Cawangan ABIM

BELANJA BERHEMAT KITA SELAMAT

       Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,Saya berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara supaya benar-benar bertaqwa kepada Allah dengan menjunjung dan melaksanakan perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. Sesungguhnya berjayalah mereka yang bertaqwa sebaliknya rugilah mereka yang ingkar dan derhaka. 

       Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

       Islam sangat memandang berat terhadap soal jimat cermat kerana ia menjadi asas bagi kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara. Oleh itu, Islam mengharapkan setiap penganutnya supaya berjimat cermat dalam segala bidang kehidupan dan keadaaan. Berjimat cermat dalam belanja seharian, berjimat cermat dalam membeli pakaian, berjimat cermat dalam menggunakan api elektrik dan air, berjimat cermat ketika mengunakan kemudahan-kemudahan awam dan sebagainya. 

       Dalam keadaan negara kita menghadapi kejatuhan nilai ringgit, sudah tentu soal jimat cermat ini menjadi satu awwalawiyat (keutamaan) kepada orang ramai dan pemimpin masyarakat. Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha berjimat cermat. Kempen "Belanja Berhemat, Kita Selamat" bukan sekadar kempen tetapi merupakan satu tuntutan agama Islam yang sentiasa menyuruh umatnya berjimat cermat dan bersederhana dalam berbelanja sama ada dalam keadaan senang/mewah ataupun dalam keadaaan kemelesetan ekonomi. 

       Firman Allah SWT : "Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membelanjakan harta kamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (al-Isra' ayat 26-27). 

       Islam melarang umatnya membazir kerana ia merupakan perbuatan keji dari pekerjaan syaitan. Sesungguhnya syaitan amat suka kepada orang yang boros dan membazir. Pepatah Melayu tepat sekali bila menyebut Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. 

       Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW sentiasa bersederhana dalam kehidupannya dan sangat mementingkan soal berjimat cermat kepada umatnya. Sabda Rasulullah yang berbunyi: 

       "Dari Abdullah bin Amru bin 'As R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya berjayalah orang yang memasuki agama Islam, dan rezekinya mencukupi dan ia meredhai apa yang dikurniakan oleh Allah." Diriwayatkan oleh Muslim. 

       Dalam satu riwayat oleh Saiyidah Aisyah R.A yang mengambarkan kehidupan Rasulullah yang amat bersederhana dalam soal pakaian, makanan dan kediaman. 

       "Dari Aisyah R.A berkata : Tidak pernah kenyang Keluarga Muhammad dari memakan roti gandum dua hari berturut-turut sehingga wafat." (Mutafaqun Alaih). 

       Imam Syafie adalah seorang yang berjimat cermat. Pernah dikisahkan daripada seorang sahabatnya yang menyebutkan bahawa aku tidak pernah melihat orang yang lebih elok mengunakan air untuk berwuduk selain daripada Imam Syafie. 

       Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, 

       Al-Quran menyebutkan antara sifat 'Ibadur Rahman ialah mereka bersederhana dalam berbelanja, tidak bakhil dan tidak pula boros. Firman Allah: 

       "Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak boros dan tidak pula bakhil dan adalah perbelanjaan itu ditengah-tengah antara yang demikian.." (al-Furqan 68). 

       Dalam ayat yang lain Allah berfirman : " Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu boros kerana itu menjadi kamu tercela dan menyesal." ( al-Isra' 29). 

       Ayat ini mengambarkan bahawa orang mukmin adalah orang yang bersederhana dalam berbelanja dan berjimat cermat. "Al-Qasdu Fi Ghina'iy wal Fakhri" ( Berjimat ketika kaya dan juga ketika miskin). Jangan hanya dalam keadaan kemelesetan ekonomi kita hendak mengamalkan amalan jimat cermat tetapi semasa mewah kita lupa semuanya, berbelanja sesuka hati, mengikut hawa nafsu dan tidak pernah bersyukur tentang nikmat dan kemakmuran yang dikurniakan oleh Allah. Pernah satu ketika Abu Zarr al-Ghafiri menegur Saidina Muawiyyah yang telah membina Istana al-Qasru al-Khadra' yang begitu besar dengan katanya, "Wahai Muawiyah, sekiranya engkau membina istana ini dengan mengunakan wang rakyat, sesungguhnya perbuatan ini adalah satu kezaliman, sekiranya daripada harta bapa kamu sendiripun ia merupakan satu pembaziran." 

       Umat Islam ditegah mengikut hawa nafsu dalam berbelanja. Kita perlu berbelanja jika perlu dan elakkan pembaziran, kerana perbuatan tersebut akan merugikan kita sendiri. Tambahkan tabungan demi kepentingan masa depan. Sabda Rasulullah SAW pernah menyebutkan "Khaiyru l-Umur Awsatuha". Sebaik-baik pekerjaan adalah sederhana. 

       Tahukah tuan-tuan jika semua rakyat Malaysia ( 20.6 juta orang) menyimpan sebanyak RM 10 sebulan, negara akan mempunyai simpanan sebanyak RM 2.472 bilion setahun. Negara membelanjakan lebih RM 9 bilion setahun mengimport makanan. Kalau kita mengunakan wang tersebut untuk pendidikan dalam negeri, ia dapat menampung pengajian 535,294 orang mahasiswa. 

       Rakyat Malaysia menghisap rokok 18.5 batang rokok setahun : bersamaan RM 3 bilion setahun. Rokok mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan perokok dan mereka yang berada disekeliling. Tambahan pula syarikat-syarikat rokok adalah syarikat asing. Membeli rokok menambahkan pengaliran wang ke luar negara. 

       Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

       Marilah kita merancang untuk berjimat cermat semoga Allah memberkati kehidupan kita. Harta yang kita miliki ini sebenar hak Allah. Kita hanya sebagai "pengurus" yang pastinya akan ditanya dari mana harta yang kita perolehi dan ke manakah kita membelanjakan harta tersebut. Janganlah kita menganggap harta yang dimiliki itu sebagai milik mutlak kita dan kerana itu kita berbelanja sesuka hati, apatah lagi membelanja harta tersebut dalam perkara-perkara maksiat dan kemungkaran. Allah menceritakan kisah kaum nabi Syuib yang melampaui batas, angkuh dan sombong serta menganggap harta sebagai milik mutlak mereka yang boleh dipergunakan sesuka hati dengan firmanNya : 

       " Mereka berkata : wahai Syuib, apakah sembahyangmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami". (Hud : 87). 

       Sesungguhnya Allah amat murka kepada orang yang tidak pernah bersyukur atas nikmat-nikmatnya dan golongan ini pastinya akan menerima balasan azab daripada Allah atas kelalaian menjaga amanah harta ini. Allah akan menambahkan nikmat-nikmatNya sekiranya kita bersyukur dengan melakukan amalan-amalan soleh tetapi sekiranya kita kufur nikmat nescaya azab Allah amat pedih. Firman Allah : 

       Terjemahan: "Dan ingatlah juga, tatkala Tuhanmu memaklumkan : sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah nikmat kepada kamu, dan jika kamu mengingkari nikmatku maka sesungguhnya azabku sangat pedih." (Ibrahim : 7). 

       Inilah ingatan daripada Allah kepada hamba-hambanya supaya jangan sekali-kali kufur dan ingkar kepada kurniaan tuhan, nanti kita akan menerima akibatnya. Negara yang gagah perkasa sekalipun dari segi ekonomi pada suatu ketika, tiba-tiba boleh menjadi sirna, kemudiannya pupus di atas muka bumi dalam sekelip mata. Keadaan ini boleh berlaku jika rakyatnya hidup dalam keadaan mewah sehingga lupa kepada tuntutan agama, boros dalam berbelanja dan tidak ada rasa tanggungjawab untuk menolong orang yang tidak bernasib baik. 

       Budaya membelanja mewah semakin menjadi-jadi di kalangan umat Islam hari ini. Ia menjadi satu budaya yang mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung gaya hidup masyarakat. Ia bukan sahaja menyerang golongan yang berpendapatan tinggi tetapi juga kepada golongan yang berpendapatan rendah sehingga berbelanja secara berlebihan di luar kemampuan mereka semata-mata untuk meniru gaya hidup mewah yang dianggap sebagai suatu kemestian dan lambang kebanggaan. Lalu mereka ghaflah (lupa) dan berada di luar batasan normal dari segi akhlak dan perbelanjaannya. Allah SWT berfirman: 

       "Dan jika kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu supaya mentaati Allah tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan) Kami, kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya." (al-Isra' 16). 

       Mereka sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mengadakan perayaan menyambut hari jadi di hotel-hotel mewah dengan melakukan pembaziran wang. Kehidupan mewah tanpa batasan adalah bertentangan dengan etika al-Quran. 

       Al-Quran telah merakamkan kisah perancangan nabi Yusuf a.s yang membuat perancangan dalam menghadapi masalah ekonomi yang melanda Mesir pada zaman itu. Nabi Yusuf membahagikan kepada dua fasa iaitu 7 tahun pertama merupakan fasa kemelesetan ekonomi dan 7 tahun kedua merupakan fasa makmur. Firman Allah : 

       "Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit) kecuali sedikit dari (benih gandum) yang kamu simpan. Kemudian selepas itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan dengan cukup dan di masa itu mereka memeras anggur." (surah Yusuf 48-49). 

       Oleh itu, kita perlulah membuat perancangan dengan membeli barangan buatan tempatan, meningkatkan tabungan, elakkan membeli barangan yang tidak perlu, jimatkan tenaga elektrik, air dan petrol. Kita tidak perlu berbelanja mewah semata-mata untuk meniru gaya hidup senang lenang. (leisure) dan keseronokan (al-Malazzat/Hedonism). Marilah kita mengambil pengajaran dan peringatan Allah SWT dari kesempitan ekonomi yang berlaku sekarang untuk membuat azam dan tekad memulakan sikap baru dan budaya baru bagi diri kita. Al-Quran telah mengisytiharkan : 

       "Bahawa bumi itu pasti akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang salih" (al-Anbiya' 105). 
 
 

        Marilah kita menyahut seruan Allah, seruan untuk kita beriman, seruan ke arah kejayaan, seruan ke arah kebahagiaan seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah Ali Imran ayat 193 : 

        "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar seruan yang menyeru kepada iman, iaitu : Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kamipun beriman. Wahai tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang beriman." (Ali Imran : 193)  
 


AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpape Malaysia
Laman Utama