TAJUK:  Cadangkan cara-cara memupuk integrasi  etnik di Sekolah

1.0 Pendahuluan
Sistem pendidikan yang ada di sesebuah negara boleh menjadi salah satu cara memupuk integrasi dan mewujudkan perpaduan di antara etnik. Sebagaimana yang kita tahu sekolah ialah sebuah organisasi berbentuk pendidikan yag mana kebanyakannya  semua kaum atau etnik  berada dalam satu bumbung yang sama. Dari situlah pelbagai kaum atau etnik dapat mempelajari nilai-nilai murni sesuatu kaum dan sterusnya menghayati proses sosialisasi secara mudah. Dengan cara tersebut bolehlah mereka mewujudkan perpaduan sebagaimana yang diharapkan oleh sekolah, masyarakat dan bangsa.
 Pelbagai dasar telah dilaksanakan sejak merdeka hingga ke hari ini bagi mengwujudkan integrasi di antara etnik. Walaupun banyak kemajuan dapat dilihat dalam hubungan antara etnik pada hari ini , tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bagi memantapkan proses integrasi ini. Cabaran-cabaran dan masalah yang timbul, menunjukkan proses integrasi antara etnik di peringkat sekolah perlu dikemaskini dan dimantapkan lagi. Perlu ada dasar atau rancangan yang lebih konkrit bagi mencapai objektif  integrasi antara etnik di sekolah. Ia hendaklah  bukan sekadar di kulit luaran tetapi isinya. 
 Pada hari ini tidak dinafikan menerusi sistem dua aliran yang ada,  integrasi antara etnik di sekolah telah mencapai banyak kemajuan. Walaubagaimana pun masih banyak yang perlu dilakukan lagi bagi memantapkan lagi proses integrasi antara etnik di sekolah. Proses integrasi yang berlaku pada masa ini kadangkala menghadapi pelbagai masalah yang timbul. Ini jika tidak diatasi boleh melambatkan proses integrasi di sekolah. Oleh pelbagai rancangan dan dasar  haruslah difikir dan dikaji bagi  menjadikan sekolah sebagai pusat integrasi antara etnik yang terbaik.

2.0 Definisi  Integrasi dan Etnik
Etnik atau etnos dalam bahasa  asal Greek membawa makna  kumpulan  manusia atau bangsa. Ia merujuk kepada pengenalan diri seseorang ke dalam kumpulan yang mempunyai latar belakang  keturunan  nenek moyang  yang sama. Mereka mempunyai  keturunan  dari segi sejarah, negara  asal,  bahasa, tradisi, budaya, struktur dan  sistem nilai. Mengikut kamus Dewan pula, etnik merujuk kepada sesuatu kaum atau masyarakat majmuk yang mempunyai kelompok, yang hidup berlainan tetapi di bawah sistem politik yang sama.
Mengikut Sufean Hussein (1996) integrasi bermaksud menyatukan etnik-etnik atau kelompok-kelompok yang terasing pada asalnya kepada satu bentuk lain yang tersendiri. Mengikut  Khalid Yaakub (1982) pula, integrasi pula merupakan proses menyatupadukan secara budaya dan sosial kelompok-kelompok sosial yang berbeza-beza kepada satu unit yang mempunyai identiti yang umum dan tersendiri. Mengikut Mohd Salleh Lebar (1998), integrasi yang diterima atau yang biasa dikehendaki ramai adalah satu proses yang cuba menyatupadukan masyarakat majmuk atau pelbagai  kaum dan mewujudkan pula pembentukkan  kebudayaan kebangsaan atau nasional yang tersendiri dikalangan mereka.

3.0 Cara-cara memupuk integrasi etnik di sekolah
3.1 Memantapkan lagi perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan
Di Malaysia, pelbagai cara digunakan untuk mewujudkan perpaduan antara etnik di sekolah. Antaranya menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menggunakan sukatan pelajaran, buku teks, peperiksaan, pakaian seragam, sistem latihan guru dan bahasa penghantar yang sama. Sebagai contoh dalam matapelajaran  Pendidikan  Islam dan Moral pendekatan yang lebih baik digunakan agar pelajar dapat memahami tentang keperluan moral, sosial, agama dan kepercayaan kepada tuhan serta menjadi warga negara yang baik.  Pelajar-pelajar juga sering bergaul antara pelbagai etnik secara lebih dekat semasa diadakan kegiatan ko-kurikulum, kerja luar dan juga semasa belajar dalam kelas. Dengan cara kegiatan tersebut agak mudah untuk  guru  memupuk semangat bekerjasama antara etnik dan saling faham dan memahami antara satu dengan lain. 
Sebahagian daripada dasar  dan tindakan strategik ini telah dilaksanakan  dengan berkesan walaupun belum sepenuhnya. Misalnya dasar penggunaan  bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, sekurang-kurangnya telah mewujudkan generasi dari pelbagai etnik yang lebih komunikatif antara satu sama lain dan lebih saling memahami. Walau bagaimana di waktu ini cabaran terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara etnik kadangkala dapat dilihat jelas. Walaupun Dasar Pendidikan Kebangsaan  membenar sekolah dua aliran tetapi kita hendaklah memastikan matlamat penggunaan bahasa Melayu di semua sebagai alat integrasi tercapai.
Sementara itu dalam Rancangan Malaysia Pertama, Kedua dan Ketiga, kerajaan terus memperkuatkan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan negara. Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia Ketiga penekanan utama dalam proses integrasi ialah dengan penggunaa bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar utama, pembentukan keperibadian, pembahagian sumber-sumber negara dengan lebih saksama dan penyatuan sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak melalui sistem pendidikan kebangsaan pada akhir tahun 1960-an..
  Oleh itu pembaharuan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang bertujuan untuk menggantikan kelemahan-kelemahan  yang terdapat dalam kurikulum  yang sedia ada dengan unsur-unsur yang lebih mantap bagi memupuk integrasi antara etnik perlu disegerakan. Ini kerana Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah teras bagi sistem persekolahan di negara kita. Dasar-dasar yang tidak sesuai daengan kehendak semasa haruslah digantikan bagi memastikan integrasi di peringkat sekolah dapat dilaksanakan dengana baik.

3.2 Menjadikan sekolah  sebagai alat perpaduan
 Sistem persekolahan sekarang yang memisahkan pelajar mengikut bahasa penghantar dan perbezaan kumpulan etnik tidak dapat memainkan peranannya yang berkesan untuk memupuk perpaduan dan persefahaman dikalangan pelajar. Usaha-usaha yang gigih harus diambil untuk mengatasi segala bentuk pengasingan dan pemisahan yang sengaja diadakan.
 Satu sistem persekolah yang sama patut diperkenalkan dengan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar untuk membentuk satu generasi baru yang mempunyai keperibadian Malaysia. Di samping itu, hak-hak kebudayaan kumpulan-kumpulan etnik lain  untuk mempelajari bahasa dan kebudayaan masing-masing patut dihormati dan diberi perlindungan yang sewajarnya. Perubahan ini hendaklah dilakukan secara  saksama dan adil. Perubahan-perubahan ini juga harus didasarkan di atas keinsafan bahawa kebaikan dan kepentingan masa depan genarasi muda negara ini adalah mengatasi segala kepentingan-kepentingan lain.
 Pendidikan juga dapat memupuk integrasi etnik di sekolah dengan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya. Bahasa Melayu  pelu diperkayakan sebagai bahasa ilmu yang lengkap. Usaha ini bukan saja meletakkan taraf bahasa Melayu di tempat sewajarnya, tetapi dapat membantu merapatkan hubungan antara etnik di sekolah dengan penggunaan satu bahasa. Bahasa Melayu sebagai alat untuk berinteraksi dapat mewujudkan semangat kekitaan di kalangan pelajar yang berbilang etnik.
 Sekolah juga harus bertujuan menggalakkan pelajar-pelajar supaya boleh berfikir dan berani mengeluarkan pendapat. Pelajar-pelajar yang berlainan etnik perlu didedahkan kepada nilai-nilai bersama seperti perasaan kasih sayang, hormat menghormati, saling bantu membantu, berbudi bahasa, cintakan keamanan, bencikan kekejaman, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya. Melalui ko-kurikulum pula pelajar-pelajar dari semua kumpulan etnik hendaklaha digalakkan bercampur gaul dan memceburkan diri dalam menjalankan aktiviti-aktiviti di sekolah. Dengan ini sekolah akan melahirkan rakyat Malaysia bersatupadu dan mempunyai semangat kemalaysiaan yang kuat walaupun berlainan etnik.

3.4 Pendemokrasian Pendidikan
Pendemokrasian pendidikan juga dapat memupuk integrasi antara etnik Pendemokrasian Pendidikan  yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk memastikan  agar semua kaum atau etnik dapat menikmati kemudahan yang sama dalam pendidikan sama ada mereka bersekolah di dalam bandar atau di luar bandar. Samada di bandar atau luar bandar rekabentuk sekolah-sekolah yang dibina adalah sama. Di samping itu alat-alat yang dibekalkan seperti kerusi, meja, almari adalah seragam di semua sekolah. Dengan ini tidak timbul perbezaan antara sekolah samada yang digunakan oleh  etnik Melayu, Cina, India atau Bumiputera Sarawak dan Sabah.
Pelajar-pelajar dari pelbagai etnik tidak disekat untuk untuk bersekolah di mana-mana sekolah di negara kita. Mereka boleh memilih sekolah pilihan masiang-masing. Sekolah-sekolah yang berbeza aliran juga mendapat kemudahan-kemudahan yang sama. Walaupun mereka menggunakan bahasa penghantar yang berlainan tetapi sukatan, buku teks, jadual waktu dan peperiksaan diselaraskan secara berpusat.
Hak-hak kebudayaan kumpulan-kumpulan etnik lain untuk mempelajari bahasa  dan kebudayaaan kumpulan etnik masing-masing patut dihormati dan diberi perlindungan yang sewajarnya. Perubahan ini haendaklah dilakukan secara saksama dan adil. Perubahan-perubahan ini harus didasrkan di atas keinsafan bahawa kebaikan dan kepentingan masa depan pelajar mengatasi kepentingan lain. Dengan ini pendemokrasian Pendidikan dapat memupuk proses integrasi antara etnik.

3.5 Perlaksanaan Sekolah Wawasan 
 Perlaksanaan Sekolah Wawasan merupakan antara cadangan bagi memupuk integrasi   antara etnik di Malaysia. Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama  tanpa mengira kaum dan agama. Di bawah konep ini, dua atau tiga sekolah rendah berlainan sekolah akan mempunyai bangunan yang bersambung antara satu sama lain.  Matlamat penubuhan sekolah ini adalah untuk mewujudkan perpaduan atau integrasi diantara murid yang berlainan etnik dan agama. Ia juga untuk melahirkan sifat toleransi, persefahaman yang tinggi dan menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua pelajar melalui perkongsian kemudahan sekolah dan perlaksanaan aktiviti.
 Sekolah Wawasan ini tidak langsung mengubah sistem pembelajaran yang asal kerana tiap-tiap sekolah mempunyai nama yang tersendiri disamping urusan pentadbiran dan penguruasan kewangan yang dikendalikan oleh sekolah masing-masing. Sekolah Wawasan akan membolehkan pelajar-pelajar yang berlainan etnik menggunakan pelbagai kemudahan  secara bersama seperti kantin, lapangan perhimpunan, gelanggang permainan dan padang. Satu jawatankuasa penyelaras yang terdiri daripada guru yang diwakili dari setiap sekolah akan diwujudkan untuk menyelenggarakan segala hal seperti pengurusan kebersihan, keceriaan dan keselamatan.  Konsep Sekolah Wawasan ini diharap dapat merapatkan hubungan pelajar dari pelbagai etnik walaupun berlainan aliran persekolahan
   Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan dalam semua aspek keperluan negara, khususnya dalam bidang politik, sosial dan ekonomi. Namun, keutuhan Malaysia mengekalkan konsep pemajmukan pelbagai etnik, jika tidak diimbangi dengan betul akan mewujudkan pertentangan kaum. Konsep Sekolah Wawasan  yang kini dipraktikkan adalah satu usaha untuk melahirkan anak bangsa Malaysia yang bersifat cintakan negara. Jika kerangka konsep sekolah dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam dan selari dengan hasrat negara.
 Pada hari ini masih wujud lagi sekolah yang berasaskan kaum iaitu sekolah Cina dan Tamil.  Sekolah Wawasan boleh dicernakan sebagai pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama. Penggabungan sekolah-sekolah yang berasaskan etnik ini dalam satu kawasan yang sama, akan menemukan pelajar yang pelbagai etnik secara kerap dan ini mewujudkan integrasi etnik dengan  cepat. 

3.6 Perlaksanan Sekolah satu aliran
Sistem Sekolah satu aliran merupakan satu lagi alternatif bagi memupuk integrasi di antara etnik di sekolah. Sistem sekolah satu aliran ialah sistem yang menggunakan satu bahasa penghantar saja di sekolah-sekolah. Dalam konteks Malaysia, bahasa penghantar adalah bahasa Melayu. Pada waktu ini, di negara kita terdapat tiga aliran sistem persekolahan iaitu sekolah kebangsaan iaitu berbahasa penghantar bahasa Melayu, sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Masalah yang timbul di sini ialah kurangnya interaksi diantara pelbagai etnik yang menggunakan pelbagai sistem ini. Ini menyebabkan proses integrasi antara etnik di peringkat sekolah berjalan agak perlahan dan lambat.
 Menerusi sistem sekolah satu aliran, tidak akan menimbulkan masalah penghapusan bahasa ibunda lain-lain etnik.Alternatifnya ialah bahasa Cina dan Tamil perlu dijadikan subjek wajib bagi pelajar berkenaan dan subjek pilihan kepada pelajar Melayu atau sesiapa saja dari lain-lain etnik yang berminat. Melalui cara ini, disamping boleh bergaul secara meluas antara mereka, mereka juga boleh memahami budaya etnik atau kaum lain. 
Jika ini dapat dipraktikkan masalah hubungan antara etnik yang lambat dapat diatasi dengan sendirinya melalui pergaulan antara pelajar dan saling faham-memahami. Kita dapat menyaksikan, keterasingan sekolah rendah ini telah menanam semangat perkauman atau etnik pelajar sekolah rendah dari awal lagi. Fenomena ini akan menular pula di peringkat  sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi.
Menerusi  sistem sekolah satu aliran ini, semangat perkauman atau etnik akan dapat dihapuskan sejak peringkat sekolah rendah lagi.  Pergaulan di antara pelbagai etnik yang berlainan membuatkan mereka lebih mengenali antara satu sama lain dan dapat bertolak ansur jika timbul sesuatu masalah. Hal ini perlu diberi perhatian segera demi mewujudkan proses integrasi yang jitu antara pelbagai etnik demi masa depan negara yang makmur dan harmoni.

4.0 Penutup
 Dasar yang dimainkan oleh pendidikan amatlah penting dalam proses  integrasi dan pembangunan sesebuah negara. Dengan perkembangan ekonomi yang cepat menyebabkan keadaan mobiliti masyarakat terus berubah . Dalam masa yang sama, kita harus terus mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang diasaskan sebelum ini. Bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat perpaduan antara etnik. Hanya menerusi pendidikan saja, rakyat malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan  dari sejak kecil hinggalah dewasa. Oleh itu segala dasar dalam pendidikan yang dapat memupuk integrasi antara kaum  haruslah disokong sepenuhnya oleh setiap rakyat malaysia. 
Sesuai dengan perubahan masa, pelbagai dasar yang telah diwujud sejak dari kita merdeka hinggalah sekarang perlulah sering disemak bagi memastikan setiap dasar yang di rancang dapat melaksanakan proses integrasi antara etnik di sekolah dengan berkesan.
Sekolah merupakan unit yang terpenting dalam sistem pendidikan kita bagi mewujudkan integrasi  di antara etnik. Kegagalan proses integrasi di sekolah, khasnya di peringkat rendah  akan menyebabkan juga gagalnya proses integrasi  peringkat menengah dan seterusnya universiti. Ini seterusnya akan menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja berlainan etnik tetapi tidak bersatupadu dan berlainan kefahaman.
 Oleh itu pelbagai cara harus digunakan bagi memupuk integrasi antara etnik di sekolah. Cadangan-cadangan yang diutarakan seperti konsep Sekolah Wawasan atau Sekolah Satu aliran harus difikirkan bagi mewujudkan integrasi antara etnik. Sekolah adalah tempat bermula segalanya dan ia harus dijaga dengan baik dan sempurna. Sekolah juga harus relevan dengan kehendak semasa yang sentiasa berubah. Tetapi walaupun perubahan yang berlaku, sekolah sebagai pusat integrasi etnik terpenting jangan sesekali hilang upayanya.  Ini adalah supaya rakyat Malaysia yang berbilang etnik atau kaum dapat hidup bersatupadu, harmonis dan berjiwa Malaysia.
 

Senarai Rujukan
Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian  Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum Books, 
       Tanjung Malim.

Hussein Hj. Ahmad, 1993, Pendidikan dan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka,
       Kuala Lumpur.

Mohd Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan, 
       Thinker’s Library Sdn. Bhd, Selangor

Sanusi Osman, 1989, Ikatan Etnik dan Kelas di Malaysia, Universiti
      Kebangsaan Malaysia, Selangor.

Sufean Hussin, 1996, Pendidikan Di Malaysia – Sejarah, Sistem dan Falsafah, Dewan
     Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kamus Dewan, Edisi ketiga, 1996

Dewan Masyarakat, Oktober 2000,  m/s 14-25

Dewan Masyarakat , Januari 2001, m/s 50-51

Massa, 14-20 April 2001, m/s 62-63.

Dewan Masyarakat, Jun 2001, m/s 44-45.

Massa, 29 Dis- 4 Jan 2002, m/s 12-13

AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama