Make your own free website on Tripod.com
 
   
Cawangan ABIM

KETAHANAN IMAN : BENTENG GEJALA MURTAD

       Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, Marilah kita semua bertakwa kepada Allah, sentiasa bertanggungjawab dan berusaha melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya mudah-mudahan kita berjaya di dunia dan di akhirat. Sebaliknya rugilah kita kiranya kita engkar dan derhaka kepadaNya. 

        Iman adalah sesuatu yang bernilai bagi setiap muslim. Imanlah yang membawa kepada kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan yang hakiki dalam kehidupan kita. Sesiapa yang menikmati kemanisan iman, maka ia tidak akan memilih agama dan kepercayaan selain dari agama Islam. Iman adalah nikmat yang terbesar, kurniaan Ilahi yang tidak dapat dikecapi kecuali oleh orang yang memilikinya. Apabila seorang muslim yang mempunyai iman maka hidupnya menjadi bererti dan bermakna, sebaliknya manusia yang tidak mempunyai iman maka hidupnya tidak bererti dan bermakna kerana mereka tidak mengetahui tujuan hidup yang sebenar. Malahan keimanan tidak dapat dibeli dan diganti walaupun dengan emas sebesar dunia ini. Inilah hakikat iman yang sebenar. Firman Allah: 

        "Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah diterima daripada seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas yang sebanyak itu."(Ali-Imran:91) 

        Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian, 

        Iman adalah sumber kekuatan umat ini. Imanlah yang menjana hati-hati kita ke arah melakukan kebaikan, kebajikan dan perpaduan (ukhuwah). Marilah kita merenung sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: 

         "Dari Anas bin Malik r.a dari Rasulullah SAW bersabda: Tiga perkara yang sesiapa yang ada padanya nescaya ia memperolehi kemanisan iman iaitu ia kasih kepada Allah dan Rasulnya melebihi yang lain, dan ia kasih kepada seseorang semata-mata kerana Allah dan ia amat benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci sekiranya ia dicampak ke dalam api neraka." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). 

        Orang yang benar-benar beriman sahaja yang akan merasai kemanisan iman, kelazatan beribadat, tidak jemu-jemu melakukan amalan soleh, sentiasa berbuat kebaikan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Hadis diatas menerangkan 3 ciri utama kemanisan iman iaitu : 

  1. Ia mencintai dan mengasihi Allah dan rasulNya melebihi segala-galanya, hatta dirinya sendiri, ibubapa dan keluarga. 

  2.  
  3. Ia mengasihi insan yang lain adalah atas dasar keimanan dan kerana Allah. 

  4.  
  5. Ia benci untuk kembali kepada kekufuran atau melakukan kemaksiatan dan syirik sebagaimana ia benci sekiranya ia dicampak ke dalam api neraka. 


        Itulah tanda-tanda orang yang mempunyai kemanisan dan kelazatan iman. Mereka sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan dan amat benci kembali kepada kufur. Mereka sanggup menghadapi kesusahan dalam mencari keredhaan Tuhan. Seorang salifus soleh pernah menyebutkan: 

         "Sesungguhnya kami hidup dalam kenikmatan iman, nikmat yang terbesar, sekiranya para pemerintah atau raja-raja mengetahui tentang kenikmatan hidup beriman ini nescaya mereka akan memerangi kita dengan pedang-pedang." 

        Sidang kaum muslimin yang dilindungi Allah sekalian, 

        Marilah kita melihat ketegasan baginda Rasullulah dalam menjalankan amanah dengan mengutamakan perintah Allah dari kepentingan hidup baginda sendiri. Ini dibuktikan dengan kata baginda SAW: 

        "Demi Allah, wahai bapa saudaraku, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku, supaya aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, sesunguhnya aku tidak akan berhenti sehingga Allah memberi kemenangan untuknya atau aku mati bersamanya." 

        Inilah contoh ketegasan baginda SAW dalam mempertahankan agama Islam, keimanan dan kebenaran. Sekiranya kita meletakkan kepentingan Islam dan iman sebagai suatu yang tidak penting, serta memandang remeh, maka hilanglah nikmat Islam dan iman dalam diri kita. Kemudian akan tiba masanya kita akan merasai kesempitan, kesengsaraan dan kesusahan. Firman Allah SWT: 

        "Barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit." (Taha 124). 

        "Barangsiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al-Baqarah 217). 

        Antara kemanisan iman ialah persahabatan yang diikat atas dasar keimanan atau ukhuwwah fi Allah. Lihatlah kisah golongan Muhajirin dan Ansar. Persahabatan mereka lebih erat daripada hubungan kekeluargaan. Golongan Ansar sanggup memberi harta benda bahkan sedia untuk menceraikan isteri-isteri mereka kepada golongan Muhajirin. Inilah gambaran apabila persahabatan diikat atas dasar keimanan kepada Allah. 

        Kisah Khubaib Aidi al-Ansari seorang sahabat yang ditawan oleh orang kafir di dalam satu pertempuran, lalu diletakkan mata pedang di badannya serta ditanya kepadanya; "Bagaimana perasaan kamu wahai Khubaib jika sekiranya tempat ini diganti dengan Muhammad ? Khubaib menjawab ; Aku lebih suka kalau aku berada disini daripada Rasulullah". Peristiwa tersebut membayangkan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan agama Islam mengatasi kecintaan kepada diri sendiri. 

        Islam dan Iman sesuatu yang amat berharga kepada kita. Kita sepatutnya merasa sungguh beruntung, merasa sungguh puas, merasa kaya dan merasa bangga memiliki Islam dan Iman. Dengan memiliki itu, kita tidak merasa naif, tidak merasa rendah diri untuk berdepan dengan sesiapa, berdepan dengan orang yang paling berkuasa di dunia ini, yang paling kaya di dunia ini, yang paling gagah di dunia ini, kita tidak merasa apa-apa kekurangan. Ini disebabkan mereka tidak boleh menukar, membeli dan mencabut Islam dan iman serta hidayah yang ada pada diri kita. Firman allah SWT : 

        "Tetapi Allah menjadikan kamu cintakan kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hati kamu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus." (al-Hujurat:7) 

        Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, 

        Sejak akhir-akhir ini media menyiarkan gejala murtad di kalangan umat Islam di Malaysia. Laporan-laporan tersebut amat membimbangkan kita dengan meningkatnya bilangan orang yang murtad semenjak tahun-tahun kebelakangan ini. Pada masa sekarang terdapat kes-kes murtad yang mengunakan syarikat guaman atau surat pengakuan PesuruhJaya sumpah dengan memperakukan mereka bukan lagi beragama Islam dan menafikan nama Islam mereka. Tetapi umat Islam masih lagi berpeluk tubuh dan menganggap masalah kecil sahaja dan bersifat peribadi. 

        Inilah yang menjadi kebimbangan kepada seorang tokoh ualama abad ini dari tanah besar India, Syeikh Abu Ali Hassan al-Nadwi semoga Allah memanjangkan umurnya yang telah mengarang buku Riddah La Aba Bakar Laha (murtad yang tidak ada Abu Bakar memeranginya). Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita menyelamatkan umat Islam dari terus terdedah kepada gejala ini. Masyarakat perlu memahami bahawa murtad adalah satu jenayah yang terkutuk dan berdosa besar di sisi agama Islam. Firman Allah SWT: 

        "Sesungguhnya orang-orang kafir sesudah beriman, kemudian bertambah kekafirannya, sekali-kali tidak akan diterima taubatnya dan mereka itulah orang-orang yang sesat." (Ali Imran 90) 

        Menukar agama merupakan perkara yang dilarang keras oleh agama Islam dan bagi orang Melayu ia merupakan perkara yang amat mengaibkan. Sekiranya tidak ditangani segera kita percaya ia akan berubah menjadi satu gejala yang akan menggugat wibawa Islam sebagai agama persekutuan di samping melemahkan sendi kekuatan umat Melayu. 

        Murtad dari segi bahasa bermakna berubah atau bertukar manakala dari segi istilah memberi erti orang yang keluar atau meninggalkan agama Islam kepada agama yang lain seperti agama Nasrani atau Yahudi atau menjadi orang yang tidak beragama (atheis) dimana mereka itu adalah orang yang waras (berakal) dan dengan rela hati. Perbuatan murtad ini boleh berlaku dengan perbuatan, perkataan dan iktikad. Seseorang itu boleh terkeluar daripada agama Islam apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah, atau mengeluarkan perkata 

         Sementara melalui iktikad, seseorang itu boleh menjadi murtad, jika ia mempercayai sesuatu yang bertentangan dengan akidah Islam seperti mengiktikadkan Nabi Muhammad bukan pesuruh Allah. Inilah antara perkara-perkara yang boleh merosakkan iman dan Islam kita. 

        Dalam perundangan moden, orang yang membelot negara pastinya dihukum malahan hukuman pembelot negara dibunuh dalam perundangan setengah negara. Dalam konteks perundangan Islam, Islam meletakkan asas akidah sebagai kesetiaan kepada agama dan pembelot agama pasti dihukum. Lantaran itu, sewajarnya Islam menetapkan hukuman kepada orang yang murtad, yakni orang yang keluar daripada agama Islam dan memerangi Islam. Islam tidak membenarkan agama itu dipermainkan, Islam pada waktu pagi, kafir pada waktu petang, Islam pada hari ini, kafir pada besoknya sepertimana yang dilakukan oleh orang Yahudi seperti yang diterangkan dalam al-Quran. Firman Allah SWT : 

        "Beriman dengan apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman pada permulaan siang(pagi) dan mengkufuri pada waktu petangnya." (Ali- Imran:72) 

        Kita perlu memahami bahawa masyarakat Islam dibina atas prinsip akidah dan tauhid kepada Allah. Masyarakat yang diasaskan atas kalimah syahadah : Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruhNya. 

        Antara sebab utama gejala murtad ini berlaku adalah disebabkan kurang mendapat didikan agama yang kuat dan apabila tinggal di alam suasana yang bukan Islam mereka terpengaruh dengan agama lain. Hal ini sering terjadi di kalangan pelajar-pelajar yang belajar di luar negara. Ada juga mereka yang mendapat didikan agama yang kuat tetapi akibat desakan hidup dan terjebak dengan perbahasan ilmiah yang palsu seperti pandangan anti-hadis telah terpengaruh dengan gejala ini. 

        Disamping itu, ada saudara baru yang memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan pasangan Islam, tetapi setelah berlaku perceraian antara keduanya, mereka kembali kepada agama asalnya. Apa yang amat menyedihkan kita terdapat remaja-remaja terutama gadis-gadis Islam kini sanggup menukar agama semata-mata kerana cinta kepada pemuda yang bukan Islam. Oleh demikian, Ibubapa perlu memainkan peranan memberi didikan agama, asas-asas akidah yang kukuh dan iman yang mantap kepada anak-anak, mengetahui rakan-rakannya serta mengetahui penglibatannya dalam badan-badan atau pertubuhan amal yang kadangkalanya mereka adalah gerakan Kristianisasi bertopengkan badan-badan amal tersebut. 

        Antara faktor gejala murtad ini semakin berkembang ialah fahaman anti-agama yang semakin menular di kalangan umat Islam. Faham anti agama seperti sekularisme, individualisme, hedonisme, materialisme saban hari disogok dan dipaksakan kepada umat. Nilai-nilai negatif yang sebahagiannya disebar melalui media cetak dam elekronik mulai membudaya dalam masyarakat. Agama tidak dilihat sebagai tuntutan utama kehidupan sebaliknya ia sekadar keperluan budaya yang bukan fundamental. Pandangan seperti ini mulai dianuti khususnya oleh generasi muda. 

        Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, 

        Jagalah Islam dan iman kita, hiasilah diri kita dengan iman. Mohonlah semoga kita dimatikan dalam keadaan Islam dan beriman kepada Allah sepertimana yang selalu kita berdoa: "Ya Allah, habiskanlah umur kami dengan sebaik-baik penghabisan, dan janganlah engkau habiskan umur kami dengan seburuk-buruk penghabisan". Janganlah kita hanya Islam secara keturunan dan warisan semata-mata tetapi fahamilah Islam secara betul. Fahamilah bahawa iman sahajalah yang menyelamatkan diri kita daripada diseksa oleh api neraka.Perbaharuilah iman kita dengan membanyakkan tasbih, tahmid, takbir dan tilawatul Quran (membaca dan meneliti al-Quran) Sesungguhnya Allah telah menjanjikan bahawa Dia akan mengantikan umat yang Allah cintakan mereka dan mereka cintakan Allah apabila umat yang diberikan amanah melakukan kemurtadan. Firman Allah SWT : 

        "Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mecintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela." (al-Ma'idah 54) 

        Bagi orang yang murtad, Islam menyuruh mereka kembali semula dengan bertaubat dan pihak yang berwajib perlu menerangkan Islam dan menghilangkan syak wasangka mengenai Islam dalam pemikirannya. 

        Kaum muslimin yang dikasihi sekalian, 

        Marilah kita menyahut seruan Allah, seruan untuk kita beriman, seruan ke arah kejayaan, seruan ke arah kebahagiaan seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah Ali Imran ayat 193 : 

        "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar seruan yang menyeru kepada iman, iaitu : Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kamipun beriman. Wahai tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang beriman." (Ali Imran : 193) 



AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpape Malaysia
Laman Utama