TAJUK : KESAN FAKTOR-FAKTOR PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 
            PENDIDIKAN MORAL TERHADAP PENAAKULAN MORAL 
 

ABSTRAK
Kertas ini membincangkan kesan faktor pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral terhadap penaakulan moral pelajar tingkatan 4 di sekolah menengah harian biasa. Seramai 600 orang pelajar Pendidikan Moral tingkatan 4 dan 24 orang guru Pendidikan Moral terlibat dalam kajian ini. Kaedah tinjauan dan temu bual telah diguna untuk mengumpul data. Alat terpiawai SRM-SF yang dibina oleh Gibbs, Basinger dan Fuller (1992) telah diguna untuk mengukur tingkat penaakulan moral pelajar. Analisis data menunjukkan bahawa 87% subjek kajian menaakul pada tingkat matang. Selain daripada itu, antara 13 pembolehubah bebas yang dikaji, 5 pembolehubah iaitu amalan pendekatan mengajar Pendidikan Moral oleh guru, jantina pelajar, pencapaian Bahasa Melayu, sikap pelajar terhadap pembelajaran Pendidikan Moral dan persepsi pelajar terhadap keberkesanan guru Pendidikan Moral mempengaruhi penaakulan moral pelajar secara signifikan. Tambahan, analisis regresi berganda telah mengenal pasti sikap pelajar terhadap pembelajaran Pendidikan Moral sebagai peramal utama penaakulan moral pelajar. Berdasarkan keputusan tersebut, jelas bahawa faktor pengajaran Pendidikan Moral kurang mempengaruhi penaakulan moral pelajar berbanding dengan faktor pembelajaran  Pendidikan Moral. Akhir sekali, kertas ini memberi cadangan-cadangan untuk mempergiatkan lagi keberkesanan pengajaran Pendidikan Moral dalam hal peningkatan penaakulan moral pelajar.

Pendahuluan
Dalam penghidupan, seseorang individu perlu melalui berbagai proses perkembangan sehingga kematangan. Salah satu proses yang dialami ialah proses perkembangan moral. Mengikut Berk (1989), proses perkembangan moral melibatkan tiga komponen kendiri moral individu. Beliau menyenaraikan komponen-komponen tersebut sebagai penaakulan moral (moral reasoning), emosi moral (moral feelings) dan tingkah laku moral (moral behavior). Ketiga-tiga komponen tersebut adalah berbeza tetapi saling berkait. Penaakulan moral dan emosi moral mempengaruhi tingkah laku moral individu. Dalam usaha melahirkan insan yang bermoral, Pendidikan Moral memainkan peranan yang penting. Pendidikan Moral telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran formal dalam kurikulum Baru Sekolah Rendah pada tahun 1983 kepada semua pelajar bukan Islam di darjah satu. Pelajar tingkatan satu mula belajar Pendidikan Moral pada tahun 1989. Pendidikan Moral juga mula bertaraf mata pelajaran peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun 1993. Sudah 12 tahun Pendidikan Moral diajar di sekolah menengah. Apakah kesan Pendidikan Moral terhadap proses perkembangan moral pelajar ? Memandangkan kekangan masa dan ruang, kertas kerja ini hanya memilih untuk meninjau kesan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral terhadap perkembangan penaakulan moral pelajar sahaja.

Pengertian dan kepentingan penaakulan moral (Moral Reasoning)
Penaakulan moral bermaksud proses seseorang individu mencapai keputusan tentang apa yang patut dilakukan dalam sesuatu dilema moral (Rest 1976). Kajian ini menggunakan definisi yang diutarakan oleh Gibbs, Basinger dan Fuller (1992). Mereka telah mendefinisikan penaakulan moral sebagai sebab-sebab atau justifikasi yang dipegang oleh individu untuk menghasilkan sesuatu keputusan moral. Mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988 ), penaakulan moral merupakan hasil yang penting dalam pengajaran Pendidikan Moral. Pengetahuan Moral yang diuji di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia untuk pelajar tingkatan 5 juga adalah berasaskan penilaian penaakulan moral (Jeevajothi 1997).

Kohlberg (1975) mengatakan bahawa penaakulan moral bukan sahaja merupakan salah satu faktor yang menggerakkan tingkah laku moral tetapi penaakulan moral juga adalah faktor paling penting yang pernah dikaji dan terbukti dapat menggerakkan tingkah laku moral.  Kohlberg membicarakan bahawa bagaimana individu boleh bertingkah laku moral jika dia tidak faham dan tidak berfikir tenang sebab kenapa dia patut bertingkah laku sebegini. 

Antara lain, Kohlberg (1975) telah menyokong pendiriannya dengan dapatan berikut. Beliau dan Krebs mendapati bahawa hanya 15% subjek kajian yang beroperasi di tingkat poskonvensional meniru dalam sesuatu peperiksaan berbanding dengan 55% subjek kajian yang beroperasi di tingkat konvensional dan 70% subjek yang beroperasi di tingkat prakonvensional. Ini bermaksud, semakin tinggi tingkat penaakulan moral individu, semakin tinggi kemungkinan dia bertingkah laku moral.

Dalam perkembangan yang sama, Blasi membuat rumusan tentang 72 kajian yang mengkaji hubungan antara penaakulan moral, masalah delinkuen dan ciri-ciri yang berkaitan dengan delinkuen (Kitwood 1990). Beliau mendapati bahawa tingkah laku moral adalah berkait dengan penaakulan moral. Misalnya subjek delinkuen menaakul di tingkat yang lebih rendah. 
 

Objektif-objektif pengajaran Pendidikan Moral 
Berdasarkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral untuk sekolah menengah (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988), objektif-objektif pengajaran Pendidikan Moral sekolah menengah adalah supaya pelajar dapat :

i. memperkukuh dan mempertingkat amalan tabiat dan tingkah laku yang selaras dengan sikap dan nilai moral yang diperolehi pada peringkat sekolah rendah ;
ii. menyedari, memahami dan menghayati norma dan nilai murni masyarakat Malaysia ;
iii. membentuk pemikiran yang rasional berasaskan prinsip-prinsip moral ;
iv. memberi sebab-sebab yang munasabah berdasarkan pertimbangan moral dalam membuat sesuatu keputusan ; dan 
v. menggunakan pertimbangan yang berlandaskan prinsip-prinsip moral sebagai panduan dalam amalan kehidupan seharian.

Penilaian terhadap objektif-objektif pengajaran Pendidikan Moral tersebut menunjukkan bahawa pemupukan penaakulan moral dan tingkah laku moral adalah ditekankan dan emosi moral telah diabaikan. Mengikut sukatan pelajaran, pelajar-pelajar perlu belajar membuat pertimbangan moral (moral judgement) dan mereka memerlukan satu kod nilai untuk dijadikan piawai dan asas dalam penaakulan moral mereka. 

Penaakulan moral yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak dan remaja (Loganathan 1995). Stoll dan Beller melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar bahawa sesuatu harus dilakukan untuk mengajar nilai-nilai murni dan lebih penting lagi adalah mengajar pelajar cara menaakul tentang sesuatu nilai (Loganathan 1995). Wilson (1973) memang telah menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan suatu kemahiran yang boleh diajar dan dipelajari.

Masalah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral
Mengikut Ruslin (1996), Pendidikan Moral dikira sebagai satu mata pelajaran yang agak baru diperkenalkan pada tahun 1983 dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah dan 1989 dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Beberapa masalah adalah dijangkakan. Antara masalah-masalah tersebut adalah kekaburan konsep moral, masalah kurikulum, kekurangan kemahiran guru-guru Pendidikan Moral, kekurangan bahan pengajaran serta kelemahan penilaian dalam bidang moral. Misalnya, kajian oleh Zarin Ismail (1990) menunjukkan bahawa guru Pendidikan Moral di daerah Hulu Langat masih kabur tentang istilah penting dalam mata pelajaran tersebut. Subjek kajian juga mengatakan bahawa kursus Pendidikan Moral yang dihadiri kurang berkesan.

Secara amnya, sentimen terhadap pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Moral di kalangan pelajar kini adalah kurang positif. Pandangan ini disokong dengan rungutan melalui artikel dan surat-surat yang ditulis ke akhbar tentang kelemahan perlaksanaan Pendidikan Moral di sekolah. Salah satu artikel adalah seperti yang terdapat di New Straits Times (9-7-1999). Antara surat-surat tersebut pula adalah seperti yang ditulis oleh Concerned Parent (1999) dan Chan (2000). Antara beberapa rungutan adalah seperti sukatan pelajaran yang berulang-ulang dan sistem penilaian yang terlalu ketat dan mengelirukan.

Pengkaji berpendapat bahawa terdapat kekurangan penyelidikan sistematik terhadap bidang Pendidikan Moral berbanding dengan mata pelajaran lain di Malaysia. Usaha untuk meneroka situasi sebenarnya dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral di Malaysia amat diperlukan. 

Persoalan kajian

Kajian ini mempunyai beberapa persoalan utama seperti berikut :

1. Apakah tahap penaakulan moral pelajar sekolah menengah harian biasa? 

2. Adakah aspek latar belakang guru seperti jantina, pengalaman mengajar serta pengalaman berkursus Pendidikan Moral mempengaruhi penaakulan moral di kalangan pelajar sekolah menengah harian biasa ?

3. Adakah aspek pengajaran Pendidikan Moral seperti fahaman asas guru Pendidikan Moral terhadap perkembangan moral pelajar, amalan pendekatan mengajar Pendidikan Moral serta interaksi dan layanan guru terhadap pelajar mempengaruhi penaakulan moral  pelajar mereka?

4. Adakah aspek latar belakang pelajar seperti jantina, pencapaian akademik, pencapaian Bahasa Melayu, gred sekolah dan status sosioekonomi keluarga mempengaruhi penaakulan moral  di kalangan pelajar sekolah menengah harian biasa?

5. Adakah aspek pembelajaran Pendidikan Moral seperti sikap pelajar terhadap pembelajaran Pendidikan Moral dan persepsi pelajar terhadap keberkesanan guru Pendidikan Moral mempengaruhi penaakulan moral di kalangan pelajar sekolah menegah harian biasa ?

6. Di antara latar belakang guru, aspek pengajaran Pendidikan Moral, latar belakang pelajar serta aspek pembelajaran Pendidikan Moral, aspek manakah yang menjadi peramal terbaik dalam pemupukan penaakulan moral di kalangan pelajar sekolah menengah harian biasa ?
Metodologi Kajian

Seramai 600 orang pelajar Pendidikan Moral tingkatan 4 dan 24 orang guru Pendidikan Moral mereka dari 15 buah sekolah menengah harian biasa di Negeri Sembilan terlibat dalam kajian ini. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dan temu bual untuk mengumpul data. Alat terpiawai Sociomoral Reflection Measure-Short Form (SRM-SF) yang dibina oleh Gibbs, Basinger dan Fuller (1992) yang telah diubahsuai dan diterjemah adalah diguna untuk mengukur tingkat penaakulan moral pelajar. Selain daripada itu, lima subskala telah dibina oleh pengkaji sendiri untuk mengukur pembolehubah-pembolehubah lain. Antara 24 orang guru yang terlibat, 12 orang telah ditemu bual berkenaan dengan topik kajian. 

Dapatan Kajian dan Perbincangan
Bahagian ini akan melaporkan dapatan kajian dan perbincangan seterusnya berdasarkan persoalan kajian.

I. Tahap penaakulan moral pelajar sekolah menengah harian biasa

Berdasarkan SRM-SF, tahap penaakulan moral dibahagi kepada dua tingkat, iaitu tingkat kurang matang dan tingkat matang. Setiap tingkat pula dibahagi kepada dua peringkat. Penerangan setiap peringkat adalah seperti berikut :

i. Tingkat Kurang Matang 
a. Peringkat 1  :  Kepatuhan kepada Kuasa Fisikal
Individu yang menaakul pada peringkat 1 tunduk kepada kuasa fisikal.

b. Peringkat 2  :  Pertukaran dan Instrumental
Peringkat 2 melihat individu kurang dipengaruhi oleh aspek fisikal seperti pihak berkuasa. Individu di peringkat ini mula membandingkan keuntungan dan kerugian sebelum melakukan sesuatu tingkah laku.

ii. Tingkat Matang
a. Peringkat 3  :  Saling Bergantung dan Prososial
Individu yang menaakul di peringkat ini mula mengambil kira kebajikan dan perasaan orang lain.

b. Peringkat 4  :  Sistem dan Piawai Masyarakat
Peringkat ini melihat individu faham tentang peranannya sebagai seorang ahli masyarakat, hak kebebasan yang dia ada dan tanggungjawab serta sumbangannya terhadap masyarakat.

Data berpanjangan Kohlberg menunjukkan bahawa untuk remaja yang berumur 15 tahun, 35% menaakul pada peringkat 2,  55% menaakul pada peringkat 3 dan 10% menaakul pada peringkat 4 (Kitwood 1990). Pengkaji telah membuat perbandingan dan dapati bahawa peringkat-peringkat penaakulan yang terdapat dalam SRM-SF adalah menyerupai skima Kohlberg (1975) kecuali peringkat 4 dalam SRM-SF yang mempunyai ciri-ciri yang terdapat dalam peringkat 4 dan 5 skima Kohlberg. 

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa antara 600 orang responden pelajar, 87.1% menaakul pada tingkat penaakulan moral matang dan 12.9% yang lain menaakul pada tingkat penaakulan moral kurang matang.  Kajian ini mendapati bahawa sebilangan kecil sahaja pelajar (12.9%) yang menaakul pada peringkat 2. 

82.6% pelajar menaakul pada peringkat 3 yang beristilah Orientasi Saling Bergantung dan Prososial. Peringkat 3 merupakan peringkat penaakulan moral yang paling dominan bagi responden-responden kajian ini. Ini bermaksud, 82.6% pelajar dalam kajian ini mempunyai ciri-ciri yang disebutkan oleh Gibbs, Basinger dan Fuller (1992), iaitu pelajar sudah mula faham norma moral dan nilai murni masyarakat. Semasa membuat keputusan, mereka juga boleh mengambil kira kebajikan dan perasaan orang lain. Mereka lebih senang meletakkan diri dalam keadaan orang lain dan menunjukkan keperihatinan.

Dapatan kajian ini menepati norma yang terdapat dalam kajian berpanjangan Kohlberg. Dapatan kajian ini juga menyerupai dapatan kajian di China, India, Israel, Mexico, Taiwan dan Turkey (Kitwood 1990) dimana peringkat 3 adalah peringkat paling dominan. Dengan itu, bolehlah dirumuskan bahawa golongan remaja dalam kajian ini adalah konsisten dengan dapatan Kohlberg dan menepati norma antarabangsa. Ini merupakan satu pencapaian yang memuaskan.
Analisis keputusan peperiksaan Pengetahuan Moral dan perbandingannya dengan keputusan kajian ini menunjukkan bahawa rungutan pelajar, guru serta ibu bapa memang munasabah. Keputusan peperiksaan Pengetahuan Moral untuk calon Negeri Sembilan sejak 1995 hingga 1999 sentiasa menunjukkan taburan pencong positif di mana bilangan calon yang gagal dan yang hanya berjaya memperolehi peringkat lulus (7 & 8) adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan bilangan calon yang mendapat kepujian (3 hingga 6) dan calon yang mendapat cemerlang (1 & 2). Secara purata, calon yang berjaya memperolehi cemerlang adalah kurang daripada 3% setiap tahun. Fokus peperiksaan Pengetahuan Moral adalah pengujian kematangan penaakulan moral. Keputusan peperiksaan tersebut adalah jauh berbeza daripada dapatan kajian ini di mana 87% responden pelajar menaakul pada tingkat matang. Secara kasar, kumpulan tersebut seharusnya berada di lingkungan yang menerima pangkat kepujian dan cemerlang dalam peperiksaan. Dalam kata lain, keputusan peperiksaan Pengetahuan Moral tersebut seolah-olah tidak mencerminkan keadaan penaakulan moral calon peperiksaan dengan tepat. 

II.  Kesan aspek latar belakang guru terhadap penaakulan moral pelajar
Aspek latar belakang guru yang dikaji adalah seperti jantina guru Pendidikan Moral, pengalaman mengajar serta pengalaman berkursus Pendidikan Moral. Analisis ujian t menunjukkan bahawa ketiga-tiga pembolehubah tersebut tidak mempengaruhi peringkat  penaakulan moral pelajar secara signifikan. Akan tetapi, data menunjukkan bahawa guru yang pernah menghadiri kursus Pendidikan Moral adalah lebih tinggi fahaman asas tentang proses perkembangan moral pelajar dan lebih mahir mengamalkan pendekatan mengajar Pendidikan Moral.

III. Kesan aspek pengajaran Pendidikan Moral terhadap penaakulan moral pelajar
Aspek pengajaran Pendidikan Moral yang dikaji adalah fahaman asas guru terhadap proses perkembangan moral pelajar, amalan pendekatan mengajar Pendidikan Moral dan interaksi serta layanan guru Pendidikan Moral.  Keputusan ujian t menunjukkan bahawa fahaman asas guru dan interaksi serta layanan guru Pendidikan Moral gagal mempengaruhi peringkat penaakulan moral pelajar secara signifikan. Akan tetapi, amalan pendekatan mengajar Pendidikan Moral oleh guru dapat mempengaruhi penaakulan moral pelajar secara signifikan. Guru Pendidikan Moral yang mahir mengamalkan pendekatan mengajar Pendidikan Moral menyaksikan peringkat penaakulan moral yang lebih tinggi di kalangan pelajar mereka berbanding dengan pelajar yang diajar oleh guru yang kurang mahir.

Data menunjukkan bahawa kebanyakan guru yang mahir mengamalkan pendekatan mengajar Pendidikan Moral pernah menghadiri kursus Pendidikan Moral. Nampaknya, kehadiran kursus Pendidikan Moral dapat meningkatkan fahaman asas guru tentang proses perkembangan moral pelajar dan juga menajamkan kemahiran guru ke arah peningkatan penaakulan moral pelajar mereka. Kajian ini menunjukkan bahawa ada faedahnya guru menghadiri kursus Pendidikan Moral.

IV. Kesan aspek latar belakang pelajar terhadap penaakulan moral mereka
Aspek latar belakang pelajar yang dikaji adalah jantina pelajar, pencapaian akademik, pencapaian Bahasa Melayu, gred sekolah di mana pelajar belajar serta status sosioekonomi keluarga pelajar. Keputusan ujian t dan analisis varians menunjukkan bahawa jantina pelajar dan pencapaian Bahasa Melayu mempengaruhi penaakulan moral pelajar secara signifikan. Pelajar perempuan adalah lebih tinggi peringkat penaakulan mereka berbanding dengan pelajar lelaki. Pelajar yang lebih tinggi penguasaan Bahasa Melayu juga menaakul pada peringkat yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang rendah penguasaan Bahasa Melayu. 

Dapatan kajian ini menyokong dapatan Rest (dlm. Gage & Berliner 1988) yang mendapati bahawa perempuan menaakul pada peringkat yang lebih tinggi berbanding dengan lelaki jika kedua jantina mempunyai taraf pendidikan yang sama. Di sebaliknya, dapatan kajian ini adalah berbeza daripada dapatan kajian yang mengatakan bahawa wanita lebih condong beroperasi pada peringkat yang lebih rendah berbanding dengan orang lelaki mengikut corak perkembangan Kohlberg (Hersh et al. 1979).  Dapatan kajian ini juga berbeza daripada dapatan kajian tempatan oleh Loganathan (1995), Ruslin (1996) dan Jeevajothi (1997).  Mereka mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam peringkat penaakulan moral mereka. 

Dalam proses penaakulan moral, pelajar menggunakan bahasa untuk menyusun fikiran dan menganalisis situasi. Mereka juga menggunakan bahasa untuk menyuarakan pendapat dan perasaan mereka. Di sini, peranan bahasa dalam proses penaakulan moral tidak boleh dinafikan. Tahap penguasaan bahasa seseorang individu mempengaruhi tahap penaakulan moral individu. Lebih tinggi tahap penguasaan bahasa, pasti lebih senang individu menaakul. Maka tidak hairan bahawa pelajar yang lebih tinggi pencapaian Bahasa Melayu juga lebih tinggi peringkat penaakulan moral berbanding dengan pelajar yang lebih rendah pencapaian Bahasa Melayu.

V. Kesan aspek pembelajaran Pendidikan Moral terhadap penaakulan moral pelajar
Aspek pembelajaran yang dikaji adalah sikap pelajar terhadap pembelajaran Pendidikan Moral dan persepsi pelajar terhadap keberkesanan guru Pendidikan Moral. Keputusan ujian t menunjukkan bahawa kedua-dua pembolehubah tersebut mempengaruhi penaakulan moral pelajar secara signifikan. Pelajar yang bersikap positif dan berpersepsi positif menaakul pada peringkat yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar yang bersikap dan berpersepsi negatif. Analisis regresi berganda juga mengidentifikasikan sikap pelajar terhadap pembelajaran Pendidikan Moral sebagai peramal utama penaakulan moral pelajar. 

Dalam kajian ini, 39.5% pelajar bersikap negatif terhadap pembelajaran Pendidikan Moral. Antara sebab-sebab mungkin adalah kerana mereka menganggap Pendidikan Moral sebagai satu mata pelajaran yang kurang penting berbanding dengan mata pelajaran lain. Dengan sukatan pelajaran yang terdiri daripada kajian 16 nilai murni  sejak tingkatan 1 hingga tingkatan 5, mungkin pelajar juga berasa bosan. Selain daripada itu, kesukaran untuk memperoleh gred peperiksaan Pengetahuan Moral yang memuaskan dalam  peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kerana skima pemarkahan yang terlalu ketat juga menghampakan ramai pelajar khususnya mereka yang berpencapaian akademik tinggi.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa peratusan pelajar yang berpersepsi negatif (42.5%) adalah agak tinggi. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa lebih ramai pelajar perempuan memegang persepsi negatif terhadap keberkesanan guru Pendidikan Moral mereka berbanding dengan pelajar lelaki. Selain daripada itu pelajar yang berpencapaian akademik tinggi juga mempunyai persepsi yang paling negatif terhadap guru Pendidikan Moral mereka berbanding dengan pelajar yang berpencapaian akademik sederhana dan rendah. 

Salah satu sebab yang mungkin menyebabkan pelajar berpersepsi negatif terhadap guru Pendidikan Moral adalah kualiti dan mutu perkhidmatan guru Pendidikan Moral. Data temu bual dengan guru Pendidikan Moral juga ada melaporkan bahawa guru sendiri mengaku antara masalah yang dihadapi adalah mereka kekurangan pengetahuan tentang falsafah, psikologi serta pedagogi yang khusus untuk mengajar Pendidikan Moral. Dalam konteks ini, latihan dan kelengkapan guru Pendidikan Moral perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan. 
 

Cadangan dan Penutup
Berdasarkan dapatan tersebut, jelas bahawa faktor pengajaran kurang memberi kesan terhadap penaakulan moral pelajar berbanding dengan faktor pembelajaran yang dibawa oleh pelajar sendiri.  Maka kajian ini melihat ada keperluan meningkatkan lagi fahaman asas guru Pendidikan Moral terhadap proses perkembangan moral pelajar serta kemahiran guru mengamalkan pendekatan mengajar Pendidikan Moral. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral, maka adalah dicadangkan supaya guru Pendidikan Moral diberi latihan yang berkaitan untuk melengkapkan mereka untuk mengajar Pendidikan Moral. Juga adalah dicadangkan supaya Pendidikan Moral hanya dikendalikan oleh guru-guru yang terlatih untuk mengajar Pendidikan Moral.

Kajian ini juga telah mengenal pasti perbezaan pelajar dalam penaakulan moral. Misalnya, dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar lelaki adalah lebih rendah penaakulan moral berbanding dengan pelajar perempuan. Pelajar berpencapaian Bahasa Melayu rendah adalah lebih rendah penaakulan moral berbanding dengan mereka yang berpencapaian sederhana dan tinggi. Tambahan lagi, pelajar yang bersikap negatif terhadap pembelajaran Pendidikan Moral dan berpersepsi negatif terhadap keberkesanan guru Pendidikan Moral juga adalah lebih rendah penaakulan moral berbanding dengan mereka yang bersikap dan berpersepsi positif. Guru Pendidikan Moral perlu memberi perhatian yang lebih kepada kumpulan-kumpulan tersebut tanpa mengabaikan mereka yang lebih tinggi peringkat penaakulan moral.

Berkenaan dengan pendekatan Pendidikan Moral yang sesuai untuk meningkatkan peringkat penaakulan moral pelajar, kajian ini mendapati bahawa perbincangan dilema moral mengikut pendekatan perkembangan kognitif oleh Kohlberg (1975) merupakan pendekatan utama yang diamalkan oleh guru Pendidikan Moral.  Banyak kajian luar negeri melaporkan bahawa perbincangan dilema moral memang boleh meningkatkan peringkat penaakulan moral (Gage & Berliner 1988). Kajian tempatan oleh Ruslin (1996) dan Jeevajothi (1997) juga mendapati pendekatan tersebut memang berkesan untuk meningkatkan penaakulan moral pelajar di sekolah menengah tempatan. Dengan bukti-bukti empiris tersebut, maka amalan pendekatan perkembangan kognitif patut diteruskan. Akan tetapi, kajian juga menunjukkan bahawa kebanyakan guru melaksanakan pendekatan tersebut tanpa fahaman yang dalam tentang falsafah dan psikologi di belakang pendekatan tersebut. Ini membantutkan keberkesanan perlaksananya. Fahaman guru terhadap pendekatan tersebut perlu diperdalamkan supaya keberkesanan penggunaannya dapat dijamin.

Sikap terhadap pembelajaran Pendidikan Moral telah dikenal pasti sebagai peramal utama penaakulan moral pelajar. Salah satu sebab yang menyebabkan sikap negatif pelajar adalah pandangan bahawa Pendidikan Moral kurang penting berbanding dengan mata pelajaran lain dan sistem penilaian Pengetahuan Moral yang kurang menyeluruh di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Antara cara-cara lain adalah guru Pendidikan Moral perlu sentiasa menegaskan kepentingan dan faedah belajar Pendidikan Moral. Usaha ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada pihak pentadbir, seluruh masyarakat sekolah dan masyarakat luar. Sistem penilaian Pengetahuan Moral juga perlu diteliti semula demi memberi suatu penilaian yang lebih menyeluruh dan tepat.
 
 

RUJUKAN

Berk, L.E. 1989.  Child development. Boston : Allyn and Bacon.
 

Chan, K.Y. 2000. Need for quality teachers. Surat. Sunday Star, 23 Januari : 6.

Concerned Parent. 1999. No flexibility in marking for Moral Studies. Surat kepada editor. Sunday Star, 8 Ogos: 6.
 

Gage, N.L. & Berliner, D.C. 1988.  Educational psychology.  Boston : Houghton Mifflin Company.

Gibbs,J.C., Basinger, K.S. & Fuller, D. 1992. Moral maturity, measuring the development of sociomoral reflection. New Jersey : Lawrence Erlbaum Associates, Publishers.
 

Hersh, R.H., Paolitto, D.P. & Reimer, J. 1979. Promoting moral growth, from Piaget to Kohlberg. New York : Longman.

Jeevajothi, N. 1997. Keberkesanan perbincangan dilema moral dalam perubahan peringkat penaakulan moral di kalangan pelajar tingkatan IV. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.
 

Kitwood, T. 1990. Concern for others, a new psychology of conscience and morality. London : Routledge.
 

Kohlberg, L. 1975. The cognitive-developmental approach to Moral Education. Phi Delta Kappan LVI (10) : 670  677.

Loganathan, R. 1995. Peringkat perkembangan moral di kalangan pelajar sekolah menengah bandar dan luar bandar. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.
 

New Straits Times. 1999. Youth Quake : Down with Moral Studies. 9 Julai :1.
 

New Straits Times. 1999. Teachers and parents have their say. 9 Julai : 3.
 

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. 1988. Sukatan pelajaran sekolah menengah :  Pendidikan Moral. Dewan Bahasa dan Pustaka.
 

Rest, J.R. 1976. The research base of the cognitive developmental approach to Moral Education. Dlm. Hennessy, T.C. (pnyt.). Values and moral development, hlm. 102 123. New York : Paulist Press.
 

Ruslin Amir. 1996. Kesan teknik perbincangan dilema moral ke atas tahap pertimbangan moral pelajar-pelajar tingkatan 4 Sek. Men. Sungai Pelek, Selangor Darul Ehsan. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.
 

Wilson, J. 1973. The assessment of morality. Great Britain : NFER Publishing Company Ltd.
 

Zarin Ismail. 1990. Kajian tentang tanggapan mengenai masalah pengajaran Pendidikan Moral KBSM. Tingkatan 1 di sekolah-sekolah dalam daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama