TAJUK : Bagaimana sistem meritokrasi dalam pendidikan membezakan  individu?

1.0 Pengenalan.
Meritokrasi adalah satu sistem sosial yang menyanjung tinggi kebolehan dan keupayaan seseorang tanpa mengira pangkat,keturunan, kaum dan agama.Sistem ini telah lama diaplikasikan dalam sistem pendidikan di Negara kita ,Malaysia.Pengambilan  para pelajar ke sekolah berasrama penuh adalah berdasarkan  pencapaian mereka di dalam Ujian  Penilaian  Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR),Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).Kaedah ini dianggap sesuai oleh semua pihak memandangkan kekosongan yang ada di sekolah berasrama penuh dan universiti-universiti tempatan  adalah terhad. 

Pada bulan Mei 2001 masyarakat Malaysia dikejutkan dengan isu sistem kuota pengambilan pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam(IPTA).Orang Melayu umumnya membantah sekeras-kerasnya jika sistem meritokrasi  ini dilaksanakan.Sebenarnya tanpa mereka sedari sistem ini telah diguna pakai sejak lama dahulu.Jika kemasukkan pelajar bukan berdasarkan kecemerlangan(meritokrasi)  dalam akedemik mereka,cara apakah yang kita gunakan sekarang?.Oleh itu sistem ini adalah yang terbaik untuk membuktikan  para pelajar hasilan Malaysia adalah berkualiti tanpa mengharapkan kuota semata-mata.

2.0 Definisi:-
Menurut Amir Hasan Dawi  (2002) dalam bukunya yang berjudul Penteorian Sosiologi dan Pendidikan meritokrasi  adalah satu pandangan atau memberi peluang kepada orang untuk maju berdasarkan meritnya,yakni berdasarkan kelayakkan dan kecekapannya atau kecemerlangannya.
Menurut Kamus Dewan (Edisi ketiga) meritokrasi ialah satu sistem sosial yang menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya dan bukan kerana keturunan atau kekayaan.

3.0 Konsep meritokrasi :
Meritokrasi merupakan satu pandangan di mana kejayaan atau ganjaran pendidikan dan sosial adalah diagihkan berdasarkan merit kepintaran (IQ),bakat dan ikhtiar individu.Perkara mustahak ialah apa yang seseorang itu lakukan.Meritokrasi adalah berasaskan persamaan peluang dan bukan persamaan hasilan. 
Selaras dengan dasar fungsionalisme,pendidikan di Malaysia memberi peluang persaingan dalam kesamaan peluang yang diberikan.Ini bermakna sungguhpun semua murid mempunyai peluang masuk yang sama ke sekolah,sistem pendidikan Malaysia moden meneruskan dasar-dasar meritokrasi dalam pendidikan melalui pengaliran.Setelah memasuki sistem persekolahan seseorang itu akan menerima pendidikan dan bersaing antara satu sama lain.Persaingan adalah disahkan oleh sistem peperiksaan .Murid-murid yang ‘inteligen’ telah diutamakan dalam sistem. Siapa yang lebih ‘inteligen’ atau berusaha akan mendapat kejayaan.Kebiasaan sekolah ialah mengasingkan murid-murid mengikut tahap ‘inteligen’.Jika dahulu bilik darjah dinamakan mengikut abjad ‘A,B,C,D’ dan seterusnya,kini pengasingan telah disamarkan dengan memberi nama bilik darjah berasaskan nama-nama pokok,jenis-jenis bunga dan warna seperti Tiga Merah,Tiga Biru,Tiga Jingga dan sebagainya. 

Meritokrasi juga boleh ditunjukkan oleh dasar pemilihan pelajar-pelajar pintar ke sekolah berasrama penuh.Pada peringkat awal pelajar-pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan ‘5A’ selalunya akan dipilih.Pelajar yang tidak cemerlang akan ke sekolah biasa.Kemudiannya system biasa. Kemudiannya sistem pemilihan telah diubah berdasarkan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) .Di peringkat sekolah menengah pula,Sijil Rendah Pelajaran (SRP) telah diubah kepada Penilaian menengah Rendah(PMR) yang menjadi sebahagian  kriteria pengagihan ke sekolah-sekolah berasrama ,teknik atau pun vokasional dan harian.mereka yang gagal Penilaian Menengah Rendah atau pada tahap seterusnya gagal Sijil Pelajaran Malaysia akan disingkirkan daripada sistem persekolahan.

Sesungguhnya pewujudan sekolah-sekolah berasrama penuh mempunyai rasionalnya sendiri.Ia adalah selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.Dengan itu pihak yang ketinggalan dari segi ekonomi dan sosial,khususnya orang-orang Melayu diberikan bantuan melalui pendidikan.Mereka inilah yang diharapkan untuk menjadi guna tenaga penting dalam negara Malaysia moden.Oleh itu kriteria untuk memilih mereka yang benar-benar ‘inteligen’ dianggap sangat penting.Setakat ini tidak ada kecaman daripada anggota-anggota masyarakat berdasarkan merit peperiksaan ke asrama penuh.Justeru itu,amalan meritokrasi sebegini secara umumnya telah diterima oleh masyarakat sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

4. Kebaikan meritokrasi.
Sesungguhnya dalam melaksanakan agenda pendidikan kebangsaan para pemimpin,pelajar dan masyarakat perlu mengkaji pro dan kontranya sesuatu isu tersebut  sebelum menerima dan melaksanakannya dalam pendidikan.Berikut adalah kebaikkan meritokrasi :-
4.1 Pertama,dengan adanya sistem ini para pelajar dapat bersaing secara sihat untuk mendapat atau merebut peluang yang ada di hadapan mereka.Tiada kaum yang akan mempertikaikan kemasukkan kaum-kaum lain ke institut pengajian tinggi awam.

4.2 Kedua, institut pengajian tinggi awam dapat melahirkan graduan yang benar-benar mahir  dalam bidang yang diambil oleh para pelajar.Ini kerana pelajar sentiasa berusaha dengan sedaya upaya untuk membuktikan kebolehan mereka 

4.3 Ketiga,para pelajar  di luar bandar akan mendapat faedah yang banyak kerana jika sistem ini dilaksanakan  sudah pasti pihak kerajaan akan mewujudkan frasarana yang lebih baik seperti wujudnya kelas/bilik komputer yang lengkap dengan peralatan terkini,perpustakaan yang mempunyai buku-buku rujukan yang berkualiti dan terkini serta lain-lain kemudahan yang difikirkan sama dengan sekolah bandar.
 

5. Keburukan meritokrasi.
Disebalik kebaikkan sesuatu system itu , ada juga terselit keburukkannya.Berikut adalah keburukkan yang didapati:-

5.1 Pertama,secara umumnya masyarakat Melayu akan menentang sistem ini secara sekeras-kerasnya ini kerana sistem ini akan menyebabkan mereka hilang hak keistimewaan orang-orang Melayu seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153(1) dan (2).

5.2 Kedua,isu ini amat sensetif untuk dibicarakan dan boleh menyebabkan kontrovesi dan ketegangan  di antara kaum dan kita sudah tentu tidak mahu melihat Peristiwa 13 Mei di mana kaum Cina berbunuhan dengan kaum Melayu secara beramai-ramai berulang kembali.

5.3 Ketiga, jika sistem meritokrasi ini dilaksanakan sekolah-sekolah di luar bandar seperti di kampung-kampung dan felda ,pihak kerajaan perlulah mengeluarkan belanja yang banyak untuk membina atau menyediakan frasarana  seperti yang terdapat di sekolah-sekolah di bandar-bandar contohnya menyediakan bilik-bilik komputer yang lengkap,perpustakaan yang lengkap,bilik-bilik darjah  yang sempurna.Ini  kerana untuk mewujudkan persamaan, peluang terlebih dahulu perlu diwujudkan  persamaan kemudahan.Jika para pelajar di bandar  ada menghadiri kelas tambahan pihak kerajaan juga perlu mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas tambahan untuk para pelajar di kampung.Aspek-aspek lain juga perlu di kaji secara mendalam supaya sesudah perlaksanaannya tidak timbul sebarang implikasi.

5.4 Keempat,selain merit dan kecemerlangan perlulah diberikan pertimbangan yang sama beratnya kepada factor keperluan iaitu latar belakang,ekonomi,keluarga,social dan juga pendidikan pelajar-pelajar.Pada umumnya pelajar yang datang dari keluarga atau kawasan yang mundur di mana kemudahan pendidikan tidak begitu baik sukar hendak bersaing dengan pelajar dari kawasan maju atau keluarga kaya.

5.5 Kelima, sekiranya hanya kecemerlangan diambil kira dan tidak bersama-sama,maka ramai pelajar dari kawasan mundur atau keluarga miskin tidak kira Melayu,Cina,India,Kadazan,Iban dan lain-lain akan keciciran untuk melanjutkan pendidikan mereka.Akibatnya jurang sosio-ekonomi di antara yang kaya dengan miskin akan bertambah lebar.

6. Perbincangan/cadangan.
Secara umumnya sistem ini sangat baik jika dapat dilaksanakan secara yang dihasratkan oleh kerajaan.Walaupun demikian sebelum system ini dijalankan dengan sepenuhnya,para ilmuan dan para pemimpin perlulah mencapai kata sepakat supaya dengan terlaksananya system ini bukanlah ianya dipengaruhi oleh agenda politik sempit mahupun  seperti kata pepatah “Ada udang di sebalik batu”.Segala aspek keparluan fizikal dan mental perlulah dipersiapkan  terlebih dahulu.Supaya tidak terjadi penindasan terhadap kaum-kaum tertentu seterusnya menjurus kearah perpecahan kaum yang telah kita pupuk sekian lama.Dalam masyarakat  Malaysia yang berbudaya majmuk  perlulah ada sikap bertolak ansur dalam menyelesaikan sesuatu isu supaya keharmonian di antara kaum dapat dikekalkan.

Namun demikian sistem ini sangat ideal kerana ianya  dapat  melahirkan insan yang  benar-benar berkebolehan tanpa dipengaruhi oleh kedudukan,pangkat,kaum dan agama.Sistem ini juga dapat meningkatkan daya saing di kalangan para pelajar terutamanya pelajar kaum seterusnya memajukan bangsa  Melayu itu sendiri.Individu yang terhasil melalui sistem ini  juga akan mementingkan kualiti kerja  yang cemerlang.Suka juga diingatkan bahawa sikap orang Melayu yang mudah bertolak ansur akan memudaratkan hak keistimewan orang Melayu yang semakin terhakis ekoran desakkan demi desakkan kaum lain.Ada perkara yang bangsa lain perlu hormati (bangsa Melayu) dan ada perkara yang membolehkan orang Melayu bertolak ansur.

7. Rumusan/kesimpulan.
Selain merit dan kecemerlangan perlulah diberi pertimbangan yang sama beratnya kepada faktor keperluan iaitu latarbelakang ekonomi,sosial dan juga pendidikan pelajar-pelajar.Pada umumnya  pelajar yang datang dari keluarga atau kawasan yang mundur di mana kemudahan pendidikan tidak begitu baik adalah sukar hendak bersaing dengan pelajar  dari kawasan yang maju dan keluarga kaya.Sekiranya hanya kecemerlangan diambil kira dan tidak bersama-sama keperluan ,maka pelajar dari kawasan yang mundur atau miskin tidak kira Melayu,Cina,India,Iban,Kadazan dan lain-lain akan keciciran untuk melanjutkan pendidikan mereka.Akibatnya jurang sosio-ekonomi di antara yang kaya dengan miskin bertambah lebar maka akan mendatangkan masalah sosial yang tinggi.

Rujukan:-
Amir Hassan Dawi,2002. Penteorian Sosiologi  dan  Pendidikan (Edisi kedua),Tanjong 
Malim,Perak :Quantum Books.

John Rex,1985.Hubungan Ras Dalam Tteori Sosiologi.(terjemahan A.Nazeri 
Abdullah),Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohd Salleh Lebar,1998.Sosiologi sekolah dan pendidikan,Thinker’s Library Sdn. 
Bhd.

Sharifah Alwiyah Alsagoff,1988.Sosiologi Pendidikan,Kuala Lumpur,Longman 
Malaysia Sdn Bhd.

 T.Marimuthu,1990.Pengenalan sosiologi pendidikan,Kuala Lumpur,Siri Fajar Bakti

________________, 1996. Kamus Dewan ( Edisi Ketiga) ,Kuala Lumpur,.Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majalah MASSA Berita Mingguan,Bil.291,Mei 2001.

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama