Make your own free website on Tripod.com
 
TAJUK:  Disiplin pelajar daripada perspektif  Teori Structural –Fungsional

1.0 Sinopsis Isu:
Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali, baik yang dilakukan oleh remaja, mahupun oleh orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja merupakan bakal pewaris negara ini, maka kegiatan merekalah yang paling hangat diperkatakan. 

 Pada lazimnya, masalah disiplin di kalangan  pelajar  sekolah hanya  berkisar  di sekitar  kenakalan mereka merosakkan harta benda awam, ponteng sekolah, merokok, melepak  dan seumpamanya. Mereka semakin berani melakukan pelbagai  perbuatan yang  bercanggah dengan norma masyarakat  dan undang-undang negara. Namun begitu apabila  pelajar sekolah  mulai  bertindak  lebih jauh  daripada itu,   sesuatu perlu  dilakukan segera untuk membendung mereka  daripada terjebak  dengan perkara-perkara yang tidak diingini.
Kes terbaru melibatkan pergaduhan antara pelajar yang  menyebabkan pembunuhan di dalam sebuah bas sekolah ketika dalam perjalanan ke sekolah.  Dalam kes seperti ini siapa yang patut dipersalahkan? Bagaimana ini  boleh terjadi? 

2.0 Disiplin pelajar daripada perspektif  Teori Structural –Fungsional

Definisi dan konsep :
Teori ini mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi  dalam kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada penerusan  masyarakat . ahli-ahli fungsionalisme  sering mengatakan bahawa setiap bahagian masyarakat mempunyai tujuan-tujuan  dan keperluan-keperluan tersendiri.

 Teori ini juga menekankan kepentingan persefahaman anggota-anggota masyarakat untuk mencapai keharmonian dan kestabilan masyarakat. Mengikut pemikiran ahli fungsional kita harus memerhatikan terlebih dahulu  mengenai fenomena sosial. Kita hendaklah terlebih dahulu mengenalpasti struktur sosial.Teori ini akan mengkaji  bagaimana sistem sosial ini berfungsi.

Antara  faktor-faktor yang mempengaruhi wujudnya masalah disiplin:

 i.    Institusi  Keluarga:
James Becker mengatakan bahawa ketidakseimbangan  disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna.Ibu bapa hendaklah membimbing, memahami kehendak jiwa remaja dan berfikiran terbuka.Ibu bapa hendaklah menjadi  ‘role model’ sekaligus sebagai perangsang. Ini akan mendorong  kepada kewujudan suasana harmonis.
 

ii. Pihak Sekolah:
Tugas guru, disamping mengajar juga adalah sebagai role model yang utama bagi para pelajar. Amalan demokrasi juga sepatutnya dilaksanakan  dalam melaksanakan meritokrasi. Konflik jiwa , pemberontakan batin dan rasa tidak puas hati pelajar terhadap undang-undang dan dasar pendidikanakan menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara diluar jangkaan. Pra pelajar juga hendaklah dilatih dan diasuh dalam suasana budaya berbilang kaum supaya mereka tidak keterlaluan dalam kaum sendiri.

iii. Media Massa/ Internet:
Media massa dan internet sangat berpengaruh dan amat sukar untuk dielakkan pada zaman ini. Paparan adegan-adegan negatif yang berunsur ganas, lucah dan seram  sedikit sebanyak telah mempengaruhi golongan remaja kita. Golongan remaja suka mencuba tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka itu. Ibu bapa, guru dan pihak berwajib hendaklah sama-sama membendung gejala ini.

iv. Rakan sebaya:
Peranan rakan sebaya  turut menyumbang kepada berlakunya  gejala sosial ini terutama kepada pelajar-pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Rakan-rakan dapat mencorak personality individu tertentu. Justeru itu, ibu bapa patut tahu siapa rakan-rakan anak mereka, apa aktiviti mereka, di mana mereka berjumpa dan lain-lain persoalan lagi. 
 Menurut teori fungsionalisme, ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa saling berperanan dalam mengatasi masalah disiplin. 

3.0 Definisi Modenisasi:
 Modenisasi  merupakan satu proses transformasi  ekonomi dan  sosial dalam  masyarakat sebagai  kesan daripada  bermulanya  perindustrian.  Modenisasi juga  diterima  sebagai  keadaan  di mana masyarakat  tradisional  menggantikan  atau memodenkan sikap , autoriti , hubungan  dan nilai-nilai  lama kepada yang baru.
Gaya  hidup yang  tradisi telah  berubah kepada cara hidup moden seiring dengan  pertumbuhan kilang-kilang, pusat-pusat membeli-belah, pusat-pusat hiburan  dan taman –taman tema. Sistem pendidikan juga  telah mengalami modenisasi  secara beransur-beransur  dengan adanya  pertemuan gejala barat.

4.0 Menganalisis isu berdasarkan  tiga konsep sosiologi: 

4.1  Pendidikan dan Modenisasi:
 Antara faktor penting yang menyumbang kepada  masalah disiplin adalah  disebabkan proses modenisasi  iaitu masyarakat  telah mengalami  perubahan-perubahan yang tidak disertakan dengan perubahan dalam sistem persekolahan. 
 Terdapat perubahan dalam nilai  dalam norma-norma  dalam kehidupan kita  disebabkan oleh proses-proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi. Taraf pendidikan ibubapa  juga telah meningkat.  Kebanyakan ibu bapa keluar bekerja  sama ada sebagai pekerja profesional, sokongan  atau buruh biasa. Keluarga yang kedua ibubapa mereka keluar bekerja mempunyai kurang waktu untuk keluarga seperti laporan Harian Metro pada 30 November 1998 ,  melaporkan bahawa menurut Datuk Paduka Zaleha Ismail, kanak-kanak dari keluarga nuklear kurang berkesempatan berinteraksi dengan keluarga menyebabkan gejala sosial mudah mempengaruhi mereka. Sekali lagi, Harian Metro bertarikh 1 Februari 1999 melaporkan Zaleha Ismail berkata bahawa gejala sosial yang semakin menular berpunca dari keruntuhan institusi keluarga dan kurangnya kasih-sayang dari keluarga. 
Remaja yang terbiar dan ketandusan kasih sayang akan mencari rakan sebaya untuk memenuhi kekurangan ini. Mereka berkumpul dan mencari hiburan  di pusat-pusat membeli –belah, pusat hiburan  dan paling malang apabila mereka membentuk kumpulan untuk melakukan jenayah. Infrastruktur,  perkhidmatan awam  dan sistem komunikasi  yang  berkesan dan  maju  telah  disalahgunakan oleh remaja kita.

4.2 Pendidikan dan Reproduksi Kelas sosial: 
Seperti yang disebutkan oleh Datuk Paduka Zaleha Ismail tadi iaitu "… kurangnya masa berinteraksi …" dan "… kurangnya kasih sayang …". Ataupun apa-apa kekurangan lain yang seumpama dengannya. Pope, C.E. dalam artikelnya yang bertajuk "The Family, Delinquency and Crime" menyebut, "… perceraian, keluarga induk, cara mendisiplin yang tidak sesuai, kurang pengawasan, kurangnya ikatan positif dengan ibubapa, saiz keluarga yang besar dan seumpamanya telah dikenalpasti berpotensi untuk mempunyai perkaitan dengan tingkahlaku yang tidak sesuai." 
Terdapat banyak kajian  tentang hubungan  antara  latar belakang keluarga yang tidak stabil  dengan kerosakan  akhlak  di kalangan kanak-kanak sekolah dan remaja.  Pelajar  yang datang dari keluarga bermasalah dengan taraf ekonomi yang  rendah  antara faktor utama  pelajar terjebak dalam masalah disiplin. Untuk mengatasi masalah kewangan yang kian meruncing , bilangan ibu bapa yang keluar bekerja meningkat yang mana faktor ini telah menyumbang kepada kurangnya masa untuk beriteraksi dan kurangnya perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak.

4.3 Pendidikan dan Kawalan Sosial: 
Peranan sekolah sebagai agen perubahan sosial  samada secara formal ataupun informal sangat nyata. Kurikulum sekolah  Malaysia  yang disesuaikan  dengan masyarakat  makro  telah mengambil kira peranan sekolah sebagai agen kawalan sosial. Para pelajar telah didedahkan dengan perlakuan-perlakuan patut dan tidak patut melalui penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran.
 Selain itu para pelajar  secara mikronya tertakluk kepada peraturan-peraturan atau disiplin yang telah ditentukan oleh pihak sekolah. Guru-guru akan memastikan pelajar-pelajarnya mematuhi peraturan. Pujian akan diberikan kepada yang mematuhi peraturan dan sebaliknya, teguran  dan hukuman seperti di rotan, digantung atau dibuang sekolah  akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang melanggar peraturan.
Tidak semua pelajar dapat menerima hukuman secara positif,  sebaliknya mencetuskan konflik yang kompleks dalam jiwa mereka. Justeru itu pihak sekolah khasnya guru-guru  perlu lebig perihatin terhadap golongan pelajar seperti ini. Keintiman guru dengan pelajar  dan kesediaan guru mendengar masalah pelajar sedikit sebanyak dapat membendung masalah disiplin dan salah laku  dikalangan pelajar sekolah. Jika pihak sekolah  kurang peka terhadap ini semua berlakulah pelbagai masalah sosial termasuk berani membunuh. 
Keterikatan dengan sekolah dan kawan-kawan yang konvensional juga penting untuk menjauhkan aktiviti delinkuensi. Begitu juga dengan kebolehan akademik, pencapaian akademik serta sensitiviti terhadap kehendak guru. 

5.0  Rumusan:
Secara keseluruhannya,secara sedar atau tidak, kebanyakan masalah  yang  melanda pelajar  pada masa kini  adalah disebabkan konflik atau tekanan   yang  wujud  di dalam alam persekitaran .  Proses modenisasi atau pembangunan yang pesat  telah mengubah cara hidup  masyarakat kita khasnya golongan remaja. Begitu juga dengan institusi kekeluargaan yang sudah tidak  dianggap penting lagi justeru  meningkatnya kadar perceraian .
 Sebagai contoh, Berita Harian bertarikh 20 Oktober 1998 melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu mendapati keruntuhan institusi keluarga adalah punca utama kepada peningkatan masalah moral di kalangan remaja bawah umur di negeri tersebut.   Rata-rata masyarakat kita  mula bersikap individualistik dan materialistik.

Dalam  agama pula, ibubapa bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna kepada keluarga, agama dan bangsa. Sama ada ibubapa itu senang atau susah, sama ada keluarga itu ada ibu dan bapa atau hanya ada ibu atau bapa sahaja, penjaga tidak terkecuali dari tugas ini. Cuma mungkin dalam keadaan kemiskinan dan keluarga induk, masa untuk mendekati dan mendidik anak dengan nilai-nilai yang murni dan mulia agak terbatas. Namun jika kajian menunjukkan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai mulia ini amat penting untuk menjauhkan anak dari jenayah dan delikuensi, maka pastinya usaha untuk mencari masa dan mendidik anak-anak dengan apa yang mereka perlu tahu, bukanlah sesuatu yang sia-sia. 
Setiap ahli komuniti atau masyarakat mempunyai peranan masing-masing. Setiap individu perlu melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan  sempurna kerana setiap satu ada perkaitan. Kita perlulah merealisasikan konsep  Masyarakat Madani .
Setiap pelajar  perlu didekati  supaya mereka rasa diterima oleh masyarakat 
khasnya dalam institusi keluarga dan sekolah. Hubungan dan kerjasama erat perlu 
ditingkatkan antara ibu bapa, pihak pentadbir, guru-guru, guru disiplin dan kaunselor
amat penting  untuk membendung masalah jenayah di kalangan pelajar remaja kita. 
 

RUJUKAN:

Amir Hasan Dawi .2002. Penteorian Sosiologi dan Pendidikan  Edisi Kedua. 
 Tanjung Malim: Quantum.

Fatimah Daud. 1992. Pengenalan Teori-teori Sosiologi. Kuala Lumpur:Fajar Bakti.

Mohd. Salleh Lebar.1992.Perubahan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur:
 Nurin Enterprise.

Sharifah Alwiah Alsagoff.1985.Sosiologi Pendidikan . Petaling Jaya: Longman.

Berita Harian. 23 Oktober 2001. Pelajar Terdedah Unsur seram, ganas.

Utusan Malaysia. 20Oktober 2001. Dua pelajar disyaki membunuh ditahan reman.

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama