Make your own free website on Tripod.com
 
TAJUK: Pendemokrasian Pendidikan Dan Kesamaan Peluang 

1.0 Sinopsis Isu

 Sekolah merupakan wacana untuk setiap insan membina diri mereka dengan pengisian dari pelbagai sumber ilmu agar dapat memudahkan individu menghadapi arus kehidupan di alam ini. Pembelajaran ini bermula dengan penyediaan diri pelajar dengan pelbagai perkara bermula dari segi mental hinggalah kepada fizikal. Dengan persediaan yang seperti ini mendatangkan keyakinan yang tinggi kepada para ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah. Di peringkat sekolah pula guru besar memainkan peranan sebagai pentadbir untuk menyediakan keselesaan kepada para pelajarnya agar objektif penbelajaran dan pencapaian pelajar dapat dicapai pada tahap yang memuaskan. Inilah harapan yang menjadi impian setiap ibu bapa dan pihak sekolah untuk merealisasikan aspirasi yang ditunjangi oleh kerajaan negara kita.
 Bilik darjah merupakan tempat yang paling sesuai untuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang mempunyai suasana yang tenteram dan selesa serta ditambah dengan pelbagai bahan pengajaran atau bahan bantu mengajar akan memberi kesan yang mendalam kepada penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru. Sejauh mana keselesaan tersedia dan suasana yang dapat merangsang pembelajaran murid maka sejauh itulah tumpuan dan penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru. Pembentukkan bilik darjah juga amat bergantung kepada kreativiti seseorang guru yang diberi tugas untuk memegang jawatan guru darjah.
 Bilik darjah merupakan sebuah tempat yang menempatkan para pelajar untuk mereka menerima dan menimba ilmu yang disampaikan oleh tenaga pengajar secara terus. Pada zaman kecanggihan ledakan teknologi maklumat dan penggunaan multimedia terutama dalam bidang perkomputeran, penggunaan bilik darjah sebagai wadah penyampaian ilmu mulai ada penggantinya. Namun tahap yang dapat dicapai melalui pembelajaran sistem ‘online’ ini hanya lebih praktikal kepada pelajar yang senior sahaja terutama di peringkat menengah  dan ke atas. Atas perkara ini, kita masih lihat kepentingan bilik darjah dalam penyampaian ilmu masih lagi terus relevan kerana pembelajaran dalam bilik darjah adalah lebih mudah dan tidak banyak masalah yang remeh untuk diselesaikan.
 Dalam usaha pihak yang bertanggungjawab untuk menyediakan suatu sistem pembelajaran yang berkualiti, wujud suatu jurang pembelajaran yang kita lihat sebagai perkara yang boleh memberi kesan yang sangat ketara terhadap tahap pencapaian pelajar kita berbanding negara lain melibatkan ehwal situasi bilik darjah di Malaysia. Perbandingan ini meliputi penempatan bilangan pelajar dalam bilik darjah yang mempunyai jumlah pelajar yang terlalu padat dan sesak. Menurut guru sosiologi sejarah dunia sekolah tinggi, Christine Warner, “dengan pelajar berjumlah 40 orang atau lebih dalam sesebuah kelas, adalah sukar bagi guru di mana-mana pun untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajarnya”.
 Di Australia, kadar bilangan penempatan pelajar dalam sesebuah kelas adalah sekitar 20 hingga 25 orang untuk mewujudkan suatu sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Di Los Angeles pula setiap bilik darjah hanya memperuntukkan minimum 20 dan maksimum hingga 25 orang sahaja. Ini membuktikan negara-negara maju yang melaksanakan dapat melahirkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hasilnya dapat kita lihat di mana pelajar-pelajar mereka mempunyai kualiti dari segi pengetahuan yang tinggi terhadap sesuatu ilmu yang dipelajari.

2.0 Pengenalan
 Menurut Gelles dan Levine (1995), teori adalah suatu ringkasan ilmu pengetahuan yang menyediakan panduan untuk melaksanakan penyelidikan dan menginterpretasi informasi yang baru. Secara umumnya teori fungsionalisme ini telah diperkenalkan oleh Auguste Comte, Herbert Spencer dan Emile Durkheim yang lebih tertumpu dalam bidang biologi. Teori fungsionalisme ini merupakan teori yang mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan atau aktiviti yang menyumbang ke arah penerusan masyarakat itu sendiri. Mengikut Spencer, masyarakat sebagai satu kelompok yang memerlukan pelbagai kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti bersosial seperti tempat beribadat, sekolah, balai raya, padang permainan dan sebagainya. Oleh itu perhubungan antara masyarakat yang wujud di dalamnya amatlah mementingkan kerjasama sosial agar sumbangan yang positif dapat diadakan untuk setiap bahagian masyarakat dan perubahan setiap bahagian ini akan mempengaruhi bahagian-bahagian yang lain.
 Ahli-ahli fungsionalisme telah mengkategorikan teori ini kepada dua bahagian yang penting iaitu adakah masyarakat itu dapat berfungsi (fungsi) atau tidak berfungsi (disfungsi). Menurut ahli-ahli fungsionalisme, setiap bahagian yang ada dalam kelompok sesebuah masyarakat mempunyai matlamat dan kehendak mereka sendiri. Menurut Robert K.Merton (1959), untuk melihat sejauh mana keberkesanan struktur sosial ini, dia telah membuat dua perbezaan yang dikenali sebagai fungsi ketara dan fungsi tersembunyi. Fungsi ketara ialah fungsi yang menyumbang ke arah kebaikan seperti tugas sebagai seorang guru untuk mengajar dan fungsi tersembunyi pula ialah sesuatu yang tidak disedari berlaku atau tidak menjangka untuk berlaku.

3.0 Menganalisis Isu
3.1 Analisis Isu Berdasarkan Satu Teori Sosiologi
 Isu yang dinyatakan dalam keratan akhbar seperti yang dipapar menunjukkan kepadatan bilik darjah di Malaysia yang terlalu sesak mengakibatkan kadar tahap pembelajaran menurun di kalangan pelajar. Ini adalah kerana bebarapa faktor yang mempengaruhinya seperti berikut :-

3.1.1 Guru Kurang Berfungsi
Guru merupakan suatu anggota atau kakitangan yang paling penting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Peranan dan sumbangannya amat diperlukan pada mana-mana peringkat rendah mahupun menengah. Tanggungjawab yang dipikulnya bukanlah sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan sahaja bahkan membentuk akhlak dan nilai yang sewajarnya untuk menghiasi latar belakang pelajar apabila mereka dewasa kelak. Tumpuan yang sepenuhnya oleh guru terhadap setiap anak didiknya dalam sesebuah kelas akan mendatangkan kesan dari segi perubahan tingkah laku mahupun persepsi dan minat pelajar terhadap pelajaran yang sedang dipelajarinya ketika itu. Dengan bilangan pelajar yang melebihi tahap maksima, kawalan kelas akan terabai kerana guru tidak mungkin dapat mengawal dan memberi perhatian terhadap bilangan pelajar yang ramai. Akibatnya, berlakulah pengabaian yang tidak formal terhadap pelajar yang sedia ada dalam kelas tersebut.

3.1.2 Wujud Kumpulan Tertentu
Bilangan pelajar yang ramai dalam sesebuah bilik darjah mengakibatkan wujudnya kelompok bilangan pelajar tertentu seperti kumpulan-kumpulan elite yang mempunyai prestasi pelajaran yang baik berbanding sebahagian yang lain. Kumpulan pelajar yang kurang pencapaiannya dalam pelajaran pula akan mengasingkan diri mereka ekoran tahap pembelajaran yang tidak sama dan merasa rendah diri terhadap rakan yang lebih baik dari mereka. Golongan ini akan membentuk dua situasi kumpulan yang berbeza dari segi ideologi pembelajaran dan sikap yang tidak sehaluan. Akhirnya suasana bilik darjah akan menjadi tempat untuk mereka mengasingkan diri dari orang yang tidak sealiran dengan pendirian mereka dalam pelajaran.

3.1.3 Pengajaran Dan Pembelajaran Kurang Berkesan
Mengajar adalah satu tanggungjaqwab yang besar. Ia memerlukan
persediaan lengkap untuk mengajar di samping memahami kerenah yang sedia ada pada pelajar yang ada dalam kelas terbabit. Apabila bilangan pelajar yang melebihi tahap maksima, guru tidak dapat menyediakan bahan yang terlalu banyak dan memdatangkan kesan kepada pengajarannya. Guru terpaksa mengawal kelas dalam jangka masa yang lama sebelum memulakan sesi pengajaran. Akibatnya masa yang diperuntukkan atas mana-mana mata pelajaran akan makin berkurangan dan ini akan mendatangkan kesan seperti sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan mengikut jangka masa ditetapkan, guru akan melangkau kepada topik-topik yang dirasakan perlu baginya untuk mengajar sahaja.

3.1.4 Wujudnya Halangan Komunikasi
Pelajar pada kebiasaannya akan mengadu hal tentang tidak 
fahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dipelajarinya. Untuk itu, bilangan kelas yang ramai  akan mendatangkan kesan pada mereka kerana wujud rasa malu untuk bertanya pada guru sedangkan pada masa yang sama rakan-rakan lain memahami akan pengajaran guru. Golongan ini juga akan berasa malu untuk bertanya rakan sebaya seperti kumpulan elite tidak mahu berdiskusi dengan pelajar yang lemah dan ini akan mendatangkan kewujudan halangan berkomunikasi antara guru dan pelajar atau pelajar dengan pelajar sendiri.

3.1.5 Kawalan Kelas Yang Longgar
Dengan jumlah bilangan pelajar yang terlalu sesak ini, guru
terpaksa untuk mengawal tingkah laku pelajar yang pelbagai latar belakang dari segi keluarga dan keadaan kesediaan untuk belajar. Ada pelajar yang datang dari latar belakang keluarga yang susah dari segi ekonomi, kurang berminat terhadap pelajaran, pelajar hiperaktif dan sebagainya. Ini mengakibatkan guru tidak dapat untuk menumpukan sepenuhnya terhadap kawalan kelas. 

4.0 Definisi Satu Daripada Konsep Sosiologi Yang Digunakan Untuk Menganalisis Isu
4.1 Pendemokrasian Pendidikan Dan Kesamaan Peluang
Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang-
peluang yang sama kepada semua lapisan masyarakat. Ini bermakna tiada perbezaan peluang antara kaum untuk mendapatkan sumber ilmu sebagai perantaraan untuk memajukan kehidupan mereka. Kesamaan peluang pula bermaksud setiap individu yang berada di mana-mana pun mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan secara formal tanpa ada pengasingan etnik mahupun peluang.

5.0 Analisis Isu Berdasarkan Tiga Konsep Sosiologi Yang Sesuai

5.1 Pendemokrasian Pendidikan dan Kesamaan Peluang
Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang yang sama untuk semua kanak-kanak mendapatkan pelajaran. Zaman kolonial dahulu, pendidikan tidak dapat dinikmati secara global oleh setiap individu. Pada hari ini semua lapisan masyarakat tanpa mengira etnik dan gender, telah diberi peluang untuk medapat pendidikan yang serupa. Kesamaan peluang disini memberi maksud pendidikan yang formal yang dipelajari dengan kurikulum yang sama. 
Peruntukan yang seimbang diperlukan untuk mengimbangi ledakan pendidikan di Malaysia kerana setiap bangsa di negara kita mulai sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan kepada generasi mereka. Oleh itu langkah yang terbaik untuk menangani masalah kesesakan bilik darjah di negara kita ialah kerajaaan perlu untuk menambah lagi bilangan bilik darjah dan seimbangkan jumlah untuk setiap kelas di bandar-bandar ataupun di desa. Dengan ini pendidikan yang sebaik yang kita ingin lahirkan pada generasi ini akan tercapai objektifnya.

5.2 Pendidikan Dan Mobiliti Sosial
Pendidikan mempunyai peranan penting sebagai alat mobiliti
sosial. Perbezaan stratifikasi sosial di kalangan pelajar memberi kesan terhadap pembelajaran yang diterima kerana setiap individu mempunyai latar belakang yang berbeza antara satu sama lain. Mobiliti sosial ini boleh berlaku terhadap setiap aliran generasi yang mengisi kehidupan di dunia ini. Mobiliti sosial berlaku dalam keadaan menegak dalam hirarki ataupun mendatar iaitu dalam kelas sosial yang sama. Kesan yang paling ketara dalam mobiliti sosial ini ialah kepelbagaian tingkah laku dan latar belakang pelajar memberi impak kepada penerimaan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Dengan sesaknya bilangan pelajar di dalam sesebuah bilik darjah lebih banyak masalah sosial yang di dapati dari segi norma dan tingkah laku.

5.3 Pendidikan Dan Kawalan Sosial
Kawalan sosial bermaksud setiap anggota dalam sesebuah 
masyarakat dikehendaki untuk menuruti norma-norma yang telah dipersetujui sebagai suatu tatacara yang perlu diikuti. Jika tidak isbat (tindakan yang akan dikenakan) secara positif seperti pujian dan galakan atau secara negatif seperti hukuman dan dendaan. Sekolah merupakan ejen kawalan sosial dan bilik darjah pula merupakan tempat pelaksanaan isbat bagi memastikan setiap pelajar dapat menentukan arah pembelajaran yang akan mereka terima sebaiknya. Kepadatan bilik darjah akan mendatangkan kesan di mana pelajar yang pelbagai tingkah laku sukar untuk di kawal secara logistik dan guru terpaksa menggunakan kaedah autokrasi untuk mengawal bilik darjah secara berkesan.

6.0 Rumusan Dan Cadangan Tentang Isu
Daripada apa yang telah dibincangkan tadi, peranan bilik darjah sebagai
tempat tercapainya maksud ilmu memainkan peranan yang paling penting walaupun kini munculnya zaman siber yang begitu mementingkan penggunaan penggunaan komputer sebagai alat penyampaian ilmu terkini. Untuk menghasilkan suatu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bilik darjah harus mempunyai suatu suasana yang tenteram selaras dengan jiwa manusia dan tatacara untuk menimba ilmu. Justeru, pihak yang bertanggungjawab haruslah peka dalam menyediakan infrasrtuktur dalam bilik darjah dan pembuat polisi pula haruslah menentukan kaedah penetapan yang perlu dalam meletakkan para pelajar agar kesesakan tidak berlaku dan pembelajaran yang lebih efisien dapat dicanang selaras dengan keinginan Perdana Menteri kita yang menginginkan sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan secara realistik.
 Punca kewujudan permasalahan ini sebenarnya boleh di atasi dengan pihak atasan membina banyak lagi kelas dan sekolah agar kesesakan bilik darjah dapat di atasi sebaiknya. Selain itu agihan pelajar perlu untuk setiap sekolah dalam daerah-daerah atau negeri-negeri seluruhnya. Dengan ini masalah yang berbangkit akan dapat di atasi dan ini menyebabkan wujudnya sebuah bilik darjah yang dapat melahirkan pelajar yang cemerlang seperti yang kita lihat pada negara maju masa kini.
 Permasalahan seperti ini sepatutnya di atasi dengan kadar segera agar para pelajar khususnya dapat menumpukan aktiviti pembelajaran sepenuhnya dengan tumpuan maksima dan para pendidik juga dapat menyalurkan sumber ilmu dengan keadaan yang selesa serta mempu untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar.
 Selain daripada itu, pendekatan bilik darjah perlu diubah tambah bagi memastikan keselesaan dalam bilik darjah di atasi selari dengan kehendak masyarakat yang berfungsi dalam sebuah kelas. Apa yang paling penting ialah hasil yang akan di dapati pada akhirnya membawa input yang besar kepada generasi penentu negara pada masa akan datang.
 Pendidikan formal di Malaysia dilaksanakan dengan berpandu kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Kaedah ini memerlukan setiap sekolah mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan oleh pihak kementerian. Dalam sistem tersebut menyatakan perlunya sekolah berfungsi sepenuhnya secara langsung atau tidak langsung untuk membantu para pelajar menggunakan fungsi keinteletualan dan fungsi sosial dalam bilik darjah agar dapat menarik minat pelajar dalam proses pembelajaran. Apa yang penting tujuan dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu harus dimulakan melalui sesi pembelajaran di bilik darjah yang lebih efisien dan fungsional.
 
 

RUJUKAN

Amir Hassan Dawi, 2001. Penteorian Sosiologi Pendidikan. Tanjung Malim. Quantom Books.

Dr Ibrahim Saad, 1986. Isu Pendidikan Di Malaysia. Ampang / Ulu Kelang, Selangor. Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Prof. Madya Dr . Al. Ramaiah, 1992. Kepimpinan Pendidikan : Cabaran Masa Kini. Petaling Jaya. IBS Buku Sdn. Bhd.

Haji Hamdan B Sheikh Tahir, 1975. Pendidikan : Hari ini Untuk Hari Esok. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hargreaves  D ,1975. Social Relations In A Secondary. London. Routledge And Kegan Paul.

Mohd. Salleh Lebar, 1992.  Perubahan Dan Kemajuan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur. Nurin Enterprise.

Ivor Morrish, 1985. The Sociology of Education : An Introduction. London : Geoge Allen And Unwin.

Olive Banks ( Terjemahan Oleh Robiah Sidin Dan Zaiton Sidin ), 1987. Sosiologi Pendidikan. Ampang / Ulu Kelang. Dewan Bahasa Dan Pustaka. 

Omar Mohd. Hashim, 1999. Pengisian Misi Pendidikan. Ampang / Ulu Kelang, Selangor. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohd. Salleh Lebar, , 1998. Sosiologi Sekolah Dan Pendidikan. Kuala Lumpur.
Thinker Library.

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama