Perbandingan CPU

Central Processing Unit (CPU) atau Unit Pemprosesan Pusat adalah merupakan otak untuk sebarang sistem komputer. Ia juga adalah sebuah komponen utama yang amat diperlukan oleh pengeluar komputer yang kemudiannya memilih cakera keras, kad grafik, monitor dan akhir sekali peranti-peranti seperti storan luaran dan sistem multimedia. Dengan itu pemproses adalah faktor utama ketika melakukan pemilihan untuk membeli sebuah sistem komputer, tetapi dengan nama-nama seperti PIII, K7 dan MII ia menyukarkan pengguna untuk melakukan pemilihan.

Kebiasaannya pengguna akan terbiasa dengan nama Intel dan slogannya "Intel Inside", malahan di pasaran Intel telah menggunakan teknik pemasaran yang agresif untuk menarik minat para pengguna PC. Kini setelah pengeluar cip Cyrix terkubur maka adalah tugas AMD untuk mencabar Intel dengan mengeluarkan cip-cip alternatif yang lebih berkuasa. Hasilnya AMD telah mengeluarkan cip Athlon yang mempunyai pencapaian 650MHz di mana Pentium III keluaran Intel hanya mampu mencapai 600MHz sahaja ketika ini (masa artikel ini ditulis).

Oleh kerana pemproses adalah faktor utama dalam pemilihan PC maka adalah tujuan artikel ini untuk memberikan gambaran yang tepat apakah jenis-jenis CPU yang terdapat di pasaran dan menyediakan sebuah panduan CPU yang bebas.

AMD K6-2

AMD K6-2 merupakan salah satu cip buatan AMD yang terbaik. Dengan K6-2, AMD telah memperkenalkan teknologi 3DNow, yang menggunakan 21 arahan pemproses yang direka untuk mempercepatkan persembahan 3D sama seperti MMX dalam Pentium. Berbanding dengan MMX, perisian tidak perlu menggunakan sepenuhnya 3Dnow kerana ia hanya akan menggunakan DirectX 6 dan OpenGL untuk menambah keupayaan teknologi ini. Ia mempunyai sistem bas 100-MHz di mana K6-2 mempunyai kelajuan maksimum 475 MHz iaitu 25MHz lebih daripada cip Pentium II terpantas pada 450 MHz. Menurut ujian aplikasi Pentium II masih mampu menewaskan K6-2  pada kelajuan yang serupa namun begitu K6-2 masih sebuah cip yang bagus.

Kelajuan (MHz) : 300, 333, 350, 366, 380, 400, 450, 475
Harga PC : Lebih kurang RM1,800
Keistimewaan : Teknologi 3DNow

AMD K6-III

AMD K6-III, adalah versi tambahan K6-2 yang menawarkan harga yang rendah dan sokogan untuk teknologi 3Dnow. K6-III telah menggunakan cache L2 yang digabungkan ke dalam pemproses dan berfungsi pada kelajuan yang sama dengan pemproses. Berbanding dengan PII, cachenya terletak di luar pemproses dan berfungsi pada separuh kelajuan pemproses. Intel Celeron pula berfungsi pada kelajuan pemproses tetapi pada 128K ia adalah separuh daripada K6-III. Malah K6-III juga menyokong sehingga 512K cache L3 yang tidak mampu dilakukan oleh cip lain.

Kelajuan (MHz) : 400, 450
Harga PC : Sekitar RM2,500
Keistimewaan : Cache yang besar

AMD Athlon (K7)

Athlon atau K7 adalah cip terbaru daripada AMD dan ia menggunakan rekabentuk yang berlainan daripada K6-III. Athlon menggunakan L1 cache 128K pada cip iaitu empat kali ganda saiz cache L1 PIII dan cache L2 sebanyak 512K. Athlon juga mampu menyokong sehingga 8MB cache L2.

Ia juga menggunakan sistem bas 200MHz yang berasaskan kepada protokol bas Alpha EV6 yang biasa digunakan untuk stesyen kerja. Sistem bas ini adalah dua kali lebih pantas daripada sistem bas 100MHz  yang digunakan pada PIII, PII dan K6-III.

Kelajuan (MHz) : 500, 550, 600, 650
Harga PC : Sekitar RM4,000
Keistimewaan : Sistem bas 200MHz

Cyrix M II (6x86MX)

Cyrix telah menukar nama pemproses 6x86MX kepada M II untuk membolehkan cipnya bersaing rapat dengan Pentium II. Cyrix cuba meletakkan M II 300MHz samarata dengan Intel Pentium II 300-MHz tetapi sebenarnya M II 300 berkelajuan 233 MHz sahaja. Dengan memori cache dalaman 64K dan sokongan untuk MMX masih tidak mampu menyaingi Pentium II. Menurut beberapa ujian yang dijalankan M II 300 adalah lebih sesuai untuk disaingkan dengan PII-266. M II memberikan persembahan yang agak memuaskan tetapi ia kurang menyengat apabila menjalankan permainan 3D. Komputer yang berasaskan cip M II adalah sesuai untuk perisian-perisian aplikasi pejabat sahaja dan kurang sesuai untuk permainan seperti Quake.

Kelajuan (MHz) : 300, 333, 366, 400, 433
Harga PC : Sekitar RM1,200
Keistimewaan : Sesuai untuk aplikasi pejabat dan pelayaran Web

Intel Pentium III

Pentium III (PIII) dikeluarkan dengan kelajuan yang melebihi PII 450 MHz dan ia mempunyai ciri-ciri peningkatan multimedia untuk tugas yang berintesif pemproses. PIII memasukkan 70 arahan baru yang dikenali sebagai Katmai New Instructions (KNI) untuk meningkatkan grafik 3D, audio 3D, dan pengecaman suara. PIII boleh menggunakan arahan MMX, KNI dan pemproses titik apungan (floating-point) serentak untuk menyediakan cir multimedia yang baik.

Jika anda hanya menggunakan komputer untuk aplikasi pejabat, janganlah gunakan PIII kerana akan berlaku pembaziran. PIII mempunyai kelebihan berbanding dengan pemproses Intel yang lain seperti PII dan Celeron kerana kedua-duanya tidak mempunyai KNI.

Kelajuan (MHz) : 450, 500, 550, 600
Harga PC : Sekitar RM3,500 hingga RM7,000.
Keistimewaan : Sesuai untuk 3D dan aplikasi yang berat.

Intel Pentium II

Intel Pentium II adalah model yang dihimpit oleh PIII dan Celeron. Celeron terbaru mempunyai kelajuan 500 MHz dan kelajuan maksimum PII adalah 450 MHz. PII tidak menyokong KNI, tetapi pada kelajuan 400 MHz ke atas, sistem bas 100-MHz dan penggunaan cache L2, PII mampu menyaingi PIII.

Kelajuan (MHz) : 233, 266, 300, 333, 350, 400, 450
Harga PC : Sekitar RM3,500.
Keistimewaan : Sebuah pemproses yang baik

Intel Celeron

Celeron merupakan versi berharga murah Intel Pentium II. Ia berasaskan teknologi PII dan ia disasarkan untuk komputer pengguna di rumah. Walaupun Pentium II telah dihentikan produksinya tetapi Celeron terbaru mempunyai kelajuan maksium 500-MHz.

Celeron tidak menyokong KNI tetapi ia mempunyai kelebihan berbanding dengan rekabentuk PIII. Pada 128K, saiz cache L2 Celeron adalah suku daripada saiz L2 cache PII dan PIII. Perbezaanya ialah cache Celeron telah digabungkan ke dalam pemproses dan berfungsi pada kelajuan sepenuhnya. Sistem bas Celeron hanya berfungsi pada 66 MHz tetapi Pentium II dan III berfungsi pada 100 MHz.

Kelajuan (MHz) : 300, 333, 366, 400, 433, 466, 500
Harga PC : Sekitar RM2, 000 dan RM3,500
Keistimewaan : Murah dan berkuasa.