Make your own free website on Tripod.com
 

TAJUK : MASALAH SOSIAL DI SEKOLAH DISEBABKAN OLEH PROSES
               MODENISASI NEGARA. BINCANGKAN.
 

1.0 Pendahuluan
Semua pihak mempunyai harapan yang tinggi terhadap pelajar agar berperanan sebagai nadi penggerak utama dalam mempastikan kesinambungan tamadun dan pembangunan negara. Walau bagaimanapun gambaran yang diperolehi tentang pelajar ketika ini amat tidak menggalakkan. Situasi gawat ini memberi cabaran hebat kepada sebarang usaha untuk membentuk golongan muda. Usaha untuk membina belia bukanlah perkara yang mudah, memerlukan iltizam yang tinggi dari semua pihak terutamanya kepada pemimpin dan masyarakat. 
 Begitu juga pelajar yang diharapkan tidak akan terbentuk sekiranya pemimpin dan organisasi terbabit tidak berfungsi dengan sempurna atau tidak menyalurkan sumber-sumber yang ada ke arah menghasilkan golongan belia pewaris negara yang berkaliber, berwibawa dan berwawasan dalam ertikata sebenarnya.
 Kita juga harus menggerakkan minda dan paradigma dalam ketelusan untuk menyediakan pelajar yang bakal mewarisi takhta pemerintahan negara menghadapi cabaran kesinambungan kecemerlangan wawasan pemimpin ulung. Pelbagai pihak berperanan menggerak minda dan seterusnya memastikan kelahiran generasi seterusnya berperanan sejajar dengan cabaran masa.
 

2.0 Definisi Modenisasi
 “Moden” pada umumnya beerti baru atau sekarang. Sesuatu yang moden adalah sesuatu yang baru dan terkini. Modenisasi pula merupakan proses permodenan dan perubahan yang dilakukan terhadap pembangunan fizikal dan kejiwaan, termasuk cara berfikir, perubahan sikap, menerima pembaharuan dan sebagainya. 
 Proses modenisasi dalam bentuk perubahan-perubahan yang seharusnya dilakukan terhadap sesuatu kefahaman agama yang tidak menyentuh hukum dan prinsip Islam itu sendiri haruslah diterima dan diamalkan sesuai dengan latarbelakang dan keadaan persekitaran sesuatu masyarakat.
 Modenisasi tidak seharusnya dianggap sama konsep dan falsafahnya dengan gerakan pembaratan dalam cara berfikir, cara hidup dan penentuan nilai kehidupan yang tidak berlandaskan agama. Penolakan terhadap falsafah hidup barat tidak seharusnya  penolakan proses modenisasi secara menyeluruh. Penilaian secara positif dan objektif haruslah dilakukan terhadap barat. 
 Penciptaan kehidupan moden dan proses memodenisasikan kehidupan fizikal, kerohanian dan kejiwaan adalah merupakan perubahan-perubahan yang berlaku secara berterusan kerana kehidupan ini adalah merupakan proses yang berterusan.  Ianya seperti perubahan teknologi, peningkatan ekonomi, penguasaan sains dan alam sekitar, pembangunan pertanian dengan penggunaan alat teknologi terkini dan sebagainya. 
 Berdasarkan hal ini, maka modenisasi yang bererti perubahan sikap, pembangunan ilmu pengetahuan, pembangunan teknologi, peningkatan ekonomi dan kehidupan keseluruhan haruslah dilihat sebagai sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama.

3.0 Masalah-masalah Sosial di Sekolah
Pelajar merupakan golongan yang seringkali terdedah dengan pelbagai masalah sosial. Pada masa sekarang, golongan ini semakin kurang mendapat perhatian daripada ibubapa mereka sendiri dan masyarakat sekeliling. Justeru itu, mereka perlu dibimbing serta diberi perhatian sewajarnya supaya generasi berwibawa dapat dilahirkan di tengah-tengah kemajuan dunia. 
 Kurangnya pengawasan daripada ibubapa ini menyebabkan pelajar terdedah kepada banyak masalah sosial seperti merokok, penagihan dadah, bohsia, bohjan, gangsterism, pelacuran, peras ugut, kongsi gelap dan isu terkini iaitu black metal dan seksual.

3.1 Merokok
Semenjak dua dekad yang lalu, penggunaan tembakau telah menjadi masalah kesihatan awam yang serius di Malaysia. Tiga jenis penyebab kematian utama di Malaysia berkaitan penggunaan tembakau ialah penyakit jantung iskemia, angin ahmar (stroke) dan kanser. 
 Terdapat beberapa sebab mengapa pelajar merokok iaitu ingin menonjolkan imej yang hebat dan anggun. Bagi mereka jika seseorang merokok ia akan kelihatan hebat sekali. Ada juga pelajar merokok disebabkan ingin menonjolkan kedewasaan dan ingin mencuba. Mulanya mereka akan cuba dan lama-kelamaan akan menjadi tabiat. Sebilangan pelajar merokok disebabkan ingin mengikut tingkahlaku ibubapa mereka dan juga pengaruh rakan sebaya. Media massa  juga memberi sumbangan kepada penyebab pelajar merokok iaitu melalui pengaruh iklan. Walaupun kerajaan menguatkuasakan peraturan membeli rokok, namun peraturan itu tidak setegas yang diharapkan. Pelajar dengan mudah sekali memperolehi rokok di pasaran.

3.2 Penyalahgunaan Dadah
Masalah dadah bermula pada kurun ke-19 lagi dengan kedatangan buruh dan kumpulan imigran yang mencari peluang pekerjaan. Kini masalah dadah telah merebak ke seluruh pelusuk negara. Peningkatan insiden ini sejak tahun 70-an disebabkan kerana ia mudah diperoleh. Jumlah penagihan dadah yang berulang telah direkodkan oleh sistem NADI sejak tahun 1988 purata sebanyak 40% dari jumlah penagih yang dikesan.

3.3 Salahlaku Pelajar di Sekolah
Kes salahlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah semakin meningkat kebelakangan ini. Hasil daripada kajian yang telah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membuktikan bahawa pelajar di kawasan felda banyak terlibat dengan masalah salahlaku berbanding dengan pelajar di kawasan kampung. 
 Kebanyakan mereka yang terlibat adalah berumur antara 16-18 tahun (paling ramai) diikuti 13-15 tahun dan 10-12 tahun. Antara salahlaku yang kerap dilakukan daripada pelajar  antaranya ialah mengedar dan menagih dadah, merogol, memeras ugut, pelacuran, memalsukan dokumen dan menyertai kongsi gelap.
 

4.0 Masalah Sosial Di Sekolah Dengan Proses Modenisasi Negara
4.1 Sebab-sebab
Masalah sosial di sekolah kini semakin meruncing dengan pelbagai budaya yang tidak diingini. Antara faktor penyebab permasalahan ini kerana sikap pelajar itu sendiri. Pelajar peringkat sekolah menengah terutama usia 14 hingga 15 tahun dikenalpasti terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Peringkat ini adalah cabaran dan tempoh penyesuaian pelajar dengan alam kehidupan sebenar. Dari sudut psikologi, mereka sedang mengalami perubahan alam kanak-kanak kepada alam dewasa. 
Sikap ibu bapa juga merupakan salah satu penyebab timbulnya masalah sosial di kalangan pelajar. Ibu bapa era kini amat sensitif dan terlalu memanjakan anak mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab dan sanggup menggadai kepentingan anak mereka secara tidak disedari. Menurut professor Awang Had Saleh, ibu bapa kini terlalu berbeza dengan ibu bapa zaman dahulu. Pada zaman dahulu sekiranya guru merotan murid di sekolah kerana kesalahan dan apabila pulang ke rumah mereka mengadu kepada ibu bapa, ibu bapa mereka akan merotan lagi. Fenomena ini amat bertentangan dengan situasi sekarang kerana ibu bapa akan mengambil tidakan terhadap guru melalui saluran yang dianggap keterlaluan seperti laporan akhbar, membawa kes ke mahkamah dan kadangkala menyerang guru di sekolah.
Masyarakat kini juga kurang memainkan peranan mereka. Mereka lebih mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain. Keadaan ini mungkin disebabkan kurangnya hubungan dan teloleransi antara jiran tetangga dan masyarakat setempat. Hubungan masyarakat di bandar juga semakin renggang dan goyah di mana masyarakat lebih mementingkan nilai materialistik berbanding nilai murni. Bagi mereka wang adalah segalanya dan jaminan kehidupan mereka.
Dasar kerajaan juga adalah punca gagalnya sistem masyarakat di negara kita. Struktur organisasi di sesebuah kawasan perumahan perlulah dikemaskini dan perlu pemantauan daripada pihak kementerian terutamanya Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan. Ada sesetengah kawasan perumahan tidak mempunyai aktiviti kemasyarakatan langsung. Ini akan menyebabkan hubungan penduduk setempat tidak akrab dan saling tidak mengenali sesama mereka. Rukun Tetangga juga perlulah lebih proaktif dan sentiasa memperbaiki kelemahan dari masa ke masa.
Proses modenisasi negara kita yang terlalu pantas tidak dapat mengawal permasalahan sosial yang melanda masyarakat kita. Sebabnya kerana masyarakat terlalu mementingkan kepentingan individu berbanding kepentingan sejagat. Keadaan ini menjadikan ketidakseimbangan antara moden dan nilai. Beberapa kesan di atas menyebabkan guru mengambil sikap lebih berhati-hati dan hanya berdiam diri tanpa mahu mengambil risiko.

4.2 Kesan-kesan
 Proses modenisasi negara secara tidak langsung telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesan terhadap pelajar di sekolah. Pelajar di bandar lebih terdedah dengan gejala negatif yang melanda negara dan sukar untuk dikawal. Kebanyakan pelajar yang meningkat dewasa yang umurnya antara 13 hingga 15 tahun amat mudah terjebak dengan pengaruh negatif. Remaja peringkat ini dari segi psikologi mereka sedang melalui tempoh penyesuaian daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Sekiranya tidak dibimbing dengan sempurna mereka mudah mengikut kehendak hati dan juga pengaruh rakan sebaya.
 Kepincangan sistem kekeluargaan di negara kita juga turut menyumbang kepada goyahnya institusi keluarga yang tradisinya amat terkenal dengan nilai adab kesopanan dan ketatasusilaan yang harmonis. Dalam mengejar arus modenisasi negara kebanyakan di antara kita telah leka tentang tanggungjawab terhadap diri dan keluarga amnya. Ibu bapa yang bekerja era kini lebih mementingkan personaliti atau kerjaya daripada tanggungjawab terhadap keluarga sendiri. Akibatnya berlakulah porak-peranda dalam keluarga sehingga menyebabkan perceraian dan anak-anak pula terbiar. Ramai antara warga kita lebih mementingkan nilai kebendaan semata-mata hingga lupa bahawa nilai murni dan adab kesopanan dan kesusilaan adalah model untuk membentuk keluarga dan seterusnya masyarakat madani. Oleh itu kita tidak seharusnya terlalu mementingkan kebendaan sahaja, pendidikan dan penjagaan anak-anak yang sempurna harus juga diutamakan supaya mereka ini dapat mewarisi pembangunan material dan fizikal yang telah kita capaikan pada ketika ini dan juga masa depan.
 Guru era kini pula lebih berhati-hati untuk menegur pelajar didikannya kerana jika tersilap langkah maka ibu bapa akan mengambil jalan mudah tanpa merujuk pihak sekolah dan terus mengambil tindakan mahkamah tanpa menghiraukan situasi sebenar. Kesannya kredibiliti guru dan pengurusan pihak sekolah sedikit sebanyak tercabar oleh segelintir ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak tanpa menilai kesalahan anak mereka. Fenomena seperti ini harus dibetulkan kini kerana sekolah adalah  pusat untuk menjana minda pelajar untuk cemerlang sebagai pewaris kepemimpinan negara sejajar dengan laungan negara maju menjelang tahun 2020. 
 Keruntuhan moral pelajar banyak menyumbang kesan kepada pelbagai gejala. Salah satu contoh ialah gejala samseng. Gejala samseng telah menular di sekolah-sekolah yang ramai pelajar terutamanya di bandar. Ramai pelajar terbabit dengan gejala ini didalangi pihak luar. Mereka lebih berani kerana mempunyai kumpulan-kumpulan tertentu untuk melindungi mereka. Akibat gejala samseng ini timbul kes-kes seperti kes bunuh, membuli, merogol, samun, peras ugut, mabuk, memiliki senjata api dan juga berjudi. Antara kes terbaru ialah pelajar yang dendam terhadap guru tertentu dan juga pada pihak sekolah sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup membakar rumah guru dan juga sekolah. Kes seperti ini terlalu serius dan puncanya perlulah diselidiki dari akar umbi lagi. Cadangan pihak kementerian untuk memberi kuasa polis kepada guru harus dipersetujui oleh semua pihak kerana dengan ini ia akan merubah gejala sosial di kalangan pelajar yang semakin parah yang menjadi barah dalam sistem pendidikan kita.
 Media massa juga turut menyumbang kepada masalah sosial di kalangan pelajar dalam proses modenisasi negara. Kemunculan internet sedikit masa lalu telah menampakkan hasil yang negatif pada pelajar kini. Mereka mudah melayari laman-laman yang tidak sepatutnya dan mudah terikut-ikut dengan budaya yang bertentangan dengan masyarakat kita.
 Sering kita dengar berita-berita di media massa mengenai masalah remaja di luar negara. Sebagai contoh mengikut laporan akhbar (Utusan Malaysia, 24-3-2001) pelajar di Amerika Syarikat menembak rambang ke arah  orang ramai. Di negara kita masalah yang dihadapi belum mencapai ke tahap ini tetapi sekiranya masalah yang sedia ada sekarang tidak ditangani dan dibendung, senario yang sama mungkin akan berlaku di negara kita.

5.0 Cara-cara Atasi Masalah 
 Sekolah mestilah berperanan dalam mengatasi masalah yang melanda. Pihak sekolah perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran dan motivasi untuk pelajar-pelajarnya dan perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.. Guru juga adalah ejen perubahan sosial yang penting disamping mendidik pelajar supaya berjaya dari segi rohani mahupun jasmani. Cadangan untuk memberi kuasa polis tambahan kepada guru juga harus segera dilaksanakan. Program pemulihan untuk pelajar yang hadapi masalah disiplin juga perlu dijalankan dari semasa ke semasa. 
 Ibu bapa juga tidak seharus segera menyalahkan guru atau sekolah sekiranya anak-anak mereka didapati bersalah melakukan kesalahan displin. Sebaliknya mereka perlu bekerjasama dengan sekolah dan guru-guru untuk mencari punca berlakunya kesalahan tersebut dan langkah-langkah sewajarnya untuk membendung kes-kes disiplin. Mereka juga perlu mendalami masalah anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka agar anak-anak tidak merasa tersisih, kesunyian dan dahagakan kasih sayang. 
 Pemimpin negara juga mestilah berperanan mewujudkan negara yang bebas masalah sosial terutama golongan pelajar yang bakal mewarisi dan sebagai pemangkin ke arah modenisasi negara yang lebih berkesan dan berjaya. Kesedaran demi kesedaran harus diberikan kepada masyarakat khususnya golongan pelajar. Kita juga harus membentuk generasi akan datang yang berwawasan, berdisiplin dan bertanggungjawab. Pemupukan sikap sayangkan diri sendiri dan orang lain serta membantu ibu bapa  mendidik anak mereka dengan baik. 
 

6.0 Penutup
Sudah banyak kajian dijalankan oleh pelbagai pihak mengenai sikap dan perilaku pelajar. Kajian lebih condong kepada tujuan akademik dan tertumpu kepada masalah yang biasa umum sifatnya. Antara punca yang biasa didengar ialah akibat pergaulan dan pengaruh rakan sebaya, kesan media elektronik, pengaruh budaya asing, kegagalan didikan ibu bapa, kurangnya didikan agama, persekitaran yang tidak sesuai untuk kehidupan pelajar dan sebagainya. Disebabkan terlalu banyak punca yang boleh diramalkan, tindakan membendung masalah tidak lagi berfokus.
 Meskipun ada cadangan atasi masalah, namun ia berakhir di meja perbincangan, forum dan seminar sahaja. Setakat ini belum ada cara atau kaedah yang benar-benar berkesan untuk membendung masalah itu. Cara mudah untuk melepaskan tanggungjawab mendidik kepada ibu bapa dan guru. Ini adalah jalan segera untuk menyelesaikan masalah. Pendekatan ini tidak lagi praktikal memandangkan tanggungjawab ibu bapa bertambah besar terutama memenuhi tanggungjawab keluarga yang begitu mencabar. Begitu juga adalah tidak adil melepaskan tanggungjawab kepada pihak berkuasa semata-mata kerana tugas lain yang diamanahkan juga adalah luas.
 
 

Rujukan
1. Amir Hasan Dawi. 1999. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books.
 

2. Azimi Hamzah, Turiman Suandi & Azmi Awang. 1993. Youth As Partner in Development: The Experience of Kampung Endah Organisation. Serdang, Universiti Putra Malaysia.
 

3. http://www.tutor.com/my/
 

4. Mohd. Salleh Lebar. 1992. Perubahan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur : 
Nurin   Enterprise.

5. Utusan Malaysia, 25.03.2001, Kongsi Gelap.

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama