TAJUK : Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia

1.Pengenalan
Pendidikan adalah salah satu institusi yang sangat penting untuk kemajuan masyarakat dan pembangunan insan yang menganggotainya. Melalui pendidikan, kita boleh mewariskan serta mengembangkan nilai dan ilmu serta memajukan teknologi dan peradaban dari generasi ke generasi. Begitu juga, melalui pendidikan  kita boleh menambah kemahiran serta kebolehan insan,  memperbaiki kedudukan sosio-ekonominya, dan mempertajam fikiran yang kritikal serta kritis, dan mempertingkatkan nilai akhlak.  Pendidikan adalah merupakan satu kekuatan nasional yang boleh menjamin masa depan rakyat dan juga kecemerlangan negara. 

 Hussein Haji Ahmad (1993) telah menyenaraikan beberapa fungsi umum pendidikan iaitu seperti sebagai penyalur budaya dan ilmu, penyalur kemahiran dan ketrampilan, penyalur kepercayaan dan sistem, persediaan untuk alam pekerjaan, pengawasan belia, remaja dan kanak-kanak,  dan perhubungan rakan sebaya.  Beliau juga membuat kesimpulan bahawa peranan sistem pendidikan sehingga akhir tahun 1980-an bermotif tiga perkara utama.  Pertamanya pendidikan untuk menyediakan tenaga kerja negara.  Keduanya pendidikan sebagai asas perpaduan kaum.  Ketiganya pendidikan adalah untuk pembinaan disiplin di kalangan rakyat berbilang kaum.

 Negara sudah merdeka selama 44 tahun.  Negara telah mengalami banyak perubahan dalam sistem pendidikan. Bermula dari Penyata Pelajaran Razak (1956), ordinan pelajaran 1957, Laporan Abdul Rahman Talib (1960), akta Pelajaran (1961) dan laporan Kabinet (1979).  Hasilnya berlaku perkembangan dalam sistem pendidikan negara. Perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan berjalan secara terancang dan teratur. Banyak kemudahan–kemudahan pendidikan telah dibangunkan dan pendemokrasian pendidikan telah menjadi satu dari dasar sistem pendidikan di Malaysia. 
 

2. Definisi Pendemokrasian Pendidikan 
 Mengikut Kamus Dewan pendemokrasian bermakna peluang, tindakan atau proses manakala pendidikan  bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan.  Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang-peluang yang sama untuk semua kanak-kanak mendapatkan pendidikan. Pendemokrasian pendidikan itu ditegakkan atas beberapa prinsip antaranya setiap orang adalah berhak ke atas pendidikan.  Pendidikan haruslah boleh dipelajari secara bebas, tanpa sebarang sekatan-sekatan yang tertentu atau setidak-tidaknya pada peringkat asas dan peringkat dasar. Salah satu aspek pendemokrasian pendidikan di Malaysia ialah memberikan peluang seluasnya kepada pelajar untuk mendapat pendidikan tanpa mengira kelas sosial, kaum dan juga gender. Pendemokrasian pendidikan merupakan salah satu strategi untuk mencapai misi pendidikan negara, telah mendedahkan masyarakat Malaysia kepada peluang yang luas bagi memperolehi pendidikan pada semua peringkat. Di Malaysia, pendemokrasian pendidikan tidak berlaku  semasa zaman penjajahan. Anggota-anggota masyarakat tidak mempunyai peluang yang sama apabila sekolah–sekolah dibezakan mengikut kaum, kelas atau status, kurikulum dan lokaliti.  Yuran yang dikenakan pada ketika itu juga menyulitkan lagi penduduk miskin.  Oleh itu orang-orang miskin atau sebahagian besar penduduk Malaysia pada ketika itu telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.

3.Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia
Pendidikan Rendah
 Selepas kemerdekaan kerajaan secara beransur-ansur telah mendemokrasikan pendidikan di Malaysia.   Kerajaan telah menyediakan peluang-peluang yang sama untuk semua orang mendapatkan pendidikan. Ordinan Pelajaran 1957 misalnya, telah mencadangkan agar semua kanak-kanak  menerima pelajaran dalam tempoh sekurang-kurangnya enam tahun.  Sungguhpun begitu ianya tidak memberikan implikasi yang besar kerana pelajarnya masih lagi dikenakan bayaran yuran bagi mereka untuk mendapatkan pendidikan. 

 Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan Laporan Rahman  Talib semakin merealisasikan  pendemokrasian pendidikan.  Pendidikan percuma  telah diberikan kepada semua kanak-kanak  mulai tahun 1962.  Ini diikuti dengan had umur belajar percuma hingga ke 15 tahun  dan penamatan syarat lulus peperiksaan untuk memasuki  sekolah menengah.  Baru-baru ini satu  peraturan baru terkandung dalam Akta Pendidikan (Pindaan) 2002 yang memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan rendah sebagai pendidikan wajib.  Setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini wajib memastikan anak mereka yang mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari didaftarkan sebagai murid sekolah rendah.  Mereka yang melanggar peruntukan tersebut boleh didenda RM5000. Semuanya ini adalah sebagai langkah memastikan setiap warganegara berhak mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya.
 

4.Pendidikan Menengah
 Seterusnya,  peluang untuk semua kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan  telah diberikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelas sosial, etnik,dan gender sekurang-kurang  sekurang-kurangnya hingga ke tingkatan tiga.  Mulai 1999, peluang bagi semua  pelajar untuk memasuki tingkatan empat telah diperluaskan.  Mereka yang hanya lulus satu mata pelajaran sahaja layak untuk naik ke tingkatan empat. Ini bagi memastikan setiap rakyat berpeluang mendapat pendidikan sehingga ke tingkatan lima. Walaupun kerajaan mempunyai beberapa sebab berbuat demikian yang antaranya remaja yang gagal akan menganggur dan menimbulkan masalah yang lain kepada negara tetapi dari sudut lain kerajaan merasakan adalah tidak memadai ilmu yang diterima oleh pelajar berkenaan bagi menghadapi cabaran dunia yang akan datang. Bagi pelajar yang tidak berminat lagi dalam akademik mereka boleh meneruskan persekolahan mereka di dalam bidang vokasional di tingkatan 4.
 

5.Sekolah Berasrama
 . Selain dari itu bentuk bantuan-bantuan pendidikan lain diberikan oleh kerajaan bagi membuka peluang kepada mereka untuk mendapat hak pendidikan.  Salah satu  bentuk bantuan ialah dengan penubuhan   sekolah-sekolah  berasrama yang memudahkan pelajar mendapatkan pendidikan tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke sekolah setiap hari yang sudah tentu memerlukan kos yang banyak.   Selain dari itu, pembinaan sekolah-sekolah berasrama penuh juga telah banyak dibina bagi tujuan membuka peluang pendidikan . Pada masa ini terdapat puluhan buah sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan langsung Kementerian Pendidikan Malaysia. Kesemua sekolah-sekolah yang berasrama penuh ini bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar untuk mendapatkan peluang pendidikan. 

6.Sekolah Bestari
Sekolah Bestari adalah salah satu ‘flagship’ dalam Koridor Raya Multimedia.  Projek ini telah mendapat perhatian seluruh masyarakat kerana ia merupakan satu usaha menjadikan bidang pendidikan lebih maju dan berdaya saing.   Sekolah Bestari akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya.  Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar lemah atau kuat , kaya atau miskin mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Sekolah Bestari akan mendorong murid mengamalkan akses kendiri dan terarah kendiri, serta mengikut kadar pembelajaran sendiri.

7.Pendidikan Khas
Di samping pembangunan sekolah-sekolah berasrama, sekolah-sekolah harian rendah dan menengah banyak dibina di bandar-bandar ataupun di desa-desa.  Kerajaan juga tidak menafikan peluang bagi golongan istimewa ataupun kanak-kanak cacat untuk mendapat hak atau peluang untuk mendapatkan pendidikan. Untuk tujuan tersebut kerajaan telah membangunkan sekolah-sekolah khas bagi memenuhi keperluan golongan tersebut mendapatkan pendidikan.
 

8.Bantuan dan Peruntukan
 Pelajar-pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan  yang kebanyakkannya datang dari luar bandar yang latar belakang ekonomi keluarganya rendah telah diberikan biasiswa kecil  atau bantuan kewangan bagi menampung urusan persekolahan mereka.  Selain dari itu, skim bantuan buku teks juga diberikan kepada pelajar yang pendapatan ibubapanya rendah. Pada masa ini syarat bagi mendapatkan hak untuk mendapat skim bantuan  teks adalah bagi ibubapa atau penjaga yang berpendapatan kurang dari Rm2000.00 sebulan dan syarat ini dikaji dan diubah mengikut kesesuaian atau keadaan ekonomi semasa.Kerajaan juga mengambil usaha memperbaiki keadaan murid-murid  terutamanya diluar bandar dengan menyediakan progran-program kesihatan, pemakanan ( Rancangan Makanan Tambahan ) dan lain-lain skim yang bertujuan supaya kanak-kanak berpeluang belajar dalam keadaan yang selesa.  Kemudahan–kemudahan yang disediakan ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat desa tetapi layanan yang sama diberikan kepada pelajar-pelajar miskin di bandar.  Selain dari itu pihak kerajaan juga menekan kepada mutu pendidikan bagi menjamin kelancaran pendemokrasian pendidikan di Malaysia. Setiap tahun peruntukan yang besar dikeluarkan bagi membaiki, membaikpulih, menaik taraf sekolah atau bilik-bilik darjah serta menyediakan kelengkapan dan kemudahan pembelajaran . 
Di bawah Rancangan Malaysia kelapan (RMK-8) Kementerian Pendidikan meluluskan 1,497 projek sekolah rendah dan menengah diseluruh negara dengan peruntukan RM6.2 billion. Daripada jumlah tersebut sebanyak 977 projek sekolah rendah termasuk pembinaan 198 sekolah baru, manakala 420 lagi projek sekolah menengah membabitkan pembinaan 160 sekolah baru. 
 

9.Tenaga Pengajar terlatih
Kekurangan guru-guru  terlatih diluar Bandar telah diatasi dengan memperkembangkan sistem latihan perguruan.  Latihan perguruan telah dinaik tarafkan kepada peringkat diploma dan tempoh kursusnya selama tiga tahun.  Pengeluaran guru yang mencukupi telah menjamin proses pendemokrasian pendidikan berjalan dengan lancar.  Setiap sekolah akan mendapat guru yang terdiri dari pelbagai opsyen yang akan memenuhi pemintaan atau keperluan pelajar dalam mata pelajaran yang tertentu walaupun sekolah tersebut terletak diluar bandar atau kawasan pendalaman. Maktab-maktab ini bukan sahaja mengeluarkan guru-guru biasa, malahan menyediakan guru-guru pendidikan khas bagi mengisi keperluan sekolah-sekolah pendidikan khas.  Sehingga kini terdapat lebih tiga puluh buah maktab yang bertanggung jawab melatih guru-guru pelatih bagi menenuhi kehendak pendidikan di Malaysia. 

 Bagi guru berijazah, mereka dilatih di universiti-universiti awam bagi mengajar di sekolah-sekolah menengah.  Di samping itu terdapat pula program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah bagi melatih graduan-graduan  yang bukan dari bidang perguruan untuk menjadi guru bagi menjamin bekalan  guru yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan di Malaysia.  Seterusnya  sebuah Universiti pendidikan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dinaikan statusnya dari status asalnya Institut  Pendidikan sultan Idris khusus  untuk perkembangan bidang latihan keguruan. Dengan perlaksanaan akta Pendidikan 1996, berkemungkinan besar pada masa akan datang guru-guru berijazah akan menerima latihan terus di maktab-maktab perguruan bagi menjamin guru-guru yang mencukupi disekolah-sekolah.
 

10.Pendidikan Tinggi
Dibidang–bidang pengajian tinggi, peluang-peluang pendidikan telah dibuka dengan luas selepas kemerdekaan dengan penubuhan unniversiti-universiti .  Institusi-institusi pengajian tinggi yang awal ialah Universiti Malaya di Kuala Lumpur (1961), disusuli oleh Institut Teknologi Mara (1967), Universiti Sains Malaysia (1969), Universiti Kebangsaan Malaysia (1970), Universiti Pertanian Malaysia(1971)  dan Universiti Teknologi Malaysia (1975). Pada masa ini terdapat lebih banyak universiti awam yang telah dibina termasuklah Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris
.  Universiti –universiti awam tempatan telah menampung lulusan-lulusan sekolah terutamanya daripada aliran Melayu.  Malahan mulai tahun 1983 semua institusi yang terdapat dalam negara telah menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia sebagai  bahasa penghantar .  Pelajar-pelajar yang berkelayakan mendapat tempat telah diberikan bantuan berbentuk pinjaman kewangan dan berbentuk biasiswa.
 Penwujudan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengembangan skop penawaran pinjamannya meliputi pelajar-pelajar di institut tinggi awam dan institut tinggi swasta merupakan usaha yang sesuai bagi menggalakkan lagi pendemokrasian pendidikan hingga ke peringkat tinggi.  Selain itu, ribuan pelajar yang mendapat kelulusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dihantar terus belajar di luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia ,New Zealand ,Jepun dan Timur tengah atas tajaan kerajaan melalui Mara, JPA atau ditaja oleh kerajaan negeri pelajar terbabit.
 

11.Dasar Liberalisasi Pendidikan
Pada tahun-tahun 1990an kerajaan Malaysia telah menjalankan dasar liberalisasi pendidikan .  Ianya telah membawa perubahan besar dalam pendidikan tinggi di Malaysia. Pada dekad ini beberapa perubahan telah dilakukan . Usaha telah giat dilakukan untuk memperkembangkan dan memajukan sistem pendidikan  negara. 
Melalui akta-akta pendidikan tinggi 1996 telah memungkinkan perkembangan institusi-instutisi pendidikan tinggi  yang mana kebenaran telah diberikan kepada pihak-pihak yang berkelayakan bagi menubuhkan institusi-institusi pengajian tinggi. Dalam tahun 1999 sahaja, tiga kolej universiti atau universiti penuh diwujudkan iaitu Kolej Universiti Islam Malaysia(Kuim), Universiti Teknologi Mara (UiTM),  Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM).  Disamping itu kebenaran juga telah diberikan kepada pihak yang berkelayakan untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi swasta yang antaranya seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan yang terbaru Universiti Tunku Abdul Rahman . Ini satu perkembangan yang baik dalam usaha kita menyemarakan ilmu pengetahuan  dan mendemokrasikan pendidikan tinggi
Kerajaan juga mengalakkan program pengajian berkembar dengan institusi-institusi luar negara bagi kolej-kolej swasta.  Terdapat juga universiti-universiti tempatan yang menjalankan program pendidikan jarak jauh dan francais . Sebilangan universiti awam sudah mencapai enrolmen melebihi 20,000 pelajar sepenuh masa manakala dengan penubuhan intitusi pendidikan tinggi swasta telah mempunyai enrolmen melebihi 200,000. Sesungguhnya semua ini adalah merupakan usaha mendemokrasikan dan membuka peluang-peluang pendidikan untuk rakyat .
 

12.Cadangan dan Penilaian
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memantau sekolah luar bandar dan pendalaman dari masa ke semasa bagi menjamin pendemokrasian Pendidikan di Malaysia berjalan dengan lancar. Kemudahan pendidikan diantara kawasan maju dan mundur seharusnya tiada jurang yang ketara.  Ini merujuk terutamanya kepada mutu persekitaran sekolah, alat kelengkapan dan guru di kawasan-kawasan kampung, ladang-ladang, setinggan, pendalaman( Orang Asli) dan seterusnya. 
Pembelaan dan bantuan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pelajar-pelajar yang terpinggir dari sistem pendidikan akibat dari kemiskinan.  Ini akan menjamin mereka supaya dapat bersaing dalam satu sistem pendididkan yang adil pada dirinya dan masyarakatnya.  Setiap aduan dan rungutan yang menyentuh mengenai pendidikan dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi haruslah diambil berat dan langkah-langkah tertentu harus diambil untuk menanginya pada semua peringkat supaya kita pada akhirnya mempunyai satu sistem pendidikan yang cukup sihat dari semua segi.   Usaha yang berterusan bagi memajukan pendidikan perlu diberi perhatian bagi meningkatkan mutu pendidikan supaya kita semua dapat berbangga bahawa kita telah dapat mengamalkan pendemokrasian pendidikan dalam ertikata yang sebenarnya.

13.Penutup
Sehingga kini pendemokrasian pendidikan dalam konteks negara kita Malaysia, agak berjaya dan sesungguhnya memberikan peluang yang luas kepada rakyat Malaysia untuk memperolehi pendidikan pada peringkat rendah sehingga peringkat tinggi.  Seiring dengan pendemokrasian pendidikan juga adalah diharapkan ianya dapat memenuhi agenda kerajaan untuk menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan dengan menggunakan pendidikan sebagai pengerak utama dan seterusnya dapat melahirkan warganegara yang dapat menyumbang ke arah usaha memajukan negara selaras dengan hasrat Wawasan 2020. 
 

Senarai Rujukan
Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum Books, 
      Tanjung Malim.

Hussein Hj. Ahmad, 1993, Pendidikan dan Masyarakat,  Dewan Bahasa dan Pustaka,
     Kuala Lumpur.

Omar Mohd Hashim, 1999, Pengisian Misi Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka,
      Kuala Lumpur.

Omar Mohd Hashim, 1993, Pendidikan- Persoalan, Penyelesaian dan Harapan, Dewan 
     Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Suffean Hussin, 1996, Pendidikan Di Malaysia –Sejarah, Sistem dan Falsafah, Dewan 
    Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan, Edisi ketiga, 1996, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Berita Harian , 30 November 2001.

Utusan Malaysia, 7 Disember 2001.

Rujukan Internet, Laman Web Kementerian Pendidikan Malaysia.

AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama