Cawangan ABIM

PERANAN NILAI DAN AKHLAK DALAM EKONOMI ISLAM

 
        Alhamdulillah, dengan bantuanNya jualah amal-amal salih dapat disempurnakan. Kita tidak akan mendapatkan hidayah jika bukan Allah yang menganugerahkannya kepada kita. Salawat dan salam semoga dilimpahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. kepada kaum keluarganya serta orang-orang yang mengikuti sunnahnya sehingga hari Kiamat. 

        Saya atas nama peribadi dan juga atas nama rakan-rakan di negara-negara kawasan Arab Timur menyampaikan salam mesra kepada saudara-saudara semua. Saya merasa berbahagia dapat berada di dalam negara Islam dan beramah mesra bersama-sama rakan-rakan Muslim. Saya juga merasa bertuah kerana dapat bersua muka dengan belia-belia Islam yang bertekad untuk memperjuangkan agama Allah dan menjadikkannya sebagai prinsip kehidupan tertinggi. 

        Tidak dapat dinafikan bahawa ekonomi memiliki fungsi dan peranan yang sangat penting dalam kehidupan moden. Beberapa dekad yang lalu kita menyaksikan perbalahan ekonomi antara sistem ekonomi komunis dengan sistem ekonomi kapitalis. Selepas keruntuhan sistem komunis, kaum kapitalis kini telah berjaya menguasai pasaran ekonomi seluruh dunia. 

        Islam memandang ekonomi sebagai perkara serius kerana Islam menilai bahawa harta itu sendiri meruapakan salah satu daripada lima keperluan asas dalam kehidupan. Lima keperluan asas itu ialah: Agama, Jiwa, Akal, Nasab Keturunan dan Harta. Inilah lima perkara asas yang tidak boleh dilengahkan oleh manusia. Sebab melengahkan perkara sedemikian boleh membahayakan diri sendiri. 

        Islam merupakan risalah akhlaqiyah dan tamadun Islam merupakan tamadun akhlaqiyah. Seluruh misi dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi unsur akhlak. Bahkan baginda telah mendifinisikan risalahnya dalam sabdanya: 

        Maksudnya: Sesungguhnya (tujuan) saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia. 

        Allah s.w.t. mengesahkan sabda baginda tersebut dengan menurunkan ayat al-Quran yang memuji keluhuran budi pekerti baginda s.a.w. 

        Terjemahan: Sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki budi pekerti yang agung. (Surah al-Mulk 68:4) 

        Isteri Rasulullah s.a.w. menafsirkan perkataan budi pekerti atau akhlak yang agung ini seraya berkata, "Sesungguhnya akhlak Nabi s.a.w. itu ialah al-Quran." 

        Sesiapa yang membuka al-Quran dan mendalami kandungan maknanya nescaya dia akan meyaksikan aplikasi dan perlaksanaannya pada kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Kita dapati akhlak orang-orang muttaqin dalam surah al-Baqarah, budi pekerti 'Ibad ar-Rahman' dalam surah al-Furqan serta akhlak-akhlak mulia yang lain tercermin dalam tindak-tanduk kehidupan Rasulullah s.a.w. 

        Islam mengajarkan kita bagaimana cara bermuamalah antara manusia dengan Tuhan dan antara manusia dengan manusia. Islam juga mengajarkan kepada kita kaedah berinteraksi antara muslim dengan orang kafir dan sikap kita kepada mereka sama ada dalam peperangan atau dalam keadaan damai. Bahkan Islam juag memberitahukan kepada kita cara memperlakukan haiwan dengan baik. 

        Seluruh segi kehidupan Islam tidak boleh dipisahkan daripada akhlak dan budi pekerti. Ilmu pengetahuan, politik, peperangan dan ekonomi semuanya berkaitan secara rapat dengan akhlak dan budi pekerti. Ilmu pengetahuan tidak akan memiliki sebarang nilai jika tidak disertakan dengan akhlak yang mulia dan budi pekerti yang baik. Itulah sebabnya mengapa Rasulullah s.a.w. pernah memohon perlindungan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat. 

        Maksudnya: Ya Allah aku memohon perlindungan-Mu daripada mendapat ilmu yang tidak bermanfaat. 

        Para ulama sepakat mentakwilkan 'ilmu yang tidak bermanfaat' dalam sabda Rasul itu sebagai ilmu yang tidak diiringi dengan akhlak dan budi pekerti yang baik. Al-Quran sendiri mencela orang-orang alim yang tidak berakhlak dengan firman Allah berikut: 

        Terjemahan: Perumpamaanya ialah seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya nescaya dijulurkannya juga lidahnya. (Surah al-A'araf 7: 176) 

        Sejarah telah menceritakan kepada kita betapa banyak tamadun masa silam yang maju dan gemilang tetapi runtuh dan musnah dalam masa yang singkat kerana tidak diiringi dengan kawalan akhlak dan budi pekerti yang baik. 

        Begitu pula, politik tidak boleh terpisah daripada akhlak. Islam tidak membenarkan berlakunya sebarang cara kotor dalam permainan politik. Konsep Machiavelisme yang menghalalkan segala cara demi tercapainya tujuan merupakan konsep yang bercanggah dengan konsep Islam. Sebab Islam tidak rela seorang Muslim mencapai tujuan-tujuan mulia kecuali dengan cara dan sarana yang bersih pula. Senjata-senjata kotor yang digunakan dalam politik speerti rasuah, wanita, penindasan, menggunakan orang-orang yang naif dan daif untuk kepentingan politik adalah tidak dibenarkan oleh Islam. 

        Kita juga menyaksikan peperangan dalam Islam tidak terlepas daripada aspek akhlak dan budi pekerti yang baik. Peperangan ialah satu peristiwa luar biasa yang menuntut kita untuk bersikap di luar batas yang wajar. Namun dalam keadaan seperti itu pun Islam melarang kira untuk bersikap melampaui batas. Firman Allah: 

        Terjemahan: Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (surah al-Baqarah 2: 190) 

        Rasulullah s.a.w. pernah terkilan melihat seorang wanita kaum musuh telah terbunuh dalam satu pertempuran. Maka sejak hari itu, dalam hampir setiap peperangan Rasulullah s.a.w. sentiasa mewasiatkan para sahabat agar tidak membunuh kaum wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua yang sudah uzur. Baginda juga melarang para sahabat menebang pokok atau meruntuhkan bangunan tanpa alasan yang munasabah. Sunnah Rasulullah s.a.w. ini diikuti pula oleh Khalifah Abu Bakar dan khalifah-khalifah setelahnya. 

        Menyaksikan gaya pertempuran Islam yang penuh adab dan akhlak ini seorang cendekiawan Barat bernama Gustav Lobone berkata: "Sejarah tidak pernah menyaksikan pembuka (penguasa) negeri yang lebih adil dan lebih bertoleransi daripada orang-orang Arab (Islam)." 

        Pernah dalam satu peperangan melawan kaum kafir para sahabat memperolehi kemenangan dengan izin Allah s.w.t. dna mereka berjaya membunuh ketua kaum kafir tersebut. Mereka membawa kepala ketua kaum kafir itu ke hadapan Abu Bakar r.a. Abu Bakar r.a. terkejut dan marah melihat benda yang dibawa ke hadapannya itu. 

        "Apa ini?", katanya. "Ini ialah kepala ketua kaum kafir." "Mengapa kamu penggal kepalanya dan kamu bawa ke hadapan saya?" "Sebab mereka pun berbuat hal yang serupa terhadap para pemimpin kita." "Celakalah kamu, adakah kamu ingin agar kita mengikuti tradisi jahat bangsa Parsi dan Romawi? Demi Allah! Selepas hari ini, jangna ada di antara kamu yang membawa kepala manusia ke hadapan saya!" 

        Sebagaimana ilmu pengetahuan, politik dan perang tidak boleh dipisahkan daripada akhalk, maka demikian pulalah ekonomi. Jika kita perhatikan sistem ekonomi positif (sekular) nescaya kita akan menemukan satu sistem yang tidak memperdulikan akhlak sama sekali, terutama sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi seperti ini hanya mementingkan keuntungan dan berapa banyak wang yang akan masuk ke dalam saku. Nilai-nilai yang baik, betul dan berakhlak tidak pernah terlintas dalma pemikiran mereka. 

        Akhlak merupakan salah satu unsur-unsur yang paling utama dalam ekonomi Islam. Unsur ini begitu menyerlah sehingga seorang cendekiawan Perancis mendefinisikan ekonomi Islam itu sebagai ekonomi yang berakhlak. 

        Di samping akhlak, terdapat nilai-nilai lain yang mewarnai ekonomi Islam, iaitu nilai Rabbani (ketuhanan), nilai Insani (kemanusiaan) dna nilai Wasathi (moderat dan sederhana). 

        Ekonomi Rabbani mempunyai dua konotasi makna. Makna pertama daripada ekonomi Rabbani ialah: hak unutk mengatur dan menetapkan hukum-hakam ekonomi ini hanya milik Allah. Allah yang mengharam riba, penipuan, memakan harta manusia dengan cara yang batil dan lain-lain, dan Allah juga yang menshariatkan dan mengesahkan transaksi urus niaga yang bersih dan benar. 

        Makna kedua daripada ekonomi Rabbani ialah: ekonomi yang merupakan sarana dan bukan tujuan. Ekonomi merupakan satu fasiliti yang boleh dimanfaatkan oleh setiap Muslim untuk membantunya dalam memenuhi perintah Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Sebab bagaimanapun juga seluruh kehidupan ini akan berakhir dan bermuara di sisi Allah. 

        Terjemahan: Dialah (Allah) yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (surah al-Mulk 67: 15) 

        Dalam makna ini pula kita mesti memahami konsep Istikhlaf (Kekayaan merupakan harta Allah yang diamanahkan kepada manusia). Tugas manusia dalam memegang harta itu serupa dengan seseorang yang diamanahkan untuk memegang satu tabung kebajikan. Dia harus menjaga tabung ini dan hanya diizinkan untuk membelanjakannya sesuai dengan kehandak pemilik harta yang asal. Jika pemilik harta memerintahkannya untuk mendermakan sebahagian daripada harta itu untuk membina masjid, rumah-rumah kebajikan atau madrasah dia akan segera memberikannya tanpa harus merasa sebarang kerugian apa pun. Sebab harta itu sememangnya bukan miliknya dan dia tidak akan kerugian apa-apa dalam mendermakannya. 

        Ekonomi Insani pula membawa maksud perhitungan kemanusiaan sebagai asas dan prinsip ekonomi. Tidak boleh manusia dikorbankan untuk memperolehi materi. Sebaliknya materilah yang harus dikorbankan demi kepentingan manusia. 

        Ekonomi Wasathi bermaksud ekonomi yang mengambil sikap pertengahan dan moderat. Jika sistem ekonomi kapitalis menjadikan kepentingan individu sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, dan sistem ekonomi komunis pula menjadikan kepentingan negara sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, maka Islam mengambil jalan pertengahan yang menyeimbangkan antara kepentingan individu dengan negara sehingga tercapailah kehidupan yang harmoni. 

        Dan kriteria yang terakhir ialah Ekonomi yang berakhlak. Seluruh aspek dalam ekonomi seperti aspek pengedaran, urus niaga, pengeluaran dan penggunaan bersatu padu dengan nilai akhlak dan budi pekerti yang baik. Allah tidak membenarkan seseorang untuk memperolehi harta dengan cara yang batil untuk membina masjid atau rumah-rumah kebajikan. Sebab Allah itu suci dan baik dan Allah hanya menerima perkara-perkara yang suci dan baik pula. (Innallaha Tayyibun La Yaqbalu Illa Tayyiba) 

        Islam memerintahkan kita untuk mengembangkan harta dengan cara yang shar'iy, bukan dengan menipu, mengamalkan riba atau merampas harta orang lain dengan cara yang batil. Islam juga memerintahkan kita untuk membelanjakan harta yang kita perolehi dalam perkara-perkara yang benar dan baik sahaja. Sebab harta itu merupakan harta Allah dan ia hanya boleh dibelanjakan sesuai dengan kehendak dna peraturan Allah sahaja. 

        Islam tidak menafikan bahawa tujuan utama dalam ekonomi ialah untuk memperolehi harta yang sebanyak mungkin. Tetapi Islam tidak membiarkan tersebarnya kesan negatif yang timbul ekoran beberapa amalan dalam mencari harta dan keuntungan. 

        Semasa Islam mula menguasai kota Mekah, orang-orang Musyrik dari merata jazirah Arab masih lagi berdatangan ke kota Mekah untuk melaksanakan ibadah haji. Tetapi praktik ibadah haji mereka dipenuhi dengan amalan-amalan syirik dan mereka melakukan tawaf dengan cara bertepuk tangan dan berbogel. Rasulullah s.a.w. tidak boleh membiarkan perkara itu terus berlaku. Baginda melarang orang-orang Musyrik itu melakukan ibadah haji dan menghampiri Masjidil Haram. 

        Larangan baginda s.a.w. ini menjadikan penduduk kota Mekah bersusah hati. Sebab mereka memperolehi nafkah sehari-hair daripada hasil perniagaan pada musim haji. Apabila orang-orang musyrik dilarang melakukan ibadah haji mereka pun mengalami kerugian yang besar. 

        Allah s.w.t. menyokong tindakan Rasulullah tersebut dan mencela para peniaga Mekah yang hanya mementingkan keuntungan peribadi tanpa memperhitungkan kesan negatif terhadap Islam. 

        Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang Musyrik itu najis, maka janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu khuatir akan menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu daripada kurnia-Nya, jika Dia mengkehendaki. (surah at-Taubah 9: 28) 

        Benarlah firman Allah. Setelah tahun itu Islam berjaya menguasai negeri-negeri Parsi dan Romawi dan kaum Muslimin memperolehi harta rampasan yang berlimpah ruah. Begitu juga tentang judi dan arak. Sebahagian orang melihat bahawa bermain judi dan berniaga arak boleh mendatangkan keuntungan yang banyak. Islam mencegah hasrat mereka untuk memperolehi keuntungan daripada menjual arak dan bermain judi sebab Islam melihat mudharat yang lebih besar di sebalik amalan tersebut. Firman Allah: 

        Terjemahan: Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya." (surah al-Baqarah 2: 219) 

        Ekonomi yang berpaksikan kepada akhlak tidak akan mengorbankan nilai-nilai murni demi mencapai keuntungan materi. Sebaliknya ia akan mengorbankan keuntungan materi demi mencapai akhlak dan budi pekerti yang luhur. 

         Aquulu Qawli Haza Wa astaghfirullaha Li Wa Lakun
Wassalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh. 
 

         Arsil Ibrahim





AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpape Malaysia
Laman Utama