Ragam Bahasa
1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan
 Beberapa sarjana bahasa telah memberikan hujah masing-masing dalam mendefinisikan bahasa.  Antaranya Sapir dalam buku tulisan John Lyons terjemahan Ramli Salleh dan Toh Kim Hoi mendefinisikan bahasa adalah “semata-mata suatu kaedah yang bukan naluri untuk manusia menyampaikan idea, emosi, dan keinginan melalui ciptaan simbol-simbol yang lahir secara sedar”.  Buku ini juga memetik definisi daripada Bloch dan Trager yang terkandung dalam Outline of Linguistic Analysis (1942 : 2) sebagai “suatu sistem simbol arbitrari untuk sesuatu kumpulan sosial yang bekerjasama”.  Sementara Hall dalam Essay of Language menegaskan bahasa ialah” institusi untuk manusia berkomunikasi dan berinteraksi melalui simbol-simbol lisan-pendengaran yang arbitrari mengikut tabiat”.Menurut Lyons lagi, Robins menterjemahkan bahasa “bersifat remeh-temeh dan tidak memberikan maklumat tambahan, cuma mengandaikan… beberapa teori am tentang bahasa dan analisis linguistik”.  Definisi bahasa oleh Chomsky yang dipetik John Lyons daripada Syntactic Structures (1957 : 13) terdapat sedikit perbezaan iaitu “Bermula daripada sekarang, saya akan menganggap bahasa sebagai suatu set ayat (finit atau Infinit).  Setiap satu set ini mempunyai had panjang dan tersusun dengan menggunakan satu set unsur yang terha  Ferdinand de Saussure, seorang sarjana Linguistik Swiss mendefinisikan bahasa yang dititip daripada buku Pedagogi Bahasa tulisan Kamarudin Hj. Husin dengan “satu sistem isyarat yang yang mempunyai bahagian terpenting berupa gabungan daripada erti dengan bayangan bunyi dan kedua-duanya adalah bersifat psikologi.  Menurutnya lagi erti dan bunyi itu tidaklah terpisah tetapi tergabung dalam satu rantaian ucapan menurut hukum-hukum tatabahasa”.
 Dapatlah dirumuskan bahawa bahasa itu merupakan lambang-lambang bunyi yang dihasilkan oleh alat-alat sebutan manusia, bersistem atau mempunyai susunan tertentu.  Turut mempunyai bentuk-bentuk tertentu, bertugas untuk menyampaikan dan menyatakan sesuatu, yang mengandungi makna untuk difahami oleh orang lain bagi mewujudkan interaksi sesama manusia.

1.2 Objektif
Berdasarkan kandungan kertas kerja ini, kita akan dapat mengetahui tentang .
bentuk-bentuk  ragam bahasa seperti mana yang diutarakan oleh Za’aba, serta contoh-contoh setiap klasifikasi ragam tersebut.  Di samping itu juga diperihalkan kepentingan penggunaan ragam bahasa dalam pertuturan khasnya dalam  masyarakat Melayu.

1.3 Kaedah Kajian
Bagi menyiapkan kajian ini, digunakan kaedah kepustakaan.  Segala maklumat berkaitan  yang diambil daripada buku-buku, juga daripada nota-nota kuliah yang diberikan oleh Tuan Pensyarah, diolah, dianalisa, disusun, dan digarap sebaik mungkin bagi menghasilkan kertas kerja yang bermutu.  Di samping itu, menggabungjalinkan idea-idea dan pandangan pelajar sendiri.

1.4 Batasan Kajian
Kajian ini menghadkan hanya ragam bahasa Melayu yang telah dikemukan oleh Pendita tanah air terkenal iaitu Za’aba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad. Merujuk tulisan atau kenyataan beliau dalam karyanya ‘Ilmu Mengarang Melayu’ (1965). Bagi menghuraikan setiap klasifikasi ragam bahasa oleh Za’aba ini, contoh-contoh berkaitan yang diberikan serta dinyatakan adalah berdasarkan sebuah novel karya Rejab F.I. yang bertajuk ‘Matahari Di Hujung Malam’.  Sehubungan dengan itu, dihuraikan secara ringkas kepentingan atau keistimewaan atau kepentingan penggunaan ragam bahasa semasa berinteraksi.
 Walaupun di dalam buku ini mungkin tidak dapat memenuhi setiap klasifikasi ragam bahasa yang dikemukakan oleh Za’aba, namun ianya menjadi pilihan atau bahan rujukan disebabkan tema dan persoalan cerita ini yang menarik.  Bertemakan serta menyingkap persoalan manusia yang sememangnya lupa diri apabila mendapat sesuatu kesenangan.  Kisah seorang guru yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti kemudiannya sanggup menyingkirkan pengorbanan isteri, anak, dan keluarga demi seorang yang lebih istimewa iaitu pensyarahnya sendiri.  Ibarat ‘sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi’.

1.5 Definisi Konsep
Bahasa sebagaimana yang didefinisikan berdasarkan perisian komputer ‘Kamus Eja Tepat’ edisi 1997, adalah antaranya bermaksud ujaran, pertuturan atau omong, biasanya  yang melibatkan  sesuatu komuniti atau masyarakat.  Manakala ‘ragam’ bermaksud jenis, aneka atau macam.  Oleh itu ‘ragam bahasa’ menurut Za’aba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu (1965), mendefinisikan sebagai beberapa jenis bahasa yang khas yang merupakan bahasa dalam karangan atau percakapan kerana menguatkan tujuan kata dan mempertajam hasilnya kepada faham pendengar dan pembaca.  Dengan kata lain ragaman bahasa ini dapat dikatakan sebagai bahasa tertentu yang digunakan untuk menyatakan sesuatu maksud tertentu.

2.0 KLASIFIKASI RAGAM BAHASA
Tidak ada bahasa manusia yang tetap, seragam mahupun tidak berubah-ubah.  Semua bahasa manusia menunjukkan kelainan dalaman.  Penggunaan sebenar berbeza antara satu kelompok dengan kelompok yang lain, dan antara satu penutur dengan penutur lain, dari segi sebutan sesuatu bahasa, pilihan kata, dan makna kata-kata tersebut, malah dari segi pemilihan penggunaan  ayat khususnya dalam menyampaikan sesuatu hasrat atau mesej atau untuk menyatakan tujuan-tujuan tertentu.  Pendek kata, wujud pelbagai keragaman dalam berbahasa.
Buku ‘Ilmu Mengarang Melayu’ karya Pendita Za’aba yang diterbitkan pada tahun 1965, menitipkan bahawa terdapat sejumlah lima belas ragam bahasa.  Dinyatakan di sini keragaman tersebut iaitu :
i. Bahasa Sindiran
ii. Bahasa Menggiat
iii. Bahasa Mengejek
iv. Bahasa Terbalik
v. Bahasa Merajuk
vi. Bahasa Tempelak
vii. Bahasa Herdik
viii. Bahasa Melampau
ix. Bahasa Merendah
x. Bahasa Naik
xi. Bahasa Seruan atau Mengeluh
xii. Bahasa Berulang
xiii. Bahasa Bertimbal
xiv. Bahasa Bukan
xv. Bahasa Bahasa Jenaka

Selain daripada yang dinyatakan, terdapat juga pelbagai nama lain untuk ragam bahasa ini.  Namun demikian, kebanyakan nama-nama itu diambil daripada bahasa asing terutamanya Bahasa Inggeris.

3.0 HURAIAN TENTANG JENIS RAGAM BAHASA
Berikut dihuraikan tentang klasifikasi ragam bahasa yang dinyatakan seperti mana dikemukakan oleh Za’aba secara terperinci.  Perincian juga diberikan bersama-sama contoh-contoh berkaitan
.
i. Ragam Bahasa Sindiran
Iaitu perkataan yang ditujukan untuk menyatakan sesuatu maksud kepada seseorang, tidak disebutkan atau dinyatakan secara tepat.  Hanya disampaikan secara sinis dengan dikias-kiaskan atau dilambangkan kepada perkara lain.  Ianya tidak dinyatakan atau disebutkan secara terus-terang atau ditujukan tepat terhadap seseorang.
Dalam novel ‘ Matahari di Hujung Malam’, contoh berkaitan jenis ragam ini ialah “Kalau tidak ada sebabnya, masakan tempua bersarang rendah”. Kata-kata ini ditujukan oleh Cikgu Sharif kepada Cikgu Hamdan.  Ia tentunya menyindir Cikgu Hamdan yang telah cedera  dan dimasukkan ke hospital akibat dipukul oleh Zaidi dan kawan-kawannya.  Cikgu Hamdan pasti mengetahui sebab berlaku kejadian tersebut atau mestilah berpunca daripada kesilapan Cikgu Hamdan sendiri.  Namun begitu, sindiran berupa tuduhan ini tidak pula diluahkan secara terang-terangan oleh Cikgu Syarif.  Begitu juga dengan dialog antara Syaharudin dan ayahnya, Pak Mahat yang berbunyi, “Berdrama sana, berdrama sini. Tak puas di atas pentas mereka berdrama pula di dalam kereta, di tengah sawah!”.  Ini juga menunjukkan ragam bahasa menyindir iaitu bagaimana Shaharudin tidak terus-terang mengatakan isterinya Norhayati berkelakuan tidak senonoh bersama-sama Cikgu Hamdan, tetapi  diarahkan  pula dengan perkataan ‘drama’ yang membawa maksudnyayang  sebenar.
Itulah antara ragam sindiran yang terdapat dalam karya ini di samping banyak lagi contoh yang lain.  Jelaslah ragam jenis ini diujarkan dengan tujuan menyindir seseorang tetapi tidak diluahkan atau dinyatakan secara terang-terangan sebaliknya biasa diujarkan dengan mengarah kepada sesuatu yang lain.

ii. Ragam Bahasa Menggiat
Ragam bahasa jenis ini biasanya ditujukan tidak tepat kepada seseorang.  Nadanya seakan-akan juga sindiran.  Namun begitu tujuannya agak berbeza iaitu untuk mengusik, bergurau-senda atau kadang-kala bersungguh-sungguh betul, jika benarnya orang yang terkena atau dimaksudkan menjadi malu.
Contohnya “Eh!  Baik sungguh kau hari ini” Rahmat membuat penilaian.  “Hm!  Aku taulah.  Kau seronok sebab Cik Juliana tu terpikat pada kau kan?”  Seperti kata-kata Rahmat ini kepada Syaharudin, nadanya adalah menggiat kawannya itu bertujuan bergurau-senda.  Namun begitu, seolah-olah juga menyindir kawannya yang cuba berbuat baik dengan pensyarahnya itu untuk kepentingan diri sendiri.
Selain itu Rahmat yang menyebutkan “Kalau calang-calang belajar, hm … sia-sialah duit kita tu”.  Maksud Rahmat yang sebenar adalah mengusik kawannya Syaharudin yang berbaik-baik dengan pensyarahnya sendiri sedangkan isterinya berkorban mengirimkan perbelanjaan buat suaminya membiayai perbelanjaan semasa belajar di universiti.  Semuanya dilakukan demi ingin melihat suaminya berjaya menggulung segenggam ijazah.  Sedangkan kawannya Syaharudin berseronok pula di universiti seolah-olah melupakan pengorbanan isterinya itu.  Walaupun nadanya mengusik juga seakan-akan menyindir kawannya itu demi menyedarkan perbuatannya.
Agak menarik pula ialah “Kau dah pikat burung dara di kampus ini, Din?”  Walaupun ada ‘burung dara’ sebagai kiasan dan mengarahkan atau merujuk kepada pensyarahnya, Cik Juliana, kenyataan sebenarnya adalah Rahmat mengusik Syaharudin yang sengaja ingin memenangi hati pensyarahnya itu.  Mengetahui pula tujuan Syaharudin yang ingin melepaskan perasaan marahnya terhadap isterinya yang lambat mengutuskan wang buatnya.
Jika diteliti sehalus-halusnya, memang benar ragam jenis ini iaitu ragam bahasa menggiat, ada kalanya berupa sindiran secara sinis.  Walaupun maksud sebenarnya mengusik atau bersenda-senda tetapi kemungkinan orang yang dimaksudkan itu mungkin terasa hati seperti kata pepatah ‘siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya’.

iii. Ragam Bahasa Mengejek
Ragam bahasa jenis ini pula bahasa yang mengata atau ditujukan tepat kepada seseorang atau kumpulan.  Ia ditujukan dengan menggunakan perkataan yang tepat dengan gaya yang mengajukkan keburukan mereka itu.  Juga perkataan-perkataan yang mempermain-mainkan seseorang itu dengan hasrat menjelaskan kebodohan atau jika ada orang lain yang mendengarnya akan mentertawakan seseorang yang dimaksudkan itu.
Contohnya “Hm!  Kau ni takut yang bukan-bukan, Rahmat.  Kalau macam tu tak merasalah kau bercinta di sini.  Kau nak tunggu biar keluar U nanti?  Kau nak tunggu rambut kau beruban?”  Itulah contoh ragam bahasa mengejek yang dinyatakan oleh Syaharudin.  Beliau mengujarkannya kepada kawan sebiliknya Rahmat yang masih bujang dan tiada berteman itu.  Sedangkan dia seorang yang telah berkahwin, dan punya anak tetapi digilai oleh pensyarahnya sendiri yang masih belum berpunya.
Ragam bahasa ini juga jelas dilihat dengan kata-kata Encik Jalal terhadap isterinya Puan Fauziah.  Beliau seolah-olah memulangkan paku buah keras kepada isterinya yang menjadi penyebab anaknya putus tunang dan hinggakan anaknya kembali semula kepada kekasih lamanya serta terlanjur akhirnya.  Maksud sedemikian tersirat dalam dialog “Itulah kau!  Dulu budak ni bertunang elok-elok dengan Cikgu Hamdan tu, minta diputuskan.  Menuduh cikgu tu bukan-bukan pula.  Sekarang ni ha, apa yang dah jadi?”  Dari sini ternyata Encik Jalal mengejek isterinya yang disebabkabkan kebodohan sendiri, berlaku perkara yang memalukan mereka sekeluarga.

iv. Bahasa Terbalik
Ragam bahasa jenis ini menggunakan bahasa berlawanan daripada apa yang hendak dimaksudkan.  Namun demikian, orang yang mendengar atau yang diajak bertutur akan faham akan maksud yang sebenar.  Contohnya kata-kata Syaharudin, “Dia tu dah tua, kau tahu?  Anak dara terlajak.  Sebab itu dia nak cari orang berumur macam aku ni.  Betul tak?”  Namun kenyataan Syaharudin ini difahami Rahmat akan maksud sebenarnya.

v. Bahasa Merajuk
Bagi ragam jenis ini memperlihatkan tentang kekecewaan yang dialami  seseorang.  Biasanya ragam ini adalah bahasa yang digunakan oleh orang yang sedang kecewa atau berkecil hati kerana sebab-sebab tertentu.
Kata-kata Rahmat yang membayangi kekecewaannya kerana sering diperli rakannya yang bertanyakan mengapakah dalam umur sepertinya masih belum berkahwin, jelas menunjukkan ragam bahasa jenis itu iaitu “ Macam muka aku ni siapa yang hendak, Din …,” selar Rahmat sambil bangun manghadap cermin yang tergantung di dinding kamar mereka, “muka macam buah kelapa tua,” sambungnya sambil ketawa, merendah diri.
Selain itu, kekecewaan yang dialami oleh Shaharudin juga dapat dilihat dalam ragam bahasa ini.  Tergambar betapa pedih dan kecewanya Shaharudin yang telah kehilangan segalanya iaitu kekasihnya Juliana, isterinya serta anaknya, dan juga keluarganya sendiri.  Sehingga dia tidak sanggup kembali ke kampung halamannya selepas menghabiskan pengajiannya di universiti apalagi hendak berdepan dengan mereka itu.  Kekecewaan dan kehampaan itu dapat dilihat melalui kata-katanya kepada Rahmat, “Aku tak akan pulang lagi ke kampungku, Rahmat,” “Ke mana kau, Din?”  “Aku telah memilih Sabah atau Sarawak.”

vi. Bahasa Tempelak
Contohnya “You pula sengaja ambil kesempatan berhubungan dengan I.  Tak begitu?” soal Juliana.  Inilah salah satu contoh ragam bahasa tempelak yang terdapat dalam karya “Matahari di Hujung Malam”  Kata tempelak yang ditujukan tepat oleh Juliana kepada Shaharudin.  Ianya diluahkan disebabkan kemarahan Juliana terhadap Shaharudin yang mengambil kesempatan di atas perhubungan mereka berdua dengan memburuk-burukkan kesetiaan dan pengorbanan isterinya.
Selain itu kata-kata orang kampung yang menempelak Zaidi dan rakan-rakannya yang sentiasa menyalahkan kakak iparnya sedangkan  kelakuan buruknya jelas diketahui ramai.  Demikian bunyinya, “Jika kumpulan teater itu buruk, nyatakan apa yang baik kumpulan anak-anak muda itu lakukan ha?  Berapa banyak mereka sumbangkan wang untuk mangsa-mangsa banjir dan membantu pelarian Palestin itu.  Katakan?”  Ternyata tempelakan yang ditujukan tepat kepada Zaidi dan kawan-kawannya itu mengunci mulut mereka.

vii. Bahasa Herdik
Bahasa ini bunyinya seakan-akan bahasa tempelak tetapi nadanya agak lebih keras.  Contohnya kemarahan Encik Jalal terhadap perbuatan anaknya yang telah memberi malu mereka sekeluarga.  Kata-kata Encik Jalal, “Habis!  Muka kita ni nak sorok di mana ha?! Sergah Encik Jalal pula sambil menudingkan jari telunjuk ke arah isterinya.

viii. Bahasa Melampau
Bahasa yang digunakan untuk membesar-besarkan dan melebih-lebihkan daripada perkara atau kedudukan yang sebenarnya adalah disebut ragam bahasa melampau.  Contohnya ‘Mereka berpegangan sambil melihat anak-anak ikan kecil berkejar-kejaran di dalam air.  Ah!  Begitu mesra, bagai merpati sepasangan.  Kebahagiaan membalut jiwa Syaharudin.  Saat-saat begitu terasa bagaikan di syurga.

ix. Bahasa Merendah
Bahasa yang bertentangan dengan bahasa melampau.  Contohnya, “Macam muka aku ni siapa yang hendak, Din …,” selar Rahmat.  “Muka macam buah kelapa tua,” sambungnya lagi.  Dalam bahasa ini, betapa merendah dirinya Rahmat berbahasa dengan rakannya Syaharudin.

x. Bahasa Naik
Bagi menyatakan sesuatu maksud, digunakan bahasa yang menyebutkan sesuatu daripada perkara yang paling rendah, kemudian beransur-ansur selangkah demi selangkah naik ke atas hingga ke puncaknya.  Begitu yang diceritakan bagi menggambarkan persediaan dan suasana perkahwinan Norhayati dengan Cikgu Hamdan. ‘Tanpa persoalan panjang, tanpa persediaan hebat dan tanpa kenduri yang meriah, tiga bulan kemudian perkahwinan mereka dilangsungkan’.

xi. Bahasa Seruan atau Mengeluh
Bahasa yang digunakan ini juga untuk menyatakan kekecewaan yang dialami.  Namun begitu, ianya tidak dapat diluahkan kesemua perasaan tersebut tetapi orang yang mendengarnya memahami dan mengerti betapa berat kekecewaan dan penderitaan yang ditanggung seseorang.
“Ah!  Sudahlah bang.  Anak kita ni dah terlanjur.  Kalau dibunuh mati pun perkara tu tak boleh diubat,”.  Demikian kata-kata Puan Fauziah yang menyatakan betapa kecewanya hatinya dengan apa yang terjadi terhadap anaknya.  Begitu juga rintihan Norhayati, apabila Syaharudin bertekad tidak mahu pulang ke kampung itu.  Lebih dari itu, dia menuduh dirinya curang.  Menduakan suami.  Berlegar ke sana ke mari dengan Cikgu Hamdan.  Ah!  Betapa pahit, betapa tersayat dan betapa pedih hatinya!

xii. Bahasa Berulang
Dalam ragam bahasa jenis ini, digunakan bahasa atau perkataan yang diulang-ulang.  Ini untuk menguatkan atau mengukuhkan maksud atau tujuan sesuatu kata itu.
Contohnya ketidakpercayaan Pak Mahat terhadap kecurangan dan sikap buruk menantunya iaitu Norhayati.  Penegasan Pak Mahat dalam hal ini jelas tergambar melalui kata-katanya, “Karut!” tengking Pak Mahat.  “Semua itu karut!  Fitnah!” herdiknya lagi sambil menepuk palang jendela.  Perkataan ‘karut’ diulang bagi menyatakan maksud yang sememangnya ia tidak mempercayai langsung tuduhan anaknya Shaharudin terhadap isterinya, Norhayati.
Selain itu dalam kata-kata, “Aku malu, Syahar!  Aku malu!  Mengapa kau bawa perempuan itu ke kampung kita ini ha?  Kau tau apa orang-orang kampung mengata-ngatakan kita ha?”.  Begitu kata pertama yang berjaya yang diluahkan oleh Pak Mahat setelah sekian lama berusaha untuk meluahkannya semenjak Syaharudin pulang ke rumahnya.  Tergambar betapa malunya Pak Mahat dan isterinya di atas kelakuan sumbang anaknya yang membawa pulang wanita lain ke rumah sedangkan isteri dan anaknya masih ada tanpa dijenguk dan dihiraukan.

xiii. Bahasa Bertimbal
Bagi menyatakan sesuatu, digunakan bahasa yang mempertentangkan sesuatu dua keadaan yang seolah-olah berlawanan.  Walaupun dalam karya Rejab F.I ini tidak menggarapkan ragam bahasa ini, dapat diberi contoh lain iaitu,
 Kendur berdenting-denting tegang berjela-jela
 Dekat tak tercapai jauh tak berantara.

xiv. Bahasa Bukan
Bagi ragam bahasa ini digunakan perkataan ‘bukan’ untuk mendahului sesuatu kata lain.  Dalam karya ini, ragam ini dapat dilihat dalam kata-kata, “Bukan begitu, Ham,” Cikgu Syarif membuat kesimpulan dan “Bukan dia nabi kita.  Segala ajaran dan perbuatannya mesti kita ikut!”  Di sini digunakan kata ‘bukan’ mendahului kata-kata lain yang menunjukkan ragam bahasa bukan.

xv. Bahasa Jenaka
Ragam bahasa 0jenis ini memakai atau menggunakan satu perkataan yang membawa dua makna.  Contohnya “Muka macam buah kelapa tua” yang membawa maksud sebenar iatu muka  atau wajah yang tidak setampan mana.  Walaupun zahinya perkataan tersebut melambangkan buah kelapa yang sudah tua.

Begitu juga jenaka Cikgu Syarif, “Hm!  Macam mana cikgu?  Jambatan tu dah emak cikgu hulurkan.  Hm!  Apa nak ditunggu lagi, lalui sajalah cikgu!”  Perkataan ‘jambatan’ membawa dua maksud yang berbeza.  Namun begitu dalam hal ini ‘jambatan’ tersebut membawa makna kebenaran menganggotai kumpulan teater yang telah diberikan oleh Cik Hamidah kepada anaknya Norhayati.
Demikianlah huraian serta contoh-contoh berkaitan yang diberikan bagi membincangkan tajuk ragam bahasa ini.
 

3.0 KEPENTINGAN RAGAM BAHASA

Bahasa adalah milik manusia yang paling penting.  Dengan bahasalah manusia dapat berhubung antara satu sama lain bagi menyampaikan sesuatu maksud, perasaan, pandangan, dan lain-lain lagi.  Ternyata bahasa yang beragam-ragam ini pula mempunyai kepentingan yang sangat tinggi dalam kehidupan manusia seharian. Apalagi hidup dalam masyarakat yang bersifat homogen, dengan sikap-perangai yang berbeza-beza.  Dan menjadi kewajipan serta tanggungjawab individu dalam masyarakat itulah menangani segala permasalahan bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni.
 Antara kepentingan ragam bahasa ialah :
i. Menyedarkan individu atau seseorang daripada bersikap negatif seperti ragam bahasa herdik atau menggiat ditujukan untuk yang pemalas,
ii. Mengeratkan kemesraan seperti ragam bahasa jenaka akan menimbulkan kemesraan di samping sesuatu tujuan sebenar dinyatakan secara bersahaja tanpa menimbulkan kemarahan atau kecil hati di pihak yang terkena.
iii. Menjaga air muka atau maruah orang lain walaupun berbahasa dalam keadaan yang marah.  Namun begitu maksud sebenar akan difahami, contohnya ragam bahasa menyindir.
iv. Mewujudkan masyarakat yang bekerjasama, prihatin, bantu-membantu, tolong-menolong, ibarat pepatah ‘yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.
Demikian antara kepentingan ragam bahasa yang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.

4.0 PENUTUP
Telah jelas ragam bahasa digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian.  Sebagai manusia yang hidup dalam satu komuniti, saling berinteraksi, berhubungan, dan berkomunikasi, memang akan timbullah bahasa yang beragam-ragam.  Walau bagaimanapun, telah jelas keragaman ini mewujudkan kelompok masyarakat yang saling mengambil berat antara satu lain, demi kebaikan bersama.
 
 

Kaunseling

DEFINISI KAUNSELING
 Dalam definisi kaunseling ada dua sudut pandangan yang biasa disentuh iaitu aktiviti kaunseling; dan ‘product’ atau hasil kaunseling.  Kedua-dua perkara ini saling berkait rapat dan satu diskripsi yang sempurna tentang kaunseling perlu mencakupi kedua-dua aspek ini.  Berpandukan kepada kedua-dua aspek di atas kaunseling dapat didefinisikan sebagai:
 Satu proses dan juga aktiviti pertolongan yang dilakukan oleh kaunselor yang menggunakan pengetahuan dan teknik psikologi untuk tujuan menolong individu berubah daripada keadaannya sekarang kepada satu keadaan yang dikehendakinya.
Arbu’ckle :
“Kita boleh mendefinisikan kaunseling atau psikoterapi sebagai perhubungan dan proses yang berkembang, di antara individu atau beberapa individu yang tidak berfungsi sepenuhnya atau tidak mencapai potensi-potensi dan menghadapi masalah-masalah yang dirasakan tidak dapat diselesaikan sendiri dan seorang profesional yang terlatih yang menyediakan perhubungan yang diperlukan di mana individu itu boleh mengubah cara-cara yang akan membawa kepada perkembangan potensi-potensi dan kebolehan untuk menyelesaikan masalah-masalahnya sendiri”.
Dinkmeyer (1970) :
“Orientasi perkembangan bererti kaunseling yang diberikan tidak berorientasikan masalah atau mengandaikan pelajar itu mempunyai masalah yang merunsingkan.  Sebaliknya matlamat orientasi perkembangan ialah untuk menggalakkan pemahaman diri, sedar akan potensi yang ada pada diri masing-masing dan mengetahui cara menggunakan kebolehan diri sendiri.. Pendekatan kaunseling perkembangan ini adalah bertumpu kepada menolong individu mengetahui dan memahami serta menerima dirinya”.
Md. Shuaib Che Din :
“Satu proses dan juga aktiviti pertolongan yang dilakukan oleh kaunseling yang menggunakan pengetahuan dan teknik untuk tujuan menolong individu berubah daripada keadaannya sekarang kepada satu keadaan yang dikehendakinya”.
 Kaunselor adalah seorang yang terlatih dengan pengetahuan dan kemahiran menolong.  Pengetahuan kaunseling ialah kemahiran asas kaunseling yang berasaskan pada ‘human relation model’ seperti kemahiran tingkah laku melayan secara fizikal, lisan, hormat kepada orang serta kemahiran di dalam strategi menolong yang berasaskan teori.  Kaunselor yang terlatih biasanya mengalami latihan praktikum di bawah penyeliaan seorang kaunselor yang mahir.
 Kaunselor yang berkesan akan menggunakan pengajaran, tunjuk ajar arahan, latihan dan sebagainya untuk membantu kliennya.
 Kaunseling diguna oleh individu dalam protesion ini untuk menggambarkan satu jenis proses menolong yang khas.  Ianya merupakan satu perhubungan yang berasaskan kepercayaan dan fokusnya kepada peristiwa dalam kehidupan.  Bagi seorang pelajar umpamanya, ianya melibatkan soal akademik, peribadi, sosial dan perkembangan kerjaya.
 Kaunseling mempunyai asas falsafah dan teori yang boleh memberi gagasan terhadap pembelajaran, perlakuan manusia dan perhubungan interpersonal.

CIRI-CIRI KAUNSELING
Patterson (dalam Shertzer dan Stone, 1974) mengemukakan beberapa perkara yang
dianggap bukan kaunseling.  Katanya kaunseling :
 1. bukan pemberian maklumat, walaupun maklumat mungkin diberi dalam kaunseling.
 2. bukan memberi nasihat, cadangan dan perakuan (nasihat mesti dibiar
     sebagai nasihat dan tidak disamarkan sebagai kaunseling).
 3. bukan mempengaruhi sikap, kepercayaan atau tingkah laku dengan cara
     memujuk, mengarah, atau meyakinkan orang lain, walaupun dengan cara tidak
     langsung, halus atau bersahaja.
 4. bukan mempengaruhi tingkah laku dengan mengawas, memberi amaran,
     mengancam atau memaksa tanpa menggunakan kekuatan fizikal atau paksaan
    (kaunseling bukan untuk mendisiplinkan orang).
 5. bukan memilih dan menugaskan individu pada berbagai-bagai pekerjaanatau aktiviti
    (kaunseling bukan melakukan kerja personalia walaupun kedua-dua bidang ini
    menggunakan ujian-ujian yang sama)
 6. bukanlah temubual, walaupun temubual terlibat (tetapi temubual tidaklah
     sama dengan kaunseling)

Kata Patterson lagi sifat kaunselinng terdapat pada hal-hal di bawah:
 1. Kaunseling berminat pada mempengaruhi perubahan tingkah laku secara sukarela
     oleh klien.
 2. Matlamat kaunseling ialah untuk menyediakan kondisi yang melancarkan perubahan
     secara sukarela (klien mahukan perubahan, dan mencar  pertolongan kaunselor
     untuk tujuan tersebut).
 3. Sama seperti hubungan-hubungan yang lain, ada had-had yang dikenakan ke atas
     klien (had-had ini ditentukan oleh matlamat / matlamat-matlamat kaunseling yang
     dipengaruhi pula oleh nilai dan falsafah kaunselor).
 4.  Kondisi-kondisi yang melancarkan perubahan tingkah laku didapati dalam
     temubual (bukan keseluruhan kaunseling adalah temubual, tetapi semua
     kaunseling melibatkan temubual).
 5. Aktiviti mendengar berlaku pada semua jenis kaunseling tetapi bukan
     semua kaunseling hanya mendengar sahaja.
 6.  Kaunselor memahami kliennya (perbezaan antara pemahaman kaunselor
     dengan pemahaman orang lain adalah bersifat kualitatif dan bukan
      kuantitatif dan mendengar sahaja tidak membezakan kaunseling daripad  situasi lain).
 7.  Kaunseling dilakukan secara ‘private’dan perbincangan kaunseling dibuat
      secara rahsia.

PRINSIP-PRINSIP KAUNSELING
 Daripada penjelasan, definisi dan makna kaunseling, aspek bukan kaunseling dan kaunseling di atas tadi dapat dibuat kesimpulan tentang prinsip-prinsip falsafah kaunseling.  Diperturunkan beberapa prinsip yang dikemukakan oleh Scmidt dan McCowan, (1962) yang tidak jauh daripada apa yang telah dibincangkan.

 1. Kaunseling mengiktiraf digniti, harga diri individu dan haknya untuk
     mendapat pertolongan pada masa yang diperlukan.
 2.  Kaunseling mementingkan individu dan prihatin pada perkembangan
     optimanya, kesedaran tentang potensi individu dan juga keperluan  masyarakat.
 3.  Kaunseling mempunyai tanggungjawab pada masyarakat dan  individu.
 4.  Kaunseling mesti menghormati hak individu sama ada menerima atau
      menolak perkhidmatan yang ditawarkan padanya.
 5.  Kaunseling adalah sesuatu yang berterusan, mempunyai urutan dan satu
      proses pendidikan.  Lantaran itu, kaunseling adalah sebahagian daripada
      pendidikan dan bukan hanya hal sampingan.
 6.  Kaunseling berkisar di sekitar kerjasama dan bukan paksaan.  Tidak ada
      ancaman dan hukuman dalam kaunseling.
 7.  Kaunseling membawa implikasi bahawa pertolongan yang diberi kepada
      individu bertujuan untuk menghasilkan keputusan yang baik; untuk
      perancangan; interpretasi, dan penyesuaian dalam situasi yang kritikal di
      dalam kehidupannya.
 8.   Kaunseling memerlukaan kajian yang menyeluruh tentang individu dalam
      latar budayanya dengan menggunakan teknik saintifik.  Pemahaman
       tentang individu mesti mendahului pertolongan yang hendak diberikan.
 9.  Kaunseling sepatutnya ditugaskan pada mereka yang mempunyai
      kecondongan semulajadi untuk menjalankan tugas ini serta mempunyai
      latihan dan pengalaman yang cukup.
 10. Fokus kaunseling adalah menolong individu menyedari dan menggunakan
      potensinya sebaik mungkin dan bukan hanya untuk menyelesaikan
      masalahnya secara terpisah dari keseluruhan dirinya dan juga persekitaran.
 11. Kaunseling mesti sentiasa dinilai keberkesanannya secara saintifik.

CIRI-CIRI KAUNSELOR
 Di sini disenaraikan ciri-ciri seorang kaunselor yang menepati diri saya yang ingin menjadi seorang kaunselor di sekolah menengah.  Satu hakikat yang harus diterima ialah personaliti atau sahsiah seorang kaunselor adalah faktor yang dapat menolong untuk menjayakan perkhidmatan ini.  Holden (1969) dan Hamblin (1980) menyatakan, tidak semua guru boleh menjadi guru kaunseling yang berjaya.  Personaliti guru akan mempengaruhi hubungan yang terbina antara guru dan pelajar.
 Hamblin (1980) mencadangkan tiga faktor penting yang berhubung dengan personaliti guru.

 1. Kebolehan merasai dengan tepat (accurate empathy) apa yang dirasai oleh
  mereka yang ingin ditolong.  Kesilapan dalam perkara ini akan
  merumitkan kerja guru bimbingan dan mungkin mendatangkan bahaya di
  luar dugaan.  Terdapat guru-guru yang menekankan perasaannya sendiri
  kepada pelajar dan ini menyebabkan berlakunya kekeliruan.

 2. Guru juga perlu berkebolehan berlaku jujur dalam hubungannya dengan
  pelajar.  Pelajar tersebut mestilah diterima sebagai seorang manusia yang
  bermaruah dan mempunyai harga diri.

 3. Mewujudkan rasa mesra serta suasana tenteram pada masa pelajar
  menghubungi juga perlu bagi seorang guru.  Kebolehan begini menimbul-
  kan rasa selamat dan rasa percaya pada para pelajar, bahawa guru itu dapat
  menolong mereka.

Holden (1969) serta Hamblin (1980) sememangnya yakin setiap guru memang layak menjalankan peranannya ini.  Holden (1971) percaya guru mempunyai beberapa
kelebihan dalam memainkan peranannya kerana mereka mempunyai pengetahuan yang kemaskini tentang pelajar-pelajar.  Ini boleh menolong mereka untuk membentuk hubungan yang rapat antara pelajar dan gurunya.  Pelajar berasa lebih senang berbincang dengan guru yang mereka kenal berbanding dengan orang lain.
 Mengikut Combs dan rakan-rakan (1969), kaunselor yang berkesan dan berjaya menganggap seseorang individu sebagai boleh diharap atau dipercayai, bersahabat ramai dan bersikap wajar.
 Nur Aini (1989) menjelaskan pada asasnya seseorang kaunselor yang berkesan adalah seorang manusia yang berkesan…  yang peka kepada ciri-ciri kemanusiaan yang berbagai-bagai ragam serta menyedari sifat-sifat kemanusiaannya sendiri, tabah, berani dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
 Laporan National  Vocational Guidance Association (1949) menyatakan sepatutnya kaunselor mestilah sentiasa memberi pendapat yang benar dalam khidmatnya supaya dia mudah diterima sebagai seorang yang jujur dan ikhlas.
 Menurut Carl Rogers, ciri-ciri kaunselor ialah :
 1. Penerimaan dan kemesraan
 2. Tidak menghukum
 3. Ketulenan
 4. Ketepatan
Penerimaan dan Kemesraan
Sebagai seorang kaunselor, dia mestilah memberitahu kliennya tentang sikapnya yang sentiasa menerima klien dengan kerelaan dan menghormatinya.  Penerimaannya digambarkan dengan air muka dan tutur kata yang baik semasa menyambut dan melayani
percakapan klien
Tidak Menghukum
Seseorang kaunselor tidak boleh menghukum atau menilai sesuatu terhadap kelakuan klien.  Sekiranya kaunselor ingin mendapatkan maklumat tentang klien, dia hendaklah mengelakkan daripada menetap atau menilai sesuatu ke atas klien.  Kata-kata yang tidak menyenangkan akan menyebabkan klien memandang serong kepada kaunselor.
Ketulenan
Semasa sesi kaunseling, kaunselor hendaklah tenang, sabar dan berterus terang kepada kliennya.  Kaunselor yang tidak jujur dan berpura-pura menyebabkan klien berasa tidak selesa dan sukar mempercayai pendapat kaunselor.  Sebaliknya, kaunselor yang sentiasa mengambil berat tentang klien, memudahkan lagi interaksi dan perkongsian pendapat di antara kaunselor dengan klien.
Ketepatan
Kaunselor seharusnya sentiasa menggunakan bahasa yang ringkas, mudah dan tepat semasa sesi kaunseling diadakan.  Jika perlu kaunselor perlu mencelah dan membantu klien menyatakan apa yang tersembunyi di hati klien.  Kadangkala sesetengah perkataan yang klien sampaikan susah difahami oleh kaunselor.  Oleh itu seseorang kaunselor perlu peka dan cepat memahami penggunaan bahasa atau perkataan dalam konteks sesi perbincangan yang hendak disampaikan oleh seseorang klien.
 Berdasarkan perbincangan-perbincangan tersebut, bolehlah dirumuskan bahawa ciri-ciri penting seseorang kaunselor adalah seperti berikut :
 1. Seseorang kaunselor yang berkualiti ialah yang pernah menjalani
  praktikum.
 2. Mempunyai ilmu dan kepakaran yang tertentu dalam bidang kaunseling.
 3. Mempunyai pengetahuan dalam bidang perkembangan psikologi kanak-
  kanak dan remaja.
 4. Mempunyai keyakinan diri dan percaya kepada kebolehan orang lain.
 5. Mempunyai kredibiliti tinggi, iaitu boleh dipercayai.
 6. Mampu mengurangkan risiko semasa prosese kaunseling.
 7. Mempunyai sifat terbuka dalam menghadapi sesuatu isu.
 8. Sanggup melibatkan diri dalam masalah klien.
 9. Amanah, jujur dan ikhlas.
 10. Bersikap terus-terang, tegas dan tidak menyembunyikan sesuatu.
 11. Tidak mempunyai syak wasangka terhadap klien.
 12. Mempunyai sifat sejati seperti ketepatan dalam pernyataan dan dalam
  tingkah lakunya.
 13. Bijak melayani klien dan boleh mewujudkan suasana mesra, iaitu dengan
  menggunakan perkataan yang lembut dan menarik hati.
 14. Berprihatin, bersimpati dan peka kepada perasaan kliennya.
 15. Persepsi kaunselor terhadap hubungan dengan klien mestilah positif.
 16. Mempunyai beberapa kemahiran seperti mendengar, memimpin, mentafsir,
  merumus dan menyampaikan maklumat.
 17. Kebolehan berfikir lebih jauh daripada klien.
 18. Kebolehan menentukan objektif jangka pendek dalam sesuatu perkara dan
  berupaya menjalankan sesuatu tumuduga.
 19. Kebolehan menyampaikan idea dan menganalisis perasaan klien.
 20. Sabar dan tidak jemu dengan sesi kaunseling.
 21. Peramah dan tidak sombong.
 22. Mengutamakan kebajikan klien.
 23. Mempunyai fikiran yang waras, sihat dan emosi yang stabil.

CIRI-CIRI PENTING BAGI KAUNSELOR MUSLIM
 Di negara-negara Barat, kebanyakan pembimbing atau kaunselor terdiri daripada mereka yang bukan Muslim.  Oleh itu mungkin teknik mereka melayani dan menghayati perasaan klien tidak sama dengan kehendak orang Muslim.  Di Malaysia, walaupun kita banyak mengkaji dan menerap nilai-nilai Barat dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, namun bagi kaunselor-kaunselor Muslim perlu juga memahami unsur-unsur, nilai, penyelesaian dan bimbingan menurut pendekatan pendidikan Islam dalam bidang tersebut.  Dengan cara ini, mungkin setiap klien yang mengadu masalah kepada kaunselor Muslim akan berasa lega, bebas, tertarik dan kagum.  Mengikut Abdullah Nasih Ulwan (1988), ciri-ciri penting yang perlu ada pada pembimbing Muslim ialah :
 1. Ikhlas
 2. Takwa
 3. Berilmu pengetahuan
 4. Bersopan-santun atau beradab
 5. Mempunyai perasaan bertanggungjawab

Ikhlas
Dalam Islam, setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dengan ikhlas dan tidak semata-mata mengharapkan ganjaran yang tinggi.  Ikhlas merupakan asas keimanan dan dituntut oleh Islam.  Allah s.w.t. tidak menerima amal dan perbuatan seseorang melainkan dengan hati yang jujur dan ikhlas.

Takwa
Takwa maksudnya takut melakukan sesuatu perbuatan yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang Islam dan peraturan yang diterima oleh sebahagian besar masyarakat.  Oleh itu sifat takwa merupakan sifat yang utama, diperlukan dan wajib ada pada seseorang pembimbing Muslim.

Berilmu Pengetahuan
Semua kaunselor, baik yang Muslim atau yang bukan Muslim mesti mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang yang diceburi.  Dengan ilmu yang tinggi dan berkualiti, mudahlah mereka membentuk akhlak diri mereka dan seterusnya menjadi model kepada klien.

Bersopan-santun Atau Beradab
Bersopan-santun atau beradab merupakan sifat asasi yang membantu kaunselor dalam memahami bimbingan di samping bertanggungjawab menasihati dan membaiki tingkah laku klien.  Kaunselor juga perlu menahan perasaan marah, memaafkan sekiranya klien membuat kesalahan semasa sesi perbincangan.  Dalam hubungan ini, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda (berkata) yang maksudnya ;
 “Hendaklah kamu permudahkan dan gembirakan mereka dan jangan
 menyusahkan sehingga mereka lari dari kamu”.
Mempunyai Perasaan bertanggungjawab
Ciri ini merupakan perkara yang wajib bagi pembimbing yang gigih.  Perasaan bertanggungjawab penting dalam membimbing ke arah keimanan dan jiwa yang mantap.

PERMASALAHAN : KUMPULAN SASARAN
 Masalah-masalah individu yang berkaitan dengan masalah remaja seperti masalah fizikal dan psikologikal telah mendorong pelajar-pelajar mencari bantuan kaunseling.  Perkhidmatan kaunseling membantu pelajar beralih dari zaman kanak-kanak kepada status remaja atau dewasa muda dengan menyediakan peluang meneroka berbagai-bagai jenis pilihan yang berkaitan dengan pelajaran, personal, kerjaya, sikap dan nilai.  Klien digalakkan membuat keputusan dengan penuh tanggungjawab, mencuba berbagai-bagai aktiviti berkaitan dengan potensi, minat dan meneliti akibat sebarang pilihan yang dibuat.
 Kajian menunjukkan ada pelajar-pelajar yang telai mencapai satu tahap pertumbuhan di mana mereka hanya perlukan bantuan yang minima kerana mereka telah mempunyai pengetahuan tentang diri dan kerjaya.  Apa yang diperlukan ialah sedikit penjelasan.  Ada pula yang tidak mampu menterjemahkan pengetahuan tentang diri, pilihan kerjaya dan kemahiran membuat keputusan.
 Pelajar yang menjadi kumpulan sasaran ini boleh dikategorikan kepada empat kategori besar yang berasaskan kepada tahap pengetahuan diri dan kerjaya yang disebut di samping sikap terhadap masa depan mereka sendiri.
 1. Kumpulan yang ada daya inisiatif
  Pelajar-pelajar dalam kumpulan ini telah mempunyai hala tuju dan tahu
  tentang diri, mempunyai nilai diri secara realistik berhubung dengan sistem
  sosial dan pilihan kerjaya.  Kaunselor hanya mengukuhkannya sahaja dan
  membentuk tingkah laku yang memuaskan.
 2. Kumpulan pencari maklumat
  Kumpulan ini mempunyai sedikit pengetahuan tentang diri mereka dan
  tahu minat mereka tetapi tidak yakin.  Kaunselor dapat membantu pelajar
dengan melihat unsur-unsur dalam dirinya seperti minat, kekuatan diri,
bagaimana berinteraksi dan membimbingnya membuat pilihan.
 3. Kumpulan yang keliru
  Kumpulan pelajar ini ialah mereka yang kelihatan keliru dalam banyak hal
            kehidupan mereka.  Mereka perlu dibimbing melihat kesan tindakan dan
            meneliti proses bagaimana ia membuat keputusan atau melihat apa yang
            mendorong dia melakukan tindakan tersebut.  Keperluan kaunseling bagi
            kumpulan ini adalah tinggi.  Mereka perlu belajar menangani masalah
            persekitaran dengan lebih berkesan dengan mendapatkan maklumat-
            maklumat tertentu selain daripada berupaya mengubah unsur-unsur dalam
            persekitaran tersebut.  Kaunselor perlu berusaha membantu pelajar
            menjelaskan masalah, menentukan matlamat, menyediakan prosedur yang
           dapat meningkatkan produktiviti individu.
 4. Kumpulan yang tercicir
  Pelajar-pelajar kumpulan disifatkan sebagai telah hilang minat dalam
  aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan diri mereka dan masyarakat.
  Kumpulan ini memerlukan rawatan yang lebih serius, kerana ianya
           melibatkan perubahan struktur personaliti.
 Simptom daripada keadaan ini lahir  masalah-masalah sosial seperti jenayah remaja, salah laku penagihan dadah, moral dan lain-lainnya, yang serius dan menjadi punca kebimbangan keluarga dan masyarakat.

MASALAH : PELAJAR SEKOLAH MENENGAH
1. Salah laku
 Mengikut data 1993 yang dianalisis oleh Unit Disiplin Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, sebahagian besar salah laku yang dilakukan oleh para pelajar adalah salah laku ringan, iaitu 0.67 peratus terlibat dalam ponteng sekolah, diikuti dengan salah laku ponteng kelas (0.45 %), lewat datang ke sekolah (0.38 %), berpakaian sekolah tidak mengikut peraturan (0.20 %), menganggu pelajaran (0.15 %) dan berambut panjang (0.13 %).
 Kajian yang dijalankan oleh T. Subahan Mohd. Meerah et.al (1993) ke atas 20 orang guru pelatih yang pernah membuat latihan mengajar bagi sesi persekolahan 1987/1988 di beberapa sekolah menengah, menunjukkan bukti yang sama.  Antara jenis salah laku yang dilakukan ialah :
 i. Ponteng
  Dalam kategori ini, salah laku ponteng sekolah ialah 50 peratus, ponteng
  kelas 40 peratus dan kerap keluar kelas ialah 25 peratus.
 ii. Tidak patuh arahan
  Kategori ini mencakupi salah laku seperti tidak memberi perhatian kepada
  pelajaran sebanyak 30 peratus, tidak membuat tugasan sebanyak 25
  peratus, tidak membawa buku sebanyak 10 peratus, tidur dalam kelas
  sebanyak 10 peratus dan tidak boleh mengikuti pelajaran yang diajar
  sebanyak 5 peratus.
 iii. Ganggu pelajaran
  Antara jenisnya ialah buat bising (30 peratus), merosakkan alat bantu
  mengajar 920 peratus), mengganggu kawan semasa proses pengajaran
           guru (15 peratus) dan mempertikaikan pengajaran guru (10 peratus).
 iv. Tidak sopan
  Dalam kategori ini, berpakaian tidak kemas (25 peratus), bercakap kasar
           dengan guru (25 peratus) dan mencarut (5 peratus).
 Apa yang mendukacitakan ialah jumlah pelajar Melayu yang terlibat dalam masalah salah laku adalah tinggi.  Di peringkat sekolah menengah, terdapat kira-kira 8.68 peratus daripada 1499188 yang terlibat dalam salah laku dan 5.48 peratus terdiri daripada pelajar Melayu.
2. Penagihan dadah

Penagihan Dadah Di Kalangan Pelajar
     1983 - 1993
TAHUN JUMLAH
1983
1984
1985
1986
1987
1988
1989
1990
1991
1992
1993 197
275
138
240
343
206
156
251
227
197
140
JUMLAH 2370

 Data rasmi menunjukkan penglibatan golongan Melayu dalam penyalahgunaan
dadah dan penagihan, setakat yang dapat direkodkan dan diuruskan oleh Pasukan Petugas
Anti Dadah (PPAD).  Golongan Melayu merupakan kelompok etnik yang terbesar terlibat
dalam masalah ini.
3. Jenayah juvana
 Terdapat tiga istilah yaang berbeza mengikut istilah perundangan iaitu ‘juvana’, ‘orang muda’ dan ‘remaja’.  Bagaimanapun dapat disimpulkan bahawa ianya bermaksud “seseorang yang telah mencapai umur 14 tahun dan mengiktirafkannya mengetahui akibat perlakuan jenayah (criminal responsibility) dan di bawah umur 18 tahun.
 Terdapat pelbagai masalah yang akan ditemui oleh seorang kaunselor dalam kategori permasalahan ini.  Perangkaan yang dibentangkan meliputi kesalahan-kesalahan jenayah kekerasan, jenayah harta-benda, jenayah perdagangan, judi dan lain-lain.

Perangkaan Tangkapan Juvana Yang Terlibat Dengan Kes Jenayah
Bagi Tahun 1985 Hingga !994 (Nov)

Kesalahan/Tahun 1985  1986  1987  1988  1989  1990  1991   1992   1993      1994
Bunuh                   7       6        22      5      23      6         7       17      12          10
Samun                127    174     88      86      74      51       22     60      61          51
Rogol                   20     17      22      21      36      27       24     36       53          55
Cederakan orang   62     54      84     123    106     83       87    116     111        101
Peras ugut            39     40      55      27     121     24       33     231      32         37
Bersenjata            70     16     425     32       19      6         5        8       15         16
Pecah rumah/curi 402   478    332     334     614   386     317    477     546       409
Curi kenderaan      93    134     88       93     179   375     270    240     345       293
Kecurian (lain)     856    980   720     636      537   205     132   514      480       571
Judi                      18      25     37      81       27     44       23     28       29         27
Dadah                 286     296   407    164     217    163    135     97      139       115
Rasuah                   2      15      3        11       13    25       5        5         6           3
Lain-lain               221    282   322    272     423    375    298    305     480       348
Jumlah               2203   2517 2605  1885    2389  1770  1358   2134   2309     2036

Kategori Kes Mengikut Umur
1990 Hingga 1994

Tahun                         Peringkat Umur
                 15 - 18        13 - 15      10 - 12         Jumlah
1990           1374          899            133               133
1991           1066          727             99                  99
1992           1816          1105           243               243
1993           2188          1214           200               200
1994           1942          914            159                159
Jumlah        8386          4859           834            14079
Peratus    (59.56%)  (34.51%)      (5.92%)         (100%)

 Dari data yang melibatkan umur didapati penglibatan remaja dalam jenayah melibatkan peringkat umur 15 hingga 18 tahun adalah tinggi.  Sudah pasti ketika ini mereka masih berada di bangku sekolah secara keseluruhannya dan menjadi tugas seorang kaunselor untuk membantunya sedaya mungkin.

BAGAIMANA SEORANG KAUNSELOR DAPAT MEMBANTU
 Guru pembimbing merupakan satu profesion yang tidak boleh lari daripada memahami perasaan dan tingkah laku pelajar serta mengambil tindakan untuk menolong mengatasi masalah yang dihadapi.  Oleh itu seorang kaunselor perlu memahami beberapa teori untuk membantu kliennya.  Berdasarkan pendapat-pendapat itu, Belkin, C.S (1980, hal. 38) telah merumuskan :
 Most theories of caunseling were derived from the experiences of a practitioner.
 Freud, Rogers, Ellis, Wolpe, each developed a comprehensive theory of
 personality and caunseling from the observed results of interactions in the
 clinical setting, than reflecting on a large body of evidence with the goal of trying to find a common concept or element.
 Dengan kata lain, kebanyakan teori yang dikemukakan itu adalah berdasarkan pengalaman dan latihan oleh beberapa orang pakar kaunseling.  Berikut ialah beberapa teori yang dikemukakan oleh mereka dalam proses menolong klien.
 1. Teori Terapi Elektik
 2. Teori Pemusatan Klien
 3. Pendekatan Gestalt
 4. Teori Psikoanalitik
 5. Terapi Tingkah Laku