Make your own free website on Tripod.com
 

TAJUK : Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kewujudan Budaya Sekolah 
 
1.    Pengenalan:
 Sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang memainkan peranan yang amat penting dalam merubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah tempat kita menuju wawasan. Di sini jugalah tempat kita membina bangsa kita. Negara tidak akan maju tanpa sistem pendidikan yang berkesan. Jikalau sistem pendidikan dan carta organisasi sahaja yang berkesan tetapi pengurusannya lembab, maka cita-cita negara, dan perbelanjaan yang begitu besar diperuntukkan oleh kerajaan hilang begitu sahaja dan cita-cita serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan hanya tinggal terukir di pejabat atau bilik pengetua dan menjadi rujukan serta kajian ilmiah semata-mata.

 Sekolah seringkali diungkapkan sebagai sebuah institusi yang menyeluruh bagi segolongan manusia berkumpul dan bekerja bersama-sama untuk sesuatu tempoh masa yang tertentu. Organisasi seperti ini ditadbirkan secara formal. Oleh sebab sekolah merupakan sebuah organisasi, maka wujudlah suatu budaya yang tersendiri dan berkembang di sekolah.

 Budaya secara ringkasnya merujuk kepada cirri-ciri dan hasilan tingkah laku yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya. Tylor (1871) menyatakan budaya sebagai “keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat dan sebarang bentuk keupayaan dan kebiasaan yang diperolehi oleh seseorang sebagai ahli masyarakat”.

 Budaya merupakan apa yang terkandung dalam diri individu hasil daripada pengalaman interaksi sosial dengan masyarakat di sekeliling kita. Menurut T.Marimuthu (1990;96) budaya sekolah terdiri daripada “… nilai-nilai, kepercayaan, pengetahuan dan tradisi, cara berfikir dan tingkah laku yang semuanya berbeza daripada institusi sosial yang lain”.

 Ringkasnya , sekolah mempunyai suatu budaya yang tersendiri yang sememangnya berbeza daripada budaya institusi yang lain seperti institusi penjara atau hospital sakit jiwa. Ini kerana sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang wujud dengan adanya para guru dan pelajar. Guru dan pelajar berinteraksi dalam menyampai, menyumbang dan menimba ilmu pengetahuan. Proses pengajaran dan pembelajaran tersebut telah melahirkan suatu budaya sekolah. Dalam erti kata lain, budaya sekolah sebahagian besarnya adalah hasil daripada interaksi diantara guru-guru dan pelajar-pelajarnya.

2.     Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kewujudan Budaya Sekolah:
 Budaya sekolah selalunya kekal untuk satu tempoh yang tertentu.Budaya sekolah biasanya wujud melalui lima faktor:

2.1   Faktor pertama:
 Faktor  pertama yang mempengaruhi kewujudan budaya sekolah ialah sekolah sebagai sebuah institusi formal, sekolah mewujudkan objektif dan peringkat tingkah laku tertentu di kalangan pelajar mengikut rangkaian peraturan dan undang-undang.

2.2   Faktor kedua:
Sekolah merupakan sebuah organisasi berdasarkan waktu . Sekolah bermula dan tamat pada waktu yang telah ditetapkan . Oleh sebab itu pelajar yang datang lewat akan dikenakan tindakan disiplin atau didenda.

2.3   Faktor Ketiga:
Sekolah juga merupakan institusi yang digred mengikut umur pelajar. Pelajar diasingkan mengikut umur dan sesetengahnya mengikut kebolehan dan keupayaan. Pelajar yang lebih umur tidak dibenarkan mengulang kelas. Di negara kita , seseorang pelajar hanya dibenarkan mengulang sekali sahaja dalam tempoh sembilan tahun persekolahan.

2.4    Faktor Keempat:
 Upacara dan keramaian  yang diadakan di sekolah seperti perhimpunan sekolah , upacara menaikkan bendera dan menyanyi lagu kebangsaan , lagu negeri dan lagu sekolah memberi pelbagai makna atau simbol kepada pelajar. Upacara lain ialah seperti hari ucapan dan penyampaian hadiah, hari sukan tahunan, pameran tahunan, lumba jalan kaki, pesta dan persembahan pentas. Semua upacara dan perayaan ini mengembangkan budaya sekolah yang membawa kepada stabiliti sekolah sebagai sebuah sistem sosial . Perkara lain yang telah menjadi simbol atau lambang budaya sekolah ialah seperti pakaian seragam sekolah, lencana, tali leher, warna sekolah dan sebagainya. 

2.5    Faktor kelima:
 Dalam konteks yang lebih luas, budaya sekolah ditentukan oleh matlamat institusi berkenaan. Matlamat pendidikan ialah pemindahan budaya , sosialisasi golongan muda, menyerapkan pengetahuan dan kemahiran serta mengembangkan kebolehan pelajar. Sekiranya sekolah hanya memberikan perhatian kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran dengan tujuan lulus dalam peperiksaan, akan wujudlah subbudayanya yang berorientasikan akademik. Sebahagian besar sekolah di negara kita mempunyai budaya akademik yang amat kuat di samping subbudaya yang lain seperti olahraga, sukan, permainan dan persatuan.

 Menurut Bantock (1973) pula budaya yang wujud di sekolah adalah akibat daripada dua faktor yang besar. Faktor yang pertama ialah masalah disiplin di sekolah. Semenjak dahulu lagi , pelajar yang nakal dan melanggar peraturan sekolah akan didenda manakala yang baik dan patuh kepada peraturan akan diberi ganjaran seperti puji-pujian dan sebagainya. Maka timbullah satu bentuk budaya yang dikenali sebagai budaya informal di sekolah berkenaan.
 Faktor kedua yang mempengaruhi kewujudan budaya sekolah ialah peranan peperiksaan. Peperiksaan mendorong persaingan yang sihat di kalangan pelajar. Mereka berlumba-lumba untuk mencapai kecemerlangan , dan akhirnya mewujudkan suatu budaya sekolah yang formal . Pelajar mempunyai nilai dan persepsi yang positif, tetapi dalam proses bersaing dan berlumba-lumba menimba ilmu , terdapat pelajar yang lemah,  dan ketinggalan dalam pelajaran mereka. Maka wujudlah segolongan pelajar yang mempunyai nilai yang negatif. Mereka menimbulkan ‘budaya pelajar’  yang tidak sihat di sekolah .

3.     Jenis Budaya Sekolah :
 Budaya sekolah di Malaysia bolehlah diklasifikasikan kepada tiga jenis. Tiga jenis budaya yang menunjukkan corak kehidupan dalam budaya sekolah ialah :
a) Budaya Instrumental
b) Budaya Ekspresif
c) Budaya Moral

3.1    Budaya Instrumental:
 Tujuannya ialah pengumpulan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk lulus di dalam peperiksaan di samping menghasilkan pelajar dan warganegara yang baik dan sempurna. Dalam erti kata yang lain ialah, budaya ini mengutamakan matlamat masa hadapan para pelajar.

3.2    Budaya Ekspresif:
 Tujuannya ialah untuk memuaskan kehendak kreatif dan seni para pelajar . Aktiviti diadakan untuk mereka menghilangkan ketegangan , serta meluahkan tenaga tanpa sebarang kawalan daripada kakitangan sekolah.Contoh aktiviti ialah seperti menari, melukis, atau bermain muzik mengikut kecenderungan dan minat masing-masing. Tidak terdapat sebarang sekolah di Malaysia yang menekankan budaya ekspresif ini, tetapi terdapat beberapa buah sekolah di Britain dan Amerika Syarikat yang mengamalkannya.

3.3    Budaya Moral:
 Tujuannya ialah untuk melahirkan pelajar bermoral yang berkemampuan membuat pertimbangan tentang beberapa tindakan atau tingkah laku yang betul atau salah. Sekolah menghukum setiap kesalahan dan memberikan ganjaran seperti hadiah kepada yang betul atau baik.

4.     Aspek Budaya Sekolah:
Dahlke(1958) membezakan tiga aspek  yang luas dalam budaya sekolah. Tiga aspek 
tersebut ialah Peralatan (Instrumental) Dari aspek ini manusia membuat pilihan terhadap teknik melakukan sesuatu. Ia adalah alat untuk memperoleh objektifnya. 
Peraturan (Regulative) Aspek ini merujuk kepada tindakan manusia dan penggunaan peralatan yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Mereka akan memberitahu apa yang harus dilakukan atu mesti dilakukan.Peraturan sekolah adalah ketentuan atau garis panduan yang dikenakan oleh pihak sekolah untuk mewujudkan disiplin di kalangan pelajar. Sejak 1956, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan surat pekeliling mengenai peraturan yang perlu dilaksanakan di sekolah yang meliputi peraturan pakaian seragam, potongan rambut, larangan merokok, lawatan sekolah, pembuangan murid daripada sekolah, penyalahgunaan dadah, peraturan tatatertib sekolah dan peraturan am.
Arahan (Directive). Daripada aspek arahan, para individu memperoleh nilai-nilai semerta, interpretasi mereka tentang hidup, dan matlamat yang mereka kerjakan.

 Budaya sekolah seperti ini telah digunakan untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan bertingkah laku mulia. Sebenarnya seluruh budaya sekolah dikuasai oleh nilai domain sekolah, yang berorientasikan akademik, sehinggakan anak-anak digolongkan kepada dua kategori yang luas, iaitu akademik dan bukan akademik.

5.     Budaya Sekolah Yang Formal dan Informal:
 Dalam membicarakan tentang budaya sekolah, Brembeck (1966), Ivan Reid (1978), Waller(1932), Sugarman (1967), dan beberapa orang ahli sosiologi yang lain telah mengenal pasti dua bentuk budaya yang dominan di sekolah, iaitu budaya formal dan budaya informal.
 Brembeck(1966:247) menghubungkaitkan budaya formal yang wujud di sekolah dengan perlakuan pelajar yang positif, iaitu ....culture may be defined as learned and shared behaviour. Sekolah dipercayai akan dapat menyampaikan nilai budaya sesuatu masyarakat kepada pelajarnya . Nilai tersebut ialah seperti kepercayaan terhadap negara , bahasa dan kesusasteraan, sejarah, tradisi, muzik dan seni, kepercayaan dan perhubungan antara manusia yang sopan dan hormat (1966:247)
 Walaupun sekolah mewujudkan nilai yang bertentangan , namun Brembeck percaya nilai yang baik dan positif boleh disemai dan dipupuk, misalnya pelajar boleh diajar dan dilatih bekerjasama, sama ada mereka bertanding dalam sukan, ataupun bersaing dalam sesebuah kelab. Pendapat Brembeck ini disokong oleh Ivan Reid (1978:50) yang mengatakan,  The objective of the formal culture of school is to produce seccessful (achieving), well-behaved pupils. Common sense tells us that schools and teachers spend most of their time attempting to get pupils to behave in fairly closely prescribed ways (the ideal pupil role) in order to achieve.
Dalam perkataan lain , Ivan Reid juga bersetuju bahawa budaya  formal sekolah akan dapat menghasilkan pelajar yang berjaya serta berkelakuan baik. Guru akan sentiasa berusaha ke arah mencapai matlamat tersebut. Sebaliknya , menurut Ivan Reid (1978:45) budaya sekolah yang tidak formal akan menghasilkan pelajar yang berbakat lain daripada  academic ability, iaitu mereka akan menyerlah dalam fighting/sporting ability. Maksudnya ialah mereka lebih cenderung dalam bidang yang bukan akademik seperti sukan, permainan, persatuan, atau kerja amal. Mereka dikatakan mempunyai budaya sendiri yang dikenali sebagai pupil culture( Waller, 1932) atau sebagai youth culture (Parsons, 1942). Mereka selalu menimbulkan masalah disiplin di sekolah seperti merokok, ponteng sekolah, atau bergaduh. Oleh sebab itulah, mereka sering digelarsebagai pengacau ataupun ‘samseng’ di negara kita. Golongan pelajar ini seringkali mempunyai klik sendiri, iaitu kumpulan-kumpulan sebaya yang suka melepak, meminati lagu-lagu pop dan rock, ponteng sekolah dan sebagainya. Pada keseluruhannya mereka ini lemah dalam bidang akademik.

6.     Kesan Budaya Sekolah:
 Budaya sekolah yang terlalu menekankan pencapaian akademik telah menimbulkan beberapa masalah di kalangan remaja. Masalah remaja bolehlah dikategorikan ke dalam tiga golongan iaitu;
a) Aktiviti akademik (pencapaian yang tinggi dan murid yang lembap),
b) Pelanggaran peraturan tatatertib (perosak akhlak dan pengacau),
c) Masalah emosi ( takut dan menarik diri).

Budaya sekolah yang formal yang terlalu berorientasikan akademik. Ramai pelajar yang berasal daripada keluarga yang taraf sosioekonominya rendah tidak berupaya memenuhi permintaan yang tinggi daripada budaya akademik ini. Seluruh struktur dan organisasi sekolah dibentuk ke arah membantu pelajar agar lulus dalam peperiksaan dengan kelulusan yang baik.
 Untuk meninggikan taraf dan mutu usaha akademik, pelajar dibahagikan ke dalam jurusan mengikut kebolehan. Guru yang paling berpengalaman ditempatkan dalam jurusan yang pelajarnya berkebolehan  lebih tinggi. Akibatnya , pelajar yang lemah diabaikan. Apabila membahagikan jurusan mengikut kebolehan pelajar (dinilai daripada ujian kelas) di peringkat sekolah rendah, pelajar daripada keluarga yang berada  yang telah menghadiri pelajaran prasekolah akan diasingkan dan mereka akan terus memperoleh kejayaan yang membanggakan, manakala mereka yang daripada keluarga miskin akan menjadi semakin lemahtahun demi tahun. Inilah salah satu daripada sebab mengapa sekumpulan murid masih belum dapat mengikuti pelajarannya setelah enam tahun bersekolah.

7.     Kesimpulan:
 Secara simplistik, ciri-ciri yang saya anggap tergolong di bawah budaya sekolah ialah budaya ilmu, budaya insan yang kamil seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, budaya kepimpinan, budaya kerja, budaya komunikasi dan seterusnya budaya bilik darjah.Budaya sekolah yang sihat itu ialah ciri-ciri budaya dan sub-budaya yang dapat menyumbangkan kepada perwujudan dan pertumbuhan sekolah sebagai institusi pendidkan dengan erti kata yang sebenarnya, yang mana dapat membantu merealisasikan segala yang tersurat dan yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
 
 

Bibliografi:
Amir Hasan Dawi, 2002. Penteorian sosiologi dan pendidikan edisi kedua. Tanjung Malim: Quantum Books.

Fatimah Daud, 1992. Pengenalan teori-teori sosiologi.Kuala Lumpur : 
Fajar Bakti

Kamaruddin Haji Husin, 1995. Dinamika sekolah dan bilik darjah.Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributions Sdn.Bhd.

Omar Mohd. Hashim, 1991. Pengisian misi pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sharifah Alwiah Alsagoff, 1985. Sosiologi pendidikan. Petaling Jaya: Longman.

AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama