TAJUK : Bagaimanakah Sekularisasi Menular Ke Dalam Masyarakat.

Pendahuluan

Apabila disebut mengenai sekularisasi, daripada segi bahasa ianya merupakan salah satu daripada istilah sosial kemasyarakatan. Perkataan Sekularisasi itu sendiri berasal daripada perkataan sekular iaitu sesuatu yang berhubung dengan hal duniawi. Dalam pengertian yang paling luas, konsep sekularisasi berhubung dengan proses keruntuhan peranan agama dalam masyarakat yang seterusnya akan mengakibatkan kelompok masyarakat itu bercorak lebih rasional, materialistik, individualistik dan utilitarian. Manakala masyarakat yang sekular pula ialah masyarakat yang mempunyai aspek kehidupan sosial yang bebas daripada penguasaan simbol atau pegangan dan institusi agama, yang mana boleh disebutkan juga sebagai kuasa dan pengaruh agama semakin berkurangan.
Selain daripada menekankan hal-hal yang bercorak materialistik dan duniawi semata-mata, sekularisasi juga melibatkan perkara yang lebih cenderong untuk mengejar keseronokan dan kebahagiaan. Konsep kebebasan semakin dilaung-laungkan tanpa mengambil kira norma batasan tentu terutama dalam hal sains, ilmu pengetahuan dan nilai. Masyarakat sekular lebih menekankan ke atas ukuran empirik serta ukuran yang berkaitan dengan kecekapan duniawi. Namun begitu, tahap kesedaran sekular tetap wujud mengenai kebolehan dan kuasa manusia terhadap alam sekitar dan kemasyarakatan. Semakin besar pengaruh dan kekuasaan sekularisasi ini maka akan berkuranganlah kuasa dan pengaruh badan agama terhadap kehidupan manusia. Seterusnya pemisahan agama daripada politik, kerajaan dan nafas kehidupan harian akan nyata akibat daripada cengkaman sekularisasi yang semakin menular liar ini.
Proses sekularisasi ini mempunyai hubungan yang erat dengan unsur rasional seperti yang dikemukakan oleh Max Weber. Unsur yang ditekankan dalam proses rasionalisasi ialah taakulan, bukti empirik, ilmu pengetahuan, perkiraan dan hal-hal lain mengenai duniawi. Proses sekularisasi ini juga ada kaitan langsung dengan idea Marx mengenai dealienasi manusia yang merupakan satu proses iaitu manusia bebas daripada proses alienasi dan bebas daripada kongkongan hasil ciptaannya seperti agama.
Masyarakat sekular berlainan daripada masyarakat kudus. Nilai utama masyarakat sekular ialah ialah utilitarianisme dan rasionaliti manakala masyarakat kudus lebih menekankan hal kudus, supernatural, agama, mitos serta nilai yang berkaitan dengan tradisi dan konservatisme. 
Hal kudus dan sekular merupakan satu tema yang utama dalam pemikiran ahli sosiologi sejak abad ke 19 lagi. Banyak hasil tulisan yang bercorak keagamaan muncul di Eropah sebagai suatu reaksi terhadap fahaman duniawi atau sekularisme yang ditekankan oleh Enlightenment dan Revolusi Perancis. Sebilangan besar tokoh sosiologi seperti Comte, Durkheim, Weber, Tocqueville, Marx dan Simmel memberikan sumbangan tertentu kearah perbincangan mengenai aspek agama dan kaitannya dengan masyarakat seluruhnya. Daripada hasil tulisan penulis abad ke 19, dapat dirumuskan empat perspektif asas mengenai agama iaitu agama dianggap sebagai satu alat yang perlu untuk menyatupadukan manusia dan nilai kudus merupakan asas konsensus moral. Kedua, agama merupakan satu unsur utama dalam bidang pertimbangan yang utama untuk memahami sejarah dan perubahan sosial. Ini disebabkan agama merupakan satu bidang utama tersemainya asal usul perubahan sosial yang asas.
Ketiga, agama lebih daripada satu kepercayaan, keinginan dan doktrin. Agama juga merupakan upacara, komuniti yang mempunyai kewibawaan, hierarki dan organisasi.
Dan yang keempatnya, dalam usaha mereka untuk membentuk semula keagungan agama dalam pemikiran, ahli konsevatif menjadikan agama sebagai asal usul semua pemikiran asas dalam pemikiran dan kepercayaan manusia.
 

Penularan Sekularisasi dalam masyarakat
Jika disorot kembali zaman lampau semasa penjajah barat menjejakkan kaki mereka ke bumi bertuah ini, dapatlah dilihat betapa mereka berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan bibit-bibit fahaman sekularisme melalui pelbagai cara. Berbekalkan keupayan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, akhirnya mereka berjaya melaksanakannya. Kesannya dapatlah dilihat sekarang ini semuanya amatlah negatif. Antaranya gejala bohsia, black matel, salah guna dadah, kecurangan tanggungjawab, kecelaruan identiti dan banyak lagi. Secara dasarnya penyebaran fahaman sekularisme ini diterapkan ke dalam masyarakat melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang, selain daripada sikap masyarakat kita sendiri yang memandang ‘trend mat saleh’ itu sebagai idola mereka. Ini hanyalah semata-mata untuk menjauhkan umat Islam daripada agamanya.
Melalui Pendidikan.

 Sekatan pengajian agama Islam secara material dan moral dilakukan dengan membuka jalan kepada pengajian yang jauh daripada penekanan agama. Pengajian sebegini diberikan bantuan  dan kemudahan material untuk berkembang manakala pengajian agama terus disempitkan tanpa apa-apa bantuan kewangan. Sekatan moral juga dilakukan dengan memperlekehkan golongan penuntut dan guru agama. Membezakan guru-guru agama dengan guru subjek lain dalam setiap keadaan memang disengajakan. Begitu juga membezakan antara lapisan bidang agama dengan bidang lain. Dari segi jawatan, guru-guru agama tidak banyak mendapat peluang dan ganjaran disamping dipandang rendah dengan pendapatan dan status yang rendah. Mereka ini tenggelam dalam ‘ketidaksedaran’ dan menyebabkan masyarakat lari daripada agama dan minda mereka terpahat “jika kita memilih bidang agama, ianya tidak akan kemana dan tidak akan menjamin hidup”. Maka masyarakat akan lebih cenderung kepada pengajian bukan bidang agama.
 Di sini bukanlah bermaksud masyarakat tidak boleh mempelajari ilmu selain daripada ilmu agama. Malah tidak ada istilah ilmu ‘bukan Islam’, seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah masyarakat telah diabaikan daripada segi penekanan ilmu keagamaan yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka.
 Strategi lain ialah dengan menghantar pelajar Islam ke negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar akan bertambah jahil dengan agama , nilai serta adat budaya dan memandang kagum dengan duniawi. Tabiat atau kelakuan pelajar ini lah menjadi ikutan kepada generasi yang memandang kepada keduniaan dan terus menular dengan jayanya dalam masyarakat. Nilai dan norma mulia masyarakat kudus akan terus terhakis melalui pengaruh ini sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.
 Pelonggaran sukatan pelajaran pengajian agama atas nama kemajuan akademik dapat dilihat dalam perlaksanaan pendidikan yang diterajui oleh penjajah. Dengan ini akan melemahkan terus kefahaman dan aplikasi keagamaan pelajar.  Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan semasa pengajian. Mereka (golongan sekular) melakukannya dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal ini. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada dua keadaan iaitu samada ia akan membekukan nafsu seks antara dua jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabi’I tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat terutama Amerika Syarikat dan tidak ketinggalan juga di negara kita. 
Ataupun ia akan merangsangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa ‘keinginan’, anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannya walaupun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat belas kasihan walaupun agak lama ‘berdamping’ dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam dan dalam masyarakat kita terutamannya adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.
Sehingga kini masih ada lagi kesan-kesan penerapan sekularisme oleh penjajah terhadap sistem pendidikan di negara kita yang seterusnya menularnya masalah sosial dalam masyarakat. Jalan ini merupakan antara jalan termudah untuk mensekularisasikan masyarakat.
 

Melalui Media Massa.
 Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang. 
 Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, media elektronik dan lain-lain lagi tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda  dan pengalaman dengan akhlak Islam. Jikalau ada pun, ianya hanyalah ‘tangkap muat’ dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan televisyen yang menayangkan gambar separuh bogel dan aksi ganas terutama dalam filem Hindi dan filem barat banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak masyarakat terutamanya golongan muda mudi. Sepatutnya media massa ini menjadi ‘mimbar dakwah’ yang menyeru kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisasi yang berusaha menjauhkan masyarakat daripada pegangan dan ajaran agama.

Melalui Undang-undang
 Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Islam daripada “kuasa” pemerintah. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam apa hal sekalipun sehinggalah Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Di Turki contohnya, mereka berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khalifah Islam. Begitu juga di Mesir, pensekularan undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang  Perancis secara khususnya. 
 Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kahwin (ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkaitan dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Masyarakat boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara ini sendiri.  Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan masyarakat dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan agama yang dianutinya. Masyarakat  perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan di akhirat.
 Agama dan sekularisme tidak dapat disatukan dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya’rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata ; “ Sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil”. Maka masyarakat khususnya umat Islam perlulah mengikut hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi khusus. Di sinilah peranan golongan agama sangat diperlukan untuk menyelamatkan masyarakat daripada keruntuhan sosial akibat daripada sekularisasi. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut Al-Qur’an dan Al-Sunnah Rasulullah s.a.w.
Peranan Ibu Bapa dan Institusi keluarga untuk menangani masalah ini .

 Pembudayaan sekular yang secara licik dan meluas dikalangan masyarakat tidak banyak mendatangkan kesan baik melainkan keburukan semata-mata. Adat budaya, nilai kesopanan resam masyarakat akan sedikit demi sedikit pudar dan lenyap daripada amalan harian jika sekiranya sekularisasi dibiar terus menular tanpa kawalan dan halangan. Kesannya tidak lain hanyalah kepada generasi sekarang, generasi akan datang, dan negara ini sendiri. Pelbagai corak dan gaya kepincangan yang begitu kekok dan kelu diperlihatkan oleh kesan sekularisasi ini. Dalam hal ini, tiada pihak yang patut menuding jari kepada pihak lain. Semuanya adalah di atas tanggungjawab kita sendiri untuk membendung sekularisasi ini terutama daripada dasarnya iaitu ibu bapa dan institusi keluarga. 
Sebagai orang yang matang pastinya kita akan memilih yang terbaik untuk anak-anak dan mengapa tidak kita meletakkan yang terbaik itu ialah dasar keagamaan dalam setiap hal. Sejak daripada dalam kandungan , bayi boleh mula dididik dan disemaikan dengan amalan murni melalui perlakuan dan perbuatan ibu bapanya. Perkara ini banyak memberi pengaruh terhadap peribadi dan tingkah laku anak apabila dewasa. Bak kata pepatah “anak-anak itu ibarat sehelai kain putih, ibu bapanya lah yang mencorakkan anak-anak itu”. Seandainya peranan ini kukuh, anasir-anasir luar akan begitu susah dan payah untuk menular dan merosakkan nilai murni individu tersebut. Disamping itu perlulah didedahkan, dididik dan ditekankan persekitaran budaya ahli keluarga dengan amalan murni, hormat menghormati, bersyukur, kesopanan dan adat resam yang disanjung tinggi supaya ianya menjadi teras dan jati diri individu, keluarga, masyarakat dan negara untuk terus melonjak maju dan berjaya. Sebagai rumusannya, dalam apa jua aspek kehidupan yang kita lalui perlulah berteraskan kepada ajaran dan pegangan agama yang kukuh supaya identiti keunggulan jati diri tidak akan tergugat malah akan terus maju dan berkembang, bermula dari peranan ibu bapa dan institusi keluarga itu sendiri. 
 

Kesimpulan
 Daripada pandangan dan pendapat yang telah dikemukakan di atas mengenai penularan sekularisasi  ke dalam masyarakat, dapatlah disimpulkan beberapa perkara untuk dijadikan renungan dan pandangan bersama. Bagaimanakah sekularisme itu dengan mudahnya dibawa masuk oleh penjajah ke dalam negara menunjukkan asas masyarakat yang tidak begitu kukuh sekukuhnya ‘golongan sekular’ itu. Maka dengan begitu mudahnya idea berkenaan dipupuk dan diserap untuk dijadikan pegangan dan ikutan. Kesannya amatlah buruk daripada  segi masalah sosial, dari sekecil-kecil masalah seperti adat makan, minum hinggalah sebesar-besar masalah sosial seperti rogol, bunuh diri, murtad dan sebagainya. Peranan kita sebagai masyarakat yang waras dan berpegangan agama yang kukuh terhadap masalah ini haruslah jelas dan nyata iaitu tidak mudah terpedaya dengan rasionalistik, materialistik, individualistik dan utilitarian tetapi menerima dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya mengikut Al-Qur’an dan Al-Sunnah Rasulullah s.a.w untuk kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
 

 Rujukan
__________________. 1996. Ensiklopedia Malaysia. Kuala Lumpur: Anzagain Sdn. Bhd.

Alex Inkeles. 1982. Apa Itu Sosiologi ? Suatu Pengenalan Mengenai Disiplin dan Profesion.
      Kuala Lumpur: DBP.

Amir Hasan Dawi. 1999. Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum
       Books.

Rohana Yusof. 1996. Asas-asas Sains Sosial Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur: DBP.

Sufean Hussin. 1996. Pendidikan Di Malaysia-Sejarah, Sistem dan Flasafah. Kuala Lumpur:
     DBP.

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama