TAJUK : Black Metal Dari Perspektif Teori Fungsional

1.Menganalisis Isu
1.1 Sinopsis Isu
Tajuk keratan akhbar: 56 pelajar di Perak dikesan terbabit Black Metal
Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak diberitahu bahawa seramai 56 pelajar sekolah menengah dan dua belia lepasan sekolah telah dikesan terbabit dengan kegiatan Black Metal yang memuja syaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenaga Manusia,Belia dan Sukan Negeri, Datuk Jamal Nasir Rasdi  berkata pelajar dari daerah Ipoh adalah paling ramai terlibat dalam gejala ini. Tambahnya hasil dari soal siasat didapati pelajar terpengaruh melalui minat muzik Black Metal,mengumpul aksesori,menerbitkan majalah dan membuat rakaman kaset lagu-lagu Black Metal serta ajakan rakan-rakan sebaya.
Beliau juga memberitahu bahawa berbagai tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut. Diantaranya ialah menyoal siasat pelajar dan belia yang terlibat ; diberi kaunseling dan kesedaran agama; pihak polis juga memaklumkan penglibatan tersebut kepada Jabatan Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Perak(JAIP) termasuk di peringkat daerah ; penolong kanan dan guru disiplin dari 55 buah sekolah menengah diarahkan  untuk membuat pemeriksaan keatas tubuh badan pelajar,buku dan beg sekolah bagi mengesan tanda dan lambing Black Metal ; ketua pengarah pendidikan akan menubuhkan satu jawatankuasa yang membabitkan agensi-agensi kerajaan untuk menjalankan tindakan bersepadu ; KDN Perak telah melancarkan operasi di Kompleks Yik Fong dan membuat rampasan beberapa barangan Black Metal.

2.0  Analisis isu 
2.1 Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar 20hb Nov2000 telah mengesahkan tentang masalah pelajar yang terbabit dalam Black Metal. Isu tersebut boleh dihuraikan mengikut Teori Fungsionalisme yang telah diasaskan oleh Comte,Spencer dan Durkheim. Antara tokoh-tokoh berkenaan, Durkheimlah yang banyak memberi huraian tentang pendidikan.  Mengikut Spencer masyarakat adalah satu. Setiap keluarga juga boleh dikategorikan sebagai satu. Masyarakat memerlukan ketua bagi mengendalikan proses mobilisasi masyarakat seperti pemimpin, imam, penghulu,guru dan lain-lain. Secara umum teori fungsionalisme menganalisis pendidikan dengan menghubungkan sekolah kepada keperluan-keperluan masyarakat.Untuk masyarakat berfungsi , mestilah ada cara yang memastikan semua keperluan – keperluan dipenuhi, maka disinilah pendidikan memainkan perananya. Pihak Pendidik harus memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajar tentang malapetaka yang akan timbul akibat penglibatan diri mereka dalam Black Metal. Untuk membangkitkan rangsangan kaum remaja menyertai kumpulan ini,muzik Black Metal dijadikan teras lalu diiringi dengan amalan seks rambang yang memangnya menjadi buruan mereka yang tidak mempunyai pegangan hidup. Faktor menyebabkan seseorang itu terlibat dengan kegiatan seperti ini mungkin berbeza, walaupun demikian ia boleh dibahagikan kepada dua punca utama, iaitu faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman, ialah kerana tidak adanya pemahaman agama. Seseorang yang memahami agama,yang tahu bahawa murtad adalah terkeluar daripada islam dan tempatnya kekal di neraka,biar betapa jahat dan rakus kehidupannya. Faktor luaran yang menyebabkan mereka terlibat dalam Black Metal ialah situasi keluarga yang selalu mengalami kacau bilau, bergaduh, tidak stabil dan selalu menyaksikan pertengkaran antara ibu bapa. Sikap mementingkan diri masing-masing merupakan satu lagi perkara yang membuatkan pelajar tidak berkesempatan untuk berbincang, mengadu hal dan sentiasa memendam rasa mengenai sesuatu perkara.Keadaan ini membawa kesan negatif apabila berjumpa dengan kawan-kawan yang mengambil berat dirinya,kawan yang boleh bekerjasama dengannya, ditambah pula mempunyai kawan yang sentiasa menghargai dan memerlukanya, maka pelajar ini mengalihkan perhatian kepada kumpulan rakannya.
 Ahli-ahli fungsionalisme menyatakan bahawa setiap bahagian masyarakat mempunyai tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan yang tersendiri. Mengikut Brinkerhoff dan White(1989) terdapat tiga andaian utama ahli-ahli fungsionalisme iaitu stabiliti,harmoni dan evolusi. Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan.Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial kepada pembaruan. 
Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, pihak agensi kerajaan perlu memainkan peranan yang penting bagi menangani masalah ini. Ceramah serta taklimat berkaitan gejala Black Metal di peringkat sekolah adalah antara cadangan dalam satu laporan khas yang dikemukakan kepada Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Malah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Utusan Malaysia 29 Jualai 2001) di Kepala Batas juga menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, pihak berkuasa tempatan (PBT), polis serta agensi penguat kuasa lain bekerjasama untuk membanteras pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing negara ini. Menurut beliau gejala sosial dan buruk yang semakin meruncing ini tidak boleh ditangani dan diatasi oleh satu pihak sahaja. Menteri di Jabatan Perdana Mentri Brig Jen(B) Datuk Zainal Abidin Abdul Hamid Berkata tindakan bersepadu  yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian  Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Bahagian Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam(JAKIM) akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam menangani gejala Black Metal yang dilihat menjejaskan akidah di kalangan pelajar dan remaja islam di negara ini.
Kesimpulannya teori fungsionalisme memerlukan perseimbangan dan memerlukan adaptasi .Durkheim percaya bahawa kewjudan institusi pendidikan adalah  untuk mempromosi dan mengekalkan ikatan sosial dan perpaduan. Fungsionalisme melihat individu sebagai tidak penting dalam menentukan apa yang sesuai untuk dirinya. Pendidikan bukanlah untuk membentuk potensi dan kebolehan individu bagi dirinya tetapi adalah untuk kepentingan masyarakat. Sekolah mesti memberikan gambaran kepada kanak-kanak tentang masyarakat yang bakal disertainya. Sekolah mesti mengamalkan cara hidup komuniti untuk menyediakan kanak-kanak kepada masyarakat yang lebih besar. Murid-murid perlu didedahkan tentang kehendak-kehendak masyarakat mereka. Harapan sekolah ialah melahirkan individu-individu yang sanggup dan akan berkongsi nilai-nilai sejagat masyarakat yang seterusnya menjamin keberlangsungan masyarakat itu.

  2.2 Definisi Konsep 
  Konsep Pendidikan dan Sekularisasi  adalah suatu proses di mana  agama 
kehilangan pengaruh terhadap berbagai-bagai situasi kehidupan sosial. Proses sekularisasi menyebabkan keruntuhan pengaruh-pengaruh organisasi dan nilai-nilai agama kepada idea-idea sains dan ilmu-ilmu pengetahuan duniawi yang dianggap moden. Pemodenan dikatakan telah memisahkan institusi agama dengan institusi-institusi sosial yang lain. Ada sebahagian anggota masyarakat barangkali menentang sekularisasi kerana ia bertembung dan mencabar autoriti tradisional. Namun begitu, apa yang berlaku dalam  masyarakat hari ini, ternyata terdapat ramai rakyat sama ada dewasa atau remaja yang telah terpengaruh dengan unsur-unsur budaya barat yang dikatakan bertentangan dengan amalan budaya tempatan.
 Dalam mencari erti dan hakikat invidu yang terjebak dalam Black Metal menganggap agama hanyalah penghalang kepada kepuasan hidup yang seharusnya berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Kawalan norma dan undang-undang agama ditentang dengan berbagai-bagai cara oleh mereka yang menganggap hawa nafsu adalah tuhan sembahan mereka.

  2.3 Analisis Isu Berdasarkan Tiga Konsep Sosiologi
Isu  Black Metal ini boleh dianalisis mengikut Konsep Pendidikan dan Kawalan Sosial . Kawalan sosial bermaksud segala amalan dalam kumpulan-kumpulan sosial yang menghendaki supaya anggota-anggotanya          menuruti norma-norma kumpulan berkenaan. Terdapat dua pembahagian asas kawalan sosial. Pertamanya yang bersifat internalisasi norma dan nilai. Dalam konteks ini seseorang individu akan menerima atau patuh kepada norma-norma masyarakat tanpa banyak bantahan. Keduanya ialah kawalan sosial yang memerlukan isbat dikenakan terhadap pelanggar-pelanggar norma. Sesetengah kumpulan pelajar dan remaja yang tidak dapat  menerima atau patuh kepada norma-norma masyarakat  itu akan terlibat dalam kegiatan Black Metal. Mereka melibatkan diri semata-mata berseronok. Mereka menganggap bahawa jiwa mereka  sesuai dengan aliran muzik ganas dan keras.
Peranan sekolah sebagai agen kawalan sosial sama ada ianya secara formal ataupun informal sangat nyata. Kurikulum sekolah telah mendedahkan murid-murid kepada perlakuan-perlakuan yang patut dan yang tidak patut misalnya melalui penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran. Nilai-nilai yang diterapkan itu adalah bersesuaian dengan norma-norma masyarakat dan ideologi negara. 
Konsep Pendidikan dan Budaya Sekolah sebagai warisan sosial manusia , cara pemikiran, perasaan dan aksi – aksi yang dipindahkan daripada generasi  ke generasi merangkumi budaya material dan bukan material . Budaya adalah hak masyarakat kerana masyarakat ditakrifkan sebagai sekumpulan manusia yang hidup dalam satu wilayah dan mempunyai budaya yang sama. Komponen – komponen budaya akan menentukan bentuk tingkahlaku yang dijangkakan bagi anggota – anggota masyarakat .  Sesetengah remaja hidup tidak ubah seumpama buih di air bah ataupun daun-daun lalang. Begitu mudah terpengaruh dengan budaya luar. Kerana itu apabila wujud kumpulan-kumpulan tertentu yang berusaha memesongkan kepercayaan mereka, mereka mudah terperangkap. Lebih-lebih lagi dengan adanya sogokan seks bebas, habuan wang ringgit dan kumpulan yang dianggotai yang menjadi kebanggaan. Kegiatan kumpulan ini terus menerus menular melalui risalah juga cakera padat yang mudah didapati. 
Kerenah birokrasi dalam keluarga juga memainkan peranan dalam mempengaruhi pelajar tercebur dalam kumpulan Black Metal. Oleh kerana bilangan adik-beradik yang ramai, ibu bapa atau ketua keluarga selalu melebih-lebihkan anak-anak yang tertentu dalam segala perkara membuatkan pelajar ini terasa hati dan akhirnya terpengaruh dengan desakan kawan-kawan ke arah yang negatif. 
Peranan ibu bapa sebagai ketua keluarga sepatutnya berlaku adil dalam mengendalikan keluarga. Apabila keadaan sudah menjadi serius pelajar berkenaan sukar untuk dilenturkan dan ibu bapa baru sedar betapa anak mereka sudah terlanjur dan sudah tidak boleh dinasihati lagi. Malah apabila ibu bapa cuba untuk menegur atau memarahi, pelajar pula yang akan melawan dan memarahi ibu bapanya. Pada masa inilah tiada gunanya menyalahkan orang lain atau masyarakat kerana yang salah dan menjadi penyebab fenomena tersebut diatas berlaku ialah diri sendiri. Oleh itu berwaspadalah dalam mengendalikan keluarga terutama apabila anak-anak sedang membesar agar mereka menjadi insan yang baik dan sempurna. Setiap tindak- tanduk anak-anak perlu diawasi oleh ibu bapa supaya mereka tidak terlibat dalam kegiatan Black Metal .

3.0 Cadangan  dan Kesimpulan
Walaupun masalah Black Metal telah dan sedang berlaku dan disahkan berada di tahap serius namun kita sebagai ahli masyarakat yang peka seharusnya cuba untuk memperbaiki sekurang-kurangnya untuk mengurangkan akibat dan kesan masalah itu kepada masyarakat. Pelajar-pelajar yang terlibat dengan masalah Black Metal ini boleh dibimbing melaui rakan sebaya melaui percampuran yang positif. Ibu bapa pula janganlah sekali-kali mengabaikan tanggungjawab  terhadap mendidik dan membesarkan anak-anak. Ibu bapa hendaklah sentiasa memikirkan tentang keselamatan anak-anak mereka, keselamatan mereka di luar rumah dan sekolah. Ibu bapa pula tidak boleh sekali-kali mengambil lewa tanggungjawab ini.
Kerajaan pula hendaklah tegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang demi kepentingan keamanan sosial dan pencegahan jenayah. Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara adil dan tanpa pilih kasih. Dari segi pendidikan, anjurkan program kesedaran yang berterusan yang mampu menjangkau ke setiap serata masyarakat dan mendidik golongan muda kita supaya menjauhi gejala sosial yang mempunyai kesan yang negatif ke atas mereka. Sekolah juga hendaklah mengetatkan disiplin melalui kerjasama antara guru, ibu bapa dan pihak berkuasa.
Keputusan Kementerian Pendidikan baru-baru ini untuk melantik seorang kaunselor sepenuh masa bagi setiap 500 pelajar di kesemua 1,700 buah sekolah menengah serta 4,000 sekolah rendah adalah langkah yang berpatutan. Ini akan membantu pelajar yang bermasalah. Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga seharusnya menganjurkan lebih banyak program untuk menggalakkan kesihatan mental yang melibatkan penyertaan keluarga serta masyarakat.
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat  mencadangkan fungsi institusi agama diorientasi semula supaya ahli-ahli agama turut menjadi aktivis menangani gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat terutama membabitkan remaja di negara ini.
Dari perbincangan yang telah dihuraikan, kita dapat membuat kesimpulan mengenai isu pelajar terlibat dalam kegiatan Black Metal yang dilihat dari perspektif fungsionalisme .Secara umum teori fungsionalisme menganalisis pendidikan dengan menghubungkan sekolah kepada keperluan -keperluan masyarakat. Pendidikan di sekolah memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pelajar yang bertanggungjawab kepada bangsa dan negara. Institusi sosial seperti keluarga, undang-undang dan system pendidikan adalah merupakan agen-agen penentu dan pengawal yang memastikan masyarakat berjalan lancar.
Punca kewujudan  pelajar yang terlibat dalam kumpulan Black Metal ialah kerana agama kehilangan pengaruh terhadap berbagai-bagai situasi kehidupan sosial. Pelajar yang tidak berpegang teguh kepada agama itu mudah memasuki kumpulan Black Metal dimana mereka adalah antiketuhanan atau agama ataupun menolak kewujudan tuhan,yang juga mengamalkan seks rambang dan keganasan. Amalan ini boleh memesungkan iktikad seseorang yang boleh menyebabkan berlakunya riddah. 
Budaya hidup juga mempengaruhi pelajar ke arah   yang mendatangkan kesan negatif atau positif dalam kehidupan. Sekolah memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya yang disanjung tinggi oleh masyarakat.  Sikap ibu bapa yang tidak peka dengan masalah anak-anak, sambil lewa, dan tidak mementingkan perasaan ahli keluargannya juga membantu wujudnya masalah sosial ini. Amalan birokrasi bukan sahaja tidak digemari oleh anak-anak malah boleh membawa kepada keruntuhan kepercayaan anak-anak kepada institusi kekeluargaan itu sendiri. Akibat dari kelalaian sistem keluarga, akan berlaku kesukaran untuk memperbaiki masalah sosial ini. Ibu bapa berasa menyesal tetapi apa boleh buat “nasi sudah menjadi bubur”. Pelajar yang bermasalah ini akan menjadi sampah masyarakat dan sudah tentu mendatangkan masalah kepada masyarakat.
 

 
AgamaPendidikanHiburanAkhbar & Majalah
 KomputerPoskadWallpapeMalaysia
Laman Utama