Make your own free website on Tripod.com
 

TAJUK :
1.0   KERATAN AKHBAR
        UTUSAN MALAYSIA   6 NOVEMBER 2001.

2.0    Sinopsis isu - Gagal daftar anak sekolah ibu bapa mungkin didenda.

                   Menurut keratan akhbar Utusan Malaysia ( 6 Nov. 2001 ) Kementerian Pendidikan  kini sedang merangka undang-undang untuk mewajibkan kanak-kanak berusia tujuh tahun bersekolah dan meneruskan pelajaran sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 tahun.
                   Undang-undang ini dirangka berdasarkan perangkaan kementerian itu bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga peratus setiap tahun kanak-kanak yang tidak didaftarkan di sekolah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Terdapat juga sebilangan murid yang berhenti atau diberhentikan oleh penjaga mereka sebelum menamatkan persekolah rendah.
                   Menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad matlamat utama undang-undang itu adalah untuk memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di negara ini dan memastikan mereka berpelajaran. Menurutnya lagi apabila undang-undang ini dikuatkuasakan, ibu bapa yang gagal mendaftar anak mereka di sekolah tanpa sebab yang munasabah akan didakwa di mahkamah. 
                   Mengikut Konvensyen Hak Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (1989) yang telah diratifikasikan oleh 177 negara, Artikel 28 menyatakan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan berasaskan prinsip ‘ peluang yang sama ‘ ( equal opportunity). Dalam artikel 29 pula ada menjelaskan matlamat sebenar pendidikan  yang berhak diperolehi oleh kanak-kanak iaitu membangun jati diri, membangun kemampuan fizikal dan mental ke tahap potensinya yang maksimum, dan menyediakan kanak-kanak itu untuk mampu hidup aktif dan penuh tanggungjawab semasa dia dewasa.

                   Belanda ( Netherlands ) Mempunyai Akta Undang-Undang pendidikan wajib 
( Compulsory Education Act ) hampir seratus tahun. Matlamat asal undang-undang itu ialah memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan rendah ( primary education ) di antara usia 6 hingga 12 tahun. Mulai tahun 1969, undang-undang itu disemak semula dan penekanan diberi kepada hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan walaupun ibu bapa mereka mungkin tidak peka atau tidak sedar betapa perlunya kanak-kanak itu terus bersekolah.
                   Di China, di bawah undang-undang pendidikan wajib negara itu yang dikuatkuasakan mulai 1 Julai 1986, setiap kanak-kanak wajib diberi pendidikan selama 9 tahun di antara usia 6 hingga 15 tahun.
                   Walauapapun hasrat kerajaan untuk memastikan dan menjamin semua kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan harus diberi pujian. Namun demikian, corak penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang masih lagi di peringkat perancangan.
 

3.0    Pendidikan Wajib – Menurut teori Fungsionalisme
       3.1.0   Definisi teori fungsionalisme

                  Teori Fungsionalisme juga dikenali sebagai teori konsensus atau keseimbangan. Ini kerana setiap kumpulan adalah bersatu dan bersetuju dengan objektif atau matlamat kumpulan secara keseluruhan. Segala polisi dan amalan dalam masyarakat seperti sistem pendidikan, ekonomi dan politik adalah hasil persetujuan kumpulan demi untuk kestabilan negera. Menurut Ting Chew Peh (1993), perkataan dasar fungsionalisme iaitu ‘fungsi’ adalah merujuk kepada kesan objektif sesuatu fenomena sosial terhadap fenomena yang lain iaitu sistem keseluruhannya. Manakala menurut Emily Durkheim (1858), teori ini merupakanperspektif makro yang melihat dunia pendidikan sebagai satu kemestian untuk kelangsungan masyarakat bagi menghadapi cabaran dalam kehidupan. Kepentingan pendidikan terutamanya dirumah dalam proses sosialisasi dilihat sebagai proses mendidik anak-anak supaya dapat mengekalkan nilai-nilai dan norma-norma serta segala peraturan-peraturan dalam sesuatu masyarakat.
                  Pendidikan untuk masyarakat menjadi agenda kepada sistem pendidikan masa kini. Pendidikan secara saintifik menjalankan fungsi-fungsinya mengembangkan nilai-nilai dan keupayaan intelektual yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk menjalankan peranan dalam masyarakat. Adalah menjadi andaian fungsionalisme bahawa semua murid mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan. Sistem pendidikan adalah untuk semua. 

                 Menurut Erving Goffman ( 1959 ) masyarakat ibarat pentas kehidupan. Sosial ibarat pemain teater, setiap individu memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan cerita.

3.2.0    Peranan Anggota Yang Terbabit Dalam Isu Ini
            3.2.1   Peranan kerajaan ( Kementerian Pendidikan Malaysia )
               Di dalam isu ini, kerajaan ( Kementerian Pendidikan ) cuba menjalankan tanggungjawab seperti yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak dinegara ini. Untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan hasrat kerajaan ini, satu undang-undang sedang di rangka. Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Utusan Malaysia 8 Nov 2001), biasanya penalti sebanyak RM3000 atau penjara tiga bulan boleh dikenakan kepada penjaga atau ibu bapa yang gagal menyekolahkan anak mereka.Walaubagaimanapun bentuk tindakan masih belum diputuskan kerana isu ini masih dalam perbincangan.
               Bagi memastikan hasrat kerajaan ini berjaya, semua pihak perlu memainkan peranan terutamanya pihak penguasa tempatan, Jabatan Pendaftaran, ketua kampung atau penghulu perlu memantau dan memastikan semua kanak-kanak yang berumur 7 tahun didaftarkan di sekolah di kawasan masing-masing. Sekiranya ada kanak-kanak yang tidak didaftarkan, mereka harus melapurkan kepada pihak berwajib yang dilantik kelak..
              Kerajaan juga perlu lebih kerap menjalankan kempen kesedaran tentang pentingnya pendidikan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya orang asli. Pelbagai usaha perlu dilakukan supaya mereka sedar akan tanggungjawab memberi pendidikan kepada anak mereka. Ini termasuklah mengadakan ceramah oleh anak-anak orang asli yang telah berjaya dalam pendidikan dan memperolehi peluang pekerjaan yang baik.

            3.2.2    Peranan Pentadbir/ Guru Besar/ Pengetua Sekolah dan Guru
              Pihak pentadbir atau pengetua dan guru besar pula perlu menghantar senarai murid yang mendaftar di sekolah masing-masing kepada pihak jabatan pendidikan untuk tindakan mengesan kanak-kanak yang tidak berdaftar.
             Guru Besar atau pengetua hendaklah memantau mengapa kanak-kanak itu enggan bersekolah adakah ianya disebabkan oleh faktor dalaman sekolah, iklim persekolahan atau faktor luaran. Sekiranya ianya disebabkan oleh faktor dalaman, maka Guru Besar atau Pengetua hendaklah mengatasi masalah tersebut.

             3.2.3    Peranan Ibu Bapa
             Ibu bapa dan penjaga juga perlulah sedar dan peka akan tanggungjawab mereka untuk memberi pendidikan kepada anak-anak di bawah jagaan mereka. Mereka juga perlu sedar bahawa pendidikan merupakan aset  penting untuk membangunkan sesebuah keluarga atau masyarakat dalam sesebuah negara. Ilmu pengetahuan adalah mobiliti asas untuk menggerakkan ekonomi keluarga.
             Ibu bapa juga perlu berani untuk menghadapi kenyataan bahawa anak mereka boleh lebih maju dalam bidang pendidikan daripada mereka dan tanggapan bahawa anak petani mesti menjadi petani, atau anak mereka harus mengikut jejak langkah mereka dan mewarisi setiap kemahiran yang diperolehi secara turun temurun sebagai sumber ekonomi. Jika hal ini berlaku, maka pendidikan moden yang disarankan oleh kerajaan akan menjadi sia-sia.
            Bagi masyarakat orang asli, mereka perlu didedahkan dengan dunia luar. Mereka perlu dibawa melihat dunia sekeliling mereka, melihat kemajuan yang telah dicapai oleh negara dan mereka perlu diberi keberanian untuk hidup di luar kepompong mereka. Pemikiran yang menyatakan bahawa anak orang asli tidak boleh berjaya harus dikikis. Mereka harus diberi pelbagai kemudahan dan keberanian untuk hidup di luar seperti tempat tinggal, pekerjaan dan pelbagai frasarana yang diperlukan. Di sini ketua mereka atau tok batin harus memainkan peranan untuk menyedarkan anak buahnya perihal kepentingan pendidikan.

            3.2.4   Peranan Masyarakat
            Masyarakat setempat perlulah melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah dalam usaha merapatkan diri dengan sekolah. Semua ahli masyarakat boleh memberi sumbangan, pandangan, idea bagi memajukan pendidikan  anak-anak mereka menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
           Semua aktiviti yang dirancangkan oleh persatuan hendaklah dilaksakan bersama demi kepentingan anak-anak yang bersekolah.

4.0   Analisis Berdasarkan 3 Konsep Sosiologi Pendidikan.
        4.1.1      Pendemokrasian Pendidikan dan Kesamaan Peluang

                Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang yang sama untuk semua kanak-kanak mendapatkan pelajaran. Di Malaysia, pendidikan percuma dari 7 tahun hingga ke 15 tahun telah diperkenalkan untuk semua kanak-kanak bermula pada tahun (1962) selepas Akta Pelajaran 1961 dibentuk. Mengikut akta ini, semua kanak-kanak tidak kira bangsa atau keturunan serta darjat berhak menerima pendidikan awal secara percuma dari darjah 1 hingga tingkatan 3. Ibu bapa atau penjaga seharusnya mengambil peluang ini untuk memberi pendidikan yang sempurna kapada anak mereka. Ini bertujuan untuk mengurangkan kadar buta huruf dikalangan rakyat terutamanya mereka yang tinggal dikawasan pedalaman.
                Mulai tahun 1999, peluang untuk memasuki tingkatan 4 telah diperluaskan kepada semua pelajar. Mereka yang kurang berkemampuan telah diberikan bantuan seperti penubuhan sekolah-sekolah berasrama, khususnya sekolah-sekolah berasrama penuh. Kerajaan juga telah membina sekolah-sekolah khas untuk kanak-kanak cacat. Mereka akan dididik dan dilatih oleh guru-guru yang dilatih khas oleh Kementerian Pendidikan. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak mereka yang cacat terbiar tanpa memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari sesuatu kemahiran. Mereka harus membuang perasaan malu kerana mempunyai anak cacat dan menyalahkan takdir sebaliknya berusaha supaya anak tersebut boleh menjadi seorang insan yang berjaya dan berbakti kepada masyarakat dengan kemahiran yang diperolehi.
                Kerajaan juga ada menyediakan asrama khas untuk anak-anak orang asli bersekolah. Kesemua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Mereka diberikan tempat tinggal percuma, makanan percuma, pengangkutan percuma dan persekolahan percuma.    Jabatan Hal Ehwal Orang Asli perlu memainkan peranan yang lebih aktif lagi dalam menjayakan agenda pendidkan ini. 
                Kerajaan juga telah mengambil usaha untuk memperbaiki keadaan murid-murid di kawasan luar bandar dengan mengadakan program kesihatan, pemakanan, skim bantuan biasiswa, skim pinjaman buku teks percuma dan lain-lain.Ini secara tidak lansung akan mengurangkan perbelanjaan mengurus ibu bapa. Mereka tidak lagi perlu membeli buku teks. Mereka juga boleh memohon bantuan biasiswa jika benar-benar tidak berkemampuan. 
 

4.1.2         Pendidikan dan Hubungan Etnik

                Etnik atau ethnos dalam bahasa asal Greek membawa makna kumpulan manusia atau bangsa. Ia merujuk kepada pengenalan seseorang ke dalam kumpulan yang mempunyai latar belakang keturunan nenek moyang yang sama. Mereka mempunyai kesamaan dari segi sejarah, negara asal, bahasa, tradisi, budaya, struktur dan sistem nilai. Perasaan kekitaan ke dalam kumpulan etnik berkembang menerusi hubungan kekeluargaan, rakan-rakan dan kejiranan yang berkongsi ciri-ciri kehidupan yang karib. Kumpulan etnik sememangnya membantu mengekalkan pertalian kumpulan dan mengukuhkan kedudukan kumpulan etnik berkenaan dalam masyarakat.
                Di Malaysia, semua kanak-kanak dari pelbagai kaum cuba disatukan melalui sistem persekolahan yang sama. Mereka diberi peluang bercampur-gaul di dalam sekolah yang sama dan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan. Selain itu, mereka juga menggunakan buku teks yang sama, kurikulum, peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Ini memperlihatkan kepada kita bahawa sekolah adalah acuan untuk membentuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia.
                 Perkara sebegini sukar dilakukan dalam aktiviti seharian masyarakat. Kerjasama mungkin sukar untuk diterapkan tetapi di sekolah mereka bersama-sama menyapu membersihkan kelas, menyusun perabot, dan mengikut arahan ketua yang dilantik. Pengalaman sebeginilah yang hendak diterapkan dalam sanubari anak-anak supaya mereka dapat mempraktiknya apabila menyertai masyarakat. Fikirkanlah apa akan berlaku pada masyarakat kita akan datang jika ramai dikalangan anak-anak kita tidak bersekolah. Adakah mereka akan faham konsep kerjasama, toleransi, tolong-menolong dan bertolak ansur.
                 Polisi kerajaan juga membenarkan setiap etnik menubuhkan sekolah dan menguruskan pendidikan anak mereka. Kaum Cina dengan sekolah jenis kebangsaan Cina dan India dengan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Walaubagaimanapun mereka masih mengikuti kurikulum yang sama kecuali mata pelajaran bahasa ibunda. Ini akan mengurangkan tekanan bagi kanak-kanak yang sebelum ini hanya didedahkan dengan dunia etnik mereka sahaja terutamanya bagi kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman. Mereka tidak pernah berkomunikasi dengan kanak-kanak dari bangsa lain. Ada juga di antara mereka tidak fasih berbahasa Malaysia. Jadi kekhuatiran ibu bapa tentang masalah ini akan selesai dengan memasukan anak mereka ke sekolah pilihan mereka. Maka dengan ini, ibu bapa bebas untuk mendaftarkan anak mereka dimana-mana sekolah yang difikirkan sesuai dan baik buat anak mereka. Pengusaan bahasa Malaysia akan dapat diperkukuhkan sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah dan bercampur semula.
 

 4.1.3      Pendidikan dan Budaya Sekolah

                Budaya secara ringkasnya merujuk kepada ciri-ciri dan hasilan tingkah laku yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya. Menurut Tylor (1871) mengatakan budaya sebagai “ keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat dan sebarang bentuk keupayaan dan kebiasaan yang diperolehi oleh seseorang sebagai ahli masyarakat”
               Budaya sekolah merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat. Sekolah itu lahir dari keperluan masyarakat. Di sekolah kanak-kanak dididik untuk berbudaya sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakatnya. Budaya formal sekolah adalah melalui aktiviti kurikulum. Contohnya apabila seseorang pelajar itu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, dia akan disanjung dan diberi pujian dan akan dihormati oleh rakan-rakan. Dalam kegiatan kokurikulum, pelajar yang berjaya menaikkan nama sekolah dengan memenangi acara yang disertainya biasanya akan memperolehi status yang tinggi dengan diberi jawatan sebagai pemimpin dalam persatuan yang disertainya.
Selain itu pembentukan budaya tidak formal berlaku apabila sekolah mengadakan aktiviti gotong- royong, hari sukan, hari terbuka sekolah, majlis penyampaian hadian dan sebagainya.
              Bagai kanak-kanak yang tidak bersekolah mereka mungkin akan mengalami dan menempuh aktiviti yang diadakan oleh masyarakat berkenaan seperti gotong-royong tetapi mereka tidak memahami kenapa mereka perlu menyertainya, adakah kerana desakan ibu bapa atau tanggungjawab sosial yang terpaksa dilakukannya. Mereka tidak memahami konsep gotong-royong dan  bekerjasama. Apa yang mungkin terjadi ialah apabila mereka dewasa nanti, mereka mungkin akan disisihkan oleh masyarakat kerana tidak berpendidikan kerana masyarakat akan menyanjung mereka yang berpendidikan apatah lagi berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi. Mereka ini mungkin akan hidup lebih malang daripada bapa mereka.
                 Mereka juga akan rasa disisihkan dan akan mengambil sikap mengasingkan diri dari masyarakat. Akhirnya mereka ini akan terbiar tanpa ada sesiapa yang hendak membantu mereka.
                 Sekolah juga akan membentuk sikap mereka supaya berani, patuh pada undang-undang, hormat-menghormati dan belajar menguruskan diri. Jika kanak-kanak ini tidak diberi pendedahan tentang perlunya mematuhi undang-undang, mereka mungkin  akan bertindak mengikut naluri dan keperluan mereka sahaja tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain. Mereka juga mungkin gagal untuk menguruskan diri sendiri serta berdikari. Mereka akan bergantung hidup kepada bantuan keluarga dan ibu bapa sepanjang hayat tanpa perlu memikirkan apa yang akan berlaku pada masa hadaapan. Oleh sebab itu pendidikan amat perlu kepada setiap kanak-kanak  demi untuk mengharungi kehidupan di masa hadapan.
 
 

5.0    Rumusan dan Cadangan

                 Setelah diteliti dan dikaji, maka wajarlah kerajaan melaksanakan hukuman denda kepada ibu bapa yang gagal mendaftar atau menyekolahkan anak mereka apabila berumur tujuh tahun. Ini perlu kerana penjaga atau ibu bapa berkenaan gagal menjalankan tanggungjawab atau boleh dianggap tidak rasional dalam tindakannya kerana mereka telah mencabuli hak kanak-kanak berkenaan untuk mendapatkan pendidikan. Mereka seolah-olah dianiaya dan dimusnahkan masa depan mereka sebelum mereka boleh menentukan hala tuju mereka.
               Undang-undang ini bolehlah dianggap sebahagian daripada undang-undang yang telah termaktub seperti kes penderaan kanak-kanak. Apa yang menjadi  persoalan sekarang ialah bentuk hukuman yang wajar dikenakan kapada  ibu bapa atau penjaga berkenaan. Mereka mungkin mempunyai alasan yang berbeza seperti kurang keupayaan, pendidikan dianggap tidak wajib dan sebagai keperluan kedua selepas tanggungjawab kepada keluarga, anak yatim yang tinggal bersama abang atau kakak yang tidak bersekolah dan sebagainya.Ada juga kanak-kanak yang tidak mahu bersekolah kerana fobia dengan institusi sekolah kerana kononnya cikgu garang, takut dirotan atau didenda. Dalam situasi begini patutkah ibu bapa atau penjaga dipersalahkan?
              Dilihat dalam situasi persekolahan sekarang, ibu bapa sering dibebankan dengan bayaran buku latihan, buku kerja, yuran PIBG, aktiviti kokurikulum di luar sekolah, yuran asrama dan tambang pengangkutan yang kian naik saban tahun. Apakah langkah kerajaan dalam menangani masalah ini.Wajarkah ibu bapa yang berpendapatan di bawah RM 500 dan mempunyai ramai tanggungan dipersalahkan ?
             Dilihat pula pada keperluan lain misalnya, harga kasut sekolah sepasang sekitar  RM 15 keatas, baju sekolah sepasang hampir RM 50, kelengkapan alatulis, beg melebihi RM 20, Yuran sekolah melebihi RM 15. Jika dihitung, perbelanjaan keperluan seorang anak melebihi RM 100 pada peringkat awal persekolahan. Bagaimana jika ibu bapa itu mempunyai lebih daripada 5 orang anak yang bersekolah. Tidakkah ini menjadi sesuatu yang membebankan walaupun mempunyai pendapatan melebihi RM 1000.
             Apa yang diharapkan kelak apabila kerajaan melaksanakan undang-undang sekolah wajib atau pendidikan wajib, kerajaan dapat menyediakan persekolahan yang ‘percuma’ dalam erti kata yang sebenarnya. Bukan setakat memberi bantuan buku teks, rancangan makanan tambahan, susu percuma, sebaliknya menyediakan frasarana yang lebih baik kepada kanak-kanak miskin seperti asrama percuma, wang belanja harian, bantuan kelengkapan sekolah dan pengangkutan percuma.
              Undang-undang ini hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh bukan setakat gagal mendaftarkan anak  sahaja tetapi kanak-kanak yang menamatkah persekolahan sebelum tamat pendidikan wajib( 6 tahun ) atau sekolah rendah. Ini perlu kerana setiap tahun kira-kira 4000 murid berhenti sebelum tamat darjah tiga ( mengikut perangkaan Kementerian Pendidikan ).
              Bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, kerajaan harus menyediakan lebih banyak lagi sekolah lengkap dengan kemudahan seperti sekolah di bandar. Ini dapat menarik minat ibu bapa dan murid untuk ke sekolah. Begitu juga dengan anak-anak orang asli, pendedahan alam persekolahan amat penting terutamanya prasekolah. Berapa ramai anak orang asli yang mengikuti prasekolah? Ini juga harus difikirkan bersama.
              Sikap ibu bapa atau penjaga yang menganggap tanggungjawab mereka telah selesai apabila sudah mendaftarkan anak mereka di sekolah. Berapa ramai ibu bapa yang benar-benar mengambil berat perihal persekolahan anak mereka. Berapa ramai ibu bapa yang datang meminta penjelasan dari guru apabila anak mereka gagal dalam sesuatu mata pelajaran atau peperiksaan? Berapa ramai ibu bapa yang mengajar anak mereka di rumah?  Sikap ibu bapa sebegini akan menyebabkan anak mereka rasa terabai. Mereka hilang semangat hendak bersekolah dan hilang keyakinan diri apabila sering diejek oleh kawan-kawan apabila gagal dalam ujian atau peperiksaan yang akhirnya membawa kepada pemberhentian persekolahan .
             Kehadiran seorang pelajar itu ke sekolah merupakan satu petanda bahawa pelajar itu ingin belajar. Pelajar yang tidak hadir juga ingin dirinya menjadi pandai, tetapi ketidakhadiran mereka itu mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti tiada kenderaan dan keadaan sekolah. Kehadiran juga mempunyai pertalian dengan pencapaian akademiknya. Apabila pelajar sering gagal, mereka akan putus harapan untuk belajar, maka dengan sendirinya mereka merasakan bahawa susah tiada erti lagi mereka meneruskan persekolahan. Akibatnya mereka seringkali ditemui ponteng sekolah. Ini akan ditambah kusut lagi apabila ibu bapa seringkali melemahkan semangat anak dengan cemuhan dan membanding-banding mereka dengan pelajar yang cemerlang. Apa yang lebih dahsyat lagi ialah ibu bapa bertindak memberhentikan anak mereka kerana dianggap membazirkan wang dan masa sahaja. Ibu bapa sebeginilah yang wajar dikenakan tindakan undang-undang. 
             Secara amnya niat Kementerian Pendidikan hendak mengadakan undang-undang persekolahan disambut baik. Sebaliknya Kementerian Pendidikan hendaklah memikirkan cara yang terbaik untuk melaksanakan undang-undang baru ini, supaya satu pendekatan baru ditemui agar pendidikan negara mampu mencapai matlamat yang dicita-citakan di bawah Artikel 29 Konvensyen Hak Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu 1989 itu.
 
 

BIBLIOGRAFI

Amir Hassan Dawi. 2002.  Penteorian Sosiologi Pendidikan.
Tanjong Malim.  Quantum Books.

Hussein Mahmood. 1993. Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim Saad.  1986. Isu Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Salleh Lebar. 1992. Perubahan dan Kemajuan Pendidikan Di Malaysia.
Kuala Lumpur. Nurin Enterprise.

Omar Mohd. Hashim. 1999. Pengisian Misi Pendidikan. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Utusan Malaysia. 6. November 2001.

Utusan Malaysia. 8 November 2001

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama