berpuas hati dengan tahap perpaduan yang ada sekarang. Adakah kita benar-benar telah dapat membentuk sebuah negara yang benar-benar memiliki perpaduan yang terbaik? 
Sebenarnya masih banyak ruang-ruang yang perlu diperbaiki untuk mengekalkan perpaduan yang kita miliki sekarang ini. Melahirkan perpaduan adalah paling baik dimulakan di dalam dunia persekolahan. Negara kita melalui pembentukan beberapa dasar-dasar pendidikannya adalah jelas bagi mencapai perpaduan negara. Oleh yang demikian penubuhan Sekolah Wawasan adalah sebagai salah satu cara yang perlu dipraktikkan di dalam sistem pendidikan negara kita. 
Sebagai kesimpulannya setiap individu perlulah melihat konsep penubuhan Sekolah Wawasan hanyalah sebagai salah satu agenda nasional yang perlu di sokong bersama. Kepentingan individu mahu pun kepentingan etnik masing-masing sahaja mestilah dibuang. Kepentingan nasional mestilah diutamakan. Perasaan curiga mencurigai di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini haruslah dielakkan demi untuk melihat ke arah pengekalan  sebuah negara yang aman damai sebagai mana yang kita miliki sekarang ini. Pembentukan Sekolah Wawasan perlulah di terima oleh rakyat negara ini jika kita benar-benar ingin menjadi sebuah negara yang stabil dan harmonis demi untuk menjadikan negara kita sebuah negara maju suatu masa kelak. Setiap individu di dalam negara ini perlulah memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan pembentukan Sekolah Wawasan. Adalah pasti bahawa pembentukan Sekolah Wawasan akan dapat membantuk memantapkan perpaduan rakyat di negara ini.

RUJUKAN

Amir Hasan Dawi. 2002.  Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjung Malim: 
        Thinker's Library Sdn. Bhd.

Mohd Salleh Lebar. 1998. Sosiologi Sekolah dan Pendidikan. Selangor
        Nurin     Enterprise.

Mohd. Salleh Lebar. 1992. Perubahan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur : 
        Quantum Books.

Utusan Malaysia, 16hb Dis. 2000. Kekeliruan Konsep Sekolah Wawasan

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama